Mahasiswa! Jangan Jadi Penakut

6.30.2010 0 komentar
Kesusahan dan kesulitan menempuh risiko dalam dugaan kehidupan adalah sesuatu yang tidak dapat dilelakkan. Ia menjadi realiti perjalanan hidup di dunia ini. Seringkali terjadi adalah pengecut dan sifat takut menghadapi risiko yang muncul kerana kita memiliki jiwa yang kerdil untuk menghadapinya. Maka terhasillah mahasiswa yang bisu, tempang, penakut dan lari daripada menghadapi kenyataan.

Sifat penakut dipandang hina dan dicela serta merupakan suatu sifat yang tidak sepatutnya dimiliki oleh seorang mahasiswa Islam yang benar-benar beriman. Saat ini, sekitar kita dibanjiri dengan mahasiswa yang penakut. Takut untuk bersuara, takut untuk bertindak, takut dalam menuntut hak dan takut memperjuangkan kebenaran. Mahasiswa kita takut kerana bimbang akan menanggung dan menghadapi risiko yang bakal dipikul seperti bimbang pelajaran akan terganggu, nama akan disenaraihitam, ugutan zakat akan ditarik serta akan serta pelbagai risiko yang sedia terhidang. Perlu kita sebar, hakikat dunia yang sudah terbalik kini menjanjikan pelbagai risiko kepada pejuang hak dan kebenaran sebaliknya kesenangan dan pembelaan kepada sang pemzalim.

Islam memandang hina orang-orang yang penakut, samada penakut untuk mempertahankan hak, penakut dalam membela sesuatu nilai dan penakut sehingga menggadaikan maruah kerana sifat penakut akan menggadaikan dan meruntuhkan prinsip-prinsip yang dipegang.

Sebuah hadis Rasulullah SAW menyatakan bahawa umat Islam akan menjadi bahan santapan musuh-musuh Islam kerana menghidap penyakit Wahn (cinta dunia dan takut mati). Mahasiswa kita ramai tetapi ramai yang sedang ditimpa penyakit Wahn yang menggari jiwa mahasiswa Islam menyebabkan mahasiswa Islam kini penjadi penakut sehingga tidak lagi digeruni oleh mana-mana pihak. Kita semua tahu, banyak kepincangan yang berlaku di hadapan mata kita tetapi mengapa cuma hanya segelintir yang mahu bertindak dan bersuara? Yang lain tu pastinya penakut atau pengecut, atau mungkin bimbang periuk nasinya akan terancam.

Kita pasti malu dan marah apabila dilabel sebagai mahasiswa dayus, penakut atau pengecut tetapi bagaimana dengan sikap kita dalam menghadapi kezaliman, penafian hak serta penyalahguanaan kuasa? Adakah diam membisu di hadapan kezaliman tanpa sebarang tindakan itu adalah tanda menunjukkan keberanian? Sampai bila kita mahu berada di takuk lama ini? Kita mesti bangkit. Mahasiswa, jangan jadi penakut! Peringatan ini untuk penulis juga.

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman”. (Ali Imran: 139)

p/s : mahu jadi berani...

Siti Yang Menjadi Impian

6.26.2010 3 komentar
Kita semua maklum, bukanlah seorang dua wanita atau perempuan yang bernama SITI di dunia ini. Terlalu ramai.

Siti yang manakah yang menjadi impian?
Pastinya bukan Dato' Siti Nurhaliza? Bukan juga Siti Sarah Raisuddin. Tidak mungkin Cik Siti Wan Kembang.

Sembilan SITI yang menjadi pujaan :

1)Siti Khadijah r.a
- Merupakan isteri Rasulullah yang pertama. Isteri yang tidak pernah jemu memberikan sokongan di kala suami tersayang memerlukan seorang teman. Sanggup mengorabankan jiwa, raga dan segala kemewahan yang ada demi Islam. Rasulullah SAW menyatakan " "Demi Allah, tidak ada ganti yang lebih baik dari dia, yang beriman kepadaku saat semua orang ingkar, yang percaya kepadaku ketika semua mendustakan, yang mengorbankan semua hartanya saat semua berusaha mempertahankannya dan ... darinyalah aku mendapatkan keturunan."

2)Siti Fatimah Al Zahra r.a
- Puteri Rasulullah yang tinggi akhlak pekertinya. Seorang wanita suci, Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Fatimah adalah orang yang suci farajnya, maka Allah haramkan atas dia dan keturunannya akan api neraka" dan "‘Sesungguhnya puteriku Fatimah ini adalah seorang manusia-bidadari."

3)Siti Aisyah binti Abu Bakar r.a
- Dihati Rasulullah SAW, kedudukan Aisyah sangat istimewa dan tidak dialami oleh isteri-isteri beliau yang lain. Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik dikatakan, " Cinta pertama yang terjadi didalam Islam adalah cintanya Rasulullah SAW kepada Aisyah r.a."

4)Siti Hajar (isteri Nabi Ibrahim)
- Isteri Nabi Ibrahim a.s yang patuh kepada suaminya dan perintah Allah SWT. Sanggup ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim atas suruhan Allah bersama anaknya yang masih merah di dalam pelukannya demi kebaikan. Berjuang mencari air untuk memberi minum anaknya Nabi Ismail a.s.

5)Siti Maryam (ibu Nabi Isa)
- Wanita suci yang menjaga kehormatan diri dan mempunyai maruah yang tinggi sehingga rahimnya dipilih oleh Allah untuk ditempatkan Nabi Isa a.s. Seorang wanita yang terkenal solehah, keturunan yag baik, difitnah berbuat sesuatu yang munkar karena telah melahirkan nabi Isa AS tanpa suami. Siti Maryam adalah salah satu wanita solehah yang diabadikan dalam Al Qur’an.

