Para Pelajar Dan Penuntut Ilmu, Sila Ambil Perhatian!

4.30.2011 2 komentar


Sering didengari dan diperhatikan, ramai di kalangan kita yang begitu gigih dan tekun dalam menelaah pelajaran dan menuntut ilmu siang dan malam tidak kira dalam apa jua bidang pengajian kerana mahu mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Melalui natijah kecemerlangan yang diperoleh dalam peperiksaan tersebut akan menjadi wasilah kepada sebuah pekerjaan yang baik, gaji yang lumayan serta pangkat yang tinggi. Jangan kita tertipu dengan habuan dunia yang sedikit, perhatikan nasihat al Imam Hujjatul Islam al Imam al Ghazali di dalam kitab Bidayatul Hidayah.

Dan ketahuilah bahawa manusia di dalam menuntut ilmu ini terbahagi kepada tiga keadaan :

Pertama : Orang yang mencari ilmu untuk menjadikannya sebagai bekalan ke negeri akhirat maka dia tidak berniat  dengan mencari ilmu kecuali hanya mendapat keredhaan Allah SWT dan negri akhirat. Maka orang ini termasuk di dalam golongan orang yang beruntung.

Kedua : Orang yang mencari ilmu untuk mendapatkan keuntungan segera (dunia) dan mendapatkan kemuliaan pangkat dan harta benda, sedangkan dia sendiri menyedari hal ini dan merasakan di dalam hatinya akan kejahatan keadaan yang sedang dialaminya dan kehinaan maksudnya. Maka orang ini adalah berada di dalam golongan yang berbahaya. Jikalau dia mati sebelum sempat bertaubat, maka dibimbangi ia akan mati dalam keadaan 'su'u al khatimah' kemudian urusannya terserah kepada Allah (kalau mahu dimaafkan atau diseksa). Tetapi kalau dia mendapat taufik sebelum matinya lalu dia bertaubat dan sempat mengamalkan ilmu yang telah dituntutnya dan sempat pula membuat pembetulan  terhadap apa yang tercedera dan tercuai. Maka bolehlah dia dikumpulkan bersama golongan yang beruntung kerana orang yang bertaubat daripada dosanya sama seperti orang yang tidak berdosa.

Ketiga : Orang yang telah dikuasai oleh syaitan maka ia menjadikan ilmu yang dituntutnya itu sebagai alat untuk menghimpunkan harta benda dan bermegah-megah dengan kedudukan dan merasa bangga dengan ramai pengikutnya. Dia menggunakan ilmu yang dituntut itu untuk mencapai  segala hajatnya dan mengaut keuntungan dunia. Walaupun  demikian, dia masih terpedaya lagi dengan sangkaannya bahawa dia mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah kerana dia masih lagi pada zahirnya menyerupai para ulama'. Dia bercakap seperti percakapan ulama' dan berpakaian seperti pakaian ulama', padahal zahirnya dan batinnya penuh dengan tamak dan haloba dalam menghimpunkan kekayaan dunia. Orang yang seperti ini termasuk dalam golongan orang yang binasa , jahil dan tertipu dengan helah syaitan dan sangat tipis harapan untuk dia bertaubat kepada Allah  kerana dia telah menyangka bahawa dirinya termasuk di dalam golongan orang yang baik, padahal dia telah lupa firman Allah yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman, kenapa kamu memperkatakan perkara yang kamu tidak amalkan?" - Surah al Sof : ayat 2

Dan orang ini sebenarnya termasuk dalam golongan yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dalam sabda baginda yang bermaksud :

"Selain daripada Dajjal, ada satu perkara yang sangat aku bimbangkan lebih daripada Dajjal. Lalu ada orang yang bertanya : 'Apakah itu wahai Rasulullah SAW? Nabi SAW menjawab : 'Mereka adalah ulama' Su' yakni ulama' yang jahat."

Dajjal itu tujuannya sudah jelas untuk menyesatkan manusia tetapi ulama' su' ini walaupun lidahnya pandai memalingkan orang lain daripada cinta dunia, namun amal dan perbuatan mereka adalah mengajak orang lain membuat kejahatan kerana amalan seseorang itu lebih berkesan daripada percakapannya. Dan orang ramai lebih mudah tertarik dengan perbuatan ulama' su' ini dengan perbuatan mereka. Maka apa yang dapat dirosakkan oleh ulama' su' ini dengan perbuatan mereka adalah lebih banyak daripada apa yang dapat  dibaikkan oleh lidah mereka. Orang yang jahil sebenarnya belum berani menghimpun harta dunia sebanyak-banyaknya kecuali setelah mereka melihat keberanian ulama' su' ini. Maka ilmu yang ada pada mereka menjadi penyebab keberanian orang ramai membuat berbagai maksiat. Maka inilah yang dibimbangi oleh Rasulullah SAW.

