Kata-Kata Musuh Umat Islam

7.31.2010 0 komentar
Masih ingatkah ucapan-ucapan mereka?

Bekas Menteri Luar Britain semasa mengiktiraf kemerdekaan Turki : "Pada hakikatnya Turki telah lenyap dan tidak ada lagi di dunia ini kerana kita telah memusnahkan kekuatan maknawi yang ada padanya iaitu 'Khilafah dan Islam'".

Gladstone berkata dalam Dewan Parlimen Britain sambil mengangkat al Quran : "Selagimana al Quran itu berada di tangan umat Islam, maka Eropah selama-lamanya tidak akan berupaya menguasai negara Islam dan Eropah sendiri tidak akan berada dalam keadaan aman tenteram."

William Jifford Bellcraf (pendakyah Kristian) : "Apabila al Quran, Mekah dan Madinah telah hilang daripada negara Arab, maka ketika itu kita akan melihat bangsa Arab bergerak secara perlahan-lahan ke jalan tamadun barat, jauh daripada Muhammad dan kitabnya."

Pemerintah Perancis di Algeria sempena seratus tahun penjajahannya : "Kita mesti melenyapkan al Quran daripada bangsa Arab dan menghapuskan bahasa arab daripada percakapan mereka sehingga kita dapat menguasai mereka."

Zeumar berkata di seminar missionaris : Sesungguhnya tugas kristianisasi yang ditugaskan oleh negara-negara kristian kepada kamu dinegara Islam bukanlah bermakna memasukkan umat Islam ke dalam agama kristian kerana ini merupakan hidayat dan kemuliaan bagi mereka tetapi tugas kamu adalah mengeluarkan umat Islam daripada Islam supaya mereka tidak mempunyai hubungan dengan Allah.

Gladstone berkata : " Sesungguhnya di sana ada empat penghalang kepada kita untuk menghapuskan umat Islam iaitu al Quran, Kaabah, al Azhar dan solat Jumaat."

Seorang pemimpin penjajah berkata : "Arak dan pelacur amat berperanan dalam menghancurkan umat Muhammad lebih daripada apa yang dilakukan oleh seribu meriam. Oleh itu tenggelamkan mereka kedalam cintakan kebendaan dan syahwat."

Seorang Paderi kristian berkata : Bukanlah yang dikehendaki memasukkan umat Islam ke dalam Kristian, tetapi memadai dengan mengeluarkan mereka daripada Islam dan menjauhkan daripada al Quran."

Apa tugas kita???

"Dan Berpeganglah kamu dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai berai.." - Ali Imran : 103

Sabda Rasulullah SAW : "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, selama-lamanya tidak akan sesat jika kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW."

p/s : Menulis kembali setelah agak lama tidak menulis di sini. Doakan saya

Cabaran Jiwa Pemuda

7.18.2010 2 komentar
Tentera-tentera iblis adalah musuh kita yang sangat jelas dan nyata. Mereka yang sentiasa menyeru kepada kancah maksiat, menuju ke arah kepuasan keinginan syahwat dan memandu kepada jalan yang penuh keji dan lucah sehingga seluruh tubuh, jiwa dan akal kita diserang penyakit jasad dan jiwa yang sangat kronik. Kita sedang melalui zaman keruntuhan akhlak dan kerosakkan sosial yang semakin berleluasa. Kita tidak akan mampu menghadapinya sekiranya tidak memiliki benteng akidah rabbaniyyah, pegangan yang teguh terhadap dasar-dasar Islam, keperibadian yang tinggi dan akhlak yang mulia.

Merentasi zaman yang penuh mencabar ini, kita perlu menghadapi cabaran jiwa yang amat pahit dan sangat hebat. Agak sukar untuk kita berpegang teguh dengan akhlak mulia dan membenteng diri dengan benteng kemuliaan serta meniti jalan dengan penuh ketenangan serta jauh daripada maksiat. Lebih teruk pada saat ini, di sekeliling kita terbentang dengan luas jalan-jalan kemungkaran dan kerosakan jiwa serta akhlak yang amat mudah untuk dilalui.

Salah satu benteng yang ampuh mampu menjadi perisai adalah memasuki alam perkahwinan demi memelihara akhlak, kesihatan jiwa dan akal serta kesejahteraan masyarakat. Kadang-kadang wujud alasan dengan hujah-hujah yang amat lemah tetapi menjadi penghalang utama dalam membina benteng yang kukuh ini, bahkan ia adalah merupakan bisikan hawa nafsu dan syaitan seperti "Mengapa harus berkahwin? Sedangkan perkahwinan merupakan bebanan dan tanggungjawab yang mesti dipikul. Mengapa mesti membina sebuah keluarga? Sedangkan dengan berkeluarga terpaksa berjaga malam dan bekerja keras di siang hari. Mengapa menyusahkan diri dengan perkahwinan? Sedangkan perkahwinan memerlukan kos yang tinggi dan menanggung bebanan yang cukup banyak.