6)Siti Asiah (isteri Firaun)
- Wanita yang memiliki keimanan yang tinggi. Merupakan Isteri Firaun yang tidak gentar dengan ujian yang dihadapi daripada Firaun. Memillih syurga yang abadi daripada kemewahan firaun laknatullah yg duniawi.

7)Siti Aminah
-Wanita mulia yang rahimnya dipilih untuk mengandungkan Nabi Muhammad SAW yg diutus untuk seluruh ummat manusia, yang membawa rahmat ke seluruh alam.

8)Siti Muti'ah
- Wanita yang dijanjikan syurga. Isteri yang mesti dicontohi kerana setianya kepada suami, menjaga makan minum, menyediakan tongkat untuk dipukul oleh suaminya sekiranya layanannya tidak memuaskan hati, berhias dengan cantik untuk tatapan suaminya sahaja.

9)Siti Zubaidah
- Wanita kaya dermawan yang menjadi isteri Khalifah Harun al-Rashid. Sanggup membelanjakan semua hartanya untuk membina terusan untuk kegunaan orang ramai dengan hanya niat kerana Allah s.w.t.

Semoga para muslimah mengambil iktibar daripada sembilan SITI yang menjadi yang menjadi impian dan tauladan sepanjang zaman.

p/s : Moga bermanfaat buat Siti...

Ustaz Pelawak

0 komentar
Setiap muslim yang mengaku mengesakan Allah adalah pendakwah, bertanggungjawab membawa dan menyampaikan risalah agung Islam kepada seluruh umat manusia. Merujuk kepada ayat 33 hingga 35 surah Fussilat yang menjadi motivasi buat para pendakwah agar sentiasa istiqamah dan bersemangat di jalan dakwah.

Ustaz-ustaz, imam-imam (samada tua atau muda) atau penceramah yang sinonim dengan tugas sebagai pendakwah, penyampai ilmu dan pendidik dilihat kini begitu dekat di hati masyarakat umum dengan bertindak mengisi jiwa umat Islam dengan ilmu dan peringatan melalui tazkirah, ceramah dan kuliah samada di masjid atau di surau. Namun, kita perlu menilai sesuatu yang menjadi trend masyarakat kini yang memilih ustaz atau penceramah daripada kalangan yang popular di sisi masyarakat.

Apa yang menjadikan mereka popular dan buah mulut masyarakat? Biasanya, kebanyakan ustaz yang popular dan menjadi sebutan adalah daripada kalangan yang mengisi ceramah atau kuliah dengan cerita-cerita dan lawak-lawak yang menyebabkan pendengar tidak kering gusi sepanjang ceramahnya.

Tidak dinafikan pada sudut penyampaian ilmu dan peringatan yang sudah menjadi matlamat dan misi utama kepada tazkirah, kuliah dan ceramah yang disampaikan, namun jika sepanjang sesi kuliah atau ceramah yang disampaikan, para pendengar asyik tergelak dan tersenyum bermula daripada awal hingga ke akhir ceramah, bagaimana dengan ilmu dan peringatan yang disampaikan? Adakah ilmu yang diterima oleh pendengar atau lawak-lawak yang diselitkan yang tersemat di hati pendengar.

Menyelitkan lawak-lawak yang membawa pengajaran dalam penyampaian tidaklah salah tetapi akan menjadi masalah besar apabila bukan ilmu dan peringatan yang dibawa pulang oleh pendengar tetapi lawak-lawak dan cerita lucu yang tersemat di hati.

Masa Bukan Emas

6.22.2010 1 komentar

Peribahasa 'Masa itu emas' perlu diperbetulkan, emas boleh dijual beli sedangkan masa sesaat pun tidak mampu dibeli walau dengan bergunung-gunung emas. Setahun akan datang adalah lebih hampir daripada sedetik yang telah berlalu, ia telah jauh meninggalkan kita sehingga tidak mampu diundur kembali. Hari kiamat lebih dekat berbanding hari semalam.

Orang tua selalu berangan-angan, "Kalaulah aku masih muda..."
Orang muda pula berangan-angan, "Kalaulah aku masih remaja..."

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian.” (Al-Asr: 1-2)

Saat ini adalah waktu ini. Jika telah berlabuh malam, siang tadi pasti tidak akan kembali. Hal inilah yang menggugah Umar bin Abdul Aziz pada suatu malam yang beliau amat keletihan. Umar menolak kunjungan seorang rakyat. "Esok pagi sajalah!" kata beliau spontan dengan berharap pada esok pagi segala urusan dapat diselesaikan dengan lebih baik.

Tersentak dengan sebuah ucapan yang mengatakan "Wahai Umar, adakah kamu yakin masih hidup esok pagi?" Lantas beliau segera istighfar dan menerima kunjungan rakyat tersebut.

Kita memandang remeh pada ruang waktu dan masa kerana kita cuma menganggap waktu seperti emas, emas boleh dijual beli serta dipajak gadai. Masa adalah nyawa kita. Hitungan secara kasar menunjukkan kita menggunakan satu pertiga umur adalah untuk tidur sahaja jika masa yang diperuntukkan untuk tidur adalah  selama 8 jam sehari. Jika umur 30 tahun, 10 tahun hanya untuk tidur.

