Mengapa Doa Tidak Dimakbulkan?

1.27.2011 0 komentar


Seseorang bertanya kepada Ibrahim Bin Adham,
"Wahai Ibrahim Bin Adham, kami telah berdoa kepada Allah tetapi masih tidak diperkenankanNya. Khabarkan kepada kami apakah sebab-sebabnya."
Ibrahim Bin Adham Menjawab,
"Doa terhijab disebabkan sepuluh perkara..."

1. Kamu mengenali Allah SWT, tetapi kamu tidak menunanikan hakNya (perintahNya)
2. Kamu membaca Al-Quran, tapi kamu tidak beramal dengannya.
3. Kamu mendakwa iblis itu musuh kamu, tapi menurut hasutannya.
4. Kamu mendakwa mencintai Rasulullah SAW tapi kamu meninggalkan amalan dan sunnahnya.
5. Kamu mendakwa mencintai syurga, tapi kamu tidak beramal untuk mendapatkannya.
6. Kamu mendakwa membenci neraka, tapi kamu tidak meninggalkan perbuatan dosa.
7. Kamu mendakwa mati itu benar, tapi kamu tidak bersedia untuk menghadapinya.
8. Kamu sibuk menceritakan keaiban orang lain, tapi kamu lupa keaiban diri sendiri.
9. Kamu makan rezeki Allah, tapi kamu lupa mensyukurinya.
10. Kamu menghantar jenazah ke kubur, tapi kamu tidak mengambil iktibar daripadanya.


Perkongsian Bahan Bacaan

1.22.2011 2 komentar

Beberapa bahan bacaan :

Tazkiyatun Nafs
oleh : Sa'id Hawwa




Al Munthalaq
oleh : Muhammad Ahmad Al Rasyid




Sirah Nabi Muhammad SAW, Pengajaran & Pedoman
oleh : Dr. Mustafa al Syibaie



Petunjuk Sepanjang Jalan
oleh : Syed Qutb




Generasi Muda & Perubahan
oleh : Fathi Yakan




Berhikmah, sering disalaherti

1.20.2011 3 komentar


Berhikmah, iaitu melakukan sesuatu dengan bijaksana sering kali disalahertikan. Umumnya menganggap, berhikmah hanyalah berlembut dalam setiap hal. Ini adalah tanggapan dan pemahaman yang salah. Berhikmah ditafsirkan dengan perkataan yang tegas dan benar yang dapat  membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Ia adalah melakukan sesuatu dengan bijaksana dan sesuai dengan situasi dan keadaannya.

Perumpamaan yang mudah dijadikan sebagai contoh adalah jika mahu memotong sayur, kita menggunakan pisau dapur. Jika mahu menebang balak, kita gunakan mesin pemotong yang besar. Ini adalah tindakan yang bijak dengan menggunakan sesuatu sesuai dan kena pada tempatnya. Jika menebang balak menggunakan pisau dapur, tidak mustahil pokok balak itu akan tumbang tetapi itu adalah kerja yang tidak masuk akal dan suatu tindakan yang bodoh. Menggunakan pisau dapur untuk menebang balak adalah cara yang tidak berhikmah.

Berhikmah bukan sekadar berlembut, kadang-kadang dengan melakukan kekasaran adalah cara yang paling berhikmah bergantung kepada keadaan dan suasana. Bukan semua keadaan perlu berlembut, bukan juga semua keadaan perlu berkasar. Jangan pula dengan kekasaran, Islam dilabel sebagai pengganas dan kejam. Gunakan kebijaksanaan. Seluri sirah dan sejarah Rasulullah SAW, baginda adalah manusia yang paling berhikmah. Inilah yang mesti kita semua fahami.

Kebijaksanaan perlu digunakan semaksimumnya dalam menyampaikan Islam dan mencegah kemungkaran pada setiap peringkat lapisan masyarakat.

