Memenuhi Tuntutan Fitrah

10.02.2011

Saya cuba bermain akal dengan pelbagai persoalan kepadanya, namun segalanya ditangkis dengan mudah. Ya, saya akui, akal kamu memang ligat.

Saya cuba memerangkap, memasang jerat, bermain soalan berkaitan fitrah manusia. Jerat akhirnya termakan tuan.

Kenyataanya menarik, walaupun sinis dan pedas, saya cuba kongsikan di sini.

Ibubapa yang menjadi penyebab kerosakan anak-anak muda melampias nafsu mereka merata-rata kerana ibubapa yang menghalang kehendak fitrah anak-anak mereka sendiri. Fitrah seorang manusia normal bila lapar, perlukan makanan. Ibubapa tahu mereka perlu mencari rezeki dan mengisi perut anak-anak mereka dengan makanan, malahan mereka tidak pernah mengabaikannya. Mereka memenuhi tuntutan fitrah yang ada pada anak-anak mereka. 

Ibubapa perlu tahu fitrah anak-anak mereka apabila sudah besar dewasa, mahu kepada pasangan bagi memenuhi tuntutan batin nafsu mereka. Sebagaimana ibubapa menyuap makanan ke mulut anak-anak, seperti itu juga ibubapa perlu fikirkan untuk memenuhi tuntutan fitrah dan mencari pasangan bagi kepada anak-anak. Memenuhi fitrah anak-anak mahukan pasangan seperti juga keperluan kepada makan dan minum kerana kedua-duanya tuntutan fitrah.

Perut adalah anggota badan, begitu juga dengan kemaluan. Kedua-duanya sebahagian daripada anggota badan yang perlu dipenuhi tuntutan fitrahnya. Berapa lama mampu bertahan tanpa makan? Wajarkah menyekat fitrah kejadian dengan melarang menikah lantaran masih belajar atau belum bekerja? Tidak kiralah samada masih belajar atau belum punya pekerjaan, seseorang itu perlu makan kerana tuntutan fitrahnya. Begitu juga dengan pernikahan kerana ia adalah tuntutan fitrahnya. Ibubapa pasti cemas dan resah jika anak-anak mereka sedang 'kelaparan' dan perut mereka perlu diisi dengan makanan bagi mengelak sesuatu yang tidak diingini berlaku. Begitu juga ibubapa perlu cemas dan resah jika nafsu dan batin anak-anak mula 'kelaparan'. Ia perlu diisi dengan pernikahan sebelum terjadinya kecelakaan.

Sangat tidak wajar, sebahagian tuntutan fitrah dipenuhi tetapi sebahagian lagi dinafikan. Orang yang menahan atau menyekat tuntutan fitrah adalah orang yang cuba menentang arus dan bergerak songsang.

* Maaf jika para ibubapa tidak selesa dengan perkaitan ini. Ia dari jiwa dan hati anak muda.


Comments
0 Comments

0 komentar:

Post a Comment

Apa komen anda