Filem Tamil Jauh Lebih Baik

3.01.2011 1 komentar

Industri perfileman dan drama kita seolah-olah dilanda kemarau idea sejak sekian lama. Kebanyakkan filem yang dihasilkan hanya menumpukan kepada 3 unsur utama iaitu unsur lawak bangang yang tak lawak, kisah cinta beruk sama beruk dan unsur seram yang cuma dapat menakut-nakutkan budak-budak yang nak pergi mengaji al Quran pada waktu malam. Inilah realiti perfileman Malaysia. Menyampah dibuatnya. Walaupun ada telemovie yang mahu memberi kesedaran dan pengajaran kepada masyarakat umum, namun pelakon yang melakonkan watak baik langsung tidak sesuai dengan watak yang dipegang olehnya. Sebagai contoh, telemovie 'La ikraha fiddin', watak seorang ustazah lepasan al Azhar, Mesir yang dilakonkan oleh seorang pelakon wanita yang tanpa segan silu berkemban di khalayak ramai dan pernah membotakkan kepalanya. Satu penghinaan kepada lepasan al Azhar.

Mengapa filem tamil lebih baik?

Kita tahu, aksi pergaduhan hero filem tamil langsung tidak dapat diterima akal kita yang sihat, abaikan bahagian ini seketika. Cuba perhatikan pada sudut yang lain. Filem tamil yang dihasilkan mampu menyentuh aspek politik dan kepimpinan sesebuah negara sehingga mampu menyindir seorang menteri kabinet sebuah kerajaan. Lihat filem 'Sivaji The Boss' yang mengisahkan seorang anak muda yang berjuang menentang penyelewengan wang, rasuah kepada seorang menteri, penyalahgunaan kuasa serta menunjukkan bahawa kuasa politik bukan terletak pada kerajaan tetapi berada dalam genggaman orang-orang yang menguasai menteri-menteri.

Inilah realiti yang ada dalam mana-mana kerajaan di dunia pada hari ini hatta negara kita juga 'dikuasai' oleh orang-orang tertentu yang berada diluar kerajaan. Pasti, kita semua sedar. Sesiapa yang masih tidak menyedari hal ini, mereka adalah golongan yang benar-benar buta mata pengelihatan dan buta mata hati. Kerajaan yang ada hanyalah sebuah boneka yang melakonkan apa yang disuruh oleh 'pengarah'nya. Jika ada mana-mana syarikat perfileman negara kita yang cuba menghasilkan filem sebagaimana filem 'Sivaji The Boss', pasti semua kakitangan syarikat, pengarah, pelakon, jurukamera serta jurusolek sekalipun akan 'hilang' mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Inilah masalah yang menghantui penghasil filem di Malaysia.

Penonton sudah muak dan menyampah dengan filem-filem tidak bermutu yang dihasilkan oleh negara kita, seharusnya syarikat-syarikat perfileman mengambil peranan 'menegur' menteri-menteri yang salah guna kuasa, 'menyindir' pimpinan yang mabuk rasuah, ahli politik yang kaki perempuan serta menyampaikan nilai-nilai murni kepada masyarakat umum.

Jika industri perfileman negara kita masih di takuk ini, sampai bila-bila industri filem kita tidak akan mampu menyaingi mana-mana syarikat filem luar yang menghasilkan filem-filem yang lebih bermutu dan bermoral. Oleh sebab itu, filem tamil jauh lebih baik berbanding filem kita.