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan bantahlah  mereka dengan cara yang baik..." Surah al Nahl : 125

PenaDaie

Manusia Seperti Layang-Layang

1.18.2011 0 komentar

Layang-layang atau wau biasanya dihasilkan daripada selembar kertas berkerangka dan daripada buluh atau lidi yang diterbangkan di udara menggunakan tali. Setiap layang-layang juga mempunyai karakter tersendiri samada besar ataupun kecil saiznya, pelbagai model dan warna yang berbeza, namun tetap memiliki tujuan yang sama, terbang ke udara membelah awan. Demikian juga dengan seorang muslim, punya karakter, warna kulit , bangsa dan kemampuan yang tersendiri hatta sesiapa pun yang melafazkan syahadah menyatakan dirinya sebagai muslim, tetap memiliki tujuan yang sama, iaitu mengabdikan diri sebagai hamba dan menggapai redha Allah SWT.

Walau apa jenis layang-layang itu sekalipun, caranya terbang adalah dengan menongkah arah angin dan ia perlu memenuhi kriteria dan syarat bagi membolehkannya terbang tinggi di udara, iaitu keseimbangan. Seimbang antara kiri dan kanan, antara kerangka dan badannya serta keseimbangan antara kekuatan tali, saiz layang-layang dan kekuatan angin yang ditempuhnya.

Demikian juga halnya seorang manusia, kehidupan yang selamat adalah bertentangan dengan kehendak nafsu dan melawan fitnah dunia. Jika ingin terbang dengan baik dan selamat menempuh arus angin badai dan taufan kehidupannya, kita seharusnya mampu menyeimbangkan diri dalam memandu kehidupan sebagai hamba Allah. Keseimbangan antara jiwa dan raga, jasmani dan rohani, dunia juga akhirat. Hidup kita bukan menurut arus dunia tetapi mencorak dunia dengan aturan Allah dan RasulNya.

Demi mencapai keseimbangan tersebut, kerangka layang-layang mestilah diraut dengan rapi dan teliti, dipotong dan diikat dengan ukuran yang sama bagi menjamin kestabilannya. Layang-layang yang diraut dan diteliti dengan rapi sedemikian memberi isyarat kepada kita bahawa kehidupan kita perlu dibentuk dan dicorakkan dengan baik. Kehidupan kita mesti dicorakkan dengan tarbiyyah Islamiyyah, jiwa dan raga perlu diperkukuhkan, kekentalan rohani dan jasmani perlu diseimbangkan agar segala angin cubaan yang menghentam, kita tidak mudah patah atau turun menjunam jatuh ke tanah. Proses meraut dan mentarbiyyah ini sudah tentu memerlukan kesabaran, ketekunan, ketelitian untuk mendapatkan hasil yang maksima dan sempurna.

Bentuk rangka dan kertas membalut layang-layang menggambarkan jenis dan nilai layang-layang tersebut. Ini menunjukkan kita perlu membawa jatidiri seorang muslim, menggambarkan identiti muslim di tengah masyarakat. Baik pada sudut pakaian, keperibadian, akhlak dan semua kerangka hubungan sosial lainnya. Pamerkan identiti dan jatidiri Islam yang indah, cantik pada pandangan mata sehingga dakwah masih mampu disalurkan sekalipun dengan akhlak dan keperibadian

Ketika layang-layang terbang di udara, saat ini adalah yang paling penting. Tali yang kuat dan kukuh akan menunjang layang-layang agar tidak hanyut dibawa deruan angin dan tali adalah elemen yang menghubungkan layang-layang dengan pengendalinya . Sebagai muslim, hidup kita pastilah berpegang pada tali yang kuat dan kukuh, tali yang diberikan oleh pengendali dan pencipta kita, tali inilah yang akan memandu hidup kita mengharungi liku dan arus dunia kehidupan agar selari dengan kehendak Maha Pencipta dan tidak tersesat.