Katakan satu waktu solat diperuntukkan sebanyak 10 minit, lima kali sehari bersamaan 50 minit, ditambah dengan doa dan zikir sebanyak 30 minit. Jumlah semua baru mencecah 80 minit, itu pun kalau dapat bertahan sehingga 80 minit setiap hari. Setelah dicampur dan ditolak dengan usia 10 tahun sebelum mumayyiz, waktu solat, doa dan zikir hanya sekitar 1.8 peratus sahaja daripada waktu tidur.

Tak terasa pelik ke? Orang bergembira meraikan hari ulang tahun, hakikat sebenarnya sedang meraikan umur yang semakin berkurang. Setiap tahun berlalu, kematian semakin dekat. Manusia biasanya akan menyesal pada saat-saat akhir sebagaimana yang diceritakan di dalam al Quran :
“Dan pada hari itu diperlihatkan neraka Jahannam; dan pada hari itu ingatlah manusia, akan tetapi tidak berguna lagi mengingat itu baginya. Dia mengatakan: ‘Alangkah baiknya kiranya aku dahulu mengerjakan (amal soleh) untuk hidupku ini.” (Al-Fajr: 23-24)

Orang beriman tidak akan mensia-siakan masa dan waktu yang ada. Setiap waktu pasti seiringan dengan amalan dan pahala kerana masa tidak punya harga tetapi masa adalah nyawa.

p/s : Sesal dahulu berpendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Ingatlah orang yang tersayang

Ibrah Daripada World Cup

6.19.2010 0 komentar

Kita punya cara masing-masing dalam menilai sesuatu perkara kerana pengajaran untuk diri sendiri kita mampu peroleh di mana-mana sahaja. Sebut sahaja bola sepak, World Cup dan sebagainya, pasti ramai yang mengaitkannya dengan konspirasi jahat yahudi, cara nak menyelewengkan umat Islam dan lain-lain. Tidak dinafikan tentang perkara tersebut, namun jika diperhatikan pada satu sudut positif, ia memiliki pengajaran tersendiri yang bergantung kepada diri seseorang itu sendiri yang menilai samada mahu menerima sebagai pengajaran atau tidak.

Secara peribadi, berbaloi rasanya menonton beberapa siri perlawanan peringkat kumpulan Piala Dunia 2010, bukan kerana pasukan pilihan memenangi perlawanan tetapi kerana minat dan beberapa pengajaran yang boleh didapati daripadanya.

Konsep Amal Jamaie Dalam Bola Sepak

Amal jamaie dapat diertikan sebagai satu usaha secara berjemaah atau kegiatan yang lahir bersumberkan dari satu jamaah yang teratur (berorganisasi) menurut dan menepati manhaj dan skema tertentu menjurus ke arah matlamat yang tertentu. Pasukan bola sepak yang terbaik adalah pasukan yang bermain dengan skill dan strategi yang telah disusun, pasukan tersusun dan teratur (munazzomah), pasukan yang memiliki cara dan gaya permainan tersendiri dan pasukan yang memilki visi dan misi yang jelas.

Pemain perlu bermain dengan corak permainan yang dirancang oleh pasukan (amal yang diputuskan oleh jamaah) samada mengukuhkan barisan pertahanan atau menumpukan bahagian serangan dan setiap pemain perlu menjalankan fungsi pada bahagian masing-masing. Pasukan yang hebat pasti memilki organisasi (tanzim) yang kemas, teratur serta berencana strategi kerana tanpa semua aspek ini pasukan tidak akan mampu mencapai kemenangan.

Sesebuah pasukan (tanzim) perlu dilengkapi dengan beberapa aspek penting seperti adanya ketua yang cekap memimpin sesebuah pasukan (imarah) yang berfungsi mengatur corak permainan dan mengawal pemain, janji taat setia (bai'ah) yang tidak berbelah bagi seluruh ahli pasukan yang beriltizam dengan matlamat pasukan, ahli pasukan yang taat (ta'at) kepada pasukan dan pemimpin pasukan serta perlu ada perbincangan (musyawarah) bagi memastikan pasukan sentiasa berada pada tahap yang terbaik.

Selain itu, sebuah pasukan yang hebat memiliki kumpulan tindakan (manhaj) demi mencapai matlamatnya untuk memenangi perlawanan. Sebuah pasukan bola sepak boleh diibaratkan seperti sebuah jamaah pada susut amal jamaie yang disandarkan kepada al Quran dan hadis Rasulullah SAW :
“Seungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalanNya dalam satu saf seolah-olah satu binaan yang tersusun kukuh” (Surah aa-Saff: 4)

Maksud sabda Rasulullah SAW : “Wajiblah kamu bersama-sama dengan jamaah orang-orang muslimin dan pimpinan mereka”

Dakwah Tidak Dapat Dipikul Orang Yang Manja

Perlawanan bola sepak bukanlah sesuatu yang mudah, penuh tentangan dan rintangan sebelum mencapai kemenangan atau kalah di medan pertarungan. Setiap perlawanan, kita boleh lihat ramai pemain yang tidak dapat meneruskan permainan disebabkan kecederaan. Setiap pemain perlu berusaha bersungguh-sungguh dan berkorban demi mencapai kemenangan namun tugas dakwah menyampaikan Islam yang sedang kita galas jauh lebih getir, lebih perit dan susah. Cuba imbas kembali kisah Zhatu al Riqa' yang dialami oleh Abu Musa al Asy'ari serta para sahabat yang lain, mereka merasakan kaki-kaki dirobek namun masih tetap meneruskan perjalanan tanpa mengeluh sedikit pun.
"Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak berapa jauh, pastilah mereka mengikutimu. Tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka, mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah, “Jika kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu.” Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahwa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta." - surah al Taubah : ayat 42

