Ekspidisi 2010

1.18.2010
Mengikut jadual, ekspidisi akan bermula pada lewat malam ini. Menghayati sirah dan sejarah serta menyaksikan keagungan ciptaan Allah s.w.t menjadi misi ekspidisi ini.
Berikut adalah penerangan secara ringkas tempat-tempat yang bakal dilawati:

SEMENANJUNG SINAI


Segi tiga Sinai merupakan semenanjung yang mirip kepada sebuah pulau yang diapit oleh dua buah teluk iaitu Teluk Suez dan Teluk Aqabah. Dataran ini menyingkap pelbagai peristiwa sejarah para rasul seperti peristiwa perjalanan Nabi Ibrahim a.s ke Syam, Nabi Musa a.s berbicara dengan Allah Taala di Lembah Suci Sinai (Wadi Muqaddas Thawa), terdapat juga makam Nabi Harun a.s dan makam Nabi Salleh a.s Disamping itu penaklukan Mesir di bawah pimpinan Amru bin al-A’sr r.a juga melalui dataran Sinai ini. Hampir seluruh Semenanjung Sinai ini merupakan kawasan padang pasir dan gunung-ganang berbatuan.

TEROWONG AHMAD HAMDI

Terowong Ahmad Hamdi ini menghubungkan antara tanah besar Semenanjung Mesir di sebelah barat dan Sinai di sebelah timur. Ia mempunyai laluan pergi dan balik yang sentiasa di kawal rapi dengan system yang canggih. Terowong Ahmad Hamdi ini terletak di bawah paras Terusan Suez.

TERUSAN SUEZ

Terusan Suez telah dibina oleh sebuah syarikat dari Perancis (Dilsabs).Terusan ini digali pada tahun 1859 M semasa pemerintahan Said Basha. Ia diswastakan selama 87 tahun sebelum diserahkan kepada kerajaan Mesir. Semasa penggalian terusan ini seramai 120 000 orang pekerja telah terkorban. Kerja-kerja pembinaan dan penggalian ini menggunakan tenaga manusia seramai 60 000 orang petani Mesir dengan gaji sebanyak 2 Piasters sehari. Ia siap dibina dengan rasminya pada 17 November 1896 M. Terusan Suez merupakan laluan utama kapal-kapal perdagangan antara Barat dan Timur dan laluan kedua terpenting selepas laluan Lautan Atlantik Utara. Pada tahun 1967 M ia ditutup sementara akibat berlakunya peperangan antara Mesir dan Israel.

UYUN MUSA

Uyun Musa ini merupakan tempat persinggahan Nabi Musa a.s untuk bersuci yang terletak di tengah-tengah perjalanan di antara Terusan Suez dan Gunung Thursina. Mengikut sejarah terdapat 12 buah telaga. Akan tetapi sekarang hanya tinggal lapan buah telaga sahaja. 12 buah telaga itu menunjukkan bahawa pengikut Nabi Musa a.s terbahagi kepada 12 kaum.

HAMMAM FIRAUN

Hammam Firaun ini terletak di Persisiran Teluk Suez. Ia merupakan tempat bersiram (mandi) Firaun pada musim panas dan terdapat sebuah lubang yang ditebuk di kaki sebuah bukit di tepi pantai. Udara panas yang keluar dari lubang tersebut digunakan oleh Firaun untuk mengubati penyakit Rheumatism. Di tepi pantai ini juga terdapat mata air yang panas dan jika direndam telur di dalamnya kemungkinan telur tersebut boleh masak.

MAKAM NABI SALLEH A.S.

Mengikut pendapat yang paling tepat bahawa Makam Nabi Salleh a.s yang sebenarnya terletak di atas bukit di tengah-tengah perjalanan antara Hammam Firaun dan Saint Catherine. Nabi Salleh a.s adalah rasul yang kelima. Baginda menjadi rasul pada umur 58 tahun bermula tahun 2000 sebelum Masihi hingga 1990 sebelum Masihi.

WADI ARBA’IN

Wadi Arba’in (Lembah 40) berhampiran dengan pokok-pokok ribuan tahun yang menyaksikan pertemuan antara Nabi Musa a.s dengan anak Nabi Syuib a.s Ia juga merupakan tempat Nabi Musa a.s dan 40 orang nabi-nabi mengadakan perjumpaan dan persidangan pada zaman dahulu.

12 MATA AIR MUSA

Terletak 12 Mata Air Musa ini di Wadi Arba’in kira-kira 243 km dari Kaherah. Ia merupakan bekas 12 mata air yang dipukul oleh Nabi Musa a.s dengan tongkatnya pada batu. Setiap satu dari 12 mata air itu menunjukkan satu kaumnya. Ini difirmankan oleh Allah Taala di dalam al-Quran pada Surah al-Baqarah ayat 60. Terdapat juga sebuah tempat keluar mata air kemudian dijadikan telaga untuk memberi minum binatang-binatang oleh orang-orang terdahulu.

JABAL MUSA

Gunung Thursina (Jabal Musa panggilan bagi masyarakat Mesir) berada pada 2280 meter dari paras laut. Di puncak gunung inilah menjadi tempat di mana Nabi Musa a.s bermunajat kepada Allah Taala selama 40 hari sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran pada Surah al-Araf ayat 143. Juga terdapat sebuah masjid dan gereja kecil Ortodoks di puncaknya. Terdapat juga kesan batu yang menghalang Nabi Musa a.s daripada terkena batuan-batuan lain sewaktu berlakunya peristiwa di mana Allah Taala menunjukkan kebesaranNya maka hancur leburlah gunung tersebut. Pandangan menarik dapat dilihat dari puncaknya bilamana matahari terbit pada waktu pagi.