Waspada terhadap bisikan syaitan dan hawa nafsu yang memperindahkan segala kemungkaran, menimbulkan bermacam keghairahan, memudahkan jalan-jalan kemaksiatan, membunuh kemuliaan, menggadaikan maruah dan memandu jalan menuju ke lubang neraka jahanam.

p/s : Merancang masa hadapan

Jangan Pandai Cakap Saja

7.16.2010 1 komentar
Timbul perasaan yang amat menyampah sekali apabila ada orang yang hanya tahu berkata-kata, bijak dalam berhujah, mengukuhkan kata-kata dengan nas al Quran dan hadis, menyatakan idea-idea dengan teori yang hebat sehingga kadang-kadang menggegarkan bumi dan telinga yang mendengar tetapi hasil daripada kata-kata yang dilontarkan langsung tidak sama dengan kata-kata yang diucapkannya malahan tidak menatijahkan apa-apa daripada kata-katanya. Habuk pun tidak ada.

"Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak kerjakan? Itu sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang kamu tidak kerjakan" - al Saff : 2-3

Kata-kata yang diucapkan perlu seiring dengan amal perbuatan. Sewajarnya kita sedar, kadang-kadang kita hanya pandai berkata-kata. Apabila berada di medan yang sebenar, adakah mampu berdepan dengan cabaran dan ujian yang telah tersedia? Mampukah kita menyatakan kita benar-benar beriman sedangkan kita belum lagi diuji?

"Adakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan : 'Kami telah beriman', sedang mereka tidak diuji." - al 'Ankabut : 2

Teringat kisah para pejuang terdahulu, mereka diuji dengan ujian yang sesungguhnya. Ada yang kepalanya digergaji, dipanggang di atas bara api dan dipukul dengan cemeti tajam. Jika kita, adakah masih mampukah mempertahankan keimanan dan aqidah yang menjadi tunjang utama dalam diri jika disiksa sedemikian? Mungkin ada yang akan berkata 'Ya, aku mampu' kerana kita sedang berada di zon yang selesa. Jika kita yang menggantikan tempat mereka, belum pasti kita mampu menanggungnya.

Cakap saja tidak ada gunanya. Kita mampu berkata kita sanggup menggadaikan jiwa dan raga demi mempertahankan Islam tetapi belum tentu mampu melaksanakannya. Buktikan kata-kata dengan anggota kita sebagaimana para pejuang terdahulu. Kata-kata mereka dibuktikan dengan perjuangan mereka. Kata-kata-kata mereka dibuktikan dengan kesusahan hidup mereka. Kata-kata mereka dibuktikan dengan kekejaman dan tekanan pada mereka. Kata-kata mereka dibuktikan dengan kematian syahid mereka!! Bahkan perjuangan mereka, pengorbanan mereka dan syahid mereka adalah bicara dan lidah bagi setiap langkah dalam perjalanan perjuangan mereka!

Jangan cakap saja. Buktikan kata-kata!

Semoga terus bergerak meniti di jalan ini.

Qiraat : Hilangnya Kemeriahan Exam

7.09.2010 2 komentar
Kita sedang melangkah menuju pertengahan bulan Julai. Secara keseluruhan, rata-rata kebanyakan mahasiswa sudah menamatkan peperiksaan masing-masing. Yang wujud cuma debaran menunggu natijah peperiksaan samada lulus atau sebaliknya. Suasana kini dilihat seolah-olah sudah mula bertukar hampir 100 % daripada 'demam exam' kepada 'karnival melawat Malaysia'. Di sana sini orang sudah sibuk membincangkan jenis pakej penerbangan, harga tiket dan tarikh untuk pulang ke Malaysia.

Isu Qiraat menyepi setelah nama mahasiswa muqayyad. Mahasiswa tahun satu Qiraat yang dilanda pelbagai masalah sebelum ini akan menempuh peperiksaan pada 17 Julai nanti setelah gagal menduduki peperiksaan pada Mei lalu, tempoh yang ada lebih kurang cuma seminggu lagi. Ramai yang semangat mereka telah 'down' dan tidak lagi bersemangat sepertimana yang ada pada bulan Mei. lalu Saat itu masing-masing telah bersiap siaga menghadapi peperiksaan. Mungkin setelah melalui suatu tempoh masa yang agak panjang yang menyebabkan semangat untuk menghadapi peperiksaan semakin berkurangan. Mungkin juga lebih menumpukan urusan untuk pulang ke Malaysia kerana dimaklumkan bahawa ramai di kalangan mahasiswa tahun satu yang sudah menempah tiket penerbangan sempena 'karnival melawat Malaysia' kali ini.

