Mudahnya Bergelar Ustaz @ Ustazah?

7.23.2011


Kondisi serta persepsi umat kita sekarang seolah-olah sesiapa saja boleh dipanggil "ustaz @ ustazah", diberi gelaran "ustaz @ ustazah" dan pada masa yang sama juga boleh menggelarkan, membahasakan diri sendiri sebagai "ustaz @ ustazah". "Ustaz rasa, perkara ini boleh...". "Owh, ustazah rasa perkara ini tidak boleh kot...". Memadaikah dengan hanya 'rasa-rasa' tanpa ada hujah, dalil serta keyakinan? 

Syaratnya mudah sahaja. Mengikut persepsi ramai. Persepsinya jika seorang 'ustaz' adalah berkopiah, berjubah, bela janggut sikit, cakap-cakap pasal agama sikit-sikit, boleh menjenamakan diri sebagai ustaz manakala persepsi jika seorang 'ustazah' pula adalah bertudung besar serta labuh, berjubah, lebih hebat dengan berpurdah, cakap-cakap pasal agama sikit, boleh menjenamakan diri sebagai ustazah. Hanya semudah itu.

Untuk lebih meng'ustaz'kan @ meng'ustazah'kan lagi, selain membahasakan diri sebagai "ustaz @ ustazah", boleh juga menggunakan kata ganti diri 'ana' untuk membahasakan diri sendiri dan 'anta' @ 'anti' untuk menggantikan 'kamu'. Mudah sahaja.

Kalau 'ustaz @ ustazah' berdasarkan uniform dan penampilan dengan jubah, janggut, kopiah, bertudung labuh, ana, anta, maka siapa sahaja yang memakai uniform doktor, bolehlah dipanggil 'doktor'. Begitu? Jika begitu, ramailah yang menjaga unta dan menjual minyak atar layak dilabel 'ustaz' kerana uniform mereka berjubah, berjanggut serta berkopiah.


Apa yang menjadi masalah umat kita adalah senang diperdaya dan mudah terkeliru. Selagi ada yang boleh diperdaya, selagi itulah makin ramai yang memperdaya. Alangkah pelik dan hairan sekali, gelaran 'Datuk' @ 'Dr' disiasat dan diteliti hingga ke akar umbi namun dengan senang-senang melabelkan seseorang sebagai 'ustaz @ ustazah', tanpa menyiasat terlebih dahulu latar belakangnya.

Tidak hairanlah ada juga bomoh yang membahasakan diri sebagai "ustaz" dan suka dipanggil "ustaz" manakala dalam MLM pula, cakap sikit pasal halal haram, serta merta digelar 'ustaz'. Inilah punca kecelaruan dan percanggahan di dalam masyarakat kerana persoalan hukum hakam dirujuk bukan kepada 'ustaz' yang sebenar.

Jika doktor medik perlu mengambil masa 6 hingga 8 tahun untuk belajar perubatan dan kedoktoran sebelum bergelar 'Dr', begitu juga untuk mendapat gelaran 'ustaz @ ustazah' adalah tidak semudah yang disangka. Jika di Timur Tengah, hanya yang belajar sehingga PhD sahaja yang layak dipanggil "al ustaz" sekiranya menjadi pensyarah di universiti. Seseorang yang mahu bergelar 'ustaz' sebenar perlu menuntut ilmu dengan sentiasa berdampingan dengan para alim ulama' bertahun tahun, benar-benar menekuni bidang ilmu, berada di landasan manhaj yang betul, mengusai bidang usuluddin, syariah dan fiqh serta ilmu-ilmu yang lain.

Mahu bergelar 'ustaz @ ustazah' bukanlah melalui uniform dan penampilan, ia bukanlah semudah yang disangka seperti persepsi yang ada di dalam masyarakat kita.

Agak kurang bersetuju dengan mereka yang dilabelkan ustaz @ ustazah, hanya dilahirkan melalui program realiti TV namun sangat bersetuju jika setelah selesai program realiti TV tersebut, pemenang ditaja belajar di Hadramaut atau Al Azhar, Mesir sehingga PhD, baru mereka selayaknya bergelar 'ustaz'!



Comments
1 Comments

1 komentar:

  • MOBYDICK

    Program tajaan yahudi yang nak memburuk-burukkan imej islam...

    [Klik Untuk Balas Komen Ini]
  • Post a Comment

    Apa komen anda