Serba Tak Kena

10.30.2009 0 komentar

Bila berdepan dengan sepuluh orang manusia, pasti akan jumpa sepuluh ragam, sikap dan cara pemikiran yang berbeza hatta dua orang kembar seiras sekalipun pasti punya ragam dan cara berfikir yang berbeza. Hebatnya ciptaan Allah s.w.t.

Siapa yang mampu menutup mulut orang? Mereka punya hak 'kebebasan bersuara'. Apa yang dibuat semuanya tak kena pada pandangan mereka. Yang betul cuma mereka namun pada saya mereka adalah golongan yang 'banyak main' dan cuma tahu menghabiskan masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah saja.

Tidak peliklah kalau kita anggap perkara itu adalah perkara biasa kerana keadaan yang sama pernah berlaku kepada Luqman al Hakim. Pernah suatu ketika, beliau mengajak anaknya keluar ke pasar. Beliau mengenderai seekor keldai manakala anaknya pula mengekorinya dengan berjalan kaki.

“Teruknya orang tua ini, anaknya yang kecil dibiarkan berjalan kaki sedangkan dia bersenang-lenang menunggang keldai,” kedengaran suara dari sekumpulan manusia yang melihat mereka.

"Wahai anakku, dengarkah engkau apa yang mereka perkatakan itu?” tanya Lukmanul Hakim kepada anaknya.

“Dengar ayah,” jawab anaknya sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Sekarang engkau naiklah ke atas keldai ini, biar ayah menariknya,” katanya sambil mengangkat anaknya ke atas belakang keldai.

“Nampakkah kalian betapa anak yang tak pandai mengenang budi ayahnya yang sudah tua. Disuruhnya ayahnya menarik keldai sedangkan dia yang masih muda menunggangnya, sungguh tidak patut,” kata sekumpulan manusia lain yang mereka temui di tengah, perjalanan.

“Dengarkah engkau apa yang mereka perkatakan?” tanya Lukmanul Hakim kepada anaknya.

Anaknya mengiyakan pertanyaannya itu.

“Sekarang engkau turun dari keldai ini, dan kita sama-sama berjalan kaki,” kata Lukmanul Hakim. Anaknya segera turun dari keldai.

Tak berapa lama kemudian mereka bertemu pula dengan sekumpulan manusia yang lain. “Alangkah bodohnya orang yang menarik keldai itu. Keldai untuk dikenderai dan dibebani dengan barang-barang, bukan untuk diseret seperti lembu dan kambing,” kata mereka.

“Dengarkah engkau apa yang mereka kata?” tanya Lukmanul Hakim kepada anaknya lagi.

“Dengar ayah.”

“Kalau begitu marilah kita berdua naik ke atas belakang keldai ini,”

Tidak berapa lama selepas itu mereka terdengar perbualan sekumpulan orang yang lain pula. “Sungguh tidak bertimbang rasa mereka ini, keldai yang kecil ditunggangi berdua!” kata mereka.

Lukmanul Hakim lalu bertanya kepada anaknya, “Adakah engkau dengar apa yang mereka perkatakan?”

“Ya ayah, saya dengar.”

“Kalau begitu marilah kita dukung keldai ini,” kata Lukmanul Hakim

Dengan bersusah payah mengikat keempat-empat kaki, akhirnya mereka berjaya mendukung keldai itu. Dan dalam keadaan itu jugalah mereka mula berjalan, dengan bebanan menanggung seekor keldai. Apabila orang ramai melihat gelagat mereka berdua, mereka ketawa terbahak-bahak. “Ha! ha! ha! Hei! Lihatlah orang gila mendukung keldai!”

“Dengarkah engkau apa yang mereka katakan?” dia bertanya kepada anaknya lagi.

“Dengar ayah,” jawab anaknya.

Mereka meletakkan keldai itu ke tanah. Beliau pun menyatakan hikmah di sebalik peristiwa tadi, “Anakku, begitulah lumrah manusia. Walau apapun yang engkau lakukan, engkau tidak akan terlepas dan kata-kata mereka. Tak kira benar atau salah, mereka tetap akan mengata.”

“Ingatlah anakku bila engkau bertemu kebenaran janganlah engkau berubah hati hanya kerana mendengar kata-kata orang lain. Yakinlah dengan din sendiri dan gantung harapanmu kepada Allah.”