Namun demikian, nafsu ammarah ulama' su' selalu membisikkan di telinga mereka bermacam-macam angan-angan dan membisikkan kepadanya bahawa dia telah banyak menabur jasa dikalangan manusia sehingga dia layak untuk menerima bermacam-macam anugerah daripada Allah. Nafsunya juga mengkhayalkan kepadanya bahawa dia adalah lebih baik daripada hamba-hamba Allah yang lain.

Wahai para penuntut! Maka jadikanlah dirimu bersama dengan golongan yang pertama dan hati-hatilah supaya engkau tidak termasuk di dalam golongan yang kedua kerana banyak sekali orang yang lalai yang telah diragut oleh kematian sebelum sempat bertaubat lalu rugilah dia. Dan jangan sama sekali engkau termasuk ke dalam golongan yang ketiga maka engkau akan terjerumus ke jurang kebinasaan yang tidak diharapkan dapat diselamatkan atau diperbaiki lagi.


Membuktikan Keupayaan Diri

4.28.2011 0 komentar



Tuduhan dan tohmahan membuatkan kita lemas, rimas, resah dan gelisah. Apakah tidak ada sesuatu yang baik pada seorang manusia untuk dicontohi. Hanya keaiban dan keburukan sahaja yang diperhatikan. Seringkali, perkara yang tidak baik itulah yang mendapat perhatian sekalipun sejak sekian lama kebaikan dilakukan. Manakala kebaikan pula hanya dianggap sebagai kebiasaan. Seperti pepatah menyatakan, kuman di seberang laut nampak tetapi gajah di depan mata tidak nampak. Inilah sifat kita, seorang manusia.

Perkara ini seolah-olah sudah menjadi lumrah di kalangan kita, maka kita yang ditohmah mesti memperbaiki diri, buktikan keupayaan diri. Tunjukkan di mata mereka bahawa kita juga mampu menempa kejayaan tanpa mengira apa jua bidang yang dilalui. Setiap kesusahan pasti akan ada kesenangan bersamanya.

Di mana pun kita berada, yakinlah dengan kebenaran selagi mana jalan yang ditempuh masih selari dengan landasan syariat Islam. Jadikanlah tohmahan sebagai batu loncatan untuk terus mara ke hadapan. Yakinlah terhadap kebolehan diri sendiri. Setiap manusia dianugerahkan oleh Allah dengan kebolehan masing-masing. Berkat usaha, kesunggguhan, doa, tawakkal dan keyakinan, kejayaan boleh ditempa. Kalau hanya setakat angan-angan sahaja sampai bila pun, kita masih ditakuk lama.

Saya banyak cakap atau kamu sememangnya pemalas?!
Mengaku sajalah!
Jika tidak, mengapa kamu terasa?

Bukan Hikayat Merong Mahawangsa

4.27.2011 0 komentar

Berhampiran Jazirah terkenal di dunia, seorang penghulu di sebuah penempatan yang telah berkuasa sejak 52 tahun lampau mahu menggerakkan satu projek terbaru kononnya demi kepentingan sekian jumlah penduduk di kawasannya. Projeknya adalah 'setiap penduduk akan memiliki beruk masing-masing' bagi melancarkan proses memetik buah kelapa di ladang. Matlamatnya ada untuk bergerak seiring dalam kemajuan dengan kawasan-kawasan lain di sekitarnya.

Namun, apa yang menghairankan pada pelan tindakan projek setiap penduduk memiliki beruk adalah penghulu serta jawatan kuasa bertindak cuma membekalkan 'tali beruk' sahaja kepada setiap penduduk, usaha mencari dan mendapatkan beruk perlu diusahakan sendiri oleh penduduknya.

Wahh, sangat menarik "bagi tali dahulu, beruk bagi kemudian".

Secara logiknya, pemberian beruk perlu didahulukan kepada penduduk kerana jika hanya tali yang dibekalkan, tidak akan ada apa-apa hasil diperoleh tanpa ada beruk. Tambahan pula, tali yang akan mengikat beruk lebih mudah diperolehi oleh penduduk tempatan.

