Pimpinan Kita Penipu

8.24.2010
Pimpinan kita penipu! Inilah yang dapat disimpulkan dengan mudah. Mereka adalah penipu besar, hidup dalam penuh kepura-puraan dan bersikap dengan 'talam dua muka'. Saya akan bongkarkan beberapa penipuan yang telah dilakukan oleh pimpinan pelajar di sini satu demi satu.

Penipuan pertama adalah berkait dengan hal kewangan. Kita semua tahu bahawa hal yang berkait dengan kewangan adalah agak sensitif. Pimpinan kita sering berbohong dan menipu pada saat ditanyakan hal berkaitan dengan kewangan mereka, dengan tenang menjawab "Alhamdulillah, kewangan saya masih stabil. Rezeki Allah ada di mana-mana". Itu yang mereka nyatakan. Sedarlah, kita sebenarnya ditipu oleh mereka. Hidup seharian mereka dengan kesempitan kewangan, mereka bertugas memimpin dan menyelesaikan urusan kita tanpa meminta walau satu sen gaji daripada kita. Ke sana ke mari menggunakan wang saku sendiri, urusan di sana sini mendahulukan duit poket sendiri, jika ada peruntukan boleh di'claim' kembali dan jika tiada dihalalkan sahaja. Kita tahu pimpinan kita bukan daripada kalangan kaya raya dan golongan yang hidup mewah, malahan ada yang latar belakang keluarga mereka lebih susah daripada kita, hanya cukup-cukup makan. Mereka terus menipu dengan mengaku mereka punya wang yang cukup, padahal kewangan mereka cukup menyesakkan. Pimpinan kita penipu!.

Penipuan kedua adalah berkenaan soal perasaan dan jiwa. Jika ditanya, adakah mereka gembira dan tenang dengan kehidupan seharian mereka sebagai pimpinan? Jawapan mereka dengan senyuman tenang tanpa sedikit pun menunjukkan rasa gusar di hati mereka. Pada hakikatnya, perasaan mereka sangat sedih, gundah dan tidak tenang dengan banyak urusan yang perlu diselesaikan dan pelbagai masalah yang perlu difikirkan. Itu belum bicara soal pelajaran mereka kerana mereka juga penuntut seperti kita, mengorbankan sebahagian masa demi tugas yang dipundakkan ke bahu mereka. Mereka menipu jika terus menyatakan mereka gembira, tenang dan senang. Pimpinan kita penipu!.

Penipuan ketiga adalah berkait dengan tugasan dan kerja mereka. Kita bertanya, bolehkan sama-sama membantu dalam menyiapkan kerja dan tugasan? Mereka menjawab dengan mudah iaitu 'terima kasih kerana mahu membantu'. Sebenarnya mereka punya banyak tugasan dan kerja yang perlu diselesaikan. Mereka menipu jika mengatakan tiada kerja dan tugas yang perlu dilaksanakan sedang pada masa yang sama pelajaran dan tugas mereka perlu diseiringkan. Mereka cuma bimbang dan takut akan dipersoal oleh Allah jika amanah yang mereka tanggung dilaksanakan oleh orang lain. Oleh sebab itu mereka dengan tenang menjawab 'terima kasih kerana mahu membantu'. Mereka menipu jika mengatakan tiada kerja dan tugas yang perlu dibuat. Pimpinan kita Penipu!

Kita tahu dan kita kenal siapa pimpinan kita, mereka adalah PENIPU dan PEMBOHONG demi kita. Demi amanah terhadap tugasan dan demi menjaga kebajikan setiap ahlinya.
Comments
0 Comments

0 komentar:

Post a Comment

Apa komen anda