Nak Kahwin Tapi Tak Cukup Duit

6.29.2009 11 komentar
Salam Kehangantan. Hari ini lebih hangat daripada biasa, cukup bersesuaian dengan tajuk yang mungkin agak hangat ini...
Semua orang nak berkahwin(kalau yang tak nak tu tak normal la), tak kira lelaki atau perempuan kerana itu adalah fitrah seorang manusia dan merupakan sunnah Rasulullah s.a.w. Mereka yang telah berkahwin juga berkeinginan hendak berkahwin lagi(lelaki sahaja) apatah lagi mereka yang belum berkahwin.

Ramai orang yang nak kahwin tapi tak cukup duit. Tidak cukup duit adalah salah satu daripada yang masalah telah dikenal pasti menjadi punca kepada perkahwinan lambat berlaku kerana memikirkan pelbagai perkara seperti mas kahwin, wang hantaran, kos kenduri, barangan hantaran dan lain-lain. Suatu perkara yang menjadi keresahan pihak lelaki adalah pada jumlah wang hantaran(bukan mas kahwin) yang kini seolah-olah seperti wujud sifir nilai wang hantaran berdasar kelulusan seseorang wanita seperti yang terdapat dalam jadual di bawah :

sifir wang hantaran mengikut tahap kelulusan

Maksud sabda Rasulullah s.a.w : daripada Aisyah r.a bahawa Rasulullah bersabda "sesungguhnya sebesar-besar keberkatan dalam perkahwinan adalah yang sederhana maharnya"(riwayat Imam Ahmad)

Benarkah perkara ini berlaku?(seperti dalam jadual)
Adakah perlu menetapkan wang hantaran yang begitu tinggi mengikut kelulusan seperti dalam jadual di atas?
Bagaimana mengatasi hal ini?

Pohon pandangan para pembaca yang mulia. Untuk menyatakan pandangan, sila klik

Nak Ke Tak Nak

6.27.2009 0 komentar

Cuba perhatikan situasi yang berlaku di bawah, ia sebenarnya berlaku di sekitar kita samada di rumah-rumah, di asrama atau di mana-mana sahaja.

Azan berkumandang
Allahu Akbar!! Allahu Akbar!!
Laungan azan daripada muazzin(tukang azan) jelas kedengaran daripada corong-corong masjid yang berdekatan.(kalau kat Mesir masjid kat sebelah rumah saja)

Beberapa minit seusai azan.
"Dah azan dah ke?"(Saja buat-buat tanya walaupun dah dengar)
"Dah, lebih kurang dalam 5 minit tadi kot. Kenapa?"
"Entahlah, tiba-tiba mata aku ni rasa mengantuk semacam je".Sambil menarik bantal dan merebahkan badan ke atas tilam yang empuk.

"Eh, jom la kita solat dulu. Nanti dah selesai baru kita rehat"
"Tak apa la, kau pergi la masjid dulu. Aku solat kat rumah saja kot rasa macam tak larat pulak nak pegi masjid tu, lagipun aku rasa nak masuk tandas dulu sebab perut ni rasa semacam la pulak"
"Engkau ni kan, 'time' ni la macam-macam alasan yang kau reka. Lebih senang kalau kau mengaku saja yang kau malas nak pergi masjid."…

Ketahuilah bahawa :

“Tidaklah layak orang-orang kafir musyrik itu memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah, sedang mereka menjadi saksi (mengakui) akan kekufuran diri mereka sendiri. mereka itu ialah orang-orang yang rosak binasa amal-amalnya dan mereka pula kekal di dalam neraka.
Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan Yang mendapat petunjuk”. Surah Al Taubah : 17-18

Rasulullah s.a.w bersabda : "Solat berjamaah adalah lebih afdhal berbanding dengan solat bersendirian iaitu dengan 27 darjat"

Sebenarnya di sisi kita ada pilihan samada kita mahu tergolong dikalangan orang-orang yang 'bijak' atau 'bodoh'. Bijak atau bodoh seseorang itu bergantung kepada pilihan tersendiri samada ingin solat berjemaah di masjid atau bersolat sendirian di dalam bilik. Mungkin agak kasar dengan istilah 'bodoh' tetapi itu adalah gelaran yang paling sesuai dengan kebodohan yang ada padanya adalah kerana tidak tahu menilai samada satu atau 27 darjat yang lebih tinggi.
Jika bijak, fikirlah dengan akal yang waras kurniaan Allah s.w.t.…

Jangan Sampai Menghina

6.26.2009 1 komentar
Allah maha agung penciptaanNya, mencipta manusia dengan memiliki pelbagai jenis naluri hati dan berbagai cara pemikiran. Meskipun dua beradik kembar yang memiliki wajah yang seiras dan sama jantina, cara pemikiran dua beradik ini adalah tidak semestinya sama. Setiap orang bebas memberi dan menyatakan pandangan masing-masing tetapi dengan syarat ia mestilah tidak bercanggah dan tidak membelakangi ketetapan syara'. Kita berhak menerima atau menolak pandangan yang diberikan dengan cara yang baik. Jika tidak bersetuju dengan pandangan tersebut, kita boleh menolak dengan baik dan bukannya dengan meremehkan dan merendahkan pendapat dan orang yang mengeluarkan pendapat tersebut. Kita juga boleh mengkritik pendangan seseorang tetapi jangan sesekali menghina pandangan yang telah dilontarkan olehnya kerana pandangan kita belum tentu merupakan pandangan yang terbaik dan boleh jadi pandangan yang kita perlekehkan itu adalah yang yang paling bernas dan terbaik.

