Solat Terus, Maksiat Jalan

11.23.2010

Setiap kewajipan yang kita galas dan setiap peristiwa yang kita alami pasti ada nilainya tersendiri yang membawa erti dalam kehidupan kita. Benar bukan? Mungkin juga kita selalu menyebut, “setiap peristiwa dan kejadian ada hikmahnya.” Memang benar, sama ada hikmah itu kita fahami kemudian atau tidak kita fahami dan hanya Allah SWT yang tahu.

Baik kewajipan solat, zakat, haji, puasa, berbuat baik kepada ibu bapa, menuntut ilmu, berdakwah ataupun peristiwa-peristiwa seperti kematian, perkahwinan, pembunuhan, penindasan, penipuan dan sebagainya mempunyai nilainya tersendiri yang boleh kita ambil pengajaran. Benar bukan?

Namun, apabila perkara-perkara sebegini hanya dijadikan kebiasaan bagi kita, ia menjadi ancaman yang kelak lebih mengeraskan hati kita. Kemudiannya kita seolah-olah menjadi sudah terbiasa dan sedikit pun tidak terasa apa-apa. Solat yang menjadi ibadat wajib yang kita lakukan paling kurang 5 kali sehari hanya menjadi adat dan maksiat masih tetap berlanjutan. Mudahnya 'Solat Terus, Maksiat Jalan'. Puasa tidak lagi pengekang nafsu bahkan semakin rakus dan semakin enak menjamu nafsu yang tidak pernah kenyang-kenyang. Zakat tidak lagi membersihkan harta sebaliknya dirasakan hanya menambahkan beban. Haji tidak lagi menjadi titik tolak kepada perubahan, bukan sebagai wasilah penyucian dosa dan kembali kepada fitrah. Menuntut ilmu tiada kesungguhan, hanya mendambakan sekeping kertas tidak bernilai yang diberi nama sijil ijazah serta kerja dakwah tidak lagi produktif dan bergerak statik.

Peristiwa dan perbuatan yang seharusnya memberi impak pada jiwa juga sudah menjadi bualan biasa sekadar mengisi masa terluang. Kematian tidak mengingatkan kita kepada mati dan hari pembalasan, perkahwinan tidak dilihat sebagai proses menyempurnakan iman, pembunuhan hanya dijadikan bahan-bahan bacaan di dada-dada akhbar, penindasan dilihat sebagai bukan masalah, gejala sosial dilihat sebagai petanda mencapai kemajuan, penipuan menjadi agenda dalam urusan dan sebagainya.

Ini tidak bermakna kita harus mengelakkan kebiasaan ini, kerana solat tetap wajib dijalankan paling kurang lima kali sehari, puasa tetap wajib dilaksanakan sebulan dan setiap tahun, zakat tetap wajib dikeluarkan dan begitu juga dengan ibadat-ibadat yang lain.

Masalahnya bukan di situ, tapi pada bagaimana kita menjadikan kebiasaan yang dilakukn ini sebagai sesuatu yang luar biasa dan mampu mendidik kita setiap kali kita melakukannya. Itu lebih memberi kesan.

Jadi, jangan samakan kewajipan ibadat dengan adat, jika tidak kita akan menjadi statik dan tidak produktif. Seorang mukmin, hari ini pasti lebih baik daripada semalam.
Comments
0 Comments

0 komentar:

Post a Comment

Apa komen anda