Erti Kemerdekaan Sebenar

8.30.2012 2 komentar
Apakah erti kemerdekaan menurut perspektif Islam?


Janji Bersih!



Penawar Menghilangkan Kepenatan

8.29.2012 1 komentar

Bagi mengatasi keletihan dalam melaksanakan tugas-tugas seharian samada di rumah, bolehlah mengamalkan penawar yang diajar oleh Rasulullah s.a.w kepada puteri kesayangan baginda, Sayyiditina Fatimah.

Suatu hari, Fatimah telah mengadu kepada suaminya, Sayyidina Ali tentang kesakitan pada tangannya kerana keletihan menggiling gandum untuk membuat roti. Sayyidina Ali berkata: "Bapa kamu telah datang membawa balik tawanan perang, pergilah berjumpa dengannya dan mintalah seorang khadam untuk membantumu".

Lalu Fatimah pergi berjumpa dengan ayahnya dan menyatakan hasrat untuk mendapatkan seorang khadam bagi membantu tugas hariannya di rumah. Bagaimanapun Rasulullah s.a.w tidak mampu memenuhi permintaan anak kesayangannya itu. Lalu Baginda s.a.w pergi menemui puterinya serta menantunya itu.

Lantas Baginda s.a.w berkata: "Apa kamu berdua mahu aku ajarkan perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu minta daripadaku? Apabila kamu berdua hendak berbaring untuk tidur, maka bertasbihlah (Subhanallah) 33 kali, bertahmid (Alhamdulillah) 33 kali, dan bertakbir (Allahu Akbar) 33 kali. Ia adalah lebih baik untuk kamu berdua daripada seorang khadam."

Inilah penawar ringkas yang Rasulullah s.a.w ajarkan kepada anak dan menantunya bagi meringankan keletihan dan kesusahan dalam kehidupan mereka berdua.

Sayyidina Ali terus mengulang-ulang apa yang Nabi SAW ajarkan kepada dia. Katanya: "Demi Allah aku tidak pernah tinggalkan zikir tadi semenjak ia diajarkan kepadaku."

Jika anda merasai kepenatan setelah melakukan tugasan harian supaya mengamalkan membaca Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali dan Allahu Akbar 33 kali pada setiap malam sebelum melelapkan mata (tidur).

Lakukanlah dengan penuh tekun, ikhlas dan istiqamah. InsyaAllah petunjuk Nabawi ini mampu menyelesaikan bebanan-bebanan dalam kehidupan seharian kita. Akan terserlah ceria di wajah pada keesokan hari dengan senyuman.

Doa Ketika Melihat Anak Bulan Ramadhan

7.14.2012 0 komentar

Disebutkan dalam sebuah hadith riwayat Imam Tirmizi :

عن طلحة بن عبيد الله : أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا رأى الهلال قال : أللهم أهله علينا بالأمن والإيمان والسلامة والإسلام ربى وربك الله هلال رشد وخير. 
Ertinya “ Daripada Talhah Ibn ‘Ubaidillah, sesungguhnya bila Rasulullah s.a.w melihat hilal (anak bulan), baginda berdoa : ‘Wahai Tuhan yang telah menampakkan awal bulan kepada kami dengan aman dan iman, dengan selamat dan Islam, Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah, hilal yang benar dan baik

Setiap kali apabila Rasulullah s.a.w menyaksikan terbitnya anak bulan Ramadhan yang disebut hilal, beliau mengucapkan doa seperti di atas. Doa ini tidak hanya baginda ucapkan ketika hilal bulan Ramadhan, tetapi juga baginda ucapkan pada bulan-bulan lain. Disebutkan doa ini dalam amaliah Ramadhan adalah untuk menyempurnakan sambutan kita akan datangnya bulan Ramadhan.


Menyelamatkan diri & harta dari malapetaka (Doa Abu Darda')

5.27.2012 1 komentar
Diriwayatkan di dalam kitab Ibn al Sunni, daripada Thalq Bin Hubaib dia berkata, "seorang lelaki datang kepada Abu Darda' seraya berkata : 'Wahai Abu Darda'! Rumahmu terbakar!' Jawab Abu Darda' : 'Apakah yang terbakar? Allah tidak akan berbuat demikian kerana ada beberapa kalimah yang aku dengar daripada Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda : 'sesiapa yang membaca di awal hari, dia tidak akan tertimpa musibah hingga petang. Sesiapa yang membaca diakhir hari, dia tidak akan tertimpa musibah hingga subuh"ز