Begitulah sikap manusia, punya 1001 ragam. Kalau seseorang yang aktif dengan persatuan, salah pada pandangan mereka(mahu mengejar jawatan katanya). Bagi mereka yang memfokuskan pada belajar dan talaqqi juga tidak kena disisi mereka. Tidak kurang juga yang mampu mengimbangi antara keduanya, juga tidak wajar pada mereka.

Habis, apa yang seharusnya dibuat? Adakah patut mencontohi sikap kalian yang pemalas(malas talaqqi dan malas buat kerja), banyak main, leka dengan chatting dan melayan Facebook serta kuat berjalan dan suka tidur??? Sudah la, kalian adalah tidak ubah ibarat ketam yang mahu mengajar anak berjalan lurus. Betulkan sikap dan ubah peribadi kalian dahulu sebelum mengatakan orang itu tidak kena dan orang ini tidak betul kerana setiap kata-kata kalian akan memantul kembali kepada diri kalian.

Kena Tengok Video Ni

10.27.2009 0 komentar
Senyuman mampu menggambarkan segalanya. Berjaya menemubual para masyaikh berkenaan dengan Majlis Pembacaan Kutub Sittah anjuran PMRAM seusai tamat majlis penutup di bilik VIP. Walaupun sedikit gagal untuk menemubual Allamah Syeikh Dr. Ali Jumuah, ini sudah lebih daripada mencukupi. Berbekalkan handycam PMRAM dan bantuan daripada Ustaz Nazrul Nasir sebagai penemuramah, tindakan saya hanya sebagai jurukamera 'spontan' membuahkan hasil. Jutaan kemaafan kerana kelewatan menyiarkan video ini atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan. Inilah hasilnya...















Semoga kalam para masyaikh memberi manfaat kepada kita semua. Doakan semoga majlis ilmu sebegini dapat terus diadakan pada masa akan datang...

P/S: Video temuramah Syeikh Yusri Rushdi Sayyid Al Hasani dan Syeikh Rifa'at Fauzi Abdul Mutalib bakal menyusul. Insya'Allah...

Pengalaman Terbaik Di Kutub Sittah PMRAM

10.22.2009 0 komentar
Sukar untuk diucapkan apatah lagi hendak dikarang. Suatu pengalaman yang cukup berharga dan bermakna sepanjang terlibat sebagai peserta merangkap ahli jawatankuasa Majlis Pembacaan Kutub Sittah. Perancangan Allah s.w.t maha hebat. Melalui keberkatan hadis Rasulullah s.a.w. dengan keberkatan usaha menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w. dan meyakini janji Rasulullah s.a.w bahawa Allah akan memudahkan jalan ke syurga bagi mereka yang membuka jalan dalam menuntut ilmu, Majlis Pembacaan Kutub Sittah siri pertama anjuran Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir berjaya dilaksanakan dengan penuh gilang gemilang bersama para masyaikh walaupun dirintangi pelbagai onak duri, dugaan dan bermacam-macam cabaran sebelum dan semasa perjalanan majlis.

Segala rintangan dan dugaan yang menimpa sebelum bermula dan sepanjang Majlis Pembacaan Kutub Sittah anjuran Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir yang menjadi wadah dan menaungi anak-anak Melayu di Mesir lebih matang dalam mendepani isu dan cabaran. Sebagai sebuah pertubuhan yang telah bertapak di bumi Mesir sejak tahun 1930, komitmen dan keteguhan serta kepercayaan setiap ahli kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir adalah yang menjadi tulang belakang Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir bagi menjayakan setiap majlis dan program yang dianjurkan. Sebagai bukti, kejayaan Majlis Pembacaan Kutub Sittah bersama para masyaikh al-Azhar siri pertama yang berakhir semalam adalah sebagai lambang perpaduan dan menjadikan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir tetap utuh sebagai wadah mahasiswa Mesir.

al-Allamah Syeikh Dr. Ali Jumuah & PMRAM
klik pada gambar untuk saiz besar

Sesuatu yang cukup manis buat Pesekutuan Melayu Republik Arab Mesir dan semua peserta Majlis Pembacaan Kutub Sittah kerana para masyaikh al-Azhar memberikan sepenuh komitmen demi mencurahkan ilmu serta menjayakan Majlis Pembacaan Kutub Sittah siri pertama. Lebih bermakna buat semua apabila al-Allamah Mufti Mesir turut bersama dalam majlis penutup Pembacaan Kutub Sittah ini. Harapan yang cukup tinggi daripada semua masyaikh agar kita tetap bersama menghidupkan majlis ilmu, menyemarakkan cinta kepada Rasulullah s.a.w dan dapat meneruskan majlis-majlis ilmu sebegini pada masa akan datang.