Jangan kita rasa kita adalah lebih baik daripada orang lain kerana ia boleh membawa kepada lahirnya rasa takabbur dalam diri. Elakkan bersikap seperti iblis yang enggan sujud kepada Nabi Adam a.s kerana takabbur dengan menyangka dirinya lebih baik daripada Adam a.s kerana ia diciptakan daripada api sedangkan Nabi Adam diciptakan daripada tanah. Takabbur dalam definsi yang sebenar yang sebenar adalah menolak kebenaran dan menghina manusia. Begitu juga halnya dalam menerima dan mengkritik pandangan orang lain, jangan biarkan sifat takabbur merajai hati dan diri kerana Rasulullah bersabda "tidak akan memasuki syurga sesiapa yang di dalam hatinya ada seberat biji sawi sekalipun daripada sifat takabbur". Jika mengkritik sesuatu pandangan, jangan sesekali sampai menghina dan memperlekehkan pandangan orang, cuba hormati dan meraikan pandangan yang dilontarkan meskipun pandangan yang dilontarkan agak kurang bernas. Cuba amalkan sikap berlapang dada dan tidak terlalu taksub dengan pandangan kita. Contohi akhlak yang ditunjukkan Rasulullah semasa peperangan khandak Rasulullah bagaimana Rasulullah menerima cadangan Salman Al Farisi untuk menggali parit. Jika akhlak rasulullah tidak menjadi qudwah kepada kita, akhlak siapa lagi yang hendak kita contohi.

Rindu Pada Ayah

6.22.2009 2 komentar

Alhamdulillah, dapat juga tulis entri bersempena hari bapa. Walaupun agak berbeza dengan sahabat dan teman yang lain, hanya ini yang mampu dikarang. Kalau dulu, bila teringat 22 Jun 2002, mata mula berkaca tetapi kini tidak lagi. Ingatan masih tetap sama, kerinduan macam dulu juga, cuma kawalan perasaan sudah agak berbeza. Mungkin diri ini sudah agak dewasa...rindu pada ayah

Ayah...
Terlalu asyik rasa duduk membilang hari
Bulan demi bulan dan tahun demi tahun berlalu,
Dah hampir tujuh tahun ayah pergi,
Rasanya baru semalam ayah usap kepala kita, sejuk syahdu masih lagi terasa

Ayah...
Petang itu masih segar dalan ingatan
Itulah kali terakhir ayah usap kepala anak ayah yang nakal ni
Emmmm...rupanya ayah dah tahu yang ayah nak pergi jauh
Nak tinggal kan anak-anak ayah, nak tinggal kan dunia fana ni

Ayah macam dah sedia
Seminggu sebelum tu
Ayah pesan suruh belajar rajin-rajin, jadi macam tok guru dan alim ulama'
Walaupun ayah tak ada, kita tetap kena belajar juga

Ayah kata ayah tak mampu nak tinggalkan harta
Ini saja yang ayah boleh buat, suruh semua anak-anak ayah belajar
Walau macam mana susah sekalipun kena belajar
Nanti boleh doakan untuk ayah dan mak

Tinggi harapan ayah
Hendak tengok semua anak-anak belajar agama
Onak dan duri ayah tak kisah, untuk anak-anak
Ayah tak makan pun tak apa, asalkan anak-anak senang
Ayah tak pernah putus asa
Tak cukup pagi dan petang, waktu malam pun ayah usahakan

Ayah...
Hari tu hari Jumaat dapat berita daripada abang ayah masuk wad
Malam tu juga kita balik rumah
Ayah dalam kesakitan, tangan ayah luka teruk. Hampir dengan urat nadi
Tambah pula dengan sakit buah pinggang yang kritikal
Kedua-dua belah buah pinggang dah rosak
Ayah tak nak buat Dialisis, kami semua akur
Katanya nak ikhtiar cuba cara kampung pula, Dialisis mahal katanya
Nanti siapa nak tanggung anak-anak belajar
Kita hanya diam seribu makna...

Ayah...
Ampunkan kami semua
Kami nak ayah sihat
Kami sayang ayah
Kami tak mahu ayah sakit
Kami tak kisah tak dapat belajar pun
Asalkan ayah sihat
Ampunkan kami ayah

Ayah...
Dulu masa kita yang sakit
Tangan terseliuh teruk sebab kita yang nakal
Ke hulu ke hilir ayah tak senang duduk
Ayah cari tukang urut terbaik
Alhamdulillah tangan kita pulih

Ayah...
Lepas solat asar abang bawa ayah jumpa pengamal perubatan Islam
Kita ikut sama dan itulah kali terakhir kita naik kereta bersama ayah
Sebelum turun dari rumah, ayah pesan kena pergi sekejap saja
Sebab ayah nak balik segera
Mak ada beritahu abang, ayah kata kat mak yang ayah nak 'mati' kat rumah
Kita hanya diam tak terkata
Mungkin ayah dah tahu saatnya semakin hampir

Ayah...
Jam 7.30 petang 22/06/2002
Selepas satu jam tiba di rumah
Abang mengajarkan kalimah tauhid di telinga ayah
tidak lama lafaz 'innalillah' keluar dari mulut abang
Ayah mesti nampak kita menangis masa tu
Mesti ayah nampak abang cium dahi ayah
Mesti ayah nampak akak baca surah yaasin untuk ayah
Mesti ayah nampak adik dan semua orang menangis
Mesti ayah nampak semua tu kan

Ayah...
Malam tu tak macam malam yang biasa
Suasana suram walaupun ramai orang hadir
Adik kat sebelah diam melayan perasaan
Kenangan kita bersama ayah berputar dalam kepala
Jalan di depan terasa makin kelam
Airmata dah tak mampu di tahan
Sepanjang malam terasa kedinginan itu lain benar suasananya
Terasa syahdu dan sayu

Ayah...
Kita masih ingat lagi
Kita baca Al Quran kat tepi ayah temankan ayah
Mak dan akak pun turut baca bersama
Kita baca Al Quran sambil berlinangan air mata
Mak kata "jangan nangis...kalau sayang ayah jangan buat gitu..jangan nangis"
Bila mak tu kata macam tu
Makin laju deraian air mata ni

Jam 11.00 pagi ayah dimandikan
Kami anak-anak yang pangku masa ayah dimandikan
Sebelum muka ayah ditutup
Semua anak-anak tampil menatap wajah ayah buat kali terakhir
Semua orang kata ayah seolah-olah senyum saja
Ayah rasa tak
Masa tu kita sentuh dahi ayah
kita rasa sejuk sangat dahi ayah
Air mata kita tak boleh tahan
Lepas tu Abang mengimamkan solat jenazah untuk ayah

Jam 12 tengahari ayah diusung keluar dari rumah
Ramai yang mengiringi ke kuburan
Kami tiga orang menanti di liang lahad
Menyambut jasad ayah
Itu adalah tanggungjawab kami anak-anak

Ayah.....
Hari-hari dilalui tanpa ayah lagi
Begitu terasa kehilangan ayah
Boleh kata setiap kali tatap gambar ayah pasti berendam air mata
Semakin ditenung terasa semakin sayu
Tangisan tak dapat dibendung
Lagu 'di pondok kecil' mengiringi kerinduan ini
Semoga kerinduan terubat dengan pertemuan di syurga nanti
Insya'Allah...