Riwayat lain, daripada seorang sahabat Nabi s.a.w yang tidak disebut, daripada Abu Darda', berulang kali lelaki itu datang kepadanya lalu berkata : 'tengoklah rumahmu sudah terbakar'. Abu Darda' menjawab : 'Ia tidak terbakar kerana aku telah dengar Nabi s.a.w  besabda :"Sesiapa yang membaca kalimah ini pada pada waktu subuh dia tidak akan ditimpa sesuatu yang tidak diingini baik pada dirinya, keluarganya dan hartanya. Sesungguhnya aku telah membacanya pada hari ini". Kemudian dia berkata : "Mari kita pergi! Lalu dia berdiri diikuti orang-orang yang lain bersamanya lalu berangkat ke rumahnya. Sesungguhnya telah terbakar disekitar rumah itu tetapi rumah Abu Darda' tidak terbakar sedikit pun.

(petikan daripada kitab al Azkar, Imam Nawawi)

Doanya adalah :



Biografi Imam Qiraat 7

5.22.2012 0 komentar
Imam Nafi'
Nafi' bin Abdul Rahman bin Abi Nu'aim. Diberi gelaran Abu Ruwaim. Berasal dari Asbahani. Dilahirkan pada sekitar tahun 70 hijrah dan wafat di Madinah pada tahun 169 hijrah.
Dua perawi yang terkenal adalah Qalun (wafat pada 220 hijrah) dan Warsy (wafat pada tahun 197 hijrah)

Imam Ibn Kathir
Abdullah bin Kathir al Makki. Diberi gelaran Abu Ma'bad. Dilahirkan di Makkah pada tahun 45 hijrah. Beliau adalah tabi'in yang pernah berjumpa Abdullah bin Zubair, Abu Ayyub al Ansari dan Anas bin Malik. Wafat pada tahun 120 hijrah.
Dua perawi yang terkenal ialah al Bazzi (wafat pada 250 hijrah) dan Qunbul (wafat pada 291 hijrah)

Abu Amru
Nama beliau ialah Zabban bin al Alaa' bin Ammar al Basri. Lahir di Makkah pada tahun 70 hijrah. Meninggal dunia di Kufah pada 145 hijrah.
Dua perawi yang terkenal adalah al Duri (meninggal pada 246 hijrah) dan al Susi (meninggal pada 261 hijrah)

Ibn Amir
Nama beliau adalah Abdullah bin Amir al Syami al Yahsobi. Merupakan seorang qadhi di Damsyik pada zaman khalifah al Walid Ibn Abdul Malik. Merupakan seorang tabi'in. Dilahirkan pada tahun 21 hijrah dan meninggal dunia pada hari asyura pada tahun 118 hijrah.
Dua perawi yang terkenal adalah Hisyam (meninggal pada 245 hijrah) dan Ibn Zakwan (meninggal pada 224 hijrah)

'Asim
Nama beliau adalah 'Asim bin Abi Najud dan digelar dengan Abu Bakar. Beliau adalah daripada kalangan tabi'in. Meninggal dunia di Kufah pada tahun 127 hijrah.
Dua perawi yang masyhur adalah Syu'bah (wafat pada 193 hijrah) dan Hafs (wafat pada 180 hijrah)

Hamzah
Nama beliau adalah Hamzah bin Habib bin Ummarah al Ziati. Digelar dengan Abu Ummarah. Merupakan seorang ahli perniagaan yang sangat warak dan kuat ibadat. Meningga dunia pada zaman Abi Jaafar al Mansur pada tahun 156 hijrah.
Dua perawi yang masyhur adalah Khalaf (meninggal dunia pada 229 hijrah) dan Khallad.

Kisaie
Nama beliau adalah Ali bin Hamzah. Merupakan seorang pakar ilmu nahu. Digelar dengan kisaie kerana pernah sekali tidak memakai pakaian ihram ketika di Mekah. Meninggal dunia di Ranbawaih pada tahun 189 hijrah.
Dua perawi yang masyhur adalah Abu al Harith dan al Duri.


Terbebankah Tugas Guru?

5.20.2012 1 komentar
Isu beban tugas guru ni telah lama diperkatakan. Cuma media saja yang membezakan tentang apa yang cuba dibangkitkan. Jika dibangkitkan oleh warga pendidik maka ia merupakan suara yang meminta untuk diberi perhatian, iaitu suara hati warga pendidik yang kian tertekan dengan pelbagai tugas selain mengajar di sekolah. 

Daripada tugas menanda kehadiran sehinggalah menggaris padang sempena hari sukan merupakan tugas rutin setiap tahun. Bukan itu sahaja, kerana setiap sekolah ada beberapa perayaan dan hari kebesaran yang perlu diurus. Maka, guru-guru akan bertungkus lumus menjayakan majlis sambutan bagi memastikan ia berjalan dengan baik dan lancar. Sedangkan core business guru lebih kepada mendidik dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran.

