Hukum Pengantin Wanita Melayan Tetamu

2.07.2012 0 komentar

Seorang pengantin wanita berkhidmat melayan tetamu, jika hal ini diketahui oleh puak 'radikal agama' sudah pasti mereka menentang sekeras-kerasnya. Hal ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari di dalam kitab sahihnya dan beliau mengulanginya beberapa kali. Imam Bukhari juga memperuntukkan satu bab yang bertajuk 'Wanita berkhidmat pada kaum lelaki dalam majlis perkahwinan'.

Maksudnya :
"Daripada Sahl, beliau berkata : 'ketika Abu Usaid al Sai'mengadakan majlis perkahwinan, beliau menjemput Nabi s.a.w dan para sahabat baginda. Tidak menyediakan makanan dan tidak melayan mereka melainkan isterinya Ummu Usaid. Beliau merendamkan buah tamar di dalam sebuah bekas. Sebaik sahaja Nabi selesai makan, dia memerah tamar itu dan memberi Nabi minum air perahan tamar itu kepada baginda, beliau juga mengkhususkan untuk Nabi hidangan makanan'"

Berkata al Hafiz Ibn Hajar al Asqalani : 'Hadis ini menunjukkan bahawa wanita boleh berkhidmat kepada suami dan para tetamunya. Jelaslah bahawa keharusan ini ketika tidak ada fitnah dan menutup aurat. Harus bagi suami menggunakan isterinya untuk perkara sebegini.

Ini merupakan hakikat ilmiah yang telah ditetapkan oleh baginda Rasulullah s.a.w sendiri dan para ulama' mengerti mengenainya serta tercatat di dalam kitab-kitab muktabar. Namun kita dapati mereka menyanggahi hal ini dan terus berhujah dengan kebatilan, bahkan mereka enggan mendengar apatah lagi menerima hakikat tersebut.

PenaDaie