Entri ini pernah di'post'kan suatu masa dahulu, kini di tambah dengan sedikit pengisian. Link
Berapa lama tempoh masa yang mampu anda habiskan 30 juzu' al Quran?
Kurniaan rahmat dan nikmat Allah SWT kepada hamba-hanbaNya tidak terhitung banyaknya. Antara nikmat yang terbesar adalah diberi peluang oleh Allah SWT menghafal kalamNya yang Maha Agung. Allah SWT memudahkan kepada umat manusia untuk menerima intipati serta pengajaran daripada al Quran yang dijelaskan melalui maksud firmannya :
"Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan al Quran untuk orang mengambil pelajaran, maka adakah orang yang mahu mengambil pelajaran?" - surah al Qamar :17
Apabila diteliti, bukan semua kalangan kita diberi peluang serta mampu menghafal keseluruhan al Quran kerana Allah SWT memilih dikalangan hambaNya demi menjaga dan mewarisi kitab yang dijamin akan terjaga sehingga hari kiamat. Maksud firman Allah SWT:
"Kemudian Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu diantara mereka ada yang menganiaya diri mereka sendiri dan ada yang pertengahan dan ada diantara mereka (pula) yang lebih dahulu berbuat kebaikan (yang dimaksudkan dengan 'orang yang menganiaya diri sendiri' adalah orang yang lebih banyak kesalahan daripada kebaikannya dan 'pertengahan' adalah orang yang kebaikannya berbanding kesalahannya dan yang dimaksudkan dengan 'orang yang lebih dahulu melakukan kebaikan' orang yang kebaikannya amat banyak dan amat jarang melakukan kesalahan) dengan izin Allah. Demikian itu adalah kurnia yang amat besar." - surah Faatir : 32
Rasulullah SAW menjelaskan melalui sabda baginda yang bermaksud:
"Sebaik-baik kamu mereka adalah yang belajar al Quran dan mengajarkannya"
Mungkin ada yang akan bertanya, bagaimana kita mahu mengetahui bahawa kita adalah golongan yang dipilih oleh Allah? Jawapannya mudah, hafal dahulu al Quran dan belajar segala ilmu yang berkaitan dengannya. Setelah berjaya, baru kita tahu kita tergolong dikalangan orang-orang yang dipilih oleh Allah SWT. Belajar dan menghafal dahulu baru kita tahu. Semoga bermanfaat.