Tetapi jika pandangan itu daripada masyarakat luar, sudah tentu ia lebih bersifat memantau kelebihan dan kekurangan profesion keguruan. Justeru, kekadang apa yang diutarakan tidak menggambarkan hal sebenar yang dialami oleh warga pendidik.

Okey apa cikgu, kerja separuh hari, cuti pun banyak. Belum campur MC lagi. Jika soal kerja separuh hari, banyak cuti… sebenarnya ia bukan dirasai oleh semua guru. Malah ada yang terpaksa menjaga peperiksaan, menyemak buku latihan pelajar dirumah atau menanda kertas peperiksaan sewaktu cuti sekolah. Walaupun ada yang kata, tugas-tugas tersebut dibayar, tetapi nilai bayaran dengan tugas dan tanggungjawab yang dilakukan sebenarnya tidaklah banyak sehingga menjadi suatu buruan kepada semua guru. Buktinya, tiada siapa yang ingin mengawas peperiksaan jika elemen paksa rela dilaksanakan oleh pengetua atau guru besar.

Walaupun cikgu hanya bertugas separuh hari, bukan semua kerja sekolah boleh disudahkan di sekolah. Akhirnya, mereka terpaksa juga membawa semua kerja yang tidak siap ke rumah untuk disudahkan. Keadaan ini tentunya amat berbeza dengan tugas seorang pegawai di pejabat. Semua urusan, jika mahu boleh dibereskan sewaktu dipejabat. Keluar pejabat, lepas tanggungjawab.

Justeru, jika mahu mengkritik profesion keguruan, ia harus direncana secara adil. Terbebankah tugas guru?

p/s : lebih terbeban guru yang pada masa yang sama terpaksa jadi warden asrama!

Pak Cik Yang Belum Mumaiyiz

12.04.2011 0 komentar

Sedang rancak berbincang isu semasa, kami ditegur oleh seorang lelaki yang tidak dikenali sekitar berusia akhir 50an. Rasanya bukan orang tempatan, tiada yang mengenalinya.

Katanya, "kamu tak payah nak sibuk soal negara, kamu semua ni budak-budak lagi. Mereka yang duk pimpin negara tu tahu la macam mana nak uruskan negara. Mereka tu pandai la, kalau tak macam mana mereka semua tu boleh jadi menteri!".

Teman saya menjawab, "ya, kami tahu kami masih muda lagi tapi kami bukan budak-budak. Rasanya pak cik ni yang belum MUMAIYIZ lagi, tak tahu nak beza yang mana baik dan yang mana buruk. Nasi dengan tahi ada kat depan mata pun tak tahu nak bezakan. Kami ni budak-budak tahu bezakan yang mana tahi dan yang mana nasi."

Wah! Pedas betul penangannya.

Hahaha...padan muka, sah memang UMNO punya pak cik!

Kasihan pun ada.


Cara Khatam Al Quran Dalam Seminggu

11.24.2011 1 komentar

Rasulullah s.a.w menekankan kepada kita supaya meluangkan seberapa banyak masa untuk membaca dan memahami al Quran. Secepat-cepat tempoh masa yang boleh khatam al Quran adalah selama 3 hari dan selewat-lewatnya jangan jangan lebih dari sebulan. Sebaik-baiknya al Quran dikhatamkan bacaannya dalam tempoh seminggu.

Beberapa sahabat Rasulullah s.a.w yang masyhur seperti sayyidina Uthman, Zaid Ibn Thabit, Ibn Mas'ud dan lain-lain mengkhatamkan al Quran dalam masa seminggu dengan dibuat penyusunan surah-surah seperti berikut :

Malam Jumaat :  surah al Baqarah hingga surah al Maidah

Malam Sabtu :  surah al An'am hingga surah Hud

Malam Ahad :  surah Yusuf hingga surah Maryam

Malam Isnin :  surah Toha hingga surah al Qasas

Malam Selasa :  surah al 'Ankabut hingga surah Sod

Malam Rabu :  surah Tanzil (al Zumar) hingga surah al Rahman

Malam Khamis :  menghabiskan surah yang berbaki

Selamat beramal!


Sila Kira Bulu Kambing!

11.18.2011 0 komentar

Kisah seorang 'alim

Datang seorang dengan penuh lagak sombong, langsung tanpa adab. Lalu segera bertanya :

Lelaki : kalau sudah rasa alim sangat, sila beritahu berapa jumlah bintang yang ada di langit?

