Jangan Pandai Cakap Saja

7.16.2010
Timbul perasaan yang amat menyampah sekali apabila ada orang yang hanya tahu berkata-kata, bijak dalam berhujah, mengukuhkan kata-kata dengan nas al Quran dan hadis, menyatakan idea-idea dengan teori yang hebat sehingga kadang-kadang menggegarkan bumi dan telinga yang mendengar tetapi hasil daripada kata-kata yang dilontarkan langsung tidak sama dengan kata-kata yang diucapkannya malahan tidak menatijahkan apa-apa daripada kata-katanya. Habuk pun tidak ada.

"Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak kerjakan? Itu sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang kamu tidak kerjakan" - al Saff : 2-3

Kata-kata yang diucapkan perlu seiring dengan amal perbuatan. Sewajarnya kita sedar, kadang-kadang kita hanya pandai berkata-kata. Apabila berada di medan yang sebenar, adakah mampu berdepan dengan cabaran dan ujian yang telah tersedia? Mampukah kita menyatakan kita benar-benar beriman sedangkan kita belum lagi diuji?

"Adakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan : 'Kami telah beriman', sedang mereka tidak diuji." - al 'Ankabut : 2

Teringat kisah para pejuang terdahulu, mereka diuji dengan ujian yang sesungguhnya. Ada yang kepalanya digergaji, dipanggang di atas bara api dan dipukul dengan cemeti tajam. Jika kita, adakah masih mampukah mempertahankan keimanan dan aqidah yang menjadi tunjang utama dalam diri jika disiksa sedemikian? Mungkin ada yang akan berkata 'Ya, aku mampu' kerana kita sedang berada di zon yang selesa. Jika kita yang menggantikan tempat mereka, belum pasti kita mampu menanggungnya.

Cakap saja tidak ada gunanya. Kita mampu berkata kita sanggup menggadaikan jiwa dan raga demi mempertahankan Islam tetapi belum tentu mampu melaksanakannya. Buktikan kata-kata dengan anggota kita sebagaimana para pejuang terdahulu. Kata-kata mereka dibuktikan dengan perjuangan mereka. Kata-kata-kata mereka dibuktikan dengan kesusahan hidup mereka. Kata-kata mereka dibuktikan dengan kekejaman dan tekanan pada mereka. Kata-kata mereka dibuktikan dengan kematian syahid mereka!! Bahkan perjuangan mereka, pengorbanan mereka dan syahid mereka adalah bicara dan lidah bagi setiap langkah dalam perjalanan perjuangan mereka!

Jangan cakap saja. Buktikan kata-kata!

Semoga terus bergerak meniti di jalan ini.
Comments
1 Comments

1 komentar:

  • bro.zabar

    Tajuk sudah punyai kuasa magnetik..Ambo cuma nk berkongsi pengalaman ambo..dunia keguruan juga mempunyai banyak manusia yang hebat bercakap tetapi masih menutup muka dengan topeng..Jika boleh semua orang ingin di komennya,, tapi diri sendiri tidak menyumbang ttg apa yang di komen,, Setidak-tidaknya buatlah sebuah buku agar dapat dikongsi oleh semua orang..Semoga ambo dan pena daie tidak TERMASUK DALAM GOLONGAN INI.. SELAMAT MAJU JAYA.. (penulisan anta semakin mantap.tahniah!!)

    [Klik Untuk Balas Komen Ini]
  • Post a Comment

    Apa komen anda