Jangan Menghukum Dari Segi Zahir

Tertarik dengan seorang pemain dari Argentina, Lionel Messi yang baru berusia 21 tahun. Merupakan salah seorang pemain kelab Barcelona. Usia mudanya mengingatkan kepada Mu'az bin Afra', seorang remaja lelaki yang berusia 15 tahun yang turut sama dalam peperangan Badar. Beliau langsuung tidak gentar menghadapi Abu Jahal dan hasilnya, Abu Jahal mati dalam keadaan terhina. Messi yang memiliki ketinggian cuma 169cm namun gaya permainannya mampu menandingi penyerang profilik yang lain seperti Fernando Torres (186cm) dan Wayne Rooney (178-180cm). Messi menunjukkan ukuran zahir bukan membuktikan kekuatan sebenar. Setakat dua perlawanan Argentina, Lionel Messi masih tidak menunjukkan 'sengatnya' yang sebenar.

Ganjaran Yang Amat Besar

Jika pihak Pengurusan Bola Sepak Jerman menjanjikan 250,000 euro bagi setiap pemain sekiranya pasukan Jerman membawa pulang piala dunia musim 2010. Itu adalah ganjaran bersifat keduniaan yang dilihat terlalu kecil jika dibandingkan dengan nikmat yang Allah SWT telah janjikan kepada pejuang-pejuang Islam dengan ganjaran syurga yang tidak mampu dibayangkan bagaimana indahnya nikmat di syurga.
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu menjadi) janji yang benar dari Allah dalam Taurat, Injil dan al Quran. Dan siapakah yang lebih benar janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar." - surah al Taubah : ayat 111

Terpulang pada sudut mana kita menilai. Yang baik jadikan teladan, yang buruk buang jauh-jauh ke tengah lautan.

p/s : Sekadar menyatakan pandangan, bukan hujah membela golongan 'gila bola'.

Mungkin Ibu Sedang Kesepian

6.18.2010 4 komentar
Kita mengakui kita seringkali lupa keberadaan ibu yang berada di rumah. Buktinya, kita jarang sekali melahirkan rasa khuatir adakah ibu kita sudah makan atau belum, tenang atau takut keadaannya kini, senang atau susah dirinya saat ini, bahagiakah dirinya waktu ini, atau mungkin dia sedang berada dalam dakapan sepi.

Ibu mungkin tidak pernah merasa kesepian ketika ibu sendirian membesarkan anak-anaknya namun kini kita dan adik-beradik yang lain mungkin sedang menempa kejayaan, sibuk dengan kerjaya, pendidikan tinggi dan pangkat tinggi.

Kenang sejenak, ibu kadang-kadang 'berbohong' demi mengalih perhatian kita. Tidak pernah menunjukkan rasa penat dan letih bekerja serta menguruskan anak-anaknya. Kenang kembali, kegawatan ekonomi 1998, saat hidup serba kekurangan, sambil memindahkan nasi ke pinggan anak-anaknya, ibu dengan tenang berkata, "Makanlah nak, mak sudah kenyang." Kini kita sedar bahawa saat itu ibu sedang 'berbohong'.

Ayah pergi mengadap tuhan. Ibu mengambil alih tugas ayah, membiayai segala keperluan hidup. Tiada hari tanpa keperitan namun ditutupinya dengan senyuman dan wajah yang tenang.

Ibu kesepian. Ditinggal anak-anaknya yang merantau menentukan pilihan hidup masing-masing. Semuanya sudah dewasa, merantau mencari ilmu, mencari rezeki dan sebagainya.

Bukan gulungan sijil yang membahagiakan seorang ibu. Ibu menginginkan setiap anak didikannya menjadi anak yang soleh atau solehah dan berakhlak mulia. Itu yang paling membahagiakan. Tiada perkara yang paling menyenangkan selain anak-anaknya terus mengharungi dunia dalam penuh ketaatan kepada Allah SWT. Lebih senang bagi dirinya kerana setiap pahala doa munajat anak-anaknya bisa sampai setelah kepergiannya ke alam barzakh, masih ada yang berdoa dan memohon ampun untuknya.

Kita berada pada dunia yang berbeza, zaman yang tidak serupa, perubahan gaya serta budaya yang mungkin tidak sama. Kadang-kadang mungkin wujud kefahaman yang tidak sama, kehendak yang berbeza dan pemikiran yang tidak sehala. Mungkin kini ibu sedang sepi memikirkan kita seringkali tidak memahami keinginannya. Mungkin kita anggap biasa kerana kita sekadar puas dengan senyuman daripadanya, boleh jadi dia sedang mengharapkan sesuatu yang kita anggap biasa tetapi terlalu berharga di sisinya.

Ibu yang merindui kita dan terlalu merindui kita sampai bila-bila. Kecanggihan teknologi tidak mampu menandingi segalanya, wajah setiap anak sentiasa berada di benak fikiranya, kelibat si anak seringkali bermain antara kedua anak matanya. Jauh bezanya dengan kita, bila susah baru teringat pada ibu, mak, ummi, mama, ma, mek, emak dan sebagainya. Mungkin ibu sedang kesepian menanti kunjungan anak-anaknya.

p/s : Mak, mohon ampunkan anak nak 'buas' ini...

Kalau Pasal Kahwin, Semangat!!

