Pimpinan Kita Penipu

8.24.2010 0 komentar
Pimpinan kita penipu! Inilah yang dapat disimpulkan dengan mudah. Mereka adalah penipu besar, hidup dalam penuh kepura-puraan dan bersikap dengan 'talam dua muka'. Saya akan bongkarkan beberapa penipuan yang telah dilakukan oleh pimpinan pelajar di sini satu demi satu.

Penipuan pertama adalah berkait dengan hal kewangan. Kita semua tahu bahawa hal yang berkait dengan kewangan adalah agak sensitif. Pimpinan kita sering berbohong dan menipu pada saat ditanyakan hal berkaitan dengan kewangan mereka, dengan tenang menjawab "Alhamdulillah, kewangan saya masih stabil. Rezeki Allah ada di mana-mana". Itu yang mereka nyatakan. Sedarlah, kita sebenarnya ditipu oleh mereka. Hidup seharian mereka dengan kesempitan kewangan, mereka bertugas memimpin dan menyelesaikan urusan kita tanpa meminta walau satu sen gaji daripada kita. Ke sana ke mari menggunakan wang saku sendiri, urusan di sana sini mendahulukan duit poket sendiri, jika ada peruntukan boleh di'claim' kembali dan jika tiada dihalalkan sahaja. Kita tahu pimpinan kita bukan daripada kalangan kaya raya dan golongan yang hidup mewah, malahan ada yang latar belakang keluarga mereka lebih susah daripada kita, hanya cukup-cukup makan. Mereka terus menipu dengan mengaku mereka punya wang yang cukup, padahal kewangan mereka cukup menyesakkan. Pimpinan kita penipu!.

Penipuan kedua adalah berkenaan soal perasaan dan jiwa. Jika ditanya, adakah mereka gembira dan tenang dengan kehidupan seharian mereka sebagai pimpinan? Jawapan mereka dengan senyuman tenang tanpa sedikit pun menunjukkan rasa gusar di hati mereka. Pada hakikatnya, perasaan mereka sangat sedih, gundah dan tidak tenang dengan banyak urusan yang perlu diselesaikan dan pelbagai masalah yang perlu difikirkan. Itu belum bicara soal pelajaran mereka kerana mereka juga penuntut seperti kita, mengorbankan sebahagian masa demi tugas yang dipundakkan ke bahu mereka. Mereka menipu jika terus menyatakan mereka gembira, tenang dan senang. Pimpinan kita penipu!.

Penipuan ketiga adalah berkait dengan tugasan dan kerja mereka. Kita bertanya, bolehkan sama-sama membantu dalam menyiapkan kerja dan tugasan? Mereka menjawab dengan mudah iaitu 'terima kasih kerana mahu membantu'. Sebenarnya mereka punya banyak tugasan dan kerja yang perlu diselesaikan. Mereka menipu jika mengatakan tiada kerja dan tugas yang perlu dilaksanakan sedang pada masa yang sama pelajaran dan tugas mereka perlu diseiringkan. Mereka cuma bimbang dan takut akan dipersoal oleh Allah jika amanah yang mereka tanggung dilaksanakan oleh orang lain. Oleh sebab itu mereka dengan tenang menjawab 'terima kasih kerana mahu membantu'. Mereka menipu jika mengatakan tiada kerja dan tugas yang perlu dibuat. Pimpinan kita Penipu!

Kita tahu dan kita kenal siapa pimpinan kita, mereka adalah PENIPU dan PEMBOHONG demi kita. Demi amanah terhadap tugasan dan demi menjaga kebajikan setiap ahlinya.

Nida' Al Huffaz Edisi Ramadhan

8.23.2010 0 komentar


Bulan Ramadhan bulan berganda. Setiap apa saja yang dilakukan akan mendapat balasan berganda. Malahan nafsu kita juga turut berganda walaupun pada bulan ini syaitan dirantai oleh Allah. Ini adalah kerana nafsu telah bertapak di hati dan bermaharajalela menguasai jiwa.

Apabila kita membuat kesilapan kita sering menyalahkan syaitan dan iblis yang menggoda kita. Tetapi mengapakah kesilapan yang sama turut berlaku dalam bulan Ramadhan? Adakah rantai-rantai yang membelit kaki-kaki syaitan itu terlalu panjang hingga dapat memberi 'petunjuk' kepada kita? Didikan syaitan kepada nafsu kita yang membawa kita terus lalai dan alpa di bulan ramadhan. Tugas kita adalah menguasai dan mendidik nafsu agar tetap di landasan syariat Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW:
"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."

Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini kita akan dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan melumpuhkan nafsu-nafsu hitam yang bertahta di hati kita selama ini. Oleh itu, inilah masa yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mendidik kembali nafsu kita yang selama ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar berlapar semata-mata. Tetapi puasa adalah berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi manusia. Ini adalah jihad yang maha besar yang perlu dihadapi oleh setiap  umat Islam. 

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:
"Berjihadlah kamu dengan lapar dan dahaga kerana pahalanya seperti pahala mujahid di jalan Allah (fi sabilillah) dan sesungguhnya tiada amalan yang lebih diperkenankan oleh Allah selain menahan lapar dan dahaga"

Bulan Ramadhan ini adalah anugerah Allah sebagai lambang kasih sayang kepada hamba-hamba Nya. Allah tidak mensia-siakan keletihan umatnya yang berpuasa hinggakan tidur di waktu siang juga diberikan pahala. Begitu besarnya kasih sayang Allah pada kita. Oleh itu marilah bersama-sama kita menilai diri kita. Semoga tahun ini amalan kita akan semakin bertambah dan sempurna perlaksanaannya. Insya Allah. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang menganiayai diri sendiri. 

Sabda Rasulullah SAW :
"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan nescaya diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu."

Ketua Editor Nida' al Huffaz

p/s : dapat buletin Nida' al Huffaz terkini edisi ramadhan di Markaz DPM [MAQAZ] Shoubra.

Bekalan Petrol Seorang Daie

8.11.2010 2 komentar

Seorang daie ibarat seperti sebuah kenderaan bermotor. Kenderaan bermotor dan bahan api tidak dapat dipisahkan seperti seorang daie yang tidak dapat dipisahkan dengan tarbiyyah. 

Bahan api yang digunakan mengikut kesesuaian dan jenis kenderaan bermotor. Ada yang menggunakan petrol, ada yang menggunakan diesel, ada yang menggunakan NGV dan kenderaan hybrid menggunakan hydrogen sebagai bahan api. Bahan api yang paling popular masakini adalah petrol. Bekalan petrol ibarat nyawa bagi sesebuah enjin dan sangat penting untuk menghasilkan pembakaran dan menggerakkan piston dalam enjin. Maka, untuk setiap perjalanan, tangki petrol perlu sentiasa diisi.

Sesebuah kenderaan akan bergerak selagi mana bekalan petrol sebagai bahan bakar masih wujud. Petrol ibarat nyawa bagi sesebuah enjin, sekiranya petrol kering dan tidak diisi, enjin akan mati dan tidak akan dapat meneruskan kerja lantas membantutkan perjalanan. 
Oleh sebab itu, isipadu petrol perlu sentiasa berkadar langsung dengan sejauh mana kilometer perjalanan. Lebih jauh sesebuah perjalanan, lebih banyak bekalan petrol yang diperlukan. Bekalan ini perlu sentiasa mencukupi. Sebuah kenderaan perlu mengisi bekalan petrol pada waktu-waktu tertentu bagi menampung perjalanan seterusnya.

Pemilihan jenis bahan api juga mesti tepat dan sesuai. Jika enjin petrol diisi dengan diesel, maka rosaklah sesebuah kenderaan tersebut.

Petrol Seorang Daie Dalam Dakwah Dan Tarbiyyah

Dakwah ini merupakan perjalanan yang sangat jauh dan panjang. Sebuah perjalanan yang sukar dan berliku-liku. Bekalan yang benar-benar mencukupi sangat diperlukan untuk memikul dan meneruskan perjalanan misi ini. Seorang daie akan pendek nafas dan mungkin tercicir daripada landasan ini seandai bekalan tarbiyyahnya tidak mencukupi. Begitulah perkaitannya dengan bahan api atau petrol sesebuah kenderaan. Tarbiyyah umpama petrol dalam misi perjalanan dakwah. Usrah, halaqah, daurah, jaulah etc. adalah stesen-stesen minyak bagi mengisi bekalannya. Tugas-tugas dakwah tidak dapat diteruskan seandainya bekalan tarbawi tidak mencukupi. Bagaimana mungkin seorang daie mampu bergerak sedangkan jiwanya kosong. Atas dasar apakah daie menggerakkan dirinya di atas jalan dakwah yang panjang dan berliku ini jika jiwanya lemah dan kosong.

