Khatam Al Quran Lapan Kali Sehari

8.19.2011 1 komentar


Ramadhan sudah melepasi garis tengahnya dan semakin berganjak menuju titik penghujung. Lingkungan tempoh penghujung ini adalah puncak maksima bagi penumpuan melipat gandakan amalan. Bagaimana dengan keadaan kita? Sudah berapa kali khatamkan al Quran? Tahukah kita mengenai kehebatan para sahabat dan para solihin terdahulu sehingga mereka mampu khatam al Quran lapan kali dalam sehari. Imam Nawawi R.A menyatakan, riwayat jumlah paling banyak khatam al Quran adalah sebanyak LAPAN KALI dalam sehari. Mampukah kita...

1. Khatam al-Quran empat kali pada waktu siang dan empat kali pada waktu malam seperti al-Sayyid al-Jalil Ibnul Katib al-Sufi?

1. Khatam al-Quran tiga kali sehari seperti Salim bin Umar rahimahullah?

1. Khatam al-Quran dalam satu rakaat pada solat seperti Sayyidina Uthman bin Affan, Tamim al-Dari, Sa'id bin Jabir dan al-Syafie r.a?

1. Khatam al-Quran diantara solat maghrib dan isya' pada bulan Ramadhan seperti Mujahid rahimahullah?

1. Khatam al-Quran dalam masa tiga hari pada bulan Ramadhan seperti Abdullah bin Mas'ud r.a?

1. Khatam dalam masa tiga hari seperti Abdullah bin Amr bin al-Ash r.a?

1. Khatam al-Quran dalam masa tujuh hari seperti Zaid bin Thabit r.a?

1. Khatam al-Quran dalam masa lapan hari seperi Ubay bin Ka'ab r.a?

1. Khatam al-Quran pada setiap sepuluh malam seperti al-Hasan bin Abi al-Hasan al-Basri?

1. Khatam al-Quran sebanyak 18000 kali seperti Imam Syu'bah?

* mengapa semua No.1?
* kita berada pada tahap mana?
*anda mampu melakukannya?
Jika mampu, pilihlah tahap mana yang kita mahu lakukan, semua adalah terbaik. Sama-sama gunakan kesempatan ramadhan ini semaksimanya.


Berinteraksi Dengan Al Quran

8.17.2011 0 komentar
Antara peristiwa terpenting yang berlaku di bulan ramadhan adalah berlakunya penurunan al Quran. Ramadhan adalah bulan diturunkan al Quran.

"(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang didalamnya diturunkan (permulaan) Alquran sebagai petunjuk bagi manusia danpenjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil)." - al-Baqarah : 184

Oleh kerana itu, selain disebut sebagai syahrus siyam (bulan puasa), bulan Ramadhan juga disebut sebagai syahrul quran (bulan al Quran). Pada bulan Ramadhan, al Quran diturunkan untuk menjadi panduan, perlembagaan dan pedoman kepada manusia terhadap segala aktiviti dan gerak geri mereka di dunia.

Pada bulan ini juga, Malaikat Jibril turun bertemu baginda Rasulullah SAW untuk mendengar dan menyemak bacaan al Quran daripada Rasulullah SAW.

Iman Al Zuhri berkata, 
"Apabila datang Ramadhan, kegiatan utama kita (selain berpuasa) ialah membaca al Quran."

Namun, seharusnya kita tidak hanya sekadar membaca sahaja, kita perlu mentadabbur, memahami dan mengamalkan segala isi kandungan al Quran. Bukannya memilih mana-mana bahagian yang berkenan kita ambil, bahagian yang tidak berkenan kita tinggalkan.

Bulan Ramadhan merupakan kesempatan serta peluang bagi umat Islam untuk benar-benar berinteraksi dengan al-Quran. Hal ini bertujuan untuk meraih kualiti hidup sebagai hamba, keberkatan dan meniti jalan menuju umat terbaik dengan petunjuk daripada al Quran. Bagaimana untuk kita berinteraksi dengan al Quran? 

1. Tilawah (membaca)
2. Tadabbur (menghayati dan memahami)
3. Hafal
4. Amal
5. Mengajar
6. Tahkim (menjadikan sebagai perlembagaan dan berhukum dengan al Quran)

Rasulullah SAW bersabda :
“Sebaik-baiknya kamu adalah yang mempelajari Alquran dan yang mengajarkannya.”

Ramadhan sebagai syahrul quran (bulan al Quran) dan bulan yang penuh berkat, terlalu rugi jika hari demi hari bulan Ramadhan terus berlalu begitu saja. Prioriti amalan yang berkait dengan al Quran menjadi keutamaan!