Suasana peperiksaan dilihat sudah semakin pudar dan tidak lagi meriah seperti yang wujud pada bulan Mei dan Jun yang lalu setelah berakhirnya peperiksaan syahadah Qiraat mahasiswa tahun tiga sekitar dua minggu lalu. Apa yang dapat diperhatikan kini seolah-olah tiada lagi liqa' membincangkan topik-topik peperiksaan, yang wujud adalah perbincangan harga tiket dan 'sembang kedai kopi' mengenai senarai barangan yang mahu dibawa pulang ke Malaysia.

Rindu pada suasana yang ada pada bulan Mei/Jun lalu yang meriah dengan suasana perbincangan ilmu dan aktiviti mengulang kaji pelajaran. Mahasiswa tahun satu Qiraat mesti kembali wujudkan kemeriahan suasana 'demam exam' serta semangat kalian seperti yang kalian wujudkan pada Mei/Jun yang lalu sebagai persediaan menghadapi peperiksaan 17-25 Julai ini. Jika mampu, kita cuba wujudkan suasana tersebut sepanjang tahun tanpa mengkhususkan pada bulan-bulan tertentu sahaja.Tempoh masa singkat yang berbaki kini perlu dimanfaatkan sebaiknya sebelum melangkah ke dewan peperiksaan kerana peperiksaan ini akan menentukan samada kalian berjaya melangkah ke tahun seterusnya atau terus berada di tahun yang sama. Tinggalkan dahulu soal tiket dan tarikh pulang ke Malaysia, tumpukan kepada peperiksaan.

Tidak menjadi satu perkara pelik kerana ada juga sebilangan kecil yang tidak bersedia untuk menghadapi peperiksaan pada bulan Mei lalu atas alasan-alasan tertentu namun setelah melangkah ke bulan Julai ini juga masih lagi tidak bersedia. Apa yang dilakukan sepanjang tempoh dua bulan ini? Tak ramai yang sibuk mengikuti pengajian di Jami' Al Azhar.

"Andai dulu bersemangat perjuang dalam menaikkan nama demi satu peperiksaan, apakah kini setelah nama dinaikkan membeli tiket penerbangan lebih bersemangat daripada menghadapi peperiksaan yang diperjuangkan" - abg senior tahun 3


Muhasabah dan fikir-fikirkan.

p/s : Semoga berjaya!

Wujudkah Pendakwah Versatile?

7.08.2010 3 komentar

"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: 'Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri'." surah Fussilat : 33

Pendakwah bukan hanya dikhususkan kepada golongan yang berkopiah, berjubah dan berserban kerana setiap diri yang mengaku muslim adalah pendakwah. Setiap muslim perlu menyeru kepada Islam yang syumul, mengeluarkan manusia daripada kegelapan jahiliyyah kepada cahaya Islam dan menyuruh kepada kebaikan serta mencegah segala bentuk kemungkaran. Kefahaman yang amat sempit mengenai seorang pendakwah adalah tugas seorang pendakwah hanya tertumpu kepada yang tahu berceramah, memberi tazkirah serta mengajar di masjid-masjid sahaja. Hal ini terjadi kerana pendakwah kita tidak versatile (serba boleh) dan tidak canggih.

Satu ciri-ciri yang sangat perlu ada pada diri seorang pendakwah masakini adalah versatile (serba boleh) dan canggih seperti boleh menjadi pemimpin masyarakat, mampu menjadi seorang penyampai materi yang baik semasa pengisian rohani dan jiwa, jaguh dalam bidang sukan, pandai bergaul dengan semua lapisan masyarakat, cemerlang pada sudut akhlak dan akademik, ada kebolehan interpersonal yang baik, handal memasak, pakar multimedia dan teknologi, memiliki gaya penyampain yang baik, bijak mengatur dan mengurus ekonomi serta bermacam-macam lagi. Pendek kata, mesti boleh dalam setiap perkara.