Orang alim : (terdiam sebentar) kalau kamu mahu tahu berapa jumlah bintang di langit, sila kira bulu kambing! Jumlahnya lebih kurang sama.

Lelaki : (diam sambil tergaru-garu kepalanya)


p/s : Kadang-kadang, bukan semua soalan yang ditanya perlu kita jawab. Moga bermanfaat.


Cara Memusnahkan Mushaf @ Kertas Ayat Al Quran

11.03.2011 2 komentar


Mushaf atau kertas yang mengandungi ayat-ayat Al-Quran tidak boleh dikoyakkan atau dicarik-carik kerana cara itu bererti memutus huruf-huruf dan kalimahnya dan mempersia-siakan apa yang termaktub itu.

Jika mushaf atau tulisan-tulisan ayat Al-Quran itu tidak boleh dibaca atau tidak boleh digunakan lagi, ia boleh dimusnahkan di antara caranya ialah dengan membasuh tulisannya sehingga tidak kelihatan lagi atau membakarnya atau menanamnya.

Sebahagian ulama berpendapat membakarnya adalah lebih utama kerana Sayidina Uthman Al-Affan pernah membakar mushaf-mushaf tertentu dan tidak ada sahabat yang membantahnya. Sebahagian ulama pula menetapkan ia tidak boleh dibakar kerana cara itu tidak menghormati namanya sehingga menghukumkannya sebagai makruh.

Selain itu ada yang berpendapat bahawa membasuhnya lebih utama. Sebahagiannya pula mengatakan mushaf itu tidak dibakar, bahkan ia hendaklah ditanam dalam tanah dan dengan cara ini ia tidak akan terkena pijakan. (Al-Itqan: 4:165).

Dalam pada itu, setengah ulama mutakhir berpendapat bahawa cara membakar itu adalah cara yang paling ringan dilakukan. Disertakan dengan niat yang baik, maka cara ini dilakukan hanya semata-mata untuk menjaga kesucian dan kemuliaan Al-Quran, bukan merendahkan, apa lagi menghinanya dan tidak mendedahkannya kepada pencemaran dan penghinaan. (Ahsan Al-Kalam: 2:210).

Disimpulkan bahawa mushaf Al-Quran yang menjadi kitab suci umat Islam adalah wajib dihormati, seperti tidak meletakkan sesuatu di atasnya, menyentuh atau mengangkatnya hanya ketika dalam keadaan berwuduk dan tidak menuliskannya pada kertas, kad, poster atau bahan-bahan cetak yang lain yang terdedah kepada pencemaran kesucian dan kehormatannya itu. 



Seksaan Bagi Meninggalkan Solat

11.02.2011 0 komentar
Orang yang tidak solat akan diseksa dengan 15 seksaan, 6 daripadanya akan diterima di dunia, 3 seksaan tatkala hendak mati, 3 seksa lagi ketika berada di alam kubur dan 3 seksa lagi di hari kiamat.


Enam seksa semasa hidup di dunia: 


1. Diangkat berkat pada umurnya.
2. Allah akan menghapuskan tanda-tanda orang soleh daripada mukanya.
3. Tiap-tiap amal yang dikerjakan tiada diberikan pahala kepadanya.
4. Segala doanya tidak diangkat ke langit.
5. Dia diangkat berkat pada rezekinya
6. Tidak ada bahagian daripada Islam

Tiga seksa tatkala hendak mati: 


1. Dia mati dalam kehinaan.
2. Dia akan merasa yang amat pedih ketika roh dicabut keluar. 
3. Mati dalam keadaan yang sangat haus, sehinggakan jika dituangkan kepadanya sekelian air laut di dunia ini, dia tetap merasa tidak puas. 

Tiga seksa ketika di alam kubur: 


1. Disempitkan kuburnya.
2. Dinyalakan api, di mana dia akan membalik-balikkan dirinya didalam bara api itu.
3. Allah mengerahkan ular yang bernama syuja'u aqra'

Tiga seksa di hari kiamat: 


1. Hisab ke atsanya menjadi sangat berat.
2. Allah S.W.T sangat murka kepadanya.
3. Allah S.W.T akan menyiksanya dengan api neraka.