Ayah...
Kita rindu sangat-sangat pada ayah
Hanya bacaan ayat-ayat Al Quran dan doa yang mampu kita sampaikan
Kita mendoakan ayah sentiasa dicucuri rahmat Allah
Terima kasih kerana membesarkan kita
Memberi seluruh kasih sayang sejak kita sampai masuk sekolah
Sampai masuk univesiti.
Sampai kiter boleh rase naik kapal terbang
Boleh rasa duduk kat negara orang
Sampai akhir hayat ini jasa ayah tak akan mampu kita balas...

01.02 a.m
22 Jun 2009
St. Theresa, Shoubra
Mesir

Mujahadah Bermusim. Mujur Ada Exam (repost)

6.19.2009 0 komentar
Exam selesai. Fuhh...ramai yang mengeluh panjang. Lega. Ramai yang bersorak gembira kerana berjaya mencapai 'kemerdekaan' sementara. Segelintirnya ada yang 'monyok' bagai ayam digigit tungau. Ahh..biarkan saja bagaimana keadaan mereka, itu hak mereka samada mahu bergembira atau berduka.

Masih ingat lagi bagaimana keadaan diri kita sebelum peperiksaan? Segalanya masih 'fresh' lagi dalam ingatan. Ke hulu ke hilir mesti bersama buku dan kitab, tidur cuma beberapa jam sahaja sehari, sambil memasak dan membasuh pun boleh membaca, setiap masa kedengaran alunan ayat ayat suci al Quran dibaca, puasa sunat isnin dan khamis memang tidak ditinggalkan, solat hajat, solat sunat dan qiamullail hampir setiap malam dan boleh dikatakan setiap saat yang berlalu adalah sangat berharga dan bermakna. Jika diperhatikan gelagat ini ibarat manusia jelmaan malaikat yang memenuhi rumah-rumah dan bilik-bilik, bagus sungguh. Bermujahadah. Namun yang dikesalkan adalah hal ini cuma berlaku sebelum exam dan semasa exam berlangsung sahaja. Kenapa? Muhasabahlah diri kita.

Apa yang berlaku selepas exam? Memang malas nak cerita tetapi sebagai peringatan untuk kita bersama. Cuba renung renungkan. Habis sahaja exam, gembira tak terkata macam berjaya lunaskan hutang yang berjumlah RM satu juta. Itu belum lagi dapat tahu natijah samada berjaya atau sebaliknya. Berakhir saja exam, Al Quran yang sering dibaca sebelum ini entah berada di mana. Sebelum exam, sekali baca 4,5 juzu' adalah perkara biasa tetapi kini nak habiskan satu juzu' pun cukup cukup seksa. Kerana siapa dan kerana apa kita baca al Quran? Adakah kerana exam semata mata? Istighfar.

Sebelum dan semasa exam dapat diperhatikan bagaimana kita semua bermujahadah demi mencapai kejayaan dalam exam tersebut. Semua mahukan kejayaan. Itu adalah sesuatu yang pasti. Mana ada orang yang mahu gagal. Terfikir juga, kenapa semasa cuma sebelum exam kita begitu bersungguh sungguh sekali tak kira pada sudut solat, ulangkaji pelajaran, amalan ibadah lain semuanya macam sudah cukup sempurna tetapi seusai exam sahaja ke mana perginya segala amal ibadah itu? Sebelum exam kita sanggup mengekang mata dengan mengurangkan tidur tetapi selesai exam tidurnya ibarat ular sawa yang kekenyangan membaham seekor anak lembu. Lebih dahsyat daripada hibernasi seekor beruang pada musim sejuk. Adakah kita beramal kerana exam? Bermujahadah mengulangkaji pelajaran hanya kerana exam? Jawab persoalan tersebut sejujurnya. Tanya diri masing masing.

Bukankah sekurang kurangnya lima kali sehari kita solat kita melafazkan satu 'ikrar' di dalam solat sebaik sahaja selesai takbiratul ihram iaitu pada doa iftitah? Maksudnya "sesungguhnya solatku, amal ibadahku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah Tuhan sekalian alam". Mungkin kita lupa ikrar ini tetapi logikkah kita lupa kerana setiap hari paling kurang lima kali sehari kita lafazkan ikrar ini. Lainlah bagi mereka yang cuma solat seminggu sekali atau dua kali setahun (solat sunat aidilfitri dan aidiladha). Secara kasarnya kita memang bermujahadah dalam beribadah dan mengulangkaji pelajaran hanya kerana exam. Kita ini hamba exam ke?(maaflah agak kasar sedikit). Istighfar. semuanya adalah untuk exam Kerana selesai saja exam, hilang semuanya. Begitu juga dengan apa yang kita pelajari dan ulangkaji semata mata hanya untuk menghadapi exam, segalanya dicurah dan diluahkan semasa menjawab dalam peperiksaan. Habis exam, segala yang telah difahami dan dihafal hilang begitu sahaja. Ruginya. Bukankan ilmu tersebut untuk digunakan sepanjang hayat? Bukan hanya untuk exam.

Jika niat kita tersasar, sama sama kita perbetulkan kembali. Segalanya adalah hanya kerana Allah s.w.t. Perlu kita ingat, sepanjang hidup kita ini adalah ujian, peperiksaan dan exam. Medan dunia yang sementara adalah tempat ujian menuju akhirat yang kekal abadi. Natijah atau keputusannya kita akan ketahui di sana nanti samada kita berjaya atau sebaliknya. Kegembiraan yang yang sebenar adalah kejayaan dalam menempuh ujian kehidupan di dunia ini. Kejayaan di akhirat adalah kejayaan dan kemerdekaan yang abadi.

