Mesti mahu yang cantik, kalau boleh biar semua mata yang pandang tidak berkelip. Paras rupa juga antara elemen yang penting namun apa yang akan diperolehi jika menilai dengan kecantikan paras rupa semata-mata? Kecantikan yang tidak akan kekal selamanya. Biar rupa sederhana asalkan akhlak dan pekerti mulia kerana itu lebih utama. Rupa sahaja cantik tetapi akhlak buruk pasti akan dilihat hodoh juga.
Jika wanita dinilai dengan rupa paras menarik, ada harta, pandai memasak dan sebagainya, apa yang dinilai pada seorang lelaki? Rupa paras, harta atau keturunan?
Kebanyakkan lelaki meletakkan kebolehan wanita di dapur sebagai antara perkara yang utama. Masak mesti handal. Tidak cukup jika handal memasak untuk keluarga sendiri sahaja, kalau boleh perlu handal memasak untuk tiga buah kampung.
beginikah cara memasak untuk 3 buah kampung? |
Orang kata lelaki terlalu memilih. Mungkin ada betulnya. Wanita juga berhak memilih. Letakkan syarat kepada lelaki supaya boleh menjadi imam sebelum bergelar suami anda. Kalau boleh mesti mampu jadi imam untuk makmum dari tiga buah kampung atau dua kawasan perumahan. Tambah sikit lagi, kalau boleh siap dengan bagi khutbah jumaat. Berapa ramai yang berani? Pasti ramai yang beralasan sebab takut bacaan al-Fatihah tidak sempurna, hukum tajwid entah ke mana dan asas-asas hukum fiqh Islam tak pernah diambil cakna. Ada juga yang merasa kelakar apabila dirinya yang rugged dan rock menjadi imam. Tidak ada yang kelakar kerana tanggungjawab sang lelaki memimpin keluarganya. Bagaimana hendak meminpin jika diri serba tak kena?
Jika wanita yang tidak tahu memasak disuruh belajar. Jadi apa masalahnya jika lelaki yang tidak boleh menjadi imam dipaksa belajar juga asas-asas penting agama kerana perkara tersebut adalah lebih utama daripada memasak.
Pokoknya, usah cerewet kerana terlalu mencari yang sempurna dengan nilaian kecantikan luaran sahaja tetapi lihatlah pada sudut iman, taqwa dan akhlak kerana perkara ini yang dinilai di sisi Pencipta. Kecantikan juga perlu kerana ia adalah sebagai penyejuk mata dan penenang jiwa namun ia bukan yang utama. Rasulullah SAW telah menyarankan supaya memilih kerana agamanya. Hikmah yang cukup besar terkandung disebaliknya. Tidak perlu mengejar dalam mencari yang paling sempurna untuk diri kita tetapi yang paling utama adalah berusaha untuk menjadikan diri kita sebagai seorang yang sempurna pada setiap sudut dan semua perkara.