Corak Hidup Semut Yang Menakjubkan

9.30.2011 0 komentar

Menempuh ujian dengan semut berada di merata-rata di sekitar rumah. Jangan kata makanan manis, air sejuk pun dimasuki semut. Kebaikannya, dapat mengetahui corak kehidupan amat menakjubkan dan ia hampir sama dengan corak kehidupan manusia. Perhatikan maksud ayat al Quran ini :

"Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tenteranya daripada jin, manusia dan burung lalu mereka itu diatur dengan tertib(dalam barisan). Hingga apabila mereka sampai di Lembah Semut, berkatalah seekor semut : "Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedang mereka tidak menyedari." - Surah al Naml : ayat 17-18

Pada masa dahulu, mereka yang membaca ayat ini akan mempersendakannya dan mengatakan bahawa al Quran adalah sebuah cerita dongeng kerana ia menceritakan perihal semut bercakap antara satu dengan yang lain. Bagaimanapun, sains moden telah membuktikan bahawa corak kehidupan sejenis serangga yang hampir sama dengan corak kehidupan manusia adalah semut. Hal ini boleh dilihat dalam beberapa aspek tertentu seperti di bawah :

1. Semut akan menanam semut lain yang mati, dan ini menyamai manusia.

2. Semut mengamalkan sistem yang sama seperti manusia dalam melakukan kerja. Terdapat pekerja-pekerja dan ketua dalam melakukan setiap pekerjaan.

3. Mereka ber'cakap' pada waktu-waktu tertentu

4. Semut menggunakan sistem yang canggih untuk berkomunikasi

5. Semut menukar barangan mereka dalam 'pasar harian'.

6. Semut dapat menyimpan biji-bijian dengan lama pada musim sejuk. Apabila bijian itu bercambah, mereka akan memotongnya untuk mengelakkannya daripada rosak. Jika bijian tersebut terkena air, mereka akan mengeluarkannya untuk dijemur di bawah sinaran panas matahari.

Kata orang, kalau nak rajin, rajinlah macam semut. Anda pernah melihat semut curi tulang? Pernah melihat semut terbaring sedang berehat melepas lelah kepenatan bekerja? Mereka hanya diusung setelah mana cedera atau mati sahaja.

Dua Bulan Lagi Nak Mati

9.29.2011 0 komentar
Menziarahi teman yang sakit tenat. Riak wajahnya penuh senyuman, tiada sedikit pun resah, gelisah dan cemas.
Maklumat yang diterima, doktor mengatakan situasinya kini sudah berada pada tahap paling kritikal. Paling lama mampu bertahan untuk hidup cuma dua bulan sahaja. Hanya jangkaan berdasarkan pengalaman dan kajian, segalanya ketentuan Allah s.w.t.

Katanya dengan tenang, "saya tahu, doktor kata tempoh untuk saya hidup kurang dua bulan saja lagi. Alhamdulillah, nikmat yang besar Allah kurniakan kepada saya. Saya diberi peringatan awal sebelum menempuh kematian, sekurang-kurangnya saya boleh bersedia menghadapi saat kematian saya."

"Mengapa risaukan saya? Kalian tidak perlu risaukan saya, fikirkan tentang diri kalian. Kalian sepatutnya fikirkan bila kalian akan mati. Anda yakin anda masih boleh terus hidup untuk dua bulan lagi? Seminggu lagi? Sudah tentu tidak. Esok pun belum pasti. Tiada siapa tahu bila saat ajal akan datang menemui kita, boleh jadi kalian akan dicabut nyawa terlebih dahulu daripada saya."

Kata-kata sangat menyentuh jiwa kami, tiada apa yang mampu diucapkan. Hanya melebarkan senyuman kelat dengan hati gundah bercampur sedih memikirkan apa yang telah diperkatakan.

Sungguh mulia hatimu teman, kamu sangat beruntung!


Kelebihan Istighfar

9.19.2011 0 komentar


Mengucapkan istighfar, minimumnya dengan menyebut "astaghfirullah, rabbighfirli, allahummaghfirli dan lain-lain lagi. Melalui istighfar yang diucapkan, kita akan memperoleh banyak kelebihan dan kebaikan daripadanya.

Pertama, dihapus keburukannya dan diangkat darjatnya.

“Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia mohon ampun kepada Allah, niscaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” - Surah al Nisa’ : 110

Kedua, dilapangkan rezeki, anak, harta, dan penyebab turunnya hujan.

“Maka Aku katakan kepada mereka: ‘Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai. Mengapa kamu tidak percaya akan kebesaran Allah?” - Surah Nuh : 10-13

Ketiga, ditambah kekuatannya.

“Dan (dia berkata): ‘Hai kaumku, mohonlah ampun kepada Tuhanmu lalu bertaubatlah kepada-Nya, nescaya Dia menurunkan hujan yang sangat deras atasmu, dan Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu, dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa’.” - Surah Hud : 52

Keempat, dihapuskan dosanya.

