Juha Mencari Cincin
Pada suatu hari, Juha telah kehilangan cincinnya di dalam rumah, oleh sebab di dalam rumahnya gelap, dia telah membuat keputusan untuk mencari cincin itu di luar rumah. Semasa sedang asyik beliau mencari cincin tersebut, seorang jiran yang melihat gelagat Juha mencari sesuatu pun bertanya kepada beliau :
Jiran : Apa yang engkau cari wahai Juha?
Juha : Cincinku.
Jiran : Cincin milik kamu hilang di mana?
Juha dengan tenang menjawab : Hilang di dalam rumah.
Jirannya pelik, lalu bertanya kepada Juha : Kalau cincin kamu hilang di dalam rumah, mengapa kamu mencarinya di luar rumah?
Juha dengan tenang menjawab : Di Dalam rumah tu gelap, harap-harap cincin tu keluar...
Wasiat Juha
Juha pernah mewasiatkan kepada ahli keluarganya supaya mereka mengkebumikan beliau pada hari kematiannya nanti di sebuah perkuburan lama. Ahli keluarganya kehairanan lalu bertanyakan sebab atau hikmah di sebalik wasiatnya. Juha menjawab : "Apabila datang dua Malaikat Munkar dan Nakir untuk menyoalku nanti, aku akan katakan kepada mereka bahawa aku telah lama meninggal dan aku telah pun disoal oleh mereka sebelum ini. Apabila mereka melihat perkuburan lama itu, mereka akan percaya pada kata-kataku lalu meninggalkan aku. Oleh sebab itu, aku boleh terlepas dari soalan-soalan mereka dengan cara yang mudah .
Pulangkan Selipar Aku!
Pada suatu hari Juha telah melintasi sebatang sungai, lalu berwudu' di tebingnya dengan menanggalkan selipar yang dipakainya, setelah selesai daripada berwudu', salah satu daripada seliparnya terjatuh ke dalam sungai, lantas dibawa oleh arus sungai yang deras. Beliau lantas segera menoleh ke belakang lalu kembali berpaling ke arah sungai, seraya menengking dengan nada yang tinggi: "Ambillah kembali air wudu'mu ini dan Pulangkanlah kembali selipar milik aku."