Pendakwah versatile boleh diibaratkan seperti sebuah telefon bimbit yang canggih kerana seorang pendakwah mesti bertindak seperti sebuah telefon bimbit kepada sasaran dan objek dakwah yang berada di sekeliling. Cuba lihat sebuah telefon bimbit terkini, mesti mempunyai pelbagai fungsi dan memudahkan pengguna. Sebagai contoh, selain boleh membuat panggilan dan menghantar SMS, telefon bimbit juga memiliki kecanggihan pelbagai guna seperti GPRS Class 32, EDGE Class 32, composer speakerphone, 4G network, touchscreen, phonebook unlimited entries, WLAN Wi-Fi, bluetooth, GPS, Java, kamera berpixel tinggi dan bermacam-macam lagi fungsi canggih yang kita sedia maklum sehingga tak termampu untuk dinyatakan secara keseluruhan di sini. Pendakwah mesti bertindak sebagai telefon bimbit kepada objek dakwah agar dakwah boleh disampaikan pada setiap masa dan tempat serta lebih mudah diterima.

Perlu diingat, kebiasaannya telefon bimbit menggunakan standard bateri Li-Po atau Li-Ion yang perlu dicas pada waktu-waktu tertentu. Tiada guna jika secanggih mana sekalipun aplikasi yang ada pada sesebuah telefon jika tiada bateri, tetap tidak dapat berfungsi. Begitu juga bagi seorang pendakwah, tarbiyyah dan pengisian jiwa perlu dicas dan diisi pada setiap masa bagi mengisi jiwa dengan rasa cinta kepada Allah, Rasulullah dan perjuangan dakwah ini demi memastikan kelangsungan sesebuah dakwah.

Soalnya, wujudkan saat ini seorang pendakwah versatile seperti sebuah telefon bimbit yang lengkap dengan pelbagai aplikasi untuk menggalas tugas menyampaikan dakwah ini? Jika tidak mampu bertindak dalam semua perkara seperti sebuah telefon bimbit yang memiliki aplikasi yang canggih, cukuplah sekadar menumpukan kepada fungsi asal sesebuah telefon bimbit yang menghubungkan dan mengeratkan ikatan ukhuwwah serta mampu menyampaikan mesej dakwah Islam kepada seluruh manusia. Jika 'trend' meng'upgrade' dengan menukar telefon bimbit baru untuk mendapatkan pelbagai aplikasi canggih yang ada, para pendakwah juga perlu meng'upgrade' diri dari semasa ke semasa agar tidak ketinggalan dalam menggalas misi perjuangan dakwah Islam ini.

p/s : Nampak agak susah tetapi tidak mustahil

Jom Dauroh! Jangan Malas!

7.05.2010 0 komentar
Yang mana akan menjadi pilihan anda jika diberi pilihan samada mahu membeli tiket pulang ke Malaysia atau mengikuti pengajian dauroh di sini? Apa yang anda dapat jika pulang ke Malaysia? Jika tidak pulang, apa yang anda lakukan bagi memastikan setiap saat masa anda di sini dimanfaatkan semaksimumnya?

Berikut adalah jadual dauroh di Jami' Al Azhar dan Mudhoyyafah :

AL-AZHAR

Ahad
Selepas Zuhur :
Syuzur Az-Zahab & Maqamat Hariri (Syeikh Ibrahim)
Selepas Asar :
5.00-6.30 : Muqaddimah Tafsir Li Ibn Taimiah (Syeikh Mohd Abd Sami')
6.30-Maghrib : Sughro As-Sughro (Dr Jamal Faruq)

Isnin
Selepas Zuhur :
Mirath (Syeikh Ibrahim)
Selepas Asar :
Matan Abi Syuja' (Syeikh Syed Syaltut)
Selepas Maghrib :
Mirath (Syeikh Mohd Syalabi)

Selasa 
Selepas Zuhur :
Syuzur Az-Zahab & Maqamat Hariri (Syeikh Ibrahim)
Selepas Asar :
5.00- 6.30 : Nukhbah al-Fikar (Syeikh Kholid Imron)
6.30-Maghrib : Tafsir (Dr Ali Jumuah)
Selepas Maghrib :
Tuhfah Saniah (Syeikh Ali Soleh)

Rabu
Selepas Asar :
Sughro As-Sughro (Dr Jamal Faruq)
Selepas Maghrib :
Al-Mabahis Al-Asliah (Dr Muhammad)

Khamis 
Selepas Zuhur :
Tanqih Al-Azhariah & Mulhatul I'rob (Syeikh Ibrahim)
Selepas Asar :
Matan Abi Syuja' (Syeikh Syed Syaltut)

Sabtu 
Selepas Zuhur :
Tanqih Al-Azhariah & Mulhatul I'rob (Syeikh Ibrahim)
Selepas Asar :
Matan Abi Syuja' (Syeikh Syed Syaltut)
Selepas Maghrib :
Muqaddimah Majmu' (Syeikh Ahmad Hajin)