Setiap dosa akan meninggalkan titik hitam pada hati. Titik hitam yang akan menggelapkan hati. Titik hitam akan lenyap dengan kalimah istighfar.
“Sesungguhnya bila seorang mukmin melakukan satu dosa, pada hatinya timbul satu titik hitam. Apabila dia bertaubat, berhenti dari maksiat, dan beristighfar, nescaya mengilap hatinya.” - maksud hadith

Kelima, dimudahkan segala urusannya.

“Barangsiapa membiasakan diri untuk beristighfar, Allah akan memberikan jalan keluar baginya dari setiap kesulitan, akan memberikan kebahagiaan dari setiap kesusahan, dan akan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” - maksud hadith


Power Juga Budak Ni..

9.10.2011 0 komentar

Seorang kanak-kanak, sekitar usia 8 tahun memanjat sebatang pokok. Seorang lelaki dewasa lantas menegurnya menyuruh supaya turun daripada pokok tersebut.

Lelaki : Turun la, nanti kalau jatuh sia-sia saja kamu mati!

Kanak kanak : Tak apa lah saya jatuh, lepas tu mati. Saya boleh masuk syurga. Kanak-kanak kan tak ada dosa!

Lelaki itu terdiam lalu menjerit,

Lelaki : Haaa...pandai la kau menjawab! Kamu naik la tinggi-tinggi lagi! Jatuh pastu mati!

Kanak-kanak : Apa ni bang? Doa tak elok untuk orang! Kita kena suruh orang buat baik, bukan suruh orang buat benda tak elok!

Lelaki : Lantak kau lah! (marah)

Kanak-kanak : Jangan marah bang! Nabi dulu lagi susah suruh orang buat baik! (sambil gelak-gelak)

Dari jauh, saya cuma tersenyum sendirian...(",)


Khatam Al Quran Lapan Kali Sehari

8.19.2011 1 komentar


Ramadhan sudah melepasi garis tengahnya dan semakin berganjak menuju titik penghujung. Lingkungan tempoh penghujung ini adalah puncak maksima bagi penumpuan melipat gandakan amalan. Bagaimana dengan keadaan kita? Sudah berapa kali khatamkan al Quran? Tahukah kita mengenai kehebatan para sahabat dan para solihin terdahulu sehingga mereka mampu khatam al Quran lapan kali dalam sehari. Imam Nawawi R.A menyatakan, riwayat jumlah paling banyak khatam al Quran adalah sebanyak LAPAN KALI dalam sehari. Mampukah kita...

1. Khatam al-Quran empat kali pada waktu siang dan empat kali pada waktu malam seperti al-Sayyid al-Jalil Ibnul Katib al-Sufi?

1. Khatam al-Quran tiga kali sehari seperti Salim bin Umar rahimahullah?

1. Khatam al-Quran dalam satu rakaat pada solat seperti Sayyidina Uthman bin Affan, Tamim al-Dari, Sa'id bin Jabir dan al-Syafie r.a?

1. Khatam al-Quran diantara solat maghrib dan isya' pada bulan Ramadhan seperti Mujahid rahimahullah?

1. Khatam al-Quran dalam masa tiga hari pada bulan Ramadhan seperti Abdullah bin Mas'ud r.a?

1. Khatam dalam masa tiga hari seperti Abdullah bin Amr bin al-Ash r.a?

1. Khatam al-Quran dalam masa tujuh hari seperti Zaid bin Thabit r.a?

1. Khatam al-Quran dalam masa lapan hari seperi Ubay bin Ka'ab r.a?

1. Khatam al-Quran pada setiap sepuluh malam seperti al-Hasan bin Abi al-Hasan al-Basri?

1. Khatam al-Quran sebanyak 18000 kali seperti Imam Syu'bah?

* mengapa semua No.1?
* kita berada pada tahap mana?
*anda mampu melakukannya?
Jika mampu, pilihlah tahap mana yang kita mahu lakukan, semua adalah terbaik. Sama-sama gunakan kesempatan ramadhan ini semaksimanya.


Berinteraksi Dengan Al Quran

8.17.2011 0 komentar
Antara peristiwa terpenting yang berlaku di bulan ramadhan adalah berlakunya penurunan al Quran. Ramadhan adalah bulan diturunkan al Quran.

"(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang didalamnya diturunkan (permulaan) Alquran sebagai petunjuk bagi manusia danpenjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil)." - al-Baqarah : 184

Oleh kerana itu, selain disebut sebagai syahrus siyam (bulan puasa), bulan Ramadhan juga disebut sebagai syahrul quran (bulan al Quran). Pada bulan Ramadhan, al Quran diturunkan untuk menjadi panduan, perlembagaan dan pedoman kepada manusia terhadap segala aktiviti dan gerak geri mereka di dunia.