Seorang penduduk bangkit menyatakan ketidakpuasan hati : "Kami mahukan beruk, bukannya tali. Jangan bikin projek macam kampung sebelah, bagi email tapi internet tak bagi!"


Jadual Pengajian Terkini

4.23.2011 0 komentar
Jadual Pengajian Terkini di Masjid al Azhar dan Mudhayafah



Perhatian : Insya'allah esok (24.4.2011) akan bermula majlis pembacaan kitab Sunan al Tirmizi oleh Syeikh Usamah Sayyid al Azhari bermula jam 7.30 pagi


Antara Ilmu Dan Harta

4.22.2011 0 komentar

Manakah lebih baik, ilmu atau harta?

Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu adalah pusaka para Nabi dan Rasul, sedangkan harta adalah pusaka daripada Firaun, Qarun dan lain-lain.

Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu dapat menjaga dan memelihara pemiliknya, sedangkan harta perlu dijaga dan dipelihara oleh pemiliknya sendiri.

Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu akan membentuk ramai sahabat dan teman sedangkan harta menambah musuh dan lawan.

Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu apabila ia dikeluarkan dan dikongsi, ia semakin bertambah sedangkan harta apabila dikeluarkan semakin berkurangan dan akhirnya akan habis.

Ilmu lebih baik daripada harta kerana orang-orang yang berilmu akan selalu mendapat panggilan mulia dan hormat daripada masyarakat. Sedangkan orang yang berharta seringkali mendapat panggilan yang rendah dan hina.

Ilmu lebih utama daripada harta sebab ilmu tidak boleh dicuri daripada pemiliknya tetapi harta dapat dicuri, harta boleh hilang dan sebagainya.

Ilmu lebih baik dari harta kerana orang-orang yang berilmu pada hari akhirat nanti akan mendapat pertolongan daripada ilmu yang dikembangkan, sedangkan orang yang berharta akan dihisab dan diminta bertanggungjawab terhadap setiap perbelanjaan harta tersebut.

Ilmu lebih baik dari harta kerana ilmu tidak boleh habis walaupun tidak ditambah, sedangkan harta lambat laun pasti akan habis.

Ilmu yang dikejar atau harta? Fikir-fikirkan.


Mungkin Tiada Penggantinya

4.19.2011 2 komentar

Nama beliau bukan sahaja masyhur di bumi Shoubra malah terkenal di kalangan ulama'-ulama' sekitar Mesir. Beliau dijadikan tempat rujukan dalam setiap permasalahan dan persoalan berkaitan Ulum al Quran, al Qiraat dan Lughah. Khamis, 15 April 2011 menjadi tarikh terakhir perkhidmatan al Alim Syeikh Ahmad Abdul Rahim Abdul Rahman. Sesiapa yang pernah bersama beliau pasti akan mengagumi beliau yang diibarat seperti 'satu dalam berjuta-juta'. Semua yang terpapar di dalam kitab serta tambahan dari luar kitab diingati dan disimpan kemas di dada beliau. Kitab-kitab yang dibaca oleh kami seolah-olah beliau hafal daripada kulit ke kulit. 

Setiap langkah beliau pasti diiringi alunan ayat-ayat suci al Quran dan doa-doa. Antara lain yang menarik adalah beliau sangat suka bersyair sehingga setiap gurauan yang dilontarkan tersusun kemas di dalam bait-bait syair bahasa arab. Beliau tidak pernah memarahi para pelajarnya. Jika perlu untuk beliau menegur, teguran yang penuh berhikmah beliau nyatakan dihiasi bait-bait syair yang sangat menarik. 

Persaraan beliau mungkin tidak akan ada pengganti sepertinya. Persaraan al Alim Syeikh Ahmad Abdul Rahim bukan sahaja menghilangkan seorang ulama' besar dari bumi Shoubra, malahan akan turut pergi bersama adalah lautan ilmu yang ada di dada beliau. Satu kerugian yang sangat besar jika sesiapa yang tidak sempat menadah limpahan ilmu yang dicurahkan oleh beliau dan pastinya menjadi satu penyesalan sampai bila-bila buat mereka yang gagal menggunakan sepenuhnya ruang sepanjang tempoh bersama beliau.