6.15.2010 5 komentar
Memang semua bersemangat. Artikel lepas "Mak! Saya Mahu Kahwin" mendapat sambutan yang agak memberansangkan. Jangan kata yang belum kahwin, yang sudah kahwin juga sama sahaja. Persoalan saya, mengapa kita sangat tertarik dengan perbahasan sedemikian? Kata sebahagian responden, memang fitrah manusia begitu. Sisi pandangan yang lain pula mengatakan perkara yang selari dengan keinginan nafsu, siapa yang tidak suka? Pasti semuanya suka. Ada pula yang kata, pemikiran kita didoktrin begitu. Ada benarnya juga.

Saya berpandangan hal ini berpunca daripada doktrin-doktrin minda yang amat kotor telah menyerang  fikiran umat kita. Doktrin kotor yang mengajar bahawa kepuasan nafsu mesti diutamakan, materialisme, sekularisme dan pergaulan bebas yang disalurkan melalui lagu-lagu jiwang, drama-drama melayu yang 'tidak sah' jika tiada percintaan, para pelakon yang memdedahkan aurat dan pergaulan bebas. Semua ini meracuni pemikiran umat dan menjadi 'guru secara tidak formal' mengajar umat bahawa pendedahan aurat adalah fesyen terkini serta pergaulan bebas adalah budaya masyarakat maju. Tidak hairan jika kanak-kanak seawal usia tujuh tahun sudah mengerti soal cinta kepada pasangan berlainan jantina, berpakaian ala-ala artis dan lagak serta gaya seperti seorang samseng.

Doktrin kotor ini juga menyebabkan kajian ilmiah, sejarah Islam, isu-isu umat Islam dan lain-lain tidak ramai yang ambil peduli. Jika ditanyakan kejayaan dan sumbangan orang barat dalam mencipta sejarah dan peradaban, pasti boleh mereka nyatakan satu persatu. Bermula daripada kejayaan the Wright’s Brother dalam penciptaan kapal terbang, Thomas Edison dalam mencipta lampu mentol, Alexander Graham Bell dalam mencipta telefon, dan kejayaan Albert Einstein mencipta formula E=mc2. Tidak semua tahu sejarah hidup Rasulullah SAW daripada lahir sehingga kewafatan baginda, tetapi mereka tahu sejarah penuh Adolf Hitler. Tak ramai juga yang tahu sejarah pembunuhan Saidina Umar, Uthman dan Ali, tetapi mereka tahu sejarah penuh pembunuhan John F Kennedy, Princess Diana dan juga skandal-skandal artis lain.

Mungkin kita sibuk, sibuk dengan aktiviti dunia yang tidak kunjung habis. Peminat bola sepak, sibuk dengan World Cup. Peminat gosip sibuk dengan isu artis-artis. Peminat shopping sibuk dengan produk-produk terkini. Peminat wanita, sibuk dengan aktiviti cuci mata. Ini juga doktrin kotor yang meracuni pemikiran kita. Siapa yang peduli masalah umat Islam? Siapa yang mendengar rintihan dari Gaza? Siapa yang bangkit menentang lesen 'judi halal'?

Bebaskan minda daripada diracuni doktrin kotor yang menjadi punca kepada perkara keji yang berleluasa. Kita seharusnya tahu kejayaan Islam dalam membina tamadun yang paling unggul, cukup harmonis dan sesuai dengan setiap jiwa manusia. Islam yang mempelopori sudut ilmiah, teknologi, ekonomi, pemerintahan, ketenteraan dan Islam menghapuskan pengabdian manusia sesama manusia kepada pengabdian yang Maha Esa. Islam adalah solusi keseluruhannya.

Bimbang, risau dan berfikir panjang. Jika kita punya zuriat pada masa akan datang, adakah punya tempat dan suasana yang menjamin mereka terselamat daripada doktrin-doktrin minda yang kotor ini kerana doktrin kotor ini berada di mana-mana.

Mak! Saya Mahu Kahwin

6.12.2010 11 komentar
Entri ini bukanlah luahan hati tetapi hanya sekadar menyatakan suatu pandangan, mungkin akan membuka minda dan mungkin juga akan ada yang membangkang. Terpulang.

Gejala sosial yang melanda negara kita berada pada tahap kritikal dan membimbangkan terutamanya yang melibatkan golongan muda remaja. Baru-baru ini dikejutkan dengan berita 16 pelajar di Terengganu 'berjaya' melahirkan anak hasil hubungan dengan teman lelaki mereka. Kes buang bayi, zina, bersekedudukan mahram,  seolah telah menjadi berita panas sebagai pelaris akhbar setiap hari.

Mak! Saya Mahu Kahwin

Luahan si anak yang menyatakan hasrat untuk berkahwin kepada ibubapanya namun disusuli dengan sanggahan yang berbunyi "Jangan nak menggatal, muda-muda lagi dah fikir nak kahwin. Belajar pun tak habis-habis lagi, sudah nak fikir pasal nak kahwin". Biasa dengar kan? Angguk sajalah.

Hasrat si anak yang mahu berkahwin pada usia yang muda adalah merupakan satu niat dan hasrat yang baik serta positif tetapi kebanyakan (bukan semua) ibubapa sekarang memandang perkara tersebut sebagai sesuatu yang negatif malah hasrat anak-anak yang mahu mendirikan rumahtangga pada usia muda cuba disekat dan dihalang. Berdasarkan situasi dan kondisi semasa, kahwin muda sepatutnya digalakkan malah ibubapa sepatutnya yang bertanya kepada anak-anak bila mahu mendirikan rumahtangga, bukannya menghalang anak yang mahu berkahwin.