Oleh sebab terlalu asyik menemuramah dan merakam gambar dan video setiap masyaikh sampai tak sempat nak bergambar sendiri dengan para masyaikh. Sekeping bersama Syeikh Usamah dan Syeikh Asyraf ini pun sudah memadaii.

Pengelola Laman Rasmi Kutub Sittah Siri Pertama
Pena Da'ie

Beberapa Fakta Yang Perlu Anda Tahu

10.16.2009 0 komentar
1- Rama-rama merasa makanannya dengan kaki

2- Bunyi itik tidak menghasilkan talun (echo)

3- Dalam tempoh 10 minit, taufan membebaskan lebih banyak tenaga berbanding keseluruhan tenaga yang boleh dibebaskan dari senjata nuclear yang terdapat di bumi.

4- Secara purata, ramai manusia lebih takut labab-labah daripada takut mati.

5- Gajah adalah satu-satu mamalia yang tidak boleh melompat.

6- Satu dari dua billion manusia akan dapat hidup sehingga 116 tahun atau lebih.

7- Tidak mustahil bagi lembu menaiki tangga, tetapi ia tidak boleh menuruni tangga.

8- Wanita berkelip mata dua kali lebih banyak dari lelaki

9- Secara fizikal semulajadi, adalah mustahil untuk anda menjilat siku sendiri.

10- Siput boleh tidur sehingga tiga tahun

11- Saiz mata manusia tetap sama sejak dilahirkan, tetapi tumbesaran hidung dan telinga tidak pernah berhenti sewaktu hidup.

12- Semua beruang kutub adalah kidal

13- Mata burung unta adalah lebih besar dari saiz otaknya.

14- TYPEWRITER adalah perkataan terpanjang yang boleh dibina dari huruf-huruf yang terdapat dalam satu barisan yang sama pada papan kekunci (keyboard).


15- Hampir semua pembaca artikel ini ini akan cuba untuk menjilat sikunya.

Anda pula bagaimana? Dapat tak jilat siku anda sendiri? hehehe (",)

Tak Melenting Tapi Ada Yang Terkilan

10.14.2009 1 komentar

Satu entri yang agak berbaur kontroversi murahan dituliskan oleh seorang sahabat melalui laman blog peribadinya yang bertajuk "Sahabat-sahabat qiraat, jangan melenting ye!!". Lebih lanjut berkenaan entri berkenaan sila klik di sini.

Isi kandungannya cuma sekitar perbualan bersama seorang tokoh yang terkenal di bumi Malaysia iaitu Ustaz Othman Hamzah, Imam Besar Masjid Negeri Selangor. Saya tidak melihat perkara tersebut adalah untuk merendah-rendah para pelajar yang belajar di bumi Shoubra namun ia adalah sebagai motivasi, cabaran dan pemangkin untuk kita berusaha lebih gigih dalam mengutip mutiara ilmu di bumi Mesir ini.

Mungkin ada yang agak kurang senang dan panas hati dengan apa yang ditulis dalam entri berkenaan seperti semua orang yang menjadi imam atau tidak mempunyai sanad adalah salah dan tak layak memimpin jemaah dalam solat dan dia belajar hanya bahagian Qiraat sahaja. Bahagian Fikh atau Usul Fikh dia tak belajar. Pada saya, kenyataan tersebut ada benarnya kerana sememangnya wujud golongan seperti yang dinyatakan dan terdapat juga golongan yang tidak mengambil peluang mendalami ilmu-ilmu lain. Itu belum termasuk golongan yang hanya datang sebagai pelancong atau pemandu pelancong sahaja.