Tali yang kuat dan kukuh inilah yang membuat diri kita terkawal. Tali ini yang menjadi dasar prinsip hidup dan perlembagaan kita. Tali ini tidak lain adalah Al Quran dan Sunnah yang menjadi pedoman dan pengatur hidup agar kita tidak tergelincir ke jurang kenistaan yang menyerupai haiwan. Tali layang-layang ibarat nyawa baginya, layang-layang bergantung sepenuhnya kepada tali. Putus tali maka binasalah layang-layang. Hidup manusia jika dipisahkan dengan al Quran dan Sunnah walau sejengkal, sesatlah seluruh kehidupan manusia.

Maksud firman Allah SWT :
"Dan berpeganglah kamu semuanya dengan tali (agama) Allah..." Surah Ali Imran : 103

Maksud hadis Rasulullah SAW : 
"Sesungguhnya inilah al Quran, iaitu tali Allah yang kuat, kukuh...."

"Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara, kalian tidak akan tersesat selama kalian berpegang erat kepadanya. Kitab Allah (al-Quran) dan sunnahku"


Tidak Perlu Masuk Yahudi Atau Kristian

1.10.2011 2 komentar

Kita sedia maklum, Yahudi dan kristian berusaha setiap hari dengan pelbagai metod untuk mencabut satu demi satu ke'Islam'an yang ada pada diri umat Islam sehingga tidak ada lagi nilaian Islam yang tinggal pada batang tubuh melainkan hanya pada nama.

Firman Allah yang bermaksud : 
"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka...." al Baqarah : 120

Kefahaman daripada maksud ayat di atas adalah pihak yang memusuhi Islam terutamanya Yahudi dan Kristian tidak akan 'senang duduk' sehingga umat Islam mengikut telunjuk dan mengamalkan tatacara hidup mereka. Tidak perlu sehingga umat Islam murtad dan meninggalkan agama Islam secara total, sudah cukup memadai bagi Yahudi dan Kristian memastikan umat Islam meninggalkan ajaran Islam satu per satu dan mengamalkan budaya dan cara hidup mereka. Mereka menganggap bahawa ini adalah satu kejayaan yang cukup besar bagi mereka apatah lagi apabila umat Islam semakin ramai menganut fahaman dan ajaran mereka.

Baginda Rasulullah SAW telah menyatakan melalui sebuah hadith, pada akhir zaman nanti umat Islam akan mengikut dan menurut Yahudi dan Kristian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sehingga mereka memasuki lubang biawak sekalipun umat Islam tetap akan mengikuti mereka. Lihat sahaja pada segenap perkara di sekeliling kita pada hari ini, cara kehidupan, berpakaian, pergaulan, hiburan sehingga kepada sistem pengurusan dan pemerintahan segalanya menjadikan Yahudi, Kristian dan Barat sebagai 'role model' dan kayu pengukur bagi melambangkan sebuah kejayaan dan kemajuan.

Seorang paderi kristian telah berkata setelah mereka mengalami kekalahan semasa peperangan Salib : "Bukanlah yang dikehendaki memasukkan umat Islam ke dalam Kristian, tetapi memadai dengan mengeluarkan mereka daripada Islam dan menjauhkan daripada al Quran."

Gladstone berkata dalam Dewan Parlimen Britain sambil mengangkat al Quran : "Selagimana al Quran itu berada di tangan umat Islam, maka Eropah selama-lamanya tidak akan berupaya menguasai negara Islam dan Eropah sendiri tidak akan berada dalam keadaan aman tenteram."

Meleraikan ikatan Islam dan menghapuskan Islam pada diri dan jiwa umat Islam tidak akan berhasil dengan meruntuhkan masjid dan membunuh jiwa umat Isalam kerana Islam telah bertapak di dalam diri umat Islam sebagai sebuah kepercayaan, keyakinan dan cara hidup. Apa yang mereka kehendaki adalah menghancurkan sanubari mereka yang berpegang teguh dengan Islam, menghancurkan sanubari umat Islam dengan meruntuhkan nilai Islam serta memastikan umat Islam tidak mengamalkan Islam dalam kehidupan.