Situasi kini yang boleh dilihat, ramai mana remaja lelaki yang membawa perempuan ke hulu ke hilir tanpa ada talian perhubungan yang sah. Sungguh pelik dan hairan melihat ibubapa yang hanya membiarkan anak gadis mereka diusung ke sana ke mari oleh lelaki. Kebejatan akhlak yang kian meruncing cukup dengan melihat pendedahan aurat berlaku di mana-mana. Remaja perempuan tanpa segan silu menayangkan 'pusat-pusat' mereka di pusat membeli belah, aksi peluk cium di sana sini, tidak kurang juga yang berpakaian mengalahkan artis-artis barat sehingga menampakkan bahagian sulit. Ini realiti. Lelaki mana yang sanggup melihat sahaja dengan membeliakkan biji mata masing-masing. Mengikut satu kajian, 70 peratus ransangan lelaki adalah melalui pandangan. Itu belum lagi sebut tentang aksi-aksi pelakon di kaca TV dan aktiviti men'download' bahan-bahan lucah daripada internet dengan hanya sekali 'klik'. Kita semua sudah maklum. Bagi membendung nafsu muda yang menggila dan menjaga kawalan pandangan mata, amat wajar sekali jika anak-anak yang punya kesedaran mahu memilih jalan yang dihalalkan oleh Islam dengan menyatakan hasrat "Mak! Saya mahu berkahwin".

Ibubapa Menanggung Saham Dosa

Kes zina yang berleluasa dan kes buang bayi cukup mengajar umat kini bahawa Islam telah mengatur jalan terbaik bagi membendung masalah ini iaitu melalui perkahwinan. Terlalu kejam jika ibubapa membiarkan anak-anak 'terseksa fizikal dan mental' akibat dihalang untuk berkahwin malah ada ibubapa yang seratus peratus menyalah anak-anak jika mereka terlibat dengan kes zina dan buang bayi. Ibubapa turut menanggung saham dosa jika anak-anak mereka terjebak dalam kes zina jika hasrat mereka yang sebelum ini mahu berkahwin dihalang. Setelah terlanjur sebelum kahwin, perut si gadis membunting manakala si lelaki yang mungkin keturunan spesis tupai (selepas tebuk lari) ketakutan dan melarikan diri kerana tidak mahu bertanggungjawab. Jika si anak berhasrat memilih jalan halal melalui perkahwinan dihalang, mengapa si anak sahaja yang disalahkan akibat memilih jalan haram melampiaskan nafsu mereka? Pasti ada yang bertanya, bila sudah kahwin nanti nak makan apa? Nak bagi makan apa kat anak orang? Ini adalah soalan -soalan biasa dan bukan topik perbincangan utama. Yang utama adalah mahu si anak memilih jalan halal atau mahu si anak tersalah pilih jalan haram dan berdosa.

Memilih Jalan Halal

Ibubapa sewajarnya menyokong hasrat si anak yang memilih jalan halal iaitu perkahwinan, bukannya menyekat dan menghalang. Bukankah Islam menyuruh kita supaya bersegera untuk melakukan kebaikan (fastabiqul khairat). Situasi sekarang bukan seperti 30 tahun lalu. Keadaan kini memerlukan jiwa yang benar-benar kuat bagi mengharungi liku-liku hidup yang penuh ranjau berduri, penuh dugaan dan cabaran. Jika dahulu aktiviti mengendap anak-anak dara mandi menjadi kegilaan pemuda, kini tidak perlu susah-susah mengendap, hanya menggunakan hujung jari sahaja dengan meng'klik' bagi mereka yang memiliki capaian internet. Siapa yang terpalit malu jika si anak ditangkap basah? Siapa yang susah jika perut anak gadis mengandungkan anak hasil daripada zina? Siapa yang dikata tidak tahu mendidik anak jika si anak terlibat dalam kes buang bayi? Pastinya ibupada. Sudah pasti tidak ada ibubapa yang mahu anak-anak mereka terjebak dalam kancah perbuatan keji dan haram.

Wahai ibubapa dan penjaga, mengapa menghalang si anak yang mahu berkahwin? Bukankah perkahwinan adalah halal malah amat digalakkan oleh Islam? Cuba pilih satu antara dua, mahukan si anak terjebak dengan kancah maksiat atau membantu si anak mengharungi liku hidup setelah berkahwin?

Jika si anak berkata : "Mak! Saya mahu kahwin"
Jawab ibubapa : "Beritahu mak siapa calonnya, biar mak yang uruskan semuanya.
Pasti si anak tersenyum lebar hingga ke telinga.

Rasulullah SAW bersabda, bermaksud: "Wahai para pemuda! Sesiapa yang berkemampuan maka hendaklah dia berkahwin kerana sesungguhnya perkahwinan itu lebih menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak berkemampuan maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu pendindingnya".

p/s : Ayuh! Nyatakan hasrat anda

Biar Tak Soleh, Asalkan Genius

6.10.2010 16 komentar
Masyarakat Islam kini tidak lagi meletakkan Islam ditempat pertama, menyisihkan Islam daripada kehidupan seharian. Secara zahirnya, diperhatikan Islam kini diamalkan oleh masyarakat kita hanya pada empat keadaan sahaja iaitu semasa kelahiran (majlis aqiqah dan tahnik), semasa berkhatan, perkahwinan dan kematian. Hakikatnya Islam sebenarnya adalah satu tatacara hidup yang menyeluruh meliputi segala ruang lingkup kehidupan.