Peribahasa melayu menyatakan kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga. Dek kerana beberapa golongan tersebut seluruh pelajar yang menuntut di bumi Shoubra seolah-olah 'dihukum' dengan hukuman tersebut. Perlu diketahui, kami di sini tidak hanya belajar ilmu Qiraat sahaja. Ilmu al Quran adalah pemulaan kepada ilmu-ilmu yang lain. Kami juga peruntukkan sebahagian besar daripada masa khusus bagi mendalami ilmu-ilmu Islam yang lain. Jemputlah bertandang ke bumi Shoubra dan Mesir ini dan melihat dengan mata kepala sendiri apa yang kami belajar di sini dan di Masjid Al Azhar secara bertalaqqi dengan para masyaikh yang mungkin tidak ada di tempat anda. Saya bersedia menerima anda sebagai tetamu kehormat saya.

Entri yang ditulis dilaman peribadi anda adalah sangat bagus sebagai muhasabah buat kita semua namun nasihat saya adalah elakkan daripada cuba mencetuskan apa-apa kenyataan bersifat kontroversi murahan agar tidak wujud budaya seolah-olah mahu saling merendahkan antara dua pihak. Mohon tunjuk ajar jika ada salah dan silap.

Semangat Tahi Ayam

10.09.2009 0 komentar

Salam dari Bagan Pinang

Ahlan wa sahlan buat sahabat yang baru menjejakkan kaki ke Bumi Kinanah, Bumi Anbiya', Mesir. Kata orang Mesir, Mesir adalah Ummuddunya(ibu dunia). Kita tanya mereka semula, kalau Mesir Ibu Dunia, di mana letaknya Bapa Dunia? Menggaru kepala mereka nak menjawab. Kita beritahu mereka Bapa Dunia adalah Malaysia(promote tanah air), mereka tak percaya. Terpulang pada mereka. Itu cerita orang Mesir.

Al kisah orang Malaysia pula kini merupakan musim mahasiswa baru berbondong-bondong mengusung beg menjejakkan kaki di Bumi Mesir ini. Berkobar-kobar nampaknya semangat mereka hendak menuntut ilmu di sini. Bagus. Semoga semangat itu kekal hingga ke akhirnya.

Masa mula-mula sampai dulu, kita pun lebih kurang juga bersemangat. Maklum sajalah, dari jauh datang menaiki kapal terbang membawa harapan keluarga dan masyarakat. Orang-orang lama ada cakap, semangat kamu ini sekejap saja, tengoklah dalam dua atau tiga bulan lagi, tiba saja musim yang betul-betul sejuk nanti, entah ke mana semangat itu menghilang. Masa itu baru dapat kenal siapa yang benar-benar bersemangat dan siapa yang hanya ber'semangat tahi ayam' saja.

Memang benar apa yang dikatakan oleh orang-orang lama, 'hanya semangat tahi ayam', hangatnya cuma seketika. Sewaktu kemuncak musim sejuk, lebih kurang 3 peratus saja yang mampu mengangkat selimut tebal untuk menjejakkan kaki ke kelas dan dan 3 peratus ini jugalah yang meneruskan talaqqi bersama para masyaikh. Sedih dengan situasi ini.

Kita bukan mahu melemah apatah lagi memusnahkan semangat mereka yang baru tiba tetapi kita cuma mengingatkan kerana kita meletak harapan yang cukup besar kepada mereka yang baru ini untuk sentiasa memperbaharui niat dan sentiasa bersemangat untuk menuntut ilmu di sini walau macamana keadaan sekalipun. Jangan jadi seperti generasi sebelum kamu yang pemalas.

Pesanan khusus buat diri sendiri juga buat semua supaya sentiasa mengingat kembali apa matlamat utama kita datang ke Bumi Anbiya' ini dan harapan yang cukup tinggi daripada keluarga dan masyarakat diletakkan di atas bahu kita. Jika selimut tebal itu pun kita tidak mampu untuk angkat, apatah lagi mahu memikul beban amanah yang cukup besar yang tertanggung di bahu kita ini.

Selamat maju jaya, selamat belajar buat semua mahasiswa baru dan selamat mengutip mutiara-mutiara ilmu daripada para masyaikh di Bumi Ilmu ini.

"Dan sedikit sekali daripada hamba-hambaKU yang bersyukur" - surah Saba' ayat 13

"Ya Allah, jadikan kami tergolong dikalangan golongan yang sedikit"
*golongan yang sedikit adalah orang-orang yang bersyukur.