MUDHOYYAFAH

Sabtu
Selepas Asar :
5.00-6.30 : Unwan Al-Zorf fi Fan As-Sorf (Syeikh Ali Soleh)
6.30-8.00 : Matn Kafi -Arudh- (Syeikh Ali Soleh)

Isnin 
3.00-4.30 :
Matan Al-Ajurumiah (Syeikh Fathi Hijazi)
5.00-6.30 :
Jauhar Maknun (Syeikh Fathi Hijazi)
6.30-8.00 :
Nukhbah Fikar (Syeikh Amru Wardani)

Selasa 
Selepas Asar :
Matan Al-Waraqat (Dr Abdullah Rabi')

Salah Menentukan Keutamaan

7.04.2010 4 komentar

Pertembungan dua perkara dalam satu masa yang sama menyebabkan kita sering ragu-ragu untuk menilai dan menentukan yang mana lebih utama untuk dipilih. Hal ini memerlukan kefahaman yang jelas berkenaan keutamaan atau lebih mudah difahami sebagai aulawiyyat. Jika ditanya, ramai yang mampu menilai dengan baik tentang keutamaan sesuatu perkara namun tidak pada sudut perlaksanaan kerana belum pasti ramai yang sanggup untuk mendahulukan perkara yang lebih utama lebih-lebih lagi apabila perkara tersebut bertentangan dengan kehendak diri.

Satu contoh yang cukup mudah iaitu pada tarikh 3 Julai 2010, menyaksikan perlawanan peringkat suku akhir piala dunia antara dua kuasa besar bola sepak dunia, Jerman menentang Argentina. Hasilnya, pasukan Jerman yang rata-rata dibarisi pemain muda dengan mudah membelasah pasukan Argentina dengan 4 jaringan tanpa dibalas. Sangat memalukan apabila pasukan yang digembar-gemburkan sebagai calon yang akan membawa pulang trofi piala dunia tewas dengan cukup mudah di tangan anak-anak muda Jerman.

Ketika wisel pertama ditiup di Green Point Stadium, Cape Town, saat itu juga pengajian Fiqh Syafie bersama Syeikh Sayyid Syaltut menggunakan Matan Abi Syuja' sempena Daurah Mukaddimat Ulum Syar'iyyah di Masjid Al Azhar dimulakan. Perbahasan pengajian bermula pada bab ahkam al Najasat sehingga bab solat-solat sunat.

Kedua-dua hal ini memiliki tarikan yang tersendiri. Pasti diakui oleh semua bahawa pengajian Fiqh Syafie adalah lebih utama berbanding sebuah perlawanan bola sepak. Peminat bola sepak yang memilih untuk berada di majlis ilmu langsun tidak tergugat malahan sedikit pun tidak menjejaskan tumpuan kepada pengajian kerana rakaman penuh perlawanan boleh dimuat turun daripada pelbagai laman download. Kenyataan tidak rasmi yang lebih kurang sama juga daripada peminat bola sepak yang memilih untuk menyaksikan perlawanan secara langsung kerana berpendapat 'tidak syok' jika tidak menonton perlawanan secara langsung. Piala dunia cuma 4 tahun sekali, pengajian di Al Azhar ada setiap hari. Malah, rakaman pengajian juga boleh diperolehi daripada pelajar yang merakam pengajian tersebut.

Jika semalam anda memilih untuk berada di hadapan televisyen menyaksikan perlawanan hebat antara Jerman dan Argentina, anda telah melakukan satu kesilapan dalam menentukan keutamaan. Majlis ilmu di Masjid Al Azhar yang menjanjikan ilmu yang bermanfaat dan dicucuri rahmat serta dipayungi oleh para malaikat adalah lebih utama untuk dipilih berbanding perlawanan bola sepak. Anda langsung tidak mengalami kerugian walau satu sen samada Jerman mahupun Argentina yang tewas kerana anda yang memahami tuntutan Islam pasti bukan seorang tahi judi. Adalah amat malang sekali bagi penyokong pasukan Argentina yang tidak menghadiri pengajian di Masjid Al Azhar kerana bukan sahaja ilmu yang tidak diperolehi malah pasukan yang disokong juga terpaksa menerima kekalahan yang memalukan di tangan pasukan anak-anak muda Jerman.Gigit jari saja penyokong Argentina.
Amat mudah untuk melemparkan kata-kata dalam menentukan yang mana lebih utama tetapi amat sukar untuk dilaksanakannya jika perkara tersebut bertentangan dengan kehendak diri.

p/s : Perlawanan akhir nanti, mungkin Jerman akan bertemu Uruguay. Saya pilih Jerman!