Rasanya tidak mahu tulis panjang artikel ini, cukuplah disitu. Selebihnya "lu pikir la sendiri"(pinjam trademark seorang artis). Semoga kita dapat manafaat daripadanya. Cuba untuk memberi sebanyak banyaknya, bukan menerima sebanyak banyaknya. Oleh itu, kalau mahu pintar belajar, kalau mahu berhasil usaha.

p/s: Harap maaf, Ambo lebih senang gunakan istilah 'exam' kerana ia lebih popular daripada peperiksaan dan lebih senang difahami. Ini tidak bermaksud Ambo menyokong PPSMI. Tukar kerajaan yang memperjuangkan PPSMI.

Tahu Mengutuk, Tidak Pandai Beradab

6.18.2009 0 komentar
Gambar di sebelah mungkin ada kaitan dengan entri kali ini. Alhamdulillah masih diberi ruang untuk melakar coretan di laman blog ini. Bukan Ambo sahaja, malah ramai yang turut melahirkan rasa terkilan dan menyatakan kekesalan terhadap keadaan yang berlaku tempoh hari setelah selesai Rehlah Fayyoum 2009 kerana 'rumah telah siap tapi pahat masih berbunyi' dan lebih-lebih apabila ramai manusia 'bacul' mula mengecam, mengeji dan mengutuk 'di belakang'. Terlebih dahulu, tidak lupa kepada mereka yang memahami dan menyelami situasi yang berlaku. Jazakumullahu khairan kathira.

Jawab dahulu persoalan-persolan ini. Kenapa perlu mengecam, mengeji, memfitnah dan mengutuk? Adakah Islam mengajar kita metod ini? Pernah Rasulullah mengecam, mengeji, mengutuk dan mencaci sahabat-sahabat baginda? Dari mana dan daripada siapa kita mencedok cara meluahkan rasa ketidakpuasan hati dengan cara begini? Hanya menurut tuntutan nafsu yang sentiasa menyuruh kearah perkara-perkara yang keji dan dilarang oleh Allah s.w.t. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w diutuskan untuk menyempurnakan akhlak-akhlak yang mulia. Kita semua pelajar muslim, sama-sama belajar dan tahu bagaimana Islam mengajar kepada kita cara beradab dan berakhlak. Apa guna semua yang telah kita belajar jika tidak mempraktikkannya?

Sekiranya benar-benar berani dan mahu mendapatkan kebenaran, bukan 'cakap belakang' caranya. Sila tampil ke depan dengan diri kita yang sebenar dan bukan hanya pandai bercakap de sebalik tabir. Islam mengajar kita perbincangan, dapatkan penjelasan daripada pihak AJK dan cuba nilai sendiri adakah perkara tersebut dirancang sebegitu atau sebaliknya. Seterusnya, apa faedah yang diperoleh daripada 'cakap belakang' ini? Jika diselitkan dengan kata-kata menghina, mengumpat, mencarut, memfitnah dan sebagainya, bukankah itu perbuatan yang berdosa?

Untuk pengetahuan semua, Ambo hanya melayan 3 atau 4 mesej yang terawal sahaja (selain tu bukan Ambo. Sekian dimaklumkan) di ruang shoutbox di sebelah ini. Sengaja Ambo biarkan sahaja kerana ingin melihat reaksi para sahabat sekalian. Ambo tidak kisah orang yang memaki Ambo, cuma agak terkilan kerana mereka menghentam dan menghina(boleh lihat disebelah) AJK lain yang telah berusaha memberikan yang terbaik. Tidak cukup setakat itu sahaja, musyrif pun turut menjadi mangsa. Apa bagus sangatkah mereka ini? Kalau bagus sangat, silakan jadi AJK dan atur sebuah program yang langsung tidak ada cacat celanya. Kalau benar-benar lelaki yang berani, sepatutnya kalian menyatakan nama sebenar dan bukan berselindung disebalik 'nickname' yang berbagai itu.
Semoga maksud ayat Al Quran dan Hadis Rasulullah di bawah ini menjadi panduan dan pengajaran untuk kita bersama :

'Wahai orang yang beriman Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain,(kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan ke’aiban sesetengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik,)maka amatlah buruknya sebutan nama fasik(kepada seseorang) sesudah ia beriman,Dan(ingatlah) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim.'
(Surah al-Hujurat:11)

Manakala sabda Rasulullah s.a.w pula:

Maksudnya:
Dari Abu Zar r.a.,bahawasanya ia mendengar Rasulullah bersabda: Tidakkah seorang melemparkan kefasikan atau kekufuran kepada orang lain,melainkan akan kembalilah kefasikan atau kekufuran itu pada dirinya sendiri, jikalau yang dikatakan sedemikian itu bukan yang memiliki sifat tersebut.
(Riwayat al-Bukhari)

Maksudnya:
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Tidak sewajarnya bagi orang yang jujur itu suka mengutuk.'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Cukuplah keburukan seseorang dengan menghinakan saudaranya yang muslim.'
(Riwayat Muslim)

Ambo hendak mengingatkan diri sendiri dan sahabat sekalian agar kita sama-sama menjaga adab terutamanya dalam tutur kata agar kita tidak tergolong dikalangan mereka yang dicela oleh Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w.

Huffaz 'Burung Tiong'

6.15.2009 3 komentar

Hafiz (bahasa Arab: حافظ قرآن‎ atau حافظ, jamak huffaz, bermaksud penjaga) merupakan gelaran yang diberikan kepada seseorang lelaki yang telah berjaya menghafaz al-Quran sepenuhnya. Gelaran ini juga turut diberikan kepada para ilmuan Hadis yang telah berjaya menghafaz, mengkaji sanad hadis tersebut (salasilah perawi hadis) serta mentafsirnya dengan baik sekali manakala burung tiong pula merupakan sejenis burung yang popular dan digemari kerana kemampuannya boleh dilatih meniru dan mengajuk suara manusia. Apa yang ingin dibicarakan adalah mengenai 'penghafal Al Quran seperti burung tiong'.

