Joget Hati & Tarian Minda

1.02.2010
Usah dikenang lagi perkara yang lepas, amat wajar penyesalan itu berlaku, namun jangan sesekali berputus asa. Teruskan tekad dan bersemangat mengharungi setiap detik dan saat demi menggapai segalanya yang telah tertulis di hati dan bersarang di minda sejak sekian lama. Mengatur plan sebaiknya dan kerahkan seluruh anggota bekerja, natijahnya telah diatur Yang Maha Esa. Kembara ini masih jauh, segala macam duri yang berbisa menanti di hadapan ibarat busur panah yang akan menembusi batang tubuh si mangsa pada bila-bila masa sahaja.

Abaikan segala lelah dan kepenatan. Rehat selamanya menanti di syurga. Itu janjiNya. Walau jauh dan sesukar mana sekalipun, pasakkan tekad dan gagahkan diri untuk mencapainya. Tiada apa yang perlu ditakuti jika iman dan taqwa menjadi asas bekalan diri dan hati. Orang lain boleh, mengapa sudah katakan tidak jika kaki belum melangkah? Hanya yang bodoh mengaku kalah sebelum berjuang dimedan perang. Kata orang, belum cuba belum tahu.

Bagaimana jika gagal dicapai juga setelah puas berhempas-pulas mengerahkan keringat yang ada? Bagaimana jika keadaan langsung tidak mengizinkan? Pedulikan itu semua. Mungkin si laknat syaitan sedang berbisik untuk menimbulkan keraguan. Bagaimana dengan alunan bunyian mulut-mulut sumbang? Pekakkan deria pendengaran. Ayuh! Bangkitlah daripada rebah semalam. Gerakkan langkah yang tersusun dengan kemas. Segalanya bakal dicapai.
Comments
0 Comments

0 komentar:

Post a Comment

Apa komen anda