Sangkaan pada awalnya cuma sekadar gurauan biasa daripadanya tetapi akhirnya jangkaaan meleset. Apa yang diperkatakan dan diakui sendiri oleh seorang lelaki mengenai perkara benar-benar terjadi dan menimpa dirinya sendiri. Mengaku berzina dan melanggan pelacur! Alasannya tidak mampu untuk berkahwin kerana untuk berkahwin memerlukan kos yang terlalu tinggi. Tanpa berfikir panjang mengenai dosa, halal dan haram, jalan singkat terus diambil dengan berzina dan melanggan pelacur akibat gagal membendung gelojak nafsu yang menggila tanpa kawalan. Mohon perlindungan daripada Allah daripada perbuatan keji ini.
Lelaki biasa, pekerja di sebuah kedai minuman, memiliki pendapatan harian yang sederhana. Cukup-cukup makan. Berkeinginan dan mahu berkahwin tetapi tidak berkemampuan menampung kos perbelanjaan perkahwinan yang tinggi. Memerlukan kos sebanyak 50000, sebuah kereta dan sebuah rumah yang lengkap dengan perabot dalaman. Dirinya tidak mampu menahan gelojak nafsu yang menggila akhirnya melepaskan keinginan pada jalan yang salah dan haram. Berzina dan melanggan pelacur. Katanya kos lebih murah dan mudah.
Gila! Cari nahas!
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu jalan yang keji dan perbuatan yang buruk" - al Isra' : 32
Nasihat kepadanya supaya meninggalkan perbuatan keji itu dengan serta merta dan segera bertaubat. Saranan juga supaya berpuasa sebagaimana Nabi SAW yang menyuruh sesiapa yang tidak mampu berkahwin untuk berpuasa agar dapat menjadi perisai dan mengendurkan nafsu syahwat.
Janganlah melampau dalam meletakkan mahar dan kos-kos lain dalam perkahwinan kerana akan menyusahkan dan membebankan. Ini adalah sebahagian kesan daripada proses perkahwinan yang menyusahkan dan membebankan, akhirnya menjerat ke kancah kemaksiatan. Ramai yang menyangka mahar yang tinggi melambangkan kemuliaan keluarga dan keagungan wanita seolah-olah nilai harga bagi seorang wanita. Dalam kata lain, seperti menjual anak. Mereka tidak memikirkan kesan negatif disebalik tindakan tersebut, kemudaratan akan menimpa kaum lelaki, wanita dan seluruh lapisan masyarakat.
Ini adalah faktor yang menghalang sesebuah perkahwinan dan mendorong melibatkan diri ke kancah kemaksiatan, berzina dan segala macam perkara keji. Kebaikan bertukar menjadi kemaksiatan dan ketenangan bertukar menjadi kesukaran. Sabda Rasulullah SAW :
"Sebaik-baik perkahwinan adalah yang paling mudah"
"Sesungguhnya perkahwinan yang paling besar keberkatannya ialah yang paling mudah mas kahwinnya"
p/s : permudahkan dan jangan menyusahkan.