Helaian demi helaian akhbar mampu dibelek, mata yang tidak berkelip memahami isi kandungan novel. Mengapa kita tidak boleh melakukan sebegitu kepada kitab agung al Quran? Sedang pada masa yang sama kita sedar novel itu cuma imaginasi penulisnya sahaja, akhbar pula sangat tipis kesahihannya tetapi al Quran itu langsung tidak ada keraguan padanya.


Darjat Dan Jenis Puasa

0 komentar


Puasa bukan hanya sekadar dipraktik secara zahir, malah ia perlu dihayati daripada sudut batin atau rohaninya supaya puasa kita akan mendatangkan lebih kesan kepada jiwa dan roh kita. Imam al-Ghazali membahagikan darjat puasa manusia kepada tiga bahagian;

1. Puasa umum : iaitu berpuasa dengan menahan perut dan faraj (kemaluan) dari menikmati keinginannya (makan, minum dan sebagainya).

2. Puasa khusus : iaitu berpuasa yang disertakan dengan menjaga pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota dari melakukan yang haram atau dosa.

3. Puasa khususul khusus (paling khusus) : iaitu berpuasa dengan menyertakan semua yang tersebut di atas dan menambah lagi dengan berpuasa hati dari segala cita-cita yang kotor dan pemikiran-pemikiran keduniaan dan memesongkan perhatian dari selain Allah sama sekali.

Jadi puasa yang sebenar bukanlah hanya puasa zahir sahaja (iaitu dengan menegah diri dari makan, minum, bersetubuh dan sebagainya perkara-perkara yang membatalkan puasa) tetapi juga berpuasa batin iaitu dengan menegah diri dari maksiat dan dosa. Seorang yang berpuasa di samping menjaga diri dari makan, minum dan sebagainya, ia juga mesti menjaga anggota-anggotanya dari dosa dan maksiat. Jika tidak ia tidak akan mencapai kesempurnaan puasa sebagaimana yang dikehendaki Allah.


Berbeza Qiraat, Berbeza Ganjaran

8.12.2011 0 komentar

Perbezaan bacaan qiraat al Quran mengandungi hikmah serta kelebihannya yang tersendiri. Jika dibedah dan dikaji sampai kiamat sekalipun rahsia-rahsia yang terkandung di dalam kitab agung al Quran tidak akan pernah habis digali. Antara perkara yang dinyatakan oleh para sarjana ilmuan Islam adalah perbezaan bacaan qiraat al Quran akan menghasilkan perbezaan ganjaran pahala yang diperolehi oleh pembaca.

Sebagai contoh adalah perbezaan bacaan qiraat pada ayat keempat dalam surah al Fatihah iaitu pada kalimah :

Imam 'Asim, Imam al Kisaie, Imam Yaakub dan Imam Khalaf al 'Asyir membaca dengan huruf Alif selepas huruf Mim (مالك) manakala para imam qurra' yang lain membaca dengan tanpa huruf Alif selepas huruf Mim (ملك)

Imam Qurtubi menyatakan, sebahagiannya menjadikan alasan melebihkan qiraat (مالك) kerana terdapat padanya satu huruf yang ditambah iaitu huruf Alif. Maka si pembacanya memperolehi ganjaran sepuluh kebaikan berbanding dengan qiraat (ملك). Walaubagaimanapun, ia hanyalah perbandingan pada sudut sebutan lafaz sahaja dan bukannya pada sudut makna kalimah tersebut.

Imam al Razi juga menyatakan sedemikian di dalam Tafsir al Kabir mengenai kalimah (مالك) di dalam surah al Fatihah, "sesungguhnya pada kalimah ini terdapat pertambahan huruf, maka pada bacaannya akan melebihkan ganjaran pahala yang diperolehi".

Hal ini disandarkan kepada sebuah hadis Rasulullah SAW mengenai kelebihan orang yang membaca al Quran :

Maksudnya “Barangsiapa yang membaca satu huruf kitab Allah, maka dia mendapat pahala satu kebaikan sedangkan satu kebaikan dibalas sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu adalah satu huruf, tetapi Alif adalah satu huruf dan Lam satu huruf serta Mim satu huruf.”

Jom, sama-sama perbanyakkan bacaan al Quran di bulan Ramadhan ini. Jika mampu, bacalah dengan bacaan qiraat yang berbeza kerana ganjarannya juga berbeza sebagaimana yang disebut oleh para ulama'

Target bacaan penuh al Quran sepanjang Ramadhan ini :
Qiraat Hafs - selesai
Qiraat Abu Jaafar - menanti
Qiraat Warsy - akan dilaksanakan