Al Alim Khadim al Ilmi wa al Quran Syeikh Ahmad Abdul Rahim Abdul Rahman hafizahullah
Turut bersama beliau adalah dua lagi masyaikh al Quran dan Qiraat yang akan bersara pada tahun ini iaitu Syeikh Hassan Muhammad Hassan Rejab dan Syeikh Judah Abdul Salam. Ketiadaan mereka pasti akan menambah sepi di celah keriuhan bumi Khazandarah. Semoga Allah SWT memanjangkan umur mereka di dalam keberkatan dan limpahan rahmat serta terus menjaga ahli-ahliNya, khadim al ilmi wa al Quran. Amin.


Ustaz Pelakon & Pengarah Filem

4.07.2011 7 komentar


Ternyata cukup memualkan apabila mengikuti perkembangan industri perfileman Malaysia melalui filem, telemovie dan drama yang dihasilkan. Di samping 3 elemen utama yang menjadi kegilaan penggiat filem masa kini iaitu seram, lawak dan cinta, terdapat juga kalangan penggiat filem yang menghasilkan telemovie dan drama yang berteraskan nilai murni dan menyalurkan unsur nasihat serta kesedaran kepada masyarakat umum. Namun, apa yang dikesali adalah pelakon yang melakonkan watak 'ustaz/ustazah' terdiri daripada mereka yang bukan selayaknya membawa watak tersebut.

Penggiat filem melihat seseorang pelakon 'berjaya' menunjukkan kebolehannya membawa pebagai watak termasuklah sebagai 'ustaz/ustazah', sementara pada lakonan yang lain pelakon tersebut membawa watak yang jelas bertentangan. Ini dilihat sesuatu yang kurang menyenangkan. Lihat saja drama Nur Kasih melalui watak 'Ustaz Aidil' yang berkelulusan sarjana muda undang-undang dan kehakiman Universiti Al Azhar, Cairo yang dilakonkan oleh Fizz Fairuz, 'Ustaz Amirul' dalam drama Ustaz Amirul yang juga bekelulusan Universiti Al Azhar yang dilakonkan oleh Asyraf Muslim. Turut tidak ketinggalan adalah 'Ustazah Nurlia' dalam telemovie 'La Ikroha Fiddin' juga berkelulusan Universiti Al Azhar yang dilakonkan oleh Sharifah Amani.

'Ustazah Sharifah Amani' sedang menerangkan perbezaan antara kafir harbi dan kafir zimmi

Mereka bukan sahaja melebelkan diri sebagai 'ustaz/ustazah' di dalam drama malah ditambah dengan kelulusan dari Universiti Al Azhar. Realitinya, mereka juga yang berpelukan dalam sesi lakonan yang lain serta tanpa segan silu berkemban dikhalayak ramai semasa Anugerah Skrin. Layakkah mereka melakonkan watak ustaz/ustazah?

Adalah sangat baik jika ustaz yang benar-benar ustaz membawa watak sebagai ustaz. Sekurang-kurangnya mereka tahu hukum hakam, halal dan haram. Begitu juga dengan watak ustazah. Bagaimana para ustaz dan ustazah?

Ternanti-nanti juga drama/filem yang dihasilkan oleh ustaz/ustazah di Malaysia. Siapa yang mahu mulakan? Atau sekurang-kurangnya perjalanan plot, pelakon dan skrip disemak dan diawasi dengan ketat oleh ustaz/ustazah memandangkan apa yang dilihat melalui drama dan filem yang disiarkan seolah-olah tidak ada penapisan yang dibuat oleh Lembaga Penapisan Filem Negara.

Para ustaz dan ustazah, siapa yang mahu menjadi pengarah, pelakon atau penerbit filem? Ada berani?
Atau kita mahu ustaz ini terus dengan 'title ustaz'nya?

Ustazkah Amirul ini?

Apa Kesan CINTA?

4.05.2011 1 komentar

Apa kesan daripada CINTA?


Persepsi kita pasti berbeza dalam menghuraikan mengenai pandangan mereka terhadap kesan daripada cinta. Biasa kita dengar adalah cinta itu buta, cinta menyebabkan buta dan cinta menyebabkan semua yang buruk kelihatan elok sahaja.

Cinta bukan sahaja menyebabkan buta mata malah menyebabkan hilang segala deria rasa yang lain. Cinta akan memekakkan telinga, membisukan mulut, menghilangkan deria bau serta rasa sehingga rasa sepahit hempehu boleh bertukar menjadi semanis madu.