Ramai yang mengambil cakna mengenai keputusan peperiksaan UPSR, PMR dan SPM anak-anak rakan dan saudara mara namun tidak ramai yang bertanya mengenai keputusan PSRA, PMRU, SMA dan STAM. Tidak ramai juga yang mengambil peduli mengenai anak-anak yang tidak tahu solat, tidak kenal huruf al Quran dan tidak pernah berpuasa. Inilah realitinya, masyarakat kita cuma menganggap agama cuma perkara sampingan dalam kehidupan.

Jika mendapat keputusan cemerlang dalam SPM, pasti ramai yang bertanya ke negara mana mahu terbang menggunakan biasiswa JPA atau MARA tetapi pasti ramai yang kecewa jika jawapannya mahu menyambung Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kerana mahu terbang mendalami ilmu agama. Mungkin hal ini kita anggap biasa namun ia sudah cukup menggambarkan pada sudut mana agama diletakkan di sisi masyarakat kita. Tanya saja, berapa ramai ibubapa yang menyuruh anak-anaknya bersungguh-sungguh mendalami ilmu agama, ramai yang cuma tahu menghabiskan wang beratus ringgit membayar tuisyen demi memastikan anak-anak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Sanjungan yang terlalu agung diberikan kepada anak-anak yang cemerlang dalam bidang akademik, bijak, genius dan pandai. Mereka dihantar ke tempat-tempat pengajian yang terbaik tetapi jika anak-anak yang agak sengal, lembab dan bodoh-bodoh ubi mereka dicampakkan ke mana-mana pondok untuk mendalami ilmu agama. Kata mereka "kalau sudah bodoh tu pergilah belajar agama, yang cerdik pandai jadi doktor dan engineer. Nanti dapat gaji mahal, hidup pun senang". Masyarakat kita sudah tunggang terbalik. Sisi pandangan masyarakat kini mengatakan tidak layak golongan cerdik pandai mendalami ilmu agama. Tidak perlu tunggu lama, sedikit masa lagi kita boleh lihat akan lahir golongan mufti, imam-imam dan ustaz-ustaz yang daripada kalangan yang 'bodoh'. Mengapa yang genius-genius tidak dihantar mendalami agama? Bukankah itu menjadi sumbangan yang besar kepada Islam? Mungkin masyarakat kita menjawab, biarlah tidak soleh mana pun, asalkan genius, hidup senang dan gaji mahal. Dunia memang sudah terbalik. Kita tanya kembali, boleh ke hidup senang tanpa agama? Nanti nak masuk kubur bawa apa? Kereta, harta atau agama?

Perancangan Yahudi Nasrani dilihat semakin mencapai matlamat iaitu menerapkan pemikiran sekular dan meterial dalam minda umat Islam. Agama dan dunia dipisahkan malahan agama dianggap tidak penting dan tidak perlu. Ahli agama dipinggirkan sebaliknya ahli dunia yang diagung-agungkan.

p/s : Jika ada lagi kenyataan "Yang 'bodoh-bodoh' tu pergilah belajar agama", jangan terkejut jika tumit kaki yang singgah di muka. Jangan sampai ada yang hilang sabar.

Menanti 'Si Solehah'

6.08.2010 4 komentar
Titik permulaan segala sesuatu di sisi kita ialah menghidupkan umat Islam dengan ilmu dan tarbiyah Islamiyyah. Secara mudah, lelaki soleh dan wanita solehah adalah mereka yang bersedia memenuhi segala tuntutan Islam keatas mereka. Dua elemen inilah yang akan membentuk sebuah unit yang dinamakan keluarga. Keluarga pada tabi'inya adalah unit asas dalam sesebuah masyarakat dan merupakan unit yang paling penting dalam sesebuah masyarakat.

Dinyatakan di dalam kitab Fiqh al Sunnah bahawa Imam Tarmizi dan Imam Ibnu Majah meriwayatkan sabda Rasulullah SAW mengenai ayat 34 surah al Taubah semasa dalam satu perjalanan Rasulullah SAW bersama para sahabat, maka sebahagian para sahabat berkata "Telah ada ayat yang turun mengenai harta dan perak, maka sekiranya diketahui bahawa ada yang lain  yang lebih utama maka kami akan mengambilnya". Rasulullah bersabda : "Lidah yang selalu berzikir, hati yang sentiasa bersyukur dan isteri mukminah yang mengukuhkan iman suaminya".

Rasulullah SAW bersabda : "Bagi mukmin, tidak ada hal yang terlebih baik sesudah bertaqwa kepada Allah selain mendapat isteri yang solehah".
 
Rasulullah SAW juga bersabda : "Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik berhiasan adalah wanita solehah"

Di dalam satu riwayat yang lain ada dinyatakan berkenaan perihal wanita solehah : "Apabila diperintahkan kepadanya, dia taat. Apabila melihat kepadanya akan menyenangkan. Apabila diberi janji, dia menerima dan apabila dia ditinggalkan, dia menjaga diri dan harta suaminya dengan baik".

Sabda Rasulullah SAW : "Janganlah kamu kahwin dengan perempuan kerana kecantikannya, barangkali kerana kecantikan itu membinasakannya. Janganlah kamu kahwin kerana hartanya, barangkali kekayaannya itu menyebabkan dia derhaka, tetapi kahwinlah dengan perempuan kerana agamanya. Sesungguhnya perempuan yang tidak berhidung lagi budak adalah lebih baik (daripada yang lain)."