Apabila ada anak-anak muda kita telah murtad, baru ada yang mahu bangkit bersuara. Sebenarnya, bagi Yahudi dan Krisrian tidak memerlukan ada umat Islam yang murtad, memadai bagi mereka umat Islam meninggalkan ajaran Islam dan mengikut serta mengamalkan cara hidup mereka.


Risiko Menikah Atau Risiko Berzina?

1.05.2011 10 komentar

Bila kita beralasan ada pelbagai risiko yang harus dipikul setelah menikah, risiko gangguan pelajaran, risiko kewangan saraan hidup, risiko pelaksanaan tanggungjawab dan bermacam-macam lagi risiko melintasi fikiran. Bukankah hidup membujang juga punya segudang risiko? Bahkan risikonya lebih besar. Kita hidup di zaman yang mengajarkan pergaulan bebas, menonjolkan aurat, dan mempertontonkan perzinaan. Hidup kita, menanggung sebuah risiko. Mati pun risiko. Belajar juga punya risiko. Tidak belajar lebih-lebih lagi berisiko. Yang tidak ada risikonya adalah kita tidak wujud di dunia. Tetapi kalau kita berfikir bagaimana mahu lari daripada risiko, itu penyelesaian yang mustahil. 

Bila ternyata segala sesuatu ada risikonya, besar atau kecil, mengapa kita tidak segera melangkah kepada sikap yang risikonya lebih baik? Mengapa tidak memilih risiko yang lebih ringan? Sudah tentu bahawa risiko pernikahan lebih baik daripada menanggung risiko terlibat dengan penzinaan. Kerananya Allah mengajarkan pernikahan dan menolak perzinaan. Sunnatullah, menciptakan setiap sesuatu berpasang-pasangan. Dengan melanggar sunnah itu bererti kita telah meletakkan diri pada posisi bahaya. Besar risikonya kerana fitrah manusia diciptakan sejajar dengan sunnah tersebut. Melanggar sunnah ertinya menentang fitrahnya sendiri.

Mengisi fitrah dengan pergaulan bebas dan berzina?
Mustahil, Allah mengajar kita mengisi fitrah dengan mengikat dengan tali yang Allah ajarkan, iaitu pernikahan. Kerana itulah Allah memerintahkan agar kita menikah. Sebab itulah yang paling tepat adalah menurut perintah Allah dalam memenuhi tuntutan fitrah tersebut. Tentu tidak ada bimbingan yang lebih sempurna dan membahagiakan lebih daripada daripada bimbingan Allah. Penzinaan dan pergaulan bebas adalah proses penentangan terhadap fitrah. Terbukti bahawa pergaulan bebas telah melahirkan banyak bencana. Tidak saja pada hancurnya harga diri sebagai manusia, melainkan juga hancurnya kemanusiaan itu sendiri. Berapa ramai ibu-ibu yang membuang janinnya ke semak, ke tong sampah, bahkan dengan sengaja membunuhnya, hanya kerana merasa malu menggendong anaknya dari hasil zina. Fikirlah, yang mana lebih berisiko.

Manusia perlu makan untuk hidup, jika tidak pasti risiko besar menimpanya. Seperti keperluan manusia terhadap makanan, manusia juga perlu untuk menikah. Persoalannya, mengapa banyak orang berkeluarga yang hidup melarat? Kita tanya kembali, mengapa bertanya demikian? Bagaimana kalau melihat orang lain yang ternyata setelah menikah hidupnya lebih tenang dan senang? Berzina pun bukan bererti setelah itu selesai dan bebas tanggungjawab. Melainkan setelah itu ia harus memikul beban berat akibat kemaksiatan dan perzinaan. Kalau tidak harus mengasuh anak zina, ia harus menanggung dosa zina. Keduanya tanggungjawab yang kalau ditimbang-timbang dengan akal yang sihat, tidak kalah beratnya dengan tanggungjawab pernikahan.

