Sekufu - Persamaan diantara kedua pasangan suami dan isteri. Kesamaan taraf pada sudut agama yang baik, kedudukan, harta, keturunan, taraf pekerjaan, pendidikan dan lain-lain.
Firman Allah SWT
"Adakah orang yang beriman sama dengan orang fasik? Mereka tidaklah sama." Surah al Sajdah : 18
Memilih pasangan hidup adalah pemilihan dalam menentukan belahan jiwa seseorang sepanjang hayat sehingga bertemu di syurga, insya'allah. Amat penting seseorang untuk memilih lelaki/wanita yang sekufu dalam menjalani proses pentarbiyahan kerana melalui tarbiyyah akan membentuk fikrah(kefahaman) Islam yang sebenar. Apabila fikrah Islam terbentuk dalam jiwa, nilaian sekufu akan hadir berdasarkan kefahaman Islam yang diterapkan dalam diri kedua-dua lelaki dan wanita. Jika wujud perbezaan dan perselisihan, maka terbukalah ruang-ruang bahaya dan risiko terutamanya apabila wujud percanggahan pada sudut prinsip, pertentangan idea, gerak kerja dan citarasa kerana kedua-duanya menilai sesuatu berdasarkan neraca yang berlainan menggunakan kefahaman yang tidak sama.
Persamaan dalam pentarbiyahan dan sekufu dalam fikrah Islam adalah sangat penting kerana kita hidup bukan untuk hidup biasa-biasa tetapi hidup kerana Allah SWT dan RasulNya. Kita hidup untuk bekerja membawa dan menyebarkan risalahNya, hidup untuk memperjuangkan agamaNya, cita-cita hidup untuk syahid dijalanNya. Kita bukan hidup untuk makan, tidur, bersosial dan mengerjakan rutin harian sahaja. Hidup kita membawa misi dan visi yang besar, menanggung serta memikul tanggung jawab melaksanakan amanah yang berat. Oleh sebab demikian, kita memerlukan gandingan hidup, belahan jiwa, pasangan cinta, pendokong dan penyokong setia yang selari dengan fikrah dan kefahaman kita. Kefahaman adalah produk yang dihasilkan daripada sistem tarbiyyah yang sama. Inilah yang dimaksudkan sekufu pada sudut tarbiyyah dan fikrah. Kefahaman dan keserasian pada sudut fikrah tidak akan terhasil sekiranya wujud perbezaan yang ketara pada sistem tarbiyyah sekalipun dia adalah orang yang paling kita kenal, orang yang selalu bersamanya, orang yang sangat dicintai dan disayangi kerana nilaian duniawi tidak akan dapat menjamin keserasian dan kefahaman dalam melayarkan kehidupan dakwah yang menggalas misi yang besar ini.
Memilih pasangan yang sekufu pada sudut tarbiyyah dan fikrah adalah satu keutamaan kerana ia bakal menentukan kebahagiaan dan kelangsungan hidup yang bukan sehari dua, atau sebulan dua, atau setahun dua, atau sepuluh tahun atau dua puluh tahun tetapi untuk selama-lamanya sehingga bertemu di taman-taman syurga. Insya'Allah. Memilih pasangan yang tidak sekufu pada situasi ini sebenarnya mempertaruh kehidupan berumahtangga kepada risiko keruntuhan sesebuah institusi kekeluargaan samada cepat atau lambat. Paling tidak, kehambaran dan kepedihan hidup bersama dalam duka kerana terpaksa bersama sekalipun cinta di hati telah tiada gara-gara memilih pasangan yang tidak sekufu dalam tarbiyyah dan fikrah.
"Beza sikit saja, nanti boleh disamakan". Jangan sesekali mempertaruhkan masa depan hidup kita. Mengapa mesti memilih risiko dan bahaya kepada diri dan gerakan dakwah? Sedangkan pilihan cukup banyak dan peluang yang terbuka luas untuk memilih yang sekufu dalam tarbiyyah dan fikrah. Ini adalah persoalan yang utama. Berjaya atau tidak menyamakan perbezaan atau menutup jurang perbezaan adalah persoalan kedua. Mengapa memilih jalan jika kita sudah tahu jalan itu bahaya? "Beza sikit saja, nanti boleh disamakan" hanya pemanis di bibir yang sangat pahit untuk ditelan secara realiti kehidupan kerana perbezaan yang wujud bukan perbezaan luaran sebaliknya perbezaan prinsip dan dalaman. Boleh jadi semakin kita cuba menutup jurang perbezaan, percanggahan yang wujud semakin jelas dan ketara. Kitalah yang menanggung kerugian atas pelaburan yang berisiko "beza sikit saja, nanti boleh disamakan" kerana kerugian wang boleh dicari tetapi kerugian nikmat hidup dan usia tidak akan berulang kembali.
"Beza sikit saja, nanti saya ubah dia" juga sekadar pemanis bicara yang tidak menjaminkan apa-apa kecuali risiko bahaya yang besar. "Saya ubah dia" hanya tinggal kenangan pahit. Apa yang terjadi adalah "dia ubah saya". Jika dulu berbangga dengan "beza sikit saja, nanti saya ubah dia", sekarang siapa yang mengubah dan siapa yang telah berubah? "Beza sikit" yang sekecil mana pun kita cuba elakkan kerana mengundang pelbagai risiko bahaya, apatah lagi kalau wujud "beza besar".
Mudahnya, pilihlah yang sekufu pada sudut tarbiyyah dan fikrah untuk dijadikan pasangan hidup mati, belahan jiwa rasa kasih sayang dan cinta serta sama-sama mendokong tugas dakwah. Jadikan faktor ini sebagai salah satu faktor yang penting dan utama, bukan faktor kecantikan fizikal paras rupa, kekayaan harta, keturunan yang mulia, pendidikan yang berjaya dan sebagainya. Allah SWT adalah penentu samada bahagia atau sengsara bukan faktor fizikal, harta, keturunan, pendidikan dan kerjaya. Pilihlah pasangan yang memiliki fikrah kefahaman Islam yang sebenar. Nescaya kita pasti beruntung.
Rasulullah bersabda:p/s : Sesuatu pandangan boleh diterima dan ditolak. Terpulang bagaimana anda menilai pandangan tersebut.
"Sesungguhnya perempuan dikahwini kerana empat perkara : harta, kecantikan, keturunan dan agamanya. Pilihlah yang beragama, kamu memerlukannya."