Lailatul Qadr Yang Dipandang Sepi

9.07.2010
Maksud firman Allah dalam Surah al-Qadr : "Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkan al-Quran pada malam al-qadr (lailatul qadr), dan tahukah kamu apakah lailatul qadr itu? Lailatul qadr lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar."

Lailatul qadr merupakan peluang terbaik kita, jangan sia-siakan peluang keemasan ini. Akan tetapi, mengapakah masih ramai di antara kita yang masih memandang ringan kepada lailatul qadr? Mungkin antara puncanya adalah :

1. Mengidap penyakit lemah iman, sangat kurang jelas dan tidak yakin tentang kebesaran dan kemuliaan serta ganjaran pahala pada malam al-qadr, sebaliknya lebih mengagungkan perkara-perkara materialistik yang boleh didapati dengan segera di dunia ini.

2. Selalu menuruti kehendak hawa nafsu sehingga tidak berhajat menumpukan kepada ibadat pada malam-malam sepuluh akhir Ramadhan, kerana nafsu ingin berehat, mahu menonton TV, mahu berbual-bual kosong, melayari internet, mahu bersama-sama bantal, tilam dan kain selimut. Ada pula yang sibuk membeli-belah untuk persiapan raya sampai terlupa ganjaran yang disediakan oleh Allah pada malam al-qadr.

3. Penyakit panjang angan-angan. Terus mencipta angan-angan untuk hidup seratus tahun lagi yang menyebabkan mereka membiarkan malam-malam terakhir Ramadhan berlalu begitu sahaja dengan sia-sia tanpa diisi dengan amal ibadat kepada Allah.

"…(iaitu) ada pada bulan Ramadhan.  Kerana itu, hendaklah kamu mencarinya pada sepuluh hari terakhir.  Kerana ia terdapat pada hari-hari ganjil, iaitu pada malam 21, atau malam 23, atau  malam 25, atau malam 27, atau malam 29, atau malam terakhir."

Usah sia-siakan peluang yang masih berbaki, Ramadhan akan datang belum pasti kita berpeluang.
Comments
0 Comments

0 komentar:

Post a Comment

Apa komen anda