Teringat sewaktu berada diminggu Haluan Siswa(orientasi) Darul Quran, Ustaz Zamri Shapik sering mengingatkan kami dengan kata-katanya "kita tidak mahu melahirkan huffaz seperti burung tiong di dalam sangkar emas tetapi kita ingin melahirkan huffaz seperti pokok balak di hutan". Jelas sekali maksud beliau yang tidak mahu kami menjadi seperti seekor burung tiong di dalam sangkar emas yang dipuja oleh segenap lapisan masyarakat dengan kemampuan dalam menghafal Al Quran tetapi hanya sekadar meniti di bibir-bibir sahaja tanpa ada pemahaman dan pengamalan tentang ayat-ayat yang dibaca. Beliau mahukan kami menjadi seperti pokok balak di hutan yang mampu membesar dengan sendiri, berdikari dan berdiri gah di sisi pokok-pokok balak yang lain tanpa mengharapkan bantuan daripada sesiapa.

Kini kita sendiri boleh melihat di sekeliling kita dengan kebanjiran penghafal Al Quran bagai cendawan tumbuh selepas hujan yang rata-rata mampu menutur dan melafazkan setiap kalimah di dalam Al Quran dengan fasih dan lancar tetapi hanya terdapat segolongan kecil dikalangan penghafal Al Quran yang mampu memahami dan hanya beberapa orang sahaja yang dapat memahami serta mengamalkan intipati yang terkandung di dalam kitab suci Al Quran dalam kehidupan seharian. Lihat sahaja pada seekor burung tiong yang dilatih sehingga dapat melafazkan ucapan 'assalamualaikum' setiap kali ada manusia yang menghampirinya tetapi adakah seekor burung tiong yang tidak dikurniakan nikmat akal memahami maksud 'salam' yang dilafazkannya? Sudah tentu tidak. Kalau kita menjawab salam burung tiong tersebut, ia langsung tidak memahami apa yang kita lafazkan. Sama juga halnya dengan sebuah mesin atau robot yang di'set' oleh perekanya yang dapat berkata-kata tetapi langsung tidak memahami perkataan yang dituturkannya.

Adakan kita para penghafal Al Quran hanya seperti seekor burung tiong atau seperti sebuah mesin yang 'berakal'? Hanya mampu untuk melafazkan setiap kalimah dan ayat Al Quran tetapi langsung tidak memahami apa yang dilafazkan. Apabila sedikit pemahaman pun tidak ada, maka pengamalannya bagai bermimpi disiang hari. Oleh sebab hal inilah munculnya ramai dikalangan penghafal Al Quran yang menjadi fitnah kepada seluruh penghafal Al Quran khususnya dan fitnah kepada Islam amnya kerana akhlak dan keperibadian mereka yang jelas bertentangan dengan Al Quran yang meniti bibir-bibir mereka sehari-hari. Oleh yang demikian, kita(penghafal Al Quran) perlu menjadi pokok balak yang teguh mendokong Islam ditengah-tengah kepincangan yang berlaku dalam masyarakat kini dan mejadi 'role model' untuk memimpin masyarakat memahami dan mengamalkan Islam sebagai manhaj kehidupan seharian.

"Kemudian kami jadikan Al Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang kami pilih dari kalangan hamba-hamba kami; maka diantara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri(dengan tidak mengendahkan ajaran Al Quran), dan diantaranya ada yang bersikap sederhana , dan diantaranya ada yang mendahului(orang lain) dalam berbuat kebajikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar(dari Allah semata-mata)- Surah Faatir:33

Sabda Rasulullah s.a.w: "Bacalah Al Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya"- Hadis riwayat Imam Muslim.

Bagaimana Al Quran akan menjadi syafaat kepada kita nanti sekiranya kita tidak memahami dan mengamalkan isi kandungannya serta kita memiliki akhlak yang jelas bertentangan dengan Al Quran? Atau nanti Al Quran yang akan melaknat kita?(nauzubillah) Ayuh mari kita sama-sama memahami dan mengamalkan Al Quran serta menyeru seluruh umat Islam untuk menjadikan Al Quran sebagai perlembagaan dan manhaj kehidupan.

Fayyoum Meng'hampa'kan

6.14.2009 3 komentar

Semua ahli jawatan kuasa pelaksana termasuk para peserta mengeluh panjang, hampa, kecewa serta bermacam-macam perasaan bercampur baur. Ada yang meredhakan sahaja, namun ada juga yang terpaksa menelannya walaupun agak pahit. Paling diuji adalah AJK program Rehlah Fayyoum dan DPM. Berbagai tohmahan, tuduhan, sindiran dan macam-macam lagi terpaksa diterima seadanya. Ada yang meminta yuran dikembalikan, menyatakan ketidakpuasan hati, kutukan dan sindiran. Itulah ragam dan kerenah manusia. Biarpun rambut sama hitam tapi hati semuanya lain-lain.

Ambo sebagai salah seorang AJK program hendak menyatakan hal yang sebenar berlaku, bukan sahaja para peserta berasa hampa dan kecewa malahan kami dipihak AJK pelaksana program lebih-lebih lagi merasa hampa dan kecewa atas segala 'kekacauan' sepanjang rehlah. Harap anda semua maklum tentang hal ini. Kami yang berbincang dan mengatur program serta kami cuba memberikan yang terbaik untuk kita semua sebagaimana yang tercatat pada tentatif program tetapi perancangan Allah Maha Hebat. Yakinlah bahawa semuanya pasti ada hikmah disebaliknya.

Kepada mereka yang hanya tahu mengutuk, cuba fikir dahulu sebelum berkata-kata. Sekiranya kami memang hendak bertindak ala kadar dalam mengatur program, sudah tentu pengangkutan tidaklah se'gah' yang disediakan. Semua orang berpuas hati dengan keselesaan sepanjang program. Pihak kami memohon maaf kerana kita tidak dapat pergi ke Syalalat kerana ini merupakan antara agenda utama rehlah ini. Kami tahu semua orang beria-ria hendak mandi-manda di sana namun kesulitan yang dihadapi daripada pihak polis yang 'mangkaq'(kata seorang peserta), bayaran masuk ke Syalalat melambung tinggi, driver yang stress dengan keadaan yang berlaku dan bermacam-macam lagi masalah yang berlaku.

