Mengadakan kenduri kahwin atau walimatulurus adalah sunat muakkad menurut pandangan kebanyakan para ulama' dan ada juga sebahagian para ulama' yang mewajibkan untuk mengadakannya.
Dunia sekarang, bermacam-macam masalah yang timbul jelas bertentangan dengan prinsip yang digariskan oleh Islam dalam mengadakan kenduri kahwin. Di mana-mana saja kita boleh lihat pembaziran dan pemborosan, pendedahan aurat, pergaulan bebas antara lelaki dan wanita serta hiburan yang melanggar batas syariat Islam. Persoalannya, adakah wajib atau haram untuk kita menghadirinya?
Asalnya, pihak yang diundang ke majlis walimah wajib menghadirinya jika yang menjemputnya adalah seorang muslim. Jika tidak ada sebarang halangan untuk hadir dan tidak terdapat padanya sebarang kemungkaran, maka wajib baginya untuk hadir.
Maksud sabda Rasulullah s.a.w :
"Jika salah seorang antara kamu diundang, hendaklah dia menghadirinya. Jika dia berpuasa hendaklah dia mendoakannya dan jika dia tidak berpuasa hendaklah dia makan makanannya." - riwayat Imam Muslim
"Sesiapa yang tidak menghadiri undangan bermakna dia telah bermaksiat kepada Allah dan RasulNya s.a.w." - riwayat Imam Bukhari dan Muslim
Jika terdapat padanya keuzuran kerana sakit atau sebagainya, maka tidaklah berdosa jika tidak menghadirinya.
Kewajipan menghadiri undangan walimah atau kenduri kahwin akan gugur sekiranya terdapat beberapa halangan seperti :
1. Jika majlis kenduri hanya untuk orang kaya sahaja
2. Majlis mempamerkan atau mendedahkan gambar bernyawa
3. Percampuran dan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita bukan mahram
4. Menggunakan set hidangan daripada emas dan perak
5. Diselitkan dengan hiburan yang melanggar batas syariat
Haram hukumnya jika mengadakan walimah hanya dikhususkan untuk golongan yang kaya sahaja dan haram untuk menghadiri walimah tersebut.
Maksud sabda Rasulullah s.a.w : "Seburuk-buruk hidangan adalah hidangan walimah yang hanya orang kaya saja yang diundang sedang orang-orang miskin diacuhkan. Barangsiapa tidak menghadiri undangan bererti ia telah menderhakai Allah dan RasulNya."