Sebenarnya pernikahan bukan masalah. Menikah adalah kehidupan yang harus dilalui dalam keadaan apapun dan bagaimanapun. Ia adalah sunnatullah yang tidak mungkin diganti dengan cara apapun. Memenuhi fitrah sebagai manusia. Saya fikir, pernikahan tidak lagi boleh menjadi solusi alternatif setelah 'kantoi' terjebak dalam penzinaan demi menutup aib dan malu. Cadangannya, mari kita pindah dari pengertian “pernikahan sebagai beban” kepada “pernikahan sebagai ibadah dan penyelesaian”.

Pelik, mengapa perlu wujud 'tangan-tangan' yang menghalang pernikahan dengan beralasan ada risiko yang harus dipikul setelah menikah, bukankah perzinaan lebih besar dan lebih parah risikonya?


Mustahilkah Berubah?

1.03.2011 1 komentar

Mustahilkah? Susahkah? 
Jawapannya pasti tidak.

Tetapi bukankah perubahan itu ada dua jenis, perubahan positif dan perubahan negatif. Mengapakah untuk melakukan perubahan yang positif itu lebih susah berbanding perubahan ke arah yang lebih negatif?
Adakah kerana diri ini lemah? Lemah untuk melawan nafsu dan godaan syaitan?

"Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahwa mereka mendapat petunjuk" - Surah al-Zukhruf 43 : 37

"Dan janganlah kamu sekali-kali dipalingkan oleh syaitan sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu" - Surah al-Zukhruf 43 : 62

Ambil masa, fikir sejenak.

Yang mana lebih kita kejarkan? Perbuahan yang lebih bagus atau yang sebaliknya?
Pastinya yang lebih baik.
Tetapi tidak dapat untuk kita nafikan untuk melakukan perubahan kearah kebaikan ini, jalannya pasti dihiasi dengan ranjau yang peuh berduri, halangan, ejekan, ujian, dan semua ini adalah dugaan.

Kadang-kadang untuk berubah ini penuh dengan bisikan dan desas-desus tohmahan manusia.
Hendaklah kita sematkan dalam pemikiran kita, janganlah sesekali kita terpengaruh dengan kata-kata negatif terhadap diri kita, kerana andai kata kita terpengaruh dengan kata-kata tersebut, pasti berat kaki ini untuk melangkah ke alam baru, berat lagi hati ini untuk melakukannya.

Kita lebih mengenali diri kita daripada orang-orang lain, dan Allah lebih mengenali kita daripada diri sendiri.
Tidaklah semua perkara itu manis untuk menuju ke syurga, kerana pasti Allah selitkan sedikit ujian untuk kita, bagi menguji diri ini.

"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman”, dan mereka tidak diuji?" - Surah Al-Ankabut 29:2

Apakah definisi perubahan sebenar dalam diri kita? Adakah hanya dari segi fizikal atau hati nurani? Yang mana akan datang dulu? Sebenarnya, yang mana datang dahulu itu tidak penting, kerana yang lagi penting adalah hasilnya.

Andai kita rasa, perubahan fizikal  itu lebih mudah, maka lakukan itu dahulu, kemudian kita melatih hati ini satu persatu, andai kita merasakan hati ini lagi senang untuk dilatih, maka latihlah ia dahulu.

Kerana perubahan itu datangnya dari hati yang ikhlas, yang tulus. Insyaallah.
Mari mulakan langkah kita bersama, kerana pintu taubat itu sentiasa terbuka.
Manusia sentiasa perlukan perubahan kerana iman kita bertambah dan berkurang. Jangan biar jalan perubahan kita dihiasi dengan putus asa dan lemah semangat.