Pada bulan ini juga, Malaikat Jibril turun bertemu baginda Rasulullah SAW untuk mendengar dan menyemak bacaan al Quran daripada Rasulullah SAW.

Iman Al Zuhri berkata, 
"Apabila datang Ramadhan, kegiatan utama kita (selain berpuasa) ialah membaca al Quran."

Namun, seharusnya kita tidak hanya sekadar membaca sahaja, kita perlu mentadabbur, memahami dan mengamalkan segala isi kandungan al Quran. Bukannya memilih mana-mana bahagian yang berkenan kita ambil, bahagian yang tidak berkenan kita tinggalkan.

Bulan Ramadhan merupakan kesempatan serta peluang bagi umat Islam untuk benar-benar berinteraksi dengan al-Quran. Hal ini bertujuan untuk meraih kualiti hidup sebagai hamba, keberkatan dan meniti jalan menuju umat terbaik dengan petunjuk daripada al Quran. Bagaimana untuk kita berinteraksi dengan al Quran? 

1. Tilawah (membaca)
2. Tadabbur (menghayati dan memahami)
3. Hafal
4. Amal
5. Mengajar
6. Tahkim (menjadikan sebagai perlembagaan dan berhukum dengan al Quran)

Rasulullah SAW bersabda :
“Sebaik-baiknya kamu adalah yang mempelajari Alquran dan yang mengajarkannya.”

Ramadhan sebagai syahrul quran (bulan al Quran) dan bulan yang penuh berkat, terlalu rugi jika hari demi hari bulan Ramadhan terus berlalu begitu saja. Prioriti amalan yang berkait dengan al Quran menjadi keutamaan!

Helaian demi helaian akhbar mampu dibelek, mata yang tidak berkelip memahami isi kandungan novel. Mengapa kita tidak boleh melakukan sebegitu kepada kitab agung al Quran? Sedang pada masa yang sama kita sedar novel itu cuma imaginasi penulisnya sahaja, akhbar pula sangat tipis kesahihannya tetapi al Quran itu langsung tidak ada keraguan padanya.


Darjat Dan Jenis Puasa

0 komentar


Puasa bukan hanya sekadar dipraktik secara zahir, malah ia perlu dihayati daripada sudut batin atau rohaninya supaya puasa kita akan mendatangkan lebih kesan kepada jiwa dan roh kita. Imam al-Ghazali membahagikan darjat puasa manusia kepada tiga bahagian;

1. Puasa umum : iaitu berpuasa dengan menahan perut dan faraj (kemaluan) dari menikmati keinginannya (makan, minum dan sebagainya).

2. Puasa khusus : iaitu berpuasa yang disertakan dengan menjaga pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota dari melakukan yang haram atau dosa.

3. Puasa khususul khusus (paling khusus) : iaitu berpuasa dengan menyertakan semua yang tersebut di atas dan menambah lagi dengan berpuasa hati dari segala cita-cita yang kotor dan pemikiran-pemikiran keduniaan dan memesongkan perhatian dari selain Allah sama sekali.

Jadi puasa yang sebenar bukanlah hanya puasa zahir sahaja (iaitu dengan menegah diri dari makan, minum, bersetubuh dan sebagainya perkara-perkara yang membatalkan puasa) tetapi juga berpuasa batin iaitu dengan menegah diri dari maksiat dan dosa. Seorang yang berpuasa di samping menjaga diri dari makan, minum dan sebagainya, ia juga mesti menjaga anggota-anggotanya dari dosa dan maksiat. Jika tidak ia tidak akan mencapai kesempurnaan puasa sebagaimana yang dikehendaki Allah.


Berbeza Qiraat, Berbeza Ganjaran

8.12.2011 0 komentar

Perbezaan bacaan qiraat al Quran mengandungi hikmah serta kelebihannya yang tersendiri. Jika dibedah dan dikaji sampai kiamat sekalipun rahsia-rahsia yang terkandung di dalam kitab agung al Quran tidak akan pernah habis digali. Antara perkara yang dinyatakan oleh para sarjana ilmuan Islam adalah perbezaan bacaan qiraat al Quran akan menghasilkan perbezaan ganjaran pahala yang diperolehi oleh pembaca.

Sebagai contoh adalah perbezaan bacaan qiraat pada ayat keempat dalam surah al Fatihah iaitu pada kalimah :

Imam 'Asim, Imam al Kisaie, Imam Yaakub dan Imam Khalaf al 'Asyir membaca dengan huruf Alif selepas huruf Mim (مالك) manakala para imam qurra' yang lain membaca dengan tanpa huruf Alif selepas huruf Mim (ملك)

Imam Qurtubi menyatakan, sebahagiannya menjadikan alasan melebihkan qiraat (مالك) kerana terdapat padanya satu huruf yang ditambah iaitu huruf Alif. Maka si pembacanya memperolehi ganjaran sepuluh kebaikan berbanding dengan qiraat (ملك). Walaubagaimanapun, ia hanyalah perbandingan pada sudut sebutan lafaz sahaja dan bukannya pada sudut makna kalimah tersebut.

