Saya berpandangan hal ini berpunca daripada doktrin-doktrin minda yang amat kotor telah menyerang fikiran umat kita. Doktrin kotor yang mengajar bahawa kepuasan nafsu mesti diutamakan, materialisme, sekularisme dan pergaulan bebas yang disalurkan melalui lagu-lagu jiwang, drama-drama melayu yang 'tidak sah' jika tiada percintaan, para pelakon yang memdedahkan aurat dan pergaulan bebas. Semua ini meracuni pemikiran umat dan menjadi 'guru secara tidak formal' mengajar umat bahawa pendedahan aurat adalah fesyen terkini serta pergaulan bebas adalah budaya masyarakat maju. Tidak hairan jika kanak-kanak seawal usia tujuh tahun sudah mengerti soal cinta kepada pasangan berlainan jantina, berpakaian ala-ala artis dan lagak serta gaya seperti seorang samseng.
Doktrin kotor ini juga menyebabkan kajian ilmiah, sejarah Islam, isu-isu umat Islam dan lain-lain tidak ramai yang ambil peduli. Jika ditanyakan kejayaan dan sumbangan orang barat dalam mencipta sejarah dan peradaban, pasti boleh mereka nyatakan satu persatu. Bermula daripada kejayaan the Wright’s Brother dalam penciptaan kapal terbang, Thomas Edison dalam mencipta lampu mentol, Alexander Graham Bell dalam mencipta telefon, dan kejayaan Albert Einstein mencipta formula E=mc2. Tidak semua tahu sejarah hidup Rasulullah SAW daripada lahir sehingga kewafatan baginda, tetapi mereka tahu sejarah penuh Adolf Hitler. Tak ramai juga yang tahu sejarah pembunuhan Saidina Umar, Uthman dan Ali, tetapi mereka tahu sejarah penuh pembunuhan John F Kennedy, Princess Diana dan juga skandal-skandal artis lain.
Mungkin kita sibuk, sibuk dengan aktiviti dunia yang tidak kunjung habis. Peminat bola sepak, sibuk dengan World Cup. Peminat gosip sibuk dengan isu artis-artis. Peminat shopping sibuk dengan produk-produk terkini. Peminat wanita, sibuk dengan aktiviti cuci mata. Ini juga doktrin kotor yang meracuni pemikiran kita. Siapa yang peduli masalah umat Islam? Siapa yang mendengar rintihan dari Gaza? Siapa yang bangkit menentang lesen 'judi halal'?
Bebaskan minda daripada diracuni doktrin kotor yang menjadi punca kepada perkara keji yang berleluasa. Kita seharusnya tahu kejayaan Islam dalam membina tamadun yang paling unggul, cukup harmonis dan sesuai dengan setiap jiwa manusia. Islam yang mempelopori sudut ilmiah, teknologi, ekonomi, pemerintahan, ketenteraan dan Islam menghapuskan pengabdian manusia sesama manusia kepada pengabdian yang Maha Esa. Islam adalah solusi keseluruhannya.
Bimbang, risau dan berfikir panjang. Jika kita punya zuriat pada masa akan datang, adakah punya tempat dan suasana yang menjamin mereka terselamat daripada doktrin-doktrin minda yang kotor ini kerana doktrin kotor ini berada di mana-mana.