Syarat Memperoleh Ilmu

12.31.2010 1 komentar


Al Imam Syafie rahimahullah menyatakan enam syarat dalam memperoleh ilmu melalui kata-kata beliau yang masyhur iaitu :

أخي لن تنال العلم إلا بستة  سأنبيك عن تصيلها ببيان
ذكاء, وحرص, واجتهاد, وبلغة وصحبة أستاذ, وطول زمان

Saudaraku, kamu tidak akan memperoleh ilmu melainkan dengan enam perkara :

1. Kecerdikan / kepintaran
2. Hasrat Keinginan / iltizam
3. Kesungguhan
4. Saraan hidup / kewangan
5. Berdampingan dengan guru
6. Masa yang panjang

Antara Sebab Penghalang Rezeki

12.29.2010 0 komentar
Berdasarkan Kitab Taalim al Mutaalim Fi Tariq al Taalum

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : 

"Tiada menolak akan kadar itu melainkan doa dan tiada menambah pada umur melainkan kebajikan, kerana bahawasanya lelaki diharamkan dia daripda rezeki dengan sebab dosa yang mengenai akan dia."


Melakukan dosa akan menyebabkan terhalang daripada rezeki dan tidur pada waktu subuh juga akan menghalang rezeki kerana banyak tidur akan membawa kepada kepapaan, papa pada sudut harta dan papa pada sudut ilmu.

Antara perkara yang membawa kepada kepaaan adalah : 

1. Tidur sambil telanjang
2. Kencing telanjang
3. Makan dalam keadaan berjunub
4. Makan sambil menyingking atas lambungnya
5. Bermudah-mudah dan membiarkan dengan tumpahan daripada hidangan nasi, roti dan umpamanya.
6. Bakar kulit bawang putih dan bawang merah
7. Menyapu rumah dengan kain
8. Menyapu rumah pada waktu malam
9. Membiarkan sampah pada rumah
10. Berjalan-jalan di hadapan orang-orang tua
11. Memanggil kedua ibubapa dengan nama keduanya
12. Mencungkil gigi dengan tiap-tiap kayu
13. Membasuh tangan dengan selut dan tanah
14. Duduk atas direning pintu
15. Bergantung-gantung atas salah satu daripada dua keping papan pintu
16. Berwudu' di tempat qada hajat
17. Menjahit kain yang di atas tubuhnya
18. Mengeringkan basah-basah muka dengan kain yang dipakainya
19. Membiarkan sarang labah-labah pada rumahnya
20. Bermudah-mudah dengan solat
21. Segera keluar daripada masjid setelah solat subuh
22. Berpagi-pagi ke kedai dan lewat pulang dari kedai
23. Berdoa dengan kejahatan ke atas anaknya
24. Tidak menutup bekas makanan
25. Menghembus pelita dengan mulut
26. Menyurat dengan pen yang diberkas
27. Menyikat dengan sikat yang patah
28. Tidak mendoakan kebaikan kepada kedua ibubapa
29. Membelit serban sambil duduk
30. Memakai seluar sambil berdiri
31. Terlalu jimat
32. Boros
33. Pemalas
34. Bermudah-mudah dalam setiap perkerjaan

-petikan daripada Kitab Taalim al Mutaalim Fi Tariq al Taalum, oleh al Allamah Syeikh Burhanuddin al Zarnuji


Impian Besar Tetapi Usaha Kecil

12.27.2010 8 komentar

Sebagai manusia, kita sering mengimpikan setiap sesuatu yang dapat memuaskan hati kita. Terutamanya pada seorang pemuda atau remaja. Sememangnya pada peringkat umur sebegini, kita lebih cenderung untuk bersifat Idealis dan tidak menghiraukan keadaan sekeliling.

Sememangnya tidak ada masalah untuk kita bercita-cita besar. Itu akan membuatkan kita mempunyai jiwa yang besar dan sentiasa optimis. Inilah yang akan melahirkan orang-orang yang tidak hanya mengimpikan kejayaan-kejayaan kecil dan selesa dengannya, bahkan kita akan sentiasa berusaha mencapai sesuatu yang lebih baik seperti yang kita sasarkan.

Itu secara teorinya dan memang itu tidak dinafikan. Sekarang cuba kita analisis dari segi realiti pula. Ertinya di sini dari segi kemampuan sebenar kita dan kesanggupan kita. Tiada masalah kita ingin berlari ke langit jika kita bisa berjalan merentasi pelangi. Itu sekadar analogi. Ertinya di sini cita-cita yang besar kemudiannya memerlukan usaha yang tidak kurang hebatnya. Jika tak sanggup melecur tangan, jangan main dengan api, kelak binasa diri.

Do not expect too much when you give too little. Sekadar peringatan agar kita sentiasa berjaga-jaga dan bersungguh-sungguh jika ingin merealisasikan sesuatu yang besar dalam kehidupan. 

Harus sanggup berkorban dan tidak mudah melatah kerana perkara kecil, barulah kita akan sentiasa bersedia untuk menghadapi sesuatu yang besar.

Pak Cik Tua Yang Bijak

12.16.2010 0 komentar

Kisah perbualan di dalam sebuah kereta api. Seorang lelaki tua bersahaja dengan gaya orang kampung duduk bersebelahan dengan seorang lelaki muda yang berpakaian kemas dan segak.

Pak cik tua : Anak muda ni kerja apa?

Pemuda : Saya seorang penyelidik, saya pakar serangga. Semua jenis serangga saya tahu. Tak kira sekecil-kecil serangga hingga sebesar-besar serangga.

Pak cik tua : Ooo...hebat. Pak cik ni cuma orang kampung biasa saja.

Selang 20 minit, pemuda tersebut mendapat satu idea.

Pemuda : Pak cik, Saya mahu bermain teka teki dengan pak cik berkaitan dengan serangga, pak cik tanyakan kepada saya soalan. Saya janji akan berikan RM1000 kepada pak cik kalau saya gagal menjawab soalan pak cik. Tetapi kalau sekiranya saya mampu jawab, pak cik pula mesti berikan RM100 saja kepada saya. Setuju?

Pak cik tua : Ermm...baik. Pak cik setuju.

Pak cik tua memulakan soalan..

Pak cik tua : Pak cik nak tanya apa nama serangga yang giginya besar, hitam dan tajam, matanya ada empat, kakinya ada lapan, ada dua mulut, tangannya ada enam, lehernya panjang berbulu hijau, rambut panjang sampai ke kaki, hidung kecil tapi ada tiga lubang, telinga besar dan panjang serta berlubang, badan bersisik, berkuku tajam, ekor berbulu, boleh terbang tapi tidak boleh berenang.

Pemuda : (termenung, berfikir panjang) sekejap pak cik, berikan masa untuk saya fikir dulu.

Setelah 30 minit, pemuda itu mula berkata...

Pemuda : Baiklah pak cik, saya mengalah, sepanjang saya belajar dan mengkaji serangga, saya tak pernah jumpa dan saya tidak tahu apa jenis serangga yang pak cik maksudkan. Nah, wang RM1000 untuk pak cik.

Pak cik tua : Terima kasih. (tersenyum lebar)

Pemuda : Boleh saya tahu apa jawapannya?

Pak cik tua : Nah, ambil duit RM100 ni.

Pemuda : Saya mahukan jawapan, bukan duit ni.

Pak cik tua : Pak cik pun tidak tahu apa jawapannya.


p/s : Jangan sombong dengan ilmu yang kita ada.


Budak Hingusan Sembang Belakang

12.07.2010 1 komentar

Diriwayatkan daripada suara-suara sumbang yang jelas menyatakan ketidakpuasan hati terhadap pihak persatuan pelajar. Isunya adalah 'sembang belakang'. Jika sekadar sembang belakang biasa, itu boleh dianggap normal. Tetapi hal ini lebih hangat daripada biasa, meracuni pemikiran mereka yang lain supaya bertindak menjauhi persatuan, membelakangkan persatuan dalam beberapa hal.

Mereka bertindak memanipulasikan isu-isu kecil yang sengaja diperbesarkan, isu-isu lapuk dikorek gali kembali mahu dihangatkan serta isu-isu yang sudah basi mahu dihangatkan kembali. Jika hanya dipandang remeh, ia mungkin dirasakan seperti angin sepoi-sepoi bahasa yang mengasyikkan jiwa. Namun, jika tidak berjaga-jaga ia bakal bertukar menjadi taufan ganas yang menyerang dan membaham tanpa mengenal sesiapa.

Isu pertembungan fikrah, isu perumahan dan penempatan boleh dikatakan hangat di saluran media mulut belakang. Jika tidak berpuas hati, ada saluran yang sewajarnya, rujuklah pihak yang berkenaan. Bukan meracuni pemikiran untuk menjauhkan orang lain daripada persatuan serta menentang persatuan. Bila berbicara mengenai ukhuwah, tarbiyyah dan pengorbanan, seolah-olah mereka yang menjuarainya tetapi hakikatnya mereka yang memecah belahkan ukhuwah yang dibina dan merosakkan agenda tarbiyyah.

Hah! budak-budak hingusan yang asyik bersembang belakang! Selayaknya kamu semua digelar budak hingusan. Kamu mengharapkan persatuan memberikan yang terbaik, menyediakan yang terbaik tetapi apa yang kamu buat untuk persatuan? Apa yang kamu berikan? Selain cuba merosakkan persatuan. Perangai macam anai-anai. Datang ke program persatuan hanya semata-mata untuk 'makan', belum buang lagi apa yang dimakan sudah mula berkata macam-macam. Segala-gala daripada persatuan kamu mahukan, tetapi kerjasama daripada pihak kamu untuk persatuan cukup payah kamu nak berikan. Sebagai contoh, susah sangat ke nak daftarkan rumah kalian? Isi borang saja, selesai. Mudah kan?

Jika perpecahan menjadi agenda utama kalian, saya pasti bukan saya seorang yang menentang!
Kamu kata saya 'orang kuat persatuan', saya hanya ahli biasa yang tiada apa-apa kepentingan. Saya sayangkan persatuan, sayangkan kesatuan. Bukan seperti kamu yang mahukan perpecahan!


Hijrah Daripada Jahiliyah Moden

0 komentar

Zaman ini merupakan zaman yang amat mencabar. Kerana jahiliyah yang kita hadapi berbeza. Berbeza yang amat sangat. Kalau dahulunya pada zaman Rasulullah SAW, jahiliyah yang dilihat adalah jahiliyah dimana kelompok yang belum memeluk islam memerangi islam itu sendiri. Benar, ada wujudnya golongan munafik, tetapi konteksnya berbeza, iaitu mereka memeluk islam atas alasan mungkin kerana pengaruh dan lain-lain. Tetapi jahiliyah abad ini lebih mencabar. Lebih dahsyat dan lebih tenat. Dan sebagaimana sabda Rasulullah membuktikan bahawa Islam itu menjadi asing/dagang sebagaimana ia datang. Jangan menafikannya! Ianya memang sedang berlaku.

Jahiliah lampau berbeza kerana perbezaan jahiliah dan islam itu memang semua umat pada ketika itu faham dengan jelas. Kefahaman yang ada membezakan yang haq dan bathil itu amat jelas. Tidak ada grey area pada kefahaman itu. Kefahaman yang dibina oleh madrasah Rasulullah itu membolehkan ummat memahami islam dengan sempurna dan jelas. Maka tidak ada penyimpangan atau pun ruang keraguan diantara haq dan kebatilan. Tetapi kini, keraguan atau grey area itu wujud. Bukan kerana islam itu lemah, atau ada kurangnya, tetapi kefahaman itu tiada pada umat. Kerana kefahamannya tidak dibina.

Kefahaman pada Islam itu hanya mengikut hawa nafsu. Maka banyaklah wujudnya doktrin-doktrin jahiliyah yang diaplikasi di “negara islam”. Maka timbullah ungkapan dari ‘pejuang islam’ sendiri yang mengatakan:

"Ulama duduk di tepi. Biar pemimpin buat kerja."

Ini jelas mengasingkan islam dari kehidupan. Jadi kenapa mengaku anda ‘pejuang islam’ kalau anda sendiri men’sekular’kan islam. Timbul lagi kefahaman yang songsang pada umat kini. Mereka mengaku mereka Islam. Aku bangga jadi Islam. Alhamdulillah, aku dilahirkan sebagai Islam. Tetapi, apakah cara hidup mereka jelas sebagaimana syariat Allah turunkan.

Adakah Allah redha kalau kamu tidak menutup aurat? Dan dengan senang hati mengatakan, ”takpe, asal hati baik”. Adakah Allah redha kamu bermaksiat kepada Allah? Adakah Allah redha kamu mencipta sembahan selain dia?Ber’tuhan wang ringgit’, perempuan, nafsu, kuasa dan macam-macam lagi sembahan yang kita ciptakan sama ada kita sedar atau tidak.

Senang sekali disimpulkan bahawa jahiliyah yang paling tenat kini adalah hendak menyedarkan orang yang sudah bersyahadah tentang apa ertinya mereka bersyahadah. Apa ertinya mereka menganut islam. Ini bukan masuk lagi kepada mereka yang kononnya bangga dengan Islam tetapi hakikat hatinya membenci islam. Dengan mengatakan bahawa islam itu adalah doktrin atau sistem padang pasir 1500 tahun lampau.

Apa yang dibawa mudah disebut. Tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu adalah rasulNya. Tetapi untuk memahami dan melaksanakan tuntutan kalimah syahadah dengan benar itu bukan satu perkara yang mudah dalam menghadapi jahiliyah akhir zaman.

Kalimah pertama menjelaskan bahawa keesaan Allah, hanya Allah satu-satunya tuhan sekalian alam. Mari kita lihat pada kriteria ini. Bilamana kita bercakap tentang tuhan, maka pada tuhan itu pasti kita berasa 'cinta padaNya', 'berharap padaNya', ingin dekat denganNya. Kalaulah, kuasa dan jawatan itu memenuhi kriteria di atas, maka kita menjadikan jawatan dan kuasa sebagai tuhan. Ingatlah, pangkat dan jawatan tak mampu membeli ampunan di hadapan tuhan. Kalaulah harta memenuhi kriteria itu, maka kita bertuhankan harta. Kalau perempuan memenuhi kriteria itu, maka kita bertuhankan perempuan yang kita sayangi.

Jika kita meyakini keesaan Allah, maka kita perlu yakini bahawa Muhammad itu pembawa risalah Allah. Maka pada Muhammad itu perlu kita contohi tanpa mengira bidang. Sebagai contoh,dalam berpolitik, perlu kita fikirkan apa Rasulullah SAW buat. Rujuk pada sirah kehidupan baginda. Peristiwa yang berlaku kepada baginda, daripada peristiwa kedatangan Islam ke semenanjung tanah arab, proses dakwah dan tarbiyyah di kota makkah, hijrah ke madinah, perang badar, uhud dan khandak serta perang yang lain, serta pembukaan kota makkah dan sebelumnya perjanjian hudaibiyah serta selepas peristiwa itu semua merupakan ‘guidance’ dalam kehidupan kita.

Peristiwa-peristiwa itu bukan sekadar sejarah. Ianya adalah panduan. Petunjuk, contoh tauladan, ikutan. Bayangkan, dalam hidup 63 tahun sang nabi, betapa banyaknya peristiwa yang baginda lalui. Itu bezanya seorang nabi dengan pemimpin biasa. Peristiwa yang baginda alami sebenarnya manual untuk kita. Al quran, hadis dan sirah baginda Rasulullah sebenarnya diturunkan sebagai manual untuk umat Islam. Buktinya :

"Inilah kitab yang tidak ada keraguan dalam nya.petunjuk untuk orang bertaqwa." (Al-Baqarah : 2)

Jelas dan terang. Tetapi menapa kita mencari selain daripada al Quran. Kononnya al Quran ini sudah tidak valid. Cuma buku tulisan 1500 tahun lampau berasal dari padang pasir.

Jangan sekadar mengharap. Mengharap Allah akan menghapuskan kerajaan yang kejam dan zalim, kemungkaran hanya dicegah dengan doa. Hanya mengharap Allah membantu saudara Palestin hanya dengan laungan slogan. Ya, benar. Allah Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu. Bantuan dari langit itu akan datang dengan usaha. Kita perlu bekerja! Perlu kita faham, bantuan itu datang bukan dengan percuma!

Dan kalau kita perhati, bukankah kisah Maryam yang tercatat dalam al Quran itu adalah satu perintah yang kita jadikan panduan! Diceritakan Maryam setelah melahirkan Nabi Isa menjadi amat lemah. Lalu Allah mewahyukan untuk menggoncang pohon tamar. Logiknya, adakah Maryam yang amat lemah mampu menggoncang pohon tamar yang besar macam pokok kelapa sawit sampai jatuhnya buah tamar? Kalau kita yang sihat pun sukar. Rasionalnya disini, biarpun kita amat lemah, kita tetap perlu berusaha.

Tapi kita hanya anggap tidak lebih daripada sebuah cerita!

Ayuh! Kita berhijrah!


Sekolah Menjahilkan Umat Islam

12.05.2010 3 komentar

Sekolah-sekolah yang ada kini (tidak semua sekolah) adalah pusat menjahilkan umat Islam, sekolah-sekolah kini juga memberikan kefahaman mengenai Islam secara menyeluruh. Jika ada, ia hanyalah kulit, bahkan kulit yang telah diburukkan. Lihat sahaja situasi masyarakat kita, kanak-kanak dan remaja yang memasuki sekolah dan keluar daripada sekolah tersebut mengenali sejarah Eropah lebih banyak daripada sejarah Islam. Mereka mengenali lebih Napoleon berbanding Nabi Muhammad SAW serta mendalami secara mendalam kebangkitan Perancis berbanding dakwah Islam. Umat Islam dijahilkan di sekolah.

Umat Islam juga tidak mengetahui sirah para nabi melainkan hanya beberapa muka surat sahaja. Mereka juga mengetahui kisah-kisah para sahabat Rasulullah SAW melainkan hanya perselisihan dan peperangan sahaja. Bukan itu sahaja, mereka juga tidak mengetahui apakah mesej risalah Muhammadiah dan mereka dibutakan tentang kehebatan dalam keperibadian Nabi Muhammad SAW, tidak juga didedahkan apa yang dibawa oleh baginda kepada seluruh alam ini serta disorokkan apakah keistimewaan dan ciri-ciri generasi yang telah dididik oleh Rasulullah SAW. Mereka turut dijahilkan daripada mengetahui bagaimanakah tamadun Islam yang sempurna.

Tamadun Islam adalah sebuah tamadun yang rabbani, insani, 'alami dan akhlak yang telah dibentuk oleh Islam disaat pihak barat pada ketika itu hanya mampu melihat cahaya yang samar sahaja.

Pendidikan Seks

Sebagaimana dimaklumi, bermula Januari 2011, satu lagi subjek wajib baru akan mula diperkenalkan di sekolah bagi murid tahun satu iaitu Pendidikan Seks. Bukan kita menyempitkan pemikiran dengan hanya memikirkan aspek kelucahan dalam pendidikan seks tetapi apa motifnya pendidikan seks? Adakah mahu membendung gejala seks bebas? Atau hanya sebagai projek baru tambahan tanpa hasil seperti PPSMI? Jika diteliti, perlaksanaan pendidikan seks di sekolah masih lagi kabur perlaksanaannya tanpa diketahui dengan jelas kurikulum yang akan diterapkan.

Andaikata pendidikan seks diberikan kepada pelajar pada peringkat awal lagi, kita seharusnya khuatir masalah ini pasti akan melibatkan lebih ramai remaja daripada golongan bawah umur. Ini adalah kerana apabila sudah diberikan pendedahan secara teori, sifat semula jadi remaja yang ingin tahu akan membuak-buak untuk mengetahuinya secara praktikal pula. Adakah pelaksanaan pendidikan seks adalah bagi mengisi penubuhan Sekolah Harapan oleh kerajaan Melaka baru-baru ini yang bakal mencetuskan epidemik hamil luar nikah di kalangan pelajar di negara ini. Mungkin juga sedikit masa lagi sekiranya pemerintah yang ada terus memerintah, sekolah merempit, sekolah mat dadah, sekolah perompak dan sewaktu dengannya akan ditubuhkan serta diterapkan juga pendidikan selari dengan tertubuhnya sekolah tersebut.

Fahaman sekular yang merajai dan menjajah negara kita menafikan secara total Islam sebagai penyelesaian dalam membendung gejala seks bebas dan bukan dengan memberi kondom serta menyediakan pendidikan seks di sekolah. Islam adalah sebaik-baik penyelesaian terhadap permasalahan ini.

Saya fikir, jika guru Bahasa Melayu kita gelarkan dengan 'Cikgu BM', apakah gelaran yang sesuai diberikan kepada guru Pendidikan Seks?

Segan Menyeru Kebaikan?

12.04.2010 0 komentar

Kebanyakan kita mampu berbicara tentang kebaikan dan menyeru orang untuk melakukan kebaikan, tetapi sedikit daripada kita mengatakan kebaikan-kebaikan benar-benar melakukan kebaikan yang diperkatakannya. Al-Quran mengungkap permasalahan ini dengan tepat dan memberi amaran kepada jiwa-jiwa mukmin agar sentiasa memperbuat apa yang ia perkatakan.
"Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak lakukan?Amat besar kebencian di sisi Allah SWT bahawa kamu mengatakan apa yang kamu tidak lakukan" - Surah al Saff : ayat 2-3
Sesetengah daripada kita mengatakan, “aku tak buat perkara ni, jadi aku tak seharusnya menyeru orang lain untuk melakukannya.” Pemikiran sebegini sedikit sebanyak menyekat perkembangan amal kita dan membuatkan kita sentiasa bertangguh dalam melakukan kebaikan. Sebetulnya, katakan juga kebaikan dan kebenaran serta pada masa yang sama kita sendiri berusaha melakukannya. Itu lebih tepat dalam memotivasikan diri untuk kita terus beramal. Jika tidak, kita tidak akan mengatakan kebenaran melainkan kita telah benar-benar melakukannya dan itu pasti akan mengambil masa yang panjang sementara perkara-perkara mungkar terus berleluasa. Kewajipan dakwah tidak terangkat dengan alasan tersebut.
Abu Hurairah r.a. berkata: "Nabi Muhammad s.a.w. bersabda (yang bermaksud): "Anjurkan lah kebaikan itu meskipun kamu belum dapat mengerjakannya dan cegahlah segala yang mungkar meskipun kamu belum menghentikannya."
Secara tidak langsung, kita tidak berdiam diri daripada mengatakan kebaikan dan kebenaran dan kita tidak terlalu melihat akan kurangnya pada orang lain sambil melupakan diri sendiri. Inilah suatu sistem hidup yang syumul yang dianjurkan oleh Islam. Apabila masing-masing menyibukkan diri menyeru orang lain ke arah kebaikan dan dalam masa yang sama memperbaiki dirinya, maka kita akan menjadi lebih produktif dan itu mempercepat pembentukan suasana yang baik dalam diri, keluarga dan masyarakat.

Ayuh! Amar ma'ruf dan nahi mungkar!

Tak Pandai Menguruskan Masa

12.02.2010 2 komentar

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.” : Surah Al-'Asr

Suatu ayat yang memberi gambaran tentang kepentingan masa dan betapa manusia itu begitu mudah lalai dan berada dalam kerugian. Menyingkap permasalahan ini, ia merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana masa sentiasa berlalu dan terus berlalu. Kita tidak akan dapat menghentikannya.

Jadi, haruskah kita membiarkan ia berlalu tanpa sebarang tindakan atau ada sesuatu yang perlu kita lakukan untuk memanfaatkannya?

Kita sering mencari alasan menyalahkan masa apabila kita terlewat melakukan perkerjaan
“tak cukup masa”
“tak ada masa”
“cepatnya masa berlalu”

Bermacam-macam alasan kita. Hakikatnya kita tahu masa itu tidak akan menuruti kehendak kita, jadi perlukan komitmen kita terhadapnya.

“kewajipan itu lebih banyak daripada waktu yang ada”

Ertinya tidak ada waktu lapang bagi kita jika kita benarbenar melaksanakan kewajipan-kewajipan kita. Kita mengaku kita tahu, tetapi sering kali kita menghabiskan masa kita dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya sehingga tidak ada masa untuk melakukan kewajipan. Benarkan?

Pokoknya, masa tidak bermasalah tetapi kita yang tidak pernah pandai menguruskan masa. Jangan pernah menyalahkan masa, marilah mula mengurusnya dengan baik.