Hanya Zina & Khalwat Maksiat
12.31.2009 catatan Pena Daie pada Thursday, December 31, 2009Semasa diundang menjadi salah seorang fasilitator dalam satu Kem Remaja Islam, saya pernah bertanya kepada beberapa orang peserta kem tersebut mengenai apa yang difahami oleh mereka tentang 'maksiat'. Rata-rata yang menjawab hanya memfokuskan kepada satu perkara sahaja. "Maksiat ini adalah apabila seorang laki-laki dan perempuan duduk berdua-duaan di tempat yang sunyi atau gelap dan melakukan perbuatan 'itu'". Inilah jawapan yang diberikan oleh salah seorang peserta dan jawapan ini diakui oleh kebanyakan peserta yang mengikuti kem tersebut.
Ditanya kembali kepada mereka, mengapa hanya mengkhususkan perbuatan berkhalwat atau berzina sahaja sebagai maksiat? Jawapannya adalah kerana wujudnya 'pihak pencegah maksiat' yang menghalang dan menangkap mereka yang melakukan perbuatan khalwat dan berzina. Inilah kefahaman yang wujud dalam pemikiran mereka dan saya yakin bahawa maksud yang juga sama difahami oleh kebanyakan masyarakat Islam kini iaitu hanya menganggap bahawa perbuatan berkhalwat dan berzina adalah maksiat manakala yang selainnya tidak dianggap sebagai maksiat.
Mungkin benar seperti yang difahami oleh mereka mengenai takrifan kerana wujudnya 'pihak pencegah maksiat khusus' yang menghalang dan menangkap mereka yang berkhalwat dan melakukan zina sedangkan perbuatan-perbuatan lain seperti mencuri, minum arak , pergaulan bebas dan lain-lain tiada 'pihak pencegah maksiat'. Wajar atau tidak diwujudkan pihak pencegah maksiat bagi kes mencuri, minum arak dan lain-lain sama-sama kita fikirkan kerana tugas pencegah maksiat sebenar tidak hanya tertumpu dalam mencegah dan menangkap pesalah yang melakukan zina sahaja malahan perlu mencegah maksiat dan kemungkaran dalam konteks yang lebih luas.
Kefahaman yang dangkal ini perlu dikikis dan dihapuskan daripada pemikiran masyarakat Islam dan takrifan sebenar perlu dijelaskan dengan sedalam-dalamnya agar semua pihak memahami bahawa maksiat adalah melakukan perkara-perkara yang dilarang, tercela dalam syariat Islam, bertentangan dengan hukum syarak dan pelakunya akan mendapat dosa.
0 Comments
Subscribe to:
Post Comments (Atom)