Ambo akui, rehlah kita hanya 'di atas bas' sahaja dan bermandikan peluh kerana cuaca amat panas. Itu tidak dinafikan. Permulaan perjalanan rehlah yang agak lembab dan lewat serta rehlah ditamatkan lebih awal daripada masa sebenar. Perjalanan rehlah kita juga di'control' oleh pihak polis dan bukannya dipantau oleh mereka. Kita 'terpaksa' mengikut mereka ke sana ke ke mari mengakibatkan segala agenda yang diatur oleh pihak AJK program tergendala. Satu perkara lagi yang agak mengecewakan adalah ketidakpuasan hati segelintir peserta kerana tidak dapat memasuki kawasan Istana Qarun. Ada apa di sekitar kawasan Istana Qarun?Tidak ada apa-apa melainkan sisa-sisa runtuhan bangunan sahaja. Tidak rugi kalau tidak menjejakkan kaki di Istana Qarun, tempat itu merupakan tempat orang yang dilaknat Allah, lainlah kalau tempat tersebut adalah maqam para nabi atau para auliya' Allah yang pasti ada keberkatannya.

Terkilan juga kerana mereka yang tidak berpuas hati hanya berani 'cakap belakang', tidak 'gentleman' cara begini. Di depan baik semacam saja tapi di belakang, dialah ketua dalam mengutuk. Ada juga yang menggunakan 'shoutbox' di laman blog DPM sebagai tempat meluahkah rasa tidak puas hati, mengata macam-macam dan berbagai sindiran pedas yang diberikan tetapi tidak menyatakan nama sebenar. Memang penakut. Kalau betul anda berani dan benar, silakan tampil untuk menyatakan kebenaran yang anda perjuangkan di sebalik 'shoutbox' itu. Cubalah hargai sedikit usaha yang dilakukan oleh pihak AJK dan beberapa orang yang turut membantu sehingga tidak tidur pada malam sebelum program demi memastikan rehlah akan berjalan lancar. Jangan terus sembur sahaja dengan kata-kata yang menyakitkan telinga.

Walau apa pun, marilah kita sama-sama mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran kerana kita semua masih diberi peluang untuk pergi dan pulang dengan selamat dari rehlah Fayyoum. Buat mereka semua yang terlibat dalam menjayakan rehlah ini samada AJK atau bukan AJK jutaan terima kasih dan sekalung tahniah diucapkan. Hanya Allah yang mampu membalas segala usaha dan jasa kalian.

Setiausaha Rehlah Fayyuom '09

Fitnah Penuntut Agama

6.10.2009 1 komentar

Pernah tonton iklan kitar semula satu masa dulu, Ambo pun tidak pasti pada tahun bilakah iklan tersebut disiarkan. Apa yang menarik pada iklan tersebut adalah satu 'statement' yang berbunyi "Jangan Cakap Saja, Kitar Semula". Disebalik kata-kata "jangan cakap saja" tersirat pelbagai mesej, peringatan dan faedah yang dapat diambil sekiranya difahami dengan sedalam-dalamnya.

Setiap manusia mempunyai pelbagai kelebihan dan kekurangan masing-masing dengan ada yang petah berkata-kata, pandai melukis, mahir dalam kira-kira dan setiap orang yang ada kelebihan pasti ada kekurangan yang masing-masing. Kita lihat ramai kini yang petah berhujah, manis berbicara dan pandai menyusun kata-kata tetapi tidak kurang juga ramai yang jenis 'lawyer buruk'(baca autar) dan mereka yang hanya tahu berkata-kata tetapi habuk pun tidak terhasil daripada kata-katanya.

Sebut saja tentang hukum apa, bagaimana, bila dan seribu satu persoalan yang dilemparkan dapat dijawab oleh mereka yang jenis 'sembang kemaih' ini. Entah daripada mana dalil atau hujah yang dicedoknya atau sekadar memberi 'fatwa'nya sendiri. Ini adalah sangat merbahaya kepada Islam terutamanya apabila ramai dikalangan penuntut ilmu agama samada di dalam mahupun luar negara tidak bersungguh-sungguh belajar dan mendalami ilmu agama, belajar maian-main tetapi berkata-kata bagai alim ulama'. Ambo tidak tujukan kepada semua, cuma sebahagian besar daripada jumlah pejalar agama kini lebih banyak tidur daripada menelaah kitab, lebih banyak menghadap 'Syeikh Google atau Ustaz Wikipedia'(menghadap komputer) daripada mengutip mutiara ilmu para masyaikh(guru-guru). Ini adalah realiti yang berlaku dikalangan penuntup agama kini.

Lebih malang lagi, kini muncul lebih ramai dikalangan yang ber'title' ustaz yang menghembus nafas dengan mengeluarkan asap daripada hidung dan mulut mereka. Entah daripada mana mereka mendapat hukum 'harus' untuk menghisap rokok atau mereka sengaja buat-buat tidak tahu fatwa hukum HARAM merokok yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Inilah yang menjadi fitnah kepada semua agamawan kerana masyarakat kini mula memandang negatif kepada penuntut ilmu agama kerana sikap dan akhlak yang ditunjukkan oleh segelintir golongan yang menjadi punca fitnah ini.

Lebih dibimbangi apabila telah mula lahir anak-anak hasil perhubungan haram sebelum berkahwin antara pelajar-pelajar agama lelaki dan perempuan. Bermula dengan perkenalan biasa kemudian ber'dating' dan seterusnya menjadikan perut yang kempis lagi ramping mula berisi janin. Mereka tahu bahawa perkara itu adalah salah di sisi Islam namun tenggelam dalam desakan hawa nafsu dan godaan syaitan. Inilah akibat apabila belajar agama tetapi tidak mengamalkan dalam kehidupan seharian.

Sudah pasti sukar untuk menyatakan kebenaran tentang sesuatu hukum jika seseorang ustaz tersebut sendiri melakukan perkara yang bertentangan dengan hukum yang sebenar. Sebagai contoh, jika seorang ustaz itu adalah perokok tentu sukar baginya untuk menyatakan hukum HARAM merokok. Sebagai langkah menyelamatkan diri, mereka akan menggunakan pendapat yang menyatakan merokok adalah makruh.