Jawapan Rasulullah SAW ketika ditanya oleh kaum muslimat tentang jihad seharusnya dijadikan panduan bersama iaitu : "Sampaikanlah kepada perempuan-perempuan yang kamu temui bahawa taat kepada suami dan mengakui hak-haknya adalah sama dengannya (jihad di jalan Allah).

Wanita solehah perlu mempersiapkan diri dengan ilmu Islam yang secukupnya kerana kecintaan kepada ilmu dan kesungguhan dalam menimba ilmu adalah merupakan sifat para wanita solehah sejak zaman Rasulullah SAW. Sejarah menceritakan bagaimana luasnya ilmu yang ada pada Sayyidatina Aisyah dan betapa dalamnya ilmu yang ada pada Zainab. Keperibadian mulia, sikap berani dalam membela hak dan menegakkan keadilan menjadi ciri-ciri yang menghiasi perbadi dan mewarnai hidup seorang wanita solehah seperti yang ditunjukkan oleh Khaulah binti Tha'labah.
 
Wanita solehah itu, sifat malu membenteng diri, pergaulan yang dipagari, kecantikan bukan berada pada wajahnya, kemanisan bukan berada pada kemanjaannya, kemanisan bicara tidak menjadi daya penariknya yang bisa menggoyah iman kaum muslimin tetapi terletak pada perjuangannya menjaga dan memartabatkan agamanya. Kata orang, nafsu kata wanita cantik pada paras rupa, akal kata wanita cantik pada ilmu dan hati kata wanita cantik pada akhlaknya. Wanita solehah itu adalah yang menjaga kecantikan luaran dan mengutamakan kecantikan dalaman.

Wahai kaum lelaki, jangan terlalu mencari-cari dan menanti-nanti 'si solehah' yang diimpikan akan menjadi milik kita sebalik menjadikan diri kita benar-benar soleh serta sanggup memenuhi segala tuntutan Islam keatas kita adalah lebih utama. Sekiranya syarat ini dipenuhi pasti 'si solehah' yang diidamkan yang mencari dan menanti kita.
 
p/s : Mengapa saya menulis mengenai wanita? Saya juga tidak tahu.

Mulut Maki Tapi Kepala Otak Masih Buat Tak Reti

6.07.2010 0 komentar
Bukan perkara baru, isu memboikot produk Yahudi Israel. Kita sudah lama kenal siapa mereka golongan Yahudi yang berada di negara haram Israel. Terlalu banyak pencabulan yang telah mereka lakukan sehingga Imam Hassan al Banna rahimahullah mengatakan bahawa puak-puak Yahudi Israel hanya akan mengerti dengan jihad al qital (peperangan).

Baru-baru ini kes melukis karikatur Rasulullah di laman Facebook, isu umat Islam di bumi Palestin dan isu kemanusiaan terhadap misi bantuan ke bumi Gaza sedikit menyedarkan umat Islam khususnya dan masyarakat dunia umumnya namun kesedaran cuma berlegar-legar di mulut sahaja sedangkan tangan masih asyik menekan keyboard membalas komen dan mesej serta berchatting di laman Facebook.

Saya sangat tidak setuju apabila baru-baru ini ada kempen supaya meng'log  off' untuk sementara waktu laman Facebook masing-masing. Memang bijak orang yang membina laman Facebook kerana akaun yang telah dibuat tidak boleh di'delete', yang boleh cuma deactivate sahaja. Apa masalahnya jika terus deactivate sahaja akaun Facebook dan jangan buka sampai bila-bila? Apa yang nak ditakutkan?

Hah? Nak berdakwah dengan Facebook? Tak boleh delete akaun Facebook, nanti terputus hubungan dengan kawan-kawan. Alasan biasa, sudah naik mual.

Nak berdakwah konon, banyak lagi alternatif lain, gunalah semaksimumnya. Apa yang diperhatikan, ramai dikalangan kita bukan berpaksikan misi dakwah dengan Facebook, terlalu ramai yang leka, lalai dan hanyut dengan Facebook. Bukan nak berdakwah sangat, yang dibuat oleh lelaki adalah tengok profile dan gambar perempuan (perempuan juga sebaliknya), saling komen gambar dan chatting yang bukan-bukan. Itukah dakwah? Saya setuju jika bergantung kepada cara penggunaan, tetapi susah sangat nak jumpa yang menggunakan Facebook peribadi hanya untuk misi dakwah, yang banyak adalah mengarut. Kalau penggunaan yang mengarut lebih banyak daripada digunakan untuk berdakwah, jangan beralasan untuk tidak mahu deactivate akaun kerana nak berdakwah. Alasan yang sangat tidak munasabah.

Memang mudah mencari alasan kerana kita sudah termakan dengan pujuk rayu serta godaan syaitan. Syaitan memang bijak bermain dengan tipu daya, terlalu banyak pengalaman, sejak zaman Nabi Adam sehinggalah sekarang. Setakat kita yang iman cuma setebal kulit bawang, terlalu mudah bagi syaitan mempermainkan kita.

Cukuplah dengan sejarah CEO laman Facebook yang pernah menggodam laman sesawang universitinya suatu ketika dahulu, anda percaya data anda kini selamat? Cukuplah dengan dengan kes perceraian yang meninggak disebabkan oleh laman Facebook, anda mahu menjadi mangsanya? Cukuplah dengan saluran keuntungan pengiklanan di Facebook kepada negara haram Israel, anda mahu menjadi pemegang saham dalam misi membunuh saudara sendiri di Palestin? Cukuplah.

Jangan beralasan kerana mahu berdakwah untuk tinggalkan Facebook kerana kita sedang termakan dengan dakyah Yahudi melalui Facebook.