Lelaki, Perempuan & Baitul Muslim. Benarkah?

9.27.2010 3 komentar

Beberapa orang asyik berbincang dengan hujah masing-masing. Bersemangat dan bersungguh-sungguh.

"Dunia ni perempuan semakin ramai, biasa la tu"
Ujar seorang teman. Ringkas dan padat.

Siapa yang tidak tahu mengenai sistem baitul muslim, bukan keluarga muslim yang baru menikah. Maksudnya satu badan/unit yang menguruskan ahli-ahli yang ingin menikah, sebagai menjaga kesucian tatatertib rumahtangga yang bakal dibina. Sebagaimana biasa, setiap orang perlu mengisi borang yang kemudian diserahkan lalu diteliti oleh pihak pengurusan yang bertanggungjawab mengikut ciri-ciri dan kesesuaian setiap calon. Kemudian ditemukan untuk berkenalan melalui perantara samada saling berkenan atau sebaliknya.

Benarkah ikhwah (lelaki) sekarang hanya segelintir sahaja yang mengisi borang? Tanya seorang rakan. Tidak dapat dipastikan bagaimana pada sudut pendataan yang sebenar. Mungkin juga benar, berbondong-bondong akhawat (perempuan) yang mengisi borang tetapi tidak ramai kalangan ikhwah yang mengisi borang. Macam mana nak jadi. Kata orang, 'sistem ada, tapi orang tak go through system. Biarlah standard system macam mana sekalipun, menang award dengan sistem pengurusan tahap terbaik tapi kalau tak ada orang nak guna sistem sama saja macam tak ada. Bukan masalah pada sistem, tetapi customer sistem yang bermasalah.' Fikir-fikirkan.

Ya, bila orang sudah mula tidak percaya kepada sistem, inilah yang penangannya. Sistem yang bertindak menjaga kesucian muamalah antara lelaki dan wanita telah diratah awal-awal sebelum tiba saat yang selayaknya. Masa melakukan kerja dakwah disibukkan dengan mengisi hati dengan panahan syaitan. Waktu mengejar redha Allah, dialihkan dengan mengejar pasangan. Mungkin kerana salah faham pada janji Allah bahawa lelaki baik untuk perempuan baik, lalu terhasillah satu konsep dakwahnya cuma mahu jadi baik kerana mahukan perempuan yang baik. Jiwanya kosong, tiada keaslian dalam melakukan gerak kerja dakwah. Melakukan kerja sambil memilih-milih mana yang dirasakan berkenan di hati. Menyelam ke dasar laut sambil makan mee goreng mamak.

Kata seorang teman yang telah berkahwin, kesannya dapat dilihat dengan jelas sekarang. Sistem baitul muslim yang dilambaki dengan akhawat yang merasa dirinya sudah tak mampu nak mencari sendiri atau rasa-rasa diri tak laku atau telah merangkul status andalusia dan andartu (muda-muda dulu asyik menolak dengan alasan tak bersedia dan nak tumpu pelajaran serta macam-macam alasan yang dicipta). Yang ikhwah terus dengan pilihan sendiri hasil carian melalui search engine mereka sendiri yang dipandu syaitan manakala borang-borang akhawat terus berbaris menanti-nanti di kaunter baitul muslim. Ikhwah yang telah menikah pula langsung menyepi daripada arena kerja dakwah. Tenaga kerja dakwah yang mendapat tempias daripada masalah ini.

Mudah-mudahan segala perbincangan dan tanggapan ini hanya sekadar hipotesis awal yang salah. Jika betul, sama-sama kita perbaiki diri kita. Ikhlaskan niat kita dalam berdakwah. Tingkatkan amal ibadah kita. Jangan jadi orang bodoh sombong. Bila rasa seronok, kita terima. Bila rasa sakit terhantuk, mula naik angin, marah-marah dan terus menolak.

Berebut Mahasiswa

9.19.2010 1 komentar

Sebelum ini, cuma dengar-dengar hujung telinga sahaja cerita dan kes berebut dan curi mahasiswa yang baru tiba dari Malaysia ke bumi Mesir. Hari ini berpeluang menyaksikan sendiri bagaimana pelajar yang datang melalui Sekritariat Menyambung Pelajaran Universiti Tempatan & Timur Tengah Darul Quran (SMUTEM DQ) yang disambut oleh AJK Unit Sambutan Mahasiswa Baru (USMB) Shoubra dan Mansurah yang cuba untuk diambil oleh pihak lain.

Bukannya nak ulas panjang berkenaan kronologi dan cerita sepanjang petang itu kerana hampir semuanya berjaya dirakamkan dengan jelas dengan perakam video tetapi ada beberapa perkara yang perlu kita semua tahu.

Mengapa mesti ada pihak lain yang menyambut dan cuba mengambil mahasiswa baru sedangkan pada masa yang sama sudah ada ahli jawatankuasa USMB yang bersiap sedia untuk menyambut mereka? Menyusahkan saja!

Melihat kepada reaksi mahasiswi tersebut, ternyata beliau berada dalam keadaan terpinga-pinga. Mungkin kerana baru sahaja menjejakkan kakinya ke bumi Mesir sudah ada ujian pertama buatnya. Pastinya jika kita berada di posisi beliau, kita juga tidak pasti mahu mengikut yang mana kerana kedua-dua pihak mengatakan mereka yang lebih berhak. Kasihan mahasiswi berkenaan.

Pihak SMUTEM DQ yang berurusan secara terus dengan pihak USMB Shoubra dan Mansurah berhubung ketibaan mahasiswa SMUTEM DQ ke bumi Mesir dan telah disepakati bersama oleh pihak pengurusan bahawa USMB Shoubra dan Mansurah yang menyambut dan mengambil semua mahasiswa yang hadir dibawah kelolaan pihak SMUTEM DQ. Mengapa mesti ada campur tangan daripada pihak lain? Apa hak mereka?

Sedikit ketegangan yang berlaku pada petang tersebut berjaya dilenturkan dengan baik dan akhirnya semua mahasiswa yang hadir melalui SMUTEM DQ dibawa oleh pihak USMB Shoubra dan Mansurah terus ke cawangan masing-masing. Jutaan terima kasih kepada Ustaz Najib yang turut membantu.

Senyum dalam kepenatan.
Entri ini ditulis pada 16 September 2010 jam 11.50 p.m.

------------------------------------------------------------------------------

"Melayu Sepakat, Islam Berdaulat"

Benarkah kenyataan ini? Saya sangat tidak bersetuju! Kenyataan ini jelas tertera pada sebuah risalah yang diedarkan secara senyap-senyap pada petang tadi di dataran Hayyu 'Asyir. Adakah kerana Melayu Islam berdaulat? Islam memerlukan Melayu atau Melayu yang memerlukan Islam? Islam hak Melayu atau hak siapa? Siapa setuju dengan saya, sila lihat pada skrin komputer. Siapa tak setuju dengan saya, pergilah dengan melayu anda! Islam bukan ditegakkan dengan bangsa. Fikir-fikirkan..

Mengapa Penemuan Sains Berlaku Di kalangan Bukan Muslim?

9.17.2010 1 komentar

Al Quran dan hadith-hadith Rasulullah SAW banyak menyatakan berkenaan tentang sains dan teknologi yang hanya dapat dicapai oleh manusia setelah berpuluh-puluh abad lamanya dinyatakan oleh Rasulullah melalui al Quran al karim dan sabda baginda yang mulia. Sains dan teknologi dijelaskan secara implisit di dalam al Quran dan hadith Rasulullah iaitu secara tersirat melalui berbagai penjelasan berkenaan aqidah dan lain-lain. Oleh sebab demikian, penjelasan al Quran dan hadith sentiasa selari dan seiring dengan perkembangan zaman dan keadaan serta selama-lamanya tidak akan pernah wujud percanggahan antara al Quran dan hadith dengan logikal pemikiran manusia.

Satu persoalan yang mungkin terbit daripada lubuk hati kita berkenaan tentang banyak penemuan dan perkembangan sains dan teknologi dewasa ini yang banyak dilakukan oleh golongan bukan Islam terutamanya pihak dunia barat. Mengapa terjadi sedemikian? Sudah pasti ada hikmahnya mengapa Allah SWT menentukan realiti sedemikian. Antaranya adalah, seandainya penemuan-penemuan dan pekembangan sains dan teknologi sentiasa dilakukan oleh golongan muslim, maka sudah tentu keistimewaan kebenaran yang wujud pada al Quran dan hadith-hadith tidak diperhatikan dan diteliti oleh golongan bukan Islam. Jika golongan muslim yang sentiasa melakukan penemuan terkini, mungkin sahaja ada yang beranggapan bahawa hasil penemuan seorang muslim pastinya akan membenarkan isi kandungan al Quran dan hadith. Namun, sekiranya penemuan dilakukan oleh golongan bukan muslim yang ternyata penemuan tersebut membenarkan dan selari dengan apa yang terkandung di dalam al Quran dan hadith, sudah pasti akan lebih menguatkan kebenaran isi al Quran dan hadith yang sememangnya benar dan sahih. Tidak hairanlah jika ramai dikalangan saintis barat yang mendekati dan memilih Islam sebagai cara hidup hasil daripada kajian dan penemuan yang mereka lakukan tepat sepertimana yang dinyatakan oleh al Quran dan Hadith.

Beberapa contoh mudah disebutkan di sini :

Berpuluh-puluh abad sebelum ahli biologi menemuikan rahsia proses penciptaan manusia di dalam rahim ibu, al-Quran sudah jelas menyatakan :

"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia itu daripada suatu saripati (berasal) daripada tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) di dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk (berbentuk) lain. Maha Suci Allah Pencipta Yang Paling Baik. Surah al-mu'minun : 12-14

Puluhan abad sebelum wujudnya teknologi televisyen dan monitor, Al-Qur’an sudah mengenalkan tentang adanya paparan skrin dan televisyen, sebagaimana disebutkan di dalam kisah Ratu Balqis bersama Nabi Sulaiman :

"Dikatakan kepadanya : 'masuklah ke dalam istana'. Maka tatkala dia melihat lantai istana itu, dikiranya kolam air yang besar, dan disingkapkannya kedua betisnya. Berkatalah Sulaiman: “Sesungguhnya ia adalah istana licin yang menggilap terbuat daripada kaca.” al-Naml : 44

Ratu Balqis merasakan sebagai sebuah kolam air yang besar kerana memang dilihat sedemikian. Sebenarnya ia adalah kaca dan pada masa kini ia dikenali sebagai teknologi paparan skrin TV atau televisyen.

“Kemudian aku didatangi binatang yang disebut Buroq, yang lebih tinggi daripada keldai namun lebih pendek dari baghal, yang setiap langkah kakinya adalah sejauh batas pandangan mata. Aku dibawa di atasnya, kemudian kami pergi hingga kami mendatangi langit dunia.”
( HR. Ahmad, Al-Bukhari, Muslim dan lain-lain )

Hadith ini mengisyaratkan akan wujudnya teknologi kenderaan yang memiliki kelajuan dan kepantasan yang 'super' sehingga mengatasi kelajuan bunyi, baik kendaraan di darat mahupun udara seperti pesawat supersonic, pesawat challenger dan lain-lainnya.

Maha Suci Allah Yang Maha Agung

Tulisan Buat Penulis

9.14.2010 1 komentar

Berdakwah melalui pena dan penulisan? Mampukah? Pastinya mampu jika kita bersedia untuk melaksanakannya. Perkara pokok dan yang paling utama adalah mesti mempunyai visi. Seorang penulis muslim perlu menggalas visi untuk melakukan pencerahan melalui tulisan, sentiasa memperbaiki kualiti diri serta meningkatkan keimanan dan ilmu pengetahuan sejajar dengan tuntutan dan pengajaran daripada wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah SWT(Iqra'). Ertinya, seorang penulis muslim mesti berusaha membentuk dan mewujudkan sebuah masayarakat membaca dan menulis dengan matlamat mengislah diri diatas dasar nilai moral yang diredhai Allah SWT.

Tiga perkara yang perlu menjadi sandaran dalam penulisan bagi seseorang penulis muslim adalah :

1. Merujuk kepada sumber utama Islam yang empat iaitu Al Quran, Hadith, Ijma' dan Qias dengan kefahaman yang sebenar agar tidak terpesong daripada landasan Islam.

2. Memastikan penulisan adalah sebahagian daripada ibadah. Islam adalah kaffah, menyeluruh dan meliputi seluruh aspek kehidupan. Menyanggah kefahaman sekular yang menyempitkan ruang lingkup ibadat dan menyahkan agama daripada aspek ekonomi, sosial, politik, kebudayaan dan sastera. Tiada ruang kehidupan yang terkecuali daripada Islam.

3. Selain mengukuhkan kesedaran pembaca terhadap ketuhanan dan dakwah, tulisan seorang muslim juga perlu 'berpijak di bumi yang nyata' dengan kesedaran kemanusiaan, isu semasa dan kemasyarakatan.

Sebagai seorang muslim, jadilah penulis yang muslim. Penulis yang ingin yang menyumbangkan percikan kilau daripada rantaian kata yang disusunnya. Seorang penulis juga mesti bertanggungjawab terhadap apa yang ditulisnya, baik dunia mahupun akhirat. Sebelum menulis, fikirkan sejenak dengan semasak-masaknya, apakah tulisan ini membawa keredhaan Allah atau mengundang murkaNya? Mencerahkan atau memporakperandakan institusi masyarakat sekitar?

Ingatlah pesanan Dr. Yusuf al Qaradawi, setiap penulis pasti akan mati dan berlalu. Tetapi waktu yang mengabdikan hasil penulisannya. Maka janganlah kalian menulis dengan tangan anda, selain tulisan yang akan dapat membuatkan anda tersenyum ketika anda melihatnya kembali.

p/s : Agak lama tidak menulis, maaf...

Lailatul Qadr Yang Dipandang Sepi

9.07.2010 0 komentar
Maksud firman Allah dalam Surah al-Qadr : "Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkan al-Quran pada malam al-qadr (lailatul qadr), dan tahukah kamu apakah lailatul qadr itu? Lailatul qadr lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar."

Lailatul qadr merupakan peluang terbaik kita, jangan sia-siakan peluang keemasan ini. Akan tetapi, mengapakah masih ramai di antara kita yang masih memandang ringan kepada lailatul qadr? Mungkin antara puncanya adalah :

1. Mengidap penyakit lemah iman, sangat kurang jelas dan tidak yakin tentang kebesaran dan kemuliaan serta ganjaran pahala pada malam al-qadr, sebaliknya lebih mengagungkan perkara-perkara materialistik yang boleh didapati dengan segera di dunia ini.

2. Selalu menuruti kehendak hawa nafsu sehingga tidak berhajat menumpukan kepada ibadat pada malam-malam sepuluh akhir Ramadhan, kerana nafsu ingin berehat, mahu menonton TV, mahu berbual-bual kosong, melayari internet, mahu bersama-sama bantal, tilam dan kain selimut. Ada pula yang sibuk membeli-belah untuk persiapan raya sampai terlupa ganjaran yang disediakan oleh Allah pada malam al-qadr.

3. Penyakit panjang angan-angan. Terus mencipta angan-angan untuk hidup seratus tahun lagi yang menyebabkan mereka membiarkan malam-malam terakhir Ramadhan berlalu begitu sahaja dengan sia-sia tanpa diisi dengan amal ibadat kepada Allah.

"…(iaitu) ada pada bulan Ramadhan.  Kerana itu, hendaklah kamu mencarinya pada sepuluh hari terakhir.  Kerana ia terdapat pada hari-hari ganjil, iaitu pada malam 21, atau malam 23, atau  malam 25, atau malam 27, atau malam 29, atau malam terakhir."

Usah sia-siakan peluang yang masih berbaki, Ramadhan akan datang belum pasti kita berpeluang.