PERKAMPUNGAN KAUM NABI ALIAS A.S.

Perkampungan Kaum Nabi Alias a.s berada di tengah-tengah perjalanan turun dari puncak Jabal Musa. Terdapat juga Telaga Nabi Musa a.s di tengah-tengah perjalanan turun dari puncak Jabal Musa ini.

SAINT CATHERINE

Di sini terdapat juga sebuah biara yang telah dibina pada abad ke 9 M dengan nama Saint Catherine. Saint Catherine adalah pengikut setia Nabi Musa A.S. Beliau meninggal dunia ketika bermunajat kepada Allah Taala di puncak Gunung Thursina bersama Nabi Musa a.s Beliau telah dikebumikan oleh pengikut-pengikut Nabi Musa a.s di kaki Gunung Thursina. Setelah beberapa abad berlalu empayar Kristian berjaya menakluki Mesir maka mereka membina sebuah gereja di kaki Gunung Thursina dan mendakwa bahawa Saint Canterine adalah seorang rahib Kristian. Ini semua adalah pembohongan dan pendustaan yang amat nyata oleh Kristian dan disokong oleh Yahudi. Terdapat juga sepohon pokok suci (Shajaratul Mubarakah) di dalamnya dan ia disebut dalam al-Quran pada Surah al-Mukminun ayat 20 dan Surah an-Nur ayat 35.

PATUNG LEMBU SAMIRI

Patung Lembu Samiri ini diukir pada batu oleh Samiri (seorang Bani Israel dari suku kaum Assamirah) iaitu salah seorang dari pengganut Nabi Musa a.s selepas membuat patung ciptaan yang pertama (dibuat daripada emas kemudian dihancurkan oleh Allah Taala). Peristiwa ini berlaku ketika Nabi Musa a.s bermunajat kepada Allah Taala di puncak Jabal Musa selama 40 hari. Dalam pendapat yang lain dikatakan pancaran cahaya dari patung lembu emas itu yang membentuk Patung Lembu Samiri itu. Berhampiran dengan ukiran patung ini terdapat pokok yang dikatakan hidup sejak zaman Nabi Musa a.s lagi. Ia disebut dalam al-Quran pada Surah Toha ayat 85 dan Surah al-Araaf ayat 148.

MAKAM NABI HARUN A.S.

Nabi Harun a.s adalah rasul yang ke-16 selepas Nabi Musa a.s Baginda merupakan saudara kepada Nabi Musa a.s sendiri dan sentiasa bersama-sama Nabi Musa a.s dalam menyebarkan dakwah. Dilantik menjadi rasul ketika berusia 122 tahun bermula dari tahun 1439 sebelum Masihi sehingga 1317 sebelum Masihi. Makam ini terletak di kaki Gunung Thursina bersebelahan dengan sebuah gereja. Makam ini tidak jauh dari Patung Lembu Samiri.

DAHAB

Kawasan perlancongan dan perkelahan di tepi pantai.

BANJARAN TIH

Ia dikelilingi oleh kawasan yang bergunung-ganang berbatuan. Tempat ini mengisahkan kaum Bani Israel yang disesatkan oleh Allah Taala selama 40 tahun kerana keengganan mereka untuk masuk ke Palestin bagi mempertahankan tanahair mereka. Dalam pendapat yang lain mengatakan Bani Israel yang memohon kepada Allah Taala untuk masuk ke Palestin dan Allah Taala tidak membenarkannya. Sila rujuk al-Quran pada Surah al-Maidah ayat 26.

BATU BERSURAT MAMALIK

Terdapat ukiran cop mohor kerajaan Mamalik pada batuan sebagai tanda dan laluan masyarakat Mesir untuk menunaikan haji. Pernah terhakis sedikit akibat banjir yang melanda. Kerajaan Mamalik adalah kerajaan yang didirikan pada 650 tahun dahulu.

TOBA

Toba merupakan tempat yang terletak paling timur di Mesir. Perjalanannya kira-kira 708 km dari Kaherah. Ia menjadi batas terakhir wilayah Mesir dengan Kota Ilat di wilayah Palestin. Terdapat pemisah atau sempadan bagi empat negara di sini iaitu Mesir, Palestin, Jordan dan Arab Saudi. Ia juga merupakan kota terakhir yang dibebaskan oleh Mesir daripada Israel.

KUBU SALAHUDDIN AL-AYUBI

Kubu Salahuddin al-Ayubi (Qal’ah Salahuddin al-Ayubi) yang dinamakan Jazirah Firaun terletak di sebuah pulau kecil kira-kira 8 km dari Toba. Ia adalah kubu yang dibina oleh tentera-tentera pimpinan Salahuddin al-Ayubi untuk menghadapi tentera Salib. Untuk sampai ke Kubu Salahuddin al-Ayubi ini perlulah menggunakan perkhidmatan bot penambang yang telah disediakan.

KUBU PENINGGALAN ISRAEL

Kubu ini adalah peninggalan tentera Israel yang kalah kepada Mesir dalam peperangan tiga penjuru pada suatu ketika dahulu. Ia menempatkan peralatan-peralatan perang milik tentera Israel yang ditinggalkan seperti kereta kebal, meriam, pakaian, senjata dan lain-lain lagi. Ia juga adalah sebagai salah sebuah tempat tumpuan pelancong yang dikekalkan oleh kerajaan Mesir sehingga kini.

Sumber : Buku Ekspidisi 2010
Comments
0 Comments

0 komentar:

Post a Comment

Apa komen anda