Mengapa Penemuan Sains Berlaku Di kalangan Bukan Muslim?

9.17.2010

Al Quran dan hadith-hadith Rasulullah SAW banyak menyatakan berkenaan tentang sains dan teknologi yang hanya dapat dicapai oleh manusia setelah berpuluh-puluh abad lamanya dinyatakan oleh Rasulullah melalui al Quran al karim dan sabda baginda yang mulia. Sains dan teknologi dijelaskan secara implisit di dalam al Quran dan hadith Rasulullah iaitu secara tersirat melalui berbagai penjelasan berkenaan aqidah dan lain-lain. Oleh sebab demikian, penjelasan al Quran dan hadith sentiasa selari dan seiring dengan perkembangan zaman dan keadaan serta selama-lamanya tidak akan pernah wujud percanggahan antara al Quran dan hadith dengan logikal pemikiran manusia.

Satu persoalan yang mungkin terbit daripada lubuk hati kita berkenaan tentang banyak penemuan dan perkembangan sains dan teknologi dewasa ini yang banyak dilakukan oleh golongan bukan Islam terutamanya pihak dunia barat. Mengapa terjadi sedemikian? Sudah pasti ada hikmahnya mengapa Allah SWT menentukan realiti sedemikian. Antaranya adalah, seandainya penemuan-penemuan dan pekembangan sains dan teknologi sentiasa dilakukan oleh golongan muslim, maka sudah tentu keistimewaan kebenaran yang wujud pada al Quran dan hadith-hadith tidak diperhatikan dan diteliti oleh golongan bukan Islam. Jika golongan muslim yang sentiasa melakukan penemuan terkini, mungkin sahaja ada yang beranggapan bahawa hasil penemuan seorang muslim pastinya akan membenarkan isi kandungan al Quran dan hadith. Namun, sekiranya penemuan dilakukan oleh golongan bukan muslim yang ternyata penemuan tersebut membenarkan dan selari dengan apa yang terkandung di dalam al Quran dan hadith, sudah pasti akan lebih menguatkan kebenaran isi al Quran dan hadith yang sememangnya benar dan sahih. Tidak hairanlah jika ramai dikalangan saintis barat yang mendekati dan memilih Islam sebagai cara hidup hasil daripada kajian dan penemuan yang mereka lakukan tepat sepertimana yang dinyatakan oleh al Quran dan Hadith.

Beberapa contoh mudah disebutkan di sini :

Berpuluh-puluh abad sebelum ahli biologi menemuikan rahsia proses penciptaan manusia di dalam rahim ibu, al-Quran sudah jelas menyatakan :

"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia itu daripada suatu saripati (berasal) daripada tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) di dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk (berbentuk) lain. Maha Suci Allah Pencipta Yang Paling Baik. Surah al-mu'minun : 12-14

Puluhan abad sebelum wujudnya teknologi televisyen dan monitor, Al-Qur’an sudah mengenalkan tentang adanya paparan skrin dan televisyen, sebagaimana disebutkan di dalam kisah Ratu Balqis bersama Nabi Sulaiman :

"Dikatakan kepadanya : 'masuklah ke dalam istana'. Maka tatkala dia melihat lantai istana itu, dikiranya kolam air yang besar, dan disingkapkannya kedua betisnya. Berkatalah Sulaiman: “Sesungguhnya ia adalah istana licin yang menggilap terbuat daripada kaca.” al-Naml : 44

Ratu Balqis merasakan sebagai sebuah kolam air yang besar kerana memang dilihat sedemikian. Sebenarnya ia adalah kaca dan pada masa kini ia dikenali sebagai teknologi paparan skrin TV atau televisyen.

“Kemudian aku didatangi binatang yang disebut Buroq, yang lebih tinggi daripada keldai namun lebih pendek dari baghal, yang setiap langkah kakinya adalah sejauh batas pandangan mata. Aku dibawa di atasnya, kemudian kami pergi hingga kami mendatangi langit dunia.”
( HR. Ahmad, Al-Bukhari, Muslim dan lain-lain )

Hadith ini mengisyaratkan akan wujudnya teknologi kenderaan yang memiliki kelajuan dan kepantasan yang 'super' sehingga mengatasi kelajuan bunyi, baik kendaraan di darat mahupun udara seperti pesawat supersonic, pesawat challenger dan lain-lainnya.

Maha Suci Allah Yang Maha Agung
Comments
1 Comments

1 komentar:

  • Unknown

    emm baru nampak kisah Ratu Balqis tu ttg kolam air...rupanya kaca pada zmn skrg...=)

    [Klik Untuk Balas Komen Ini]
  • Post a Comment

    Apa komen anda