Kita tahu, ramai orang kata apabila sudah mabuk cinta, perkara yang dicintai pasti akan kelihatan cantik menawan walaupun terlalu buruk pada pandangan orang lain. Kesan cinta juga menjadikan perkara yang dicintai terlalu manis walaupun ia adalah sesuatu yang pahit di sisi pihak lain. Sesuatu yang busuk pasti akan menjadi terlalu wangi apabila wujudnya rasa cinta dan hati juga akan senantiasa berbunga-bunga.

Apabila perasaan cinta telah merajai, penyakit-penyakit yang disebabkan cinta akan menyerang. Mata menjadi buta, telinga menjadi pekak, hilang deria bau dan hilang deria rasa. Inilah penyakit-penyakit cinta.

Kita sangat memerlukan penyakit-penyakit ini jika saluran cinta dicurahkan pada tempat yang sewajarnya. Pupuk dan semaikanlah perasaan dan rasa cinta kepada Islam, cintakan kepada perjuangan Islam, cintakan gerak kerja Islam kerana mendokong perjuangan ini ibarat menempuh sebuah perjalanan yang penuh ranjau berduri.

Apabila cinta telah menebal dan merajai hati, mata akan 'buta' kepada nikmat kesenangan serta kemewahan dunia, telinga juga 'pekak' kepada tohmahan, cacian dan segala makian, setiap kesusahan dan keperitan yang terlalu pahit ditempuh dengan penuh 'rasa' manis kerana mata pendokong yang mencintai perjuangan Islam akan 'nampak' ganjaran dan nikmat yang Allah SWT telah janjikan, mereka 'mendengar' khabar gembira yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW dan hati mereka sentiasa terpaut kepada kemanisan menyebarkan serta melaksanakan gerak kerja Islam.

"Ya Tuhanku, aku mohon supaya aku cinta kepadaMu dan cinta kepada orang yang mencintaiMu, termasuk orang yang sayang kepada semua amalan (aktiviti) yang boleh membawa kepada sayang kepadaMu" - Hadis Riwayat Tirmizi

Pena Daie


Tanggungjawab Pemuda Muslim

4.02.2011 0 komentar

Empat tanggungjawab pemuda muslim hari ini menurut Dr. Yusuf al Qaradawi :

1. Memahami Islam secara sahih
2. Mengamalkan Islam yang difahami
3. Menyebarkan Islam
4. Menggabungkan diri dengan kesatuan Islam


Dunia Semakin Ke Penghujung

0 komentar

Arus globalisasi kini semakin melewati pelbagai kancah kemusnahan. Rata-rata apa yang berlaku seluruh dunia kini seakan memberi satu isyarat betapa dunia sekarang kian memacu perubahan dan sudah sampai ke penghujungnya. Fenomena ini secara tidak langsung akan memperlihatkan sejauh mana keprihatinan manusia dengan pelbagai kejadian yang berlaku akhir-akhir ini.

Tunisia

Tidak ketinggalan juga , peristiwa kebangkitan rakyat di Tunisia yang menjadi perintis betapa ampuhnya suara rakyat. Mereka yang dizalimi mengatur langkah untuk bangun daripada terus dijadikan boneka kepada pemerintah yang kehidupannya bertuhankan keseronokkan dan kekayaan semata-mata.

Segala hasil daripada rakyat dipergunakan demi kepentingan sendiri sehinggakan peratus penganggur terus meningkat.

Revolusi Mesir

Begitu juga pergolakkan yang telah berlaku di Mesir , hampir 30 tahun Hosni Mubarak menerajui kepimpinan dan selama tempoh tersebut rakyat Mesir mengalami pelbagai tekanan demi tekanan. Penyelewengan dan konspirasi pengaruhnya membuatkan semangat anak-anak muda Mesir membuak-buak dalam membela nasib mereka. Tidak sanggup lagi dijadikan hamba kepada seorang diktator.

Oleh kerana yang demikian, keinginan rakyat yang mahukan kepimpinan untuk tunduk pada suara rakyat akhirnya tercapai juga.

Ketika manusia leka dengan kenikmatan dunia, Allah datangkan tanda sebagai isyarat agar manusia tidak terpesong jauh daripada landasan sebenar. Pelbagai lagi peristiwa dan kejadian akhir-akhir ini, telah membuka minda dan pemikiran ramai pihak