Nasihat Buat Diri Dan...

1.25.2010
"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar" - al Ahzab : 70

Tidak semudah yang disangka memberikan pandangan apatah lagi mengkritik sesuatu perkara kerana tindak balas yang muncul selepasnya mungkin bersifat positif atau negatif. Mungkin kerana kritikan tersebut boleh menjadi penyebab yang mengguris hati dan perasaan pihak terbabit serta sebagai virus yang merosakkan sistem kabel ikatan persahabatan yang sekian lama terjalin. Jangan jadikan diri menjadi bola yang disepak sesuka hati atau lalang yang ditiup angin pada setiap sisi tanpa punya pendirian dan ketegasan diri terhadap fitnah dan tuduhan yang tidak berasas. Kebenaran tetap ditegakkan.

Jika benar-benar mahu mengkritik atau menegur, jujur dan amanah amat penting disamping perlu berdisiplin dan beradab dalam mengkritik. Jangan menjadi sang bacul (penakut) yang bersikap 'baling batu, sorok tangan'. Jika berani, dipersilakan. Respon yang lahir daripada teguran dan kritikan yang dilontarkan samada berbentuk negatif atau positif perlu diterima seadanya kerana pandangan yang dikemukakan mungkin benar dan mungkin juga salah setiap kali berlaku percanggahan pendapat.

Kita perlu sabar dan berlapang dada menadah segala tohmahan, cemuhan dan kritikan balas. Apa yang diharapkan, pihak yang ditegur atau dikritik perlu berjiwa besar menerima teguran dan tidak mudah melatah. Elakkan segala kata-kata yang bersifat memaki dan mengeji kerana ia boleh menjadi racun bisa yang meleburkan binaan ikatan ukhuwwah. Hindarkan pergaduhan, lucutkan pakaian egois yang membalut diri dan hormati pandangan yang lain sekalipun ia adalah pandangan yang remeh kerana sikap tersebut perlu dihiasi pada peribadi golongan agamawan dan ilmuan.

Jadikan akhlak para ulama' agung yang tawadhu' dan berdisiplin sebagai contoh ikutan kerana mereka mengkritik sesuatu pandangan tanpa sedikit pun mencalarkan kehormatan pihak yang dikritik apatah lagi merendahkan dan menghina pandangan tersebut. Mengkritik pandangan, bukan peribadi yang boleh mencalar kehormatan.

"Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya(pada segi hukum agama) mereka itulah orang yang diberi hidayah petunjuk dan merekalah orang yang berakal sempurna" al-Zumar : 18
Comments
0 Comments

0 komentar:

Post a Comment

Apa komen anda