Imam al Razi juga menyatakan sedemikian di dalam Tafsir al Kabir mengenai kalimah (مالك) di dalam surah al Fatihah, "sesungguhnya pada kalimah ini terdapat pertambahan huruf, maka pada bacaannya akan melebihkan ganjaran pahala yang diperolehi".

Hal ini disandarkan kepada sebuah hadis Rasulullah SAW mengenai kelebihan orang yang membaca al Quran :

Maksudnya “Barangsiapa yang membaca satu huruf kitab Allah, maka dia mendapat pahala satu kebaikan sedangkan satu kebaikan dibalas sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu adalah satu huruf, tetapi Alif adalah satu huruf dan Lam satu huruf serta Mim satu huruf.”

Jom, sama-sama perbanyakkan bacaan al Quran di bulan Ramadhan ini. Jika mampu, bacalah dengan bacaan qiraat yang berbeza kerana ganjarannya juga berbeza sebagaimana yang disebut oleh para ulama'

Target bacaan penuh al Quran sepanjang Ramadhan ini :
Qiraat Hafs - selesai
Qiraat Abu Jaafar - menanti
Qiraat Warsy - akan dilaksanakan


Saham Dosa Bertambah Setelah Mati

7.26.2011 0 komentar


Ramai yang beranggapan bahawa setelah kematiannya nanti, dosa-dosanya juga akan terhenti pertambahannya. Meyakini dengan tanggapan dosa-dosanya tidak akan berkembang dan bertambah lagi setelah meninggal dunia. Padahal, selain amal jariyah (mendapat pahala yang terus-menerus), ada juga dosa yang diperolehi secara terus menerus iaitu dosa-dosanya tetap bertambah sekalipun setelah jasad berkubang tanah.

Rasulullah SAW bersabda :

“Barangsiapa yang menyeru orang lain pada kesesatan (tradisi buruk), maka dia akan menanggung dosa sebagaimana dosa yang dilakukan oleh orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa-dosa orang yang mengikutinya.”


Seseorang yang mengarahkan orang lain melakukan perbuatan yang baik, dia akan mendapatkan saham pahala kebaikan, sebagaimana pahala yang dilakukan oleh orang yang mengikutinya sedangkan mereka yang mengarahkan kepada perbuatan buruk, dia akan mendapatkan saham dosa daripada orang yang mengikutinya arahan perbuatannya kerana dia telah memotivasikan dan mengarahkan orang lain untuk melakukan dosa-dosa.

“(Ucapan mereka) menyebabkan mereka memikul dosa-dosanya dengan sepenuh-penuhnya pada hari kiamat, dan sebahagian dosa-dosa orang yang mereka sesatkan yang tidak mengetahui sedikit pun (bahwa mereka disesatkan). Ingatlah, amat buruklah dosa yang mereka pikul itu.” - Surah al Nahl ayat 25

Saham pahala amalan seseorang setelah kematiannya terbahagi kepada beberapa bahagian. Pertama, seseorang yang meninggal dunia, pahala kebaikan dan dosa kejahatannya juga terputus. Dia tidak memperolehi apa-apa kecuali apa yang telah dilakukannya selama kehidupannya di dunia. Kedua, orang yang meninggal dunia tetapi pahala kebaikan serta dosa kejahatannnya terus diperolehinya. Nasib golongan ini di akhirat nanti bergantung kepada timbangan amalan kebaikan dan keburukannya. Sekiranya banyak kebaikan, bahagialah dirinya namun jika banyak kejahatannya, dia tergolong di kalangan orang-orang yang celaka.

Amat beruntung sekiranya selepas menghembuskan nafas terakhir, saham amalan kebaikan terus mengalir ke dalam akaun amalan kita namun alangkah malangnya nasib kita jika keuntungan hasil daripada pelaburan saham kejahatan terus bercambah ke dalam akaun amalan kita.

Imam al-Ghazali menyatakan, 

“Sungguh beruntung orang yang meninggal dunia, maka putuslah dosa-dosanya dan sungguh celaka seseorang yang meninggal dunia tetapi dia meninggalkan dosa yang ganjaran kejahatan terus berjalan tiada hentinya.” Alangkah bahagianya mereka yang memiliki amal jariyah dan alangkah sengsaranya seseorang yang menanam dosa jariyah."