Pesanan buat diri sendiri dan semua penutut agama, kesempatan dan ruang yang ada ini gunalah dengan sebaiknya untuk mendalami dan memahami serta mengamalkan ilmu-ilmu agama dalam kehidupan seharian. Jangan asyik berhibernasi, leka dengan komputer dan banyak membazirkan masa. Jangan nanti pulang ke sisi masyarakat dengan kecetekan ilmu dan 'buat tahu' dalam pelbagai permasalahan agama. Kita juga jangan hanya pandai menuturkan kata-kata, menyuruh orang lain dengan pelbagai perkara ma'aruf tetapi kita masih tetap melakukan pelbagai kemungkaran. Ingatlah ayat Allah dalam surah Al Saf ayat 2-3 yang bermaksud "wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya. Amat besar kebencian di sisi Allah-kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya".

Tips Menghadapi Penjenayah

6.04.2009 4 komentar

Hari ini Obama datang ke Mesir. Sekadar makluman dan tidak ada kaitan dengan entri ini.

Beberapa hari lepas kita digemparkan dengan satu kejadian rompakan yang berlaku ke atas seorang pelajar universiti Al Azhar Ustaz Nazrul Nasir di Hayyu 'Asyir, Kaherah. Semua yang mengetahui kejadian ini pasti terkejut kerana penjenayah menggunakan senjata iaitu parang dan pistol. Alhamdulillah Ust Nazrul tidak berjaya dirompak dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Ambo tidak ingin mengulas tentang kejadian tersebut kerana anda boleh klik di blog Ust Nazrul untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kejadian yang berlaku.

Ambo cuma ingin berkongsi dengan para pembaca mengenai tips-tips yang ringkas dan mampu digunakan oleh segenap lapisan masyarakat apabila berhadapan dengan situasi diperas ugut, hendak dirompak atau diserang oleh penjenayah/perompak. Sebelum itu, diingatkan kepada semua(termasuk diri ini) agar tidak keluar rumah secara berseorangan pada waktu malam lebih lebih lagi para akhawat.

Beberapa tips yang dapat dikongsi dan diamalkan adalah :

1. Minta perlindungan daripada Allah s.w.t dan berselawat sebanyak mungkin.

2. Tenangkan diri dan jangan kalut berhadapan dengan penjenayah kerana apabila kita dalam keadaan kalut, kita tidak mampu berfikir bagaimana hendak mengambil langkah bagi melepaskan diri. Oleh itu, jangan kalut.

3. Apabila penjenayah tersebut meminta wang atau barangan berharga daripada kita, jangan serahkannya dengan mudah. Cakap saja tidak ada wang, telefon bimbit atau apa-apa saja yang berharga. (helah bukan tipu). Jangan pula cuba nak tunjuk kat penjenayah itu yang kita ada telefon mahal dan canggih.

4. Sekiranya penjenayah tersebut berseorangan dan tidak bersenjata, kita jangan terlalu yakin untuk menghadapinya(power la konon). Jangan sesekali menunjukkan keyakinan kita. Apabila penjenayah tersebut memegang kolar baju(dari depan) dan mengugut kita, cuba tenangkan penjenayah tersebut dan kita buat-buat takut. Langkahnya adalah, cuba dapatkan jari kelingking penjenayah tersebut dan kepakkan jari kelingkingnya(patahkan terus lagi bagus) kerana walau sekuat mana pun seseorang itu, jari kelingkingnya merupakan kelemahannya.

5. Apabila jari penjenayah tersebut telah cedera atau patah, kepalanya pasti akan menunduk ke bawah dan saat inilah kita gunakan untuk menyerangnya(sepak laju-laju atau cucuk matanya) dan melarikan diri. Cara yang sama kita boleh gunakan jika penjenayah datang dari arah belakang dan bertindak memaut leher kita.

6. Jika penjenayah datang dari arah belakang dan meletakkan pisau dileher, pertama sekali kita hendaklah berhati-hati dengan pisau tersebut, jangan terus bertindak untuk melawan. Gerakkan leher kita ke arah pelipat siku penjenayah untuk menjarakkan sedikit pisau dari leher kita dan tolak sikunya ke belakang dengan tangan kiri. Kemudian gunakan tangan kanan untuk untuk mencucuk mata penjenayah atau menyerang anggota sulitnya.

7. Sekiranya penjenayah tersebut berseorangan dan bersenjatakan pisau atau parang datang dari arah depan, kita pasti akan lebih cemas dan takut. Pertama sekali kita perlu kawal diri kita agar tidak terlalu cemas dan takut. Jika pisau itu dihalakan ke arah muka kita, kita perlu jaga jarak diri kita dengan penjenayah tersebut agar tidak menjauhkan atau mengundurkan diri. Jangan berundur ke belakang. Cuba dekatkan diri kita dengan penjenayah dari arah kiri badan penjenayah sekiranya dia memegang pisau dengan tangan kanan, kemudian tepis dan pegang tangan yang memegang pisau itu dengan tangan kiri kita dan dengan serta merta kita lepaskan tumbukan sekuat hati tepat ke muka penjenyah tersebut(perlu dilakukan dengan serentak dan cepat). Bagi kes perempuan yang diserang, anda mungkin merasakan tumbukan anda tidak kuat maka anda boleh mencucuk mata penjenyah tersebut atau menyerang anggota sulit lelaki(sepak selaju yang mampu) sekiranya penjenayah tersebut adalah lelaki. Selepas itu, bukalah langkah seribu.

8. Jika penjenayah ramai dan tidak memiliki senjata, kita perlu gunakan setiap ruang dan peluang yang ada untuk melepaskan diri. Jangan biarkan diri kita dipegang atau dikunci oleh penjenayah. Sekiranya penjenayah terdiri daripada 3 atau 4 orang, cuba pilih salah seorang yang kita rasakan adalah yang paling lemah dan cuba rempuhnya dengan sekuat yang termampu dan sekiranya berjaya lari selaju mungkin untuk mendapatkan bantuan. Jika anda memiliki pen atau kunci semasa dikepung, gunakannya sebagai senjata semasa merempuh penjenayah yang dirasakan yang paling lemah. Begitu juga jika penjenayah yang semuanya bersenjata, pilih senjata yang dirasakan yang paling lemah dan gunakan peralatan disisi kita untuk dijadikan sebagai senjata.

9. Apa yang penting semasa kita mengambil sebarang tindakan untuk melepaskan diri adalah kita jangan sesekali teragak-agak dan ragu-ragu. Yakin bahawa anda mampu untuk melakukannya. Jika kita teragak-agak untuk menyerang penjenayah dikhuatiri penjenayah akan terlebih dahulu bertindak menyerang kita.

10. Satu persoalan timbul jika penjenayah bersenjatakan pistol, bagaimana tindakan kita? Kita boleh menggunakan langkah 6 jika penjenayah berada pada jarak yang hampir dengan kita. Sekiranya jarak adalah jauh, cuba umpan penjenayah agar mendekati kita dengan mengeluarkan wang atau barang berharga yang kita miliki. Apabila penjenayah sudah terlalu hampir, gunakan langkah 6.

11. Bagaimana kalau penjenayah itu bertindak nekad menyerang kita dengan melepaskan tembakan ke arah kita? Perlu diketahui bahawa ini adalah langkah yang terakhir. Jika penjenayah melepaskan tembakan, kita jangan cuba untuk mengelak kerana kita tidak akan mampu untuk mengelak(takut-takut ada yang terpengaruh dengan tindakan hero dalam filem Hindi). Langkahnya adalah kita perlu segera melafazkan dua kalimah syahadah. Mungkin ajal kita sudah sampai...

Perkongsian untuk semua daripada :
Md Saifullah & Zul Ikhwan

Muslimah 'Playgirl'

6.02.2009 24 komentar
Tajuk entri kali ini mungkin agak panas tetapi kebenaran tetap perlu dinyatakan. Alhamdulillah, walaupun agak berat sikit untuk post entri ini namun berjaya juga. Sedih juga bila memikirkan perkara semacam ini kerana umat Islam kini semakin hari semakin jauh daripada petunjuk dan bimbingan Allah s.w.t. Muslimah dilihat sebagai salah satu ikon kesyumulan Islam tetapi segelintirnya yang menjadi parasit yang merosakkan nama baik wanita muslimah. 'Seorang lelaki playboy' merupakan istilah yang sangat masyhur sejak sekian lama dikalangan lelaki dan wanita namun kini istilah 'wanita playgirl' dilihat cuba untuk menyaingi istilah 'lelaki playboy'. Berdasarkan konsep yang sama dengan istilah lelaki playboy, istilah 'playgirl' juga menunjukkan keperibadian yang sangat buruk terhadap seseorang wanita. Ramai dikalangan wanita kini yang menjadi playgirl atas bermacam-macam sebab dan tidak hairan jika ramai dikalangan wanita playgirl adalah daripada kalangan wanita yang memakai skirt pendek, jeans londeh dan ketat sehingga menampakkan pusat dan berbaju atau singlet ketat dan sendat menjadi seorang wanita 'playgirl'. Apa yang dibimbangi kini adalah wanita muslimah yang tahu dan belajar agama juga turut tergolong dikalangan 'wanita playgirl'.

Perlu difahami dengan sebaiknya, tujuannya bukan ingin menabur fitnah kepada para muslimah tetapi ingin memberi kesedaran agar para 'muslimah sejati' membuka mata melihat kepincangan akhlak yang berlaku dikalangan muslimah khususnya dan seluruh umat Islam amnya. Perlu diketahui bahawa wujud juga dikalangan muslimah yang boleh dikategorikan sebagai 'playgirl' kerana memiliki ramai teman lelaki. Mereka inilah yang menjadi fitnah kepada 'muslimah sejati'. Jika dilihat pada sudut perwatakan secara zahir, merupakan pelajar agama yang menampakkan keperibadian baik, kesantunan, kesopanan, bertudung litup, berjubah dan hanya kadang-kadang berbaju kurung. Baju singkat dan seluar ketat jauh sekali dan memang tidak dipakai tetapi disebalik nilai ke'Islaman' yang ditonjolkan, tersirat suatu keperibadian yang menunjukkan akhlak yang sangat buruk dikalangan muslimah 'yang berlakon baik ini'. Di depan dengan keperibadian cukup baik sekali tetapi di belakang dia merupakan seorang muslimah yang 'playgirl'.

Ambo tidak menulis tanpa bukti dan jauh sekali hendak menabur fitnah kepada kaum muslimah. Hal ini berlaku kepada seorang teman yang telah menjadi mangsa kepada muslimah 'playgirl' ini. Bermodalkan rupa paras yang agak ayu, cantik dan menarik serta berjaya 'melakonkan' keperibadian yang cukup baik sehingga mampu membuatkan ramai lelaki tertarik kepadanya, muslimah ini berjaya mencairkan dan menawan hati ramai lelaki. Lebih kurang 3 atau 4 lelaki yang berjaya dikuasainya. Bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Keperibadian dan akhlak sebenar muslimah ini akhirnya 'terkantoi' apabila dua daripada lelaki yang menjadi temannya merupakan dua orang sahabat baik. Ambo dikhabarkan bahawa muslimah tersebut tidak pernah keluar 'berdating' dengan mana-mana lelaki yang menjadi temannya dan hanya berhubung melalui SMS dan telefon (kononnya bercinta cara Islam).

Mungkin istilah yang agak berat kerana Ambo gunakan kerana melabelkan muslimah tersebut sebagai seorang 'playgirl' tetapi Ambo rasa itu adalah suatu istilah yang paling sesuai kerana akhlak yang ditunjukkan langsung tidak mempamerkan akhlak dan keperibadian seorang muslimah sejati. Ambo tidak menghukum semua para muslimah, hanya kerana segelinitir kecil muslimah 'playgirl' ia menjadi fitnah yang cukup besar kepada muslimah sejati. Kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga. Buat para muslimah sejati, anda adalah aset Islam yang cukup penting dan usah terasa dengan entri ini kerana siapa yang makan lada, dia yang akan terasa pedas lada tersebut. Khas buat 'muslimah playgirl', sedarlah bahawa hidup di dunia ini adalah sementara dan usah terpedaya dengan kehendak nafsu,tipu daya dunia dan hasutan syaitan. Jangan kerana anda, maruah Islam yang tercemar. Pesanan buat kaum lelaki(termasuk Ambo), berhati-hati dalam memilih pasangan dan usah terpedaya dengan kecantikan rupa paras yang tidak kekal, pilihlah yang benar-benar memahami dan mengamalkan Islam dalam kehidupan(bukan sekadar berlakon) nescaya kita tergolong dikalangan orang-orang yang beruntung di dunia dan akhirat.