Jangan Harapkan Penjaga Gol

12.28.2009

Sebuah pasukan bola sepak yang handal dan kuat perlu memiliki seorang penjaga gawang gol yang benar-benar tangkas dan cekap bagi memastikan gawang mereka sukar ditembusi oleh serangan daripada mana-mana pihak lawan. Adakah cukup sekadar memiliki seorang penjaga gawang gol yang hebat sahaja? Sudah tentu tidak.

Serangan yang diatur jentera pihak lawan tidak mampu ditangkis dan dipatahkan oleh seorang penjaga gol tanpa bantuan daripada para pemain di bahagian lain. Setiap serangan yang teratur dan padu serta tidak dikawal pasti akan dapat menembusi gawang gol walaupun penjaga gawang tersebut merupakan penjaga gol Nombor Satu Dunia.

Bantuan daripada pemain bahagian pertahanan amat diperlukan bagi mengawal, menangkis dan mengkucar-kacir setiap serangan yang dilakukan oleh pihak lawan. Kerjasama dan persefahaman baik yang wujud antara penjaga gol dengan pemain di bahagian pertahanan akan menyebabkan gawang gol sukar ditembusi dan akan mewujudkan sebuah pertahanan yang benar-benar kebal. Secara purata, kebanyakan gol yang berjaya dihasilkan adalah berpunca daripada kesilapan yang dilakukan oleh pemain di bahagian pertahanan yang cuai atau gagal mengawal pemain penyerang pihak lawan.

Tidak memadai dengan hanya mengharapkan penjaga gol dan bahagian pertahanan sahaja kerana pemain di bahagian tengah juga punya peranannya tersendiri. Setiap serangan yang dipatahkan oleh pemain di bahagian pertahanan atau ditangkis oleh penjaga gol akan terus dihantar kepada pemain bahagian tengah bagi menyusun serangan balas terhadap pihak lawan. Pemain bahagian tengah juga amat berperanan bagi mengawal rentak permainan agar peratusan kawalan bola tidak dimonopoli oleh pihak lawan. Bahagian pertahanan(termasuk penjaga gol) pasti mengalami tekanan jika serangan yang tidak bertali arus dilancarkan oleh pihak lawan apabila gerakan bola dimonopoli pihak mereka.

Pemain penyerang perlu bijak mengatur permainan dan melancarkan serangan bagi membolosi pertahanan pihak lawan seterusnya menyempurnakan segala peluang yang diperolehi bagi mencapai matlamat yang dikejar(gol). Kapten pasukan yang memikul tanggungjawab mengetuai sesebuah pasukan perlu bijak dan kreatif dalam melaksanakan segala strategi yang dirancang bersama para pemain yang lain manakala jurulatih pula bertindak seperti seorang murabbi dalam memberikan pendidikan(tarbiyyah) dan latihan yang sempurna kepada semua pemain sebelum perlawanan agar setiap pemain berada pada tahap yang terbaik.

Kata kuncinya adalah kerjasama dan tolong menolong. Firman Allah s.w.t : "Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebaikan dan takwa dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan" - Al Maidah ayat 2. Jangan hanya mengharapkan kekebalan dan ketangkasan seorang penjaga gol sahaja menangkis serangan pihak lawan tetapi semua pihak perlu bekerja dengan bersungguh-sungguh pada posisi masing-masing bagi mewujudkan sebuah pasukan atau kumpulan yang benar-benar kuat dan hebat.
Comments
2 Comments

2 komentar:

  • 日月神教-任我行
    This comment has been removed by a blog administrator.
    [Klik Untuk Balas Komen Ini]
  • 揚州炒飯Penny
    This comment has been removed by a blog administrator.
    [Klik Untuk Balas Komen Ini]
  • Post a Comment

    Apa komen anda