Andai bekalan seorang daie tidak mencukupi dan tidak diisi, mungkin akan berlaku seperti enjin kenderaan yang kehabisan petrol. Ia akan futur dan terhenti. Untuk menggerakkannya kembali, usaha mengisi bekalan petrol kepada daie perlu dilakukan agar terus menggalas misi dakwah dan tetap berada di atas jalan dakwah ini. Tarbiyyah adalah petrol seorang daie. 

Begitu juga halnya jika seorang daie mendapat bekalan yang tidak tepat dan salah. Jiwanya memerlukan petrol iman, namun diesel kemaksiatan yang diisi ke dalam tangki enjin hatinya. Jika hal ini berlaku, rosaklah daie tersebut dan memaksa proses pengislahan yang mungkin memakan tempoh masa yang lama. Banyak juga tenaga, masa dan wang yang perlu dilebur. Nauzubillaah.

Bekalan kekuatan iman yang mendalam dan tarbiyyah yang berterusan adalah pembakar enjin daie yang menggerakkan dakwah ini. Tarbiyyah merupakan petrol bagi daie dan bekalan petrol ini perlu sentiasa mencukupi kerana tarbiyyah umpama nyawa bagi seorang daie

Bagaimana tarbiyyah kita? Cukupkah untuk perjalanan yang panjang, jauh dan payah ini?

Ramadhan adalah sebuah madrasah tarbiyyah ruhiyyah untuk mendidik dan mengkaderkan daie agar dapat melahirkan generasi yang beriman dan bertaqwa yang menjadi objektif utama madrasah ramadhan. Jangan lepaskan peluang keemasan ini!

Salam Ramadhan untuk semua. Ramadhan Kareem...

Bijak, Bodoh & Bangang Di Ramadhan

8.10.2010 2 komentar
Ramadhan bakal menemui kita lagi. Ada yang gembira dan ada yang berduka apabila tibanya Ramadhan. Tiga situasi iaitu Bodoh, Bangang dan Bijak dapat diperhatikan sepanjang bulan Ramadhan. Mari selusuri satu persatu perkara berkaitan Bodoh, Bangang dan Bijak di bulan Ramadhan.

Apabila Ramadhan hampir tiba :

Kita seorang yang 'Bodoh' jika mula terbayangkan betapa peritnya menjalani kehidupan seharian yang meletihkan tanpa makan dan minum pada siang hari, perlu bersusah payah ke masjid atau surau pada setiap malam dan mesti memaksa diri bangun pada setiap awal pagi untuk bersahur.

Kita seorang yang 'Bangang' jika apabila tibanya Ramadhan, sudah mula teringatkan kemeriahan berhari raya di kampung dan mula berfikir-fikir warna jumlah baju raya yang perlu disiapkan menjelang Aidilfitri, sudah terbayang jenis langsir yang akan menjadi hiasan tingkap rumah dan mula menghitung kos keseluruhan bagi menyambut hari raya serta mengharapkan Ramadhan akan berakhir dengan segera.

Kita seorang yang 'Bijak' jika mula menyusun jadual yang padat dengan ibadat, bacaan al Quran, amal kebajikan dan mahu mengumpul seberapa banyak yang mampu ganjaran yang dijanji oleh Allah SWT sepanjang ramadhan. Kita 'Bijak' jika tidak sabar-sabar untuk menjalani tarbiyyah spiritual Ramadhan, 'pesta ibadah' dan mengharapkan Ramadhan berterusan sepanjang tahun.


Kita memang 'Bodoh' jika tiba sahaja Ramadhan, kita merancang dan mengatur bisnes serta menghitung kira-kira berapa banyak untung yang mampu diperoleh daripada jualan bazar Ramadhan, untung daripada tempahan baju raya ataupun kuih raya sepanjang bulan Ramadhan.

Kita memang 'Bangang' apabila sering terbayang hidangan moreh yang berupa kuih muih yang cukup enak dan digandingkan dengan minuman yang cukup menyelerakan. Paling tidak, kita sering mengharapkan dan mencari 'port-port free' di mana-mana masjid untuk mendapatkan bekalan berbuka puasa secara percuma.

Kita sangat 'Bijak' jika membayangkan ganjaran pahala yang semestinya berkali-kali ganda lebih banyak daripada untung hasil jualan makanan di bazar Ramadhan, tempahan kuih dan baju raya. Kita juga seorang yang 'Bijak' jika sentiasa mengimpikan nikmat di syurga yang pastinya lebih nikmat daripada hidangan moreh yang menyelerakan dan bekalan berbuka secara percuma di masjid.


Kita cukup 'Bodoh' apabila imam masjid meminta khidmat kita untuk menjadi imam sepanjang Ramadhan, kita menjawab dengan muka yang tidak tahu malu, "berapa masjid ini nak bayar kat saya?"

Kita memang 'Bangang' apabila mula terbayang-bayang berapa ramaikah pak cik dan mak cik yang menjadi makmum kita yang berhasrat nak memasukkan kita ke dalam shortlist "calon menantu" mereka.

Kita memang 'Bijak' apabila menjadi imam bagi solat terawih dan berjaya mengatur jadual lengkap program qiamullail, tadarus al Quran serta siri-siri pengajian di masjid sepanjang Ramadhan tanpa mengharap sebarang balasan semata-mata untuk menjaga keikhlasan hati dan kesucian ibadah.

Semoga kita tergolong di kalangan yang BIJAK sepanjang Ramadhan kali ini dan tidak tergolong daripada kalangan yang Bodoh dan Bangang sebagaimana yang dinyatakan. Matlamat utama madrasah Ramadhan adalah untuk melahirkan hamba Allah yang bertaqwa.

"Wahai orang-orang yang beriman! diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa."

Maaf jika terdapat kekasaran dalam penggunaan bahasa. Sudah cuba mencari istilah yang lebih lembut dan lebih sesuai daripada perkataan 'Bodoh dan Bangang' tetapi tiada satu pun istilah yang dirasakan paling sesuai dengan situasi tersebut melainkan 'Bodoh dan Bangang'.

"Ramadhan yang sama, natijah yang berbeza"

Selamat 'Pendek' Umur!

8.09.2010 1 komentar
Ucapan hari lahir biasanya diisi dengan doa-doa dan puji-pujian. Seringkali singgah di gegendang telinga sempena hari lahir adalah doa-doa dimurahkan rezeki, limpahan kurniaan rahmat, kurniaan kejayaan dan ampunan dosa-dosa tetapi amat jarang sekali kita mendengar ucapan yang berbentuk peringatan seperti 'Selamat Pendek Umur!' dan 'Selamat Menghadapi Kematian!' sempena hari kelahiran seseorang. 

Tidak salah bergembira memperingati hari kelahiran namun perlu disedari pada setiap pertambahan hari dan tahun, umur yang berbaki semakin pendek, bukan semakin panjang. Ketika di alam rahim, Allah SWT telah menetapkan tarikh kematian bagi setiap manusia. Ertinya, semakin bertambah usia, umur yang berbaki semakin singkat dan langkah menuju kematian semakin dekat...

Tiada siapa yang mengetahui berapa lama tempoh dia mampu hidup dan berapa lama baki sisa usianya. Imam Nawawi menyatakan bahawa yang paling hampir dengan kita adalah kematian dan yang paling jauh adalah masa lalu kerana tiada siapa yang tahu bila saat kematiannya akan tiba dan amat mustahil untuk kita kembali ke masa lalu. Nilaian utama umur adalah pada keberkatannya, peningkatan ketaqwaan, tinggi keilmuan, banyaknya amalan dan bukan pada panjangnya tempoh kehidupan dan banyaknya kiraan umur.

Imam Syafie (150H-204H) dan Imam Nawawi (631H-676H) perhatikan kehidupan dua Imam agung yang memiliki usia yang hanya lebih kurang separuh abad sahaja namun ilmu, pandangan dan kitab-kitab mereka menjadi rujukan dan sandaran utama sepanjang abad sehingga ke hari ini. Mereka terus 'hidup' dan seolah-olah masih wujud hingga ke saat ini bersama curahan ilmu dan jasa-jasa mereka.

Doa dan pujian sempena hari lahir perlu ditambah dengan ucapan peringatan 'pendek umur' agar sentiasa sedar dan bersiap siaga kerana kematian semakin hampir, bukan semakin jauh. Ucapan tersebut bukan bermaksud mendoakan seseorang agar dipercepat kematian tetapi sebagai peringatan menghadapi kematian. 'Orang yang paling bijak adalah orang yang sentiasa mengingati mati'. Selamat beramal.

Selamat Hari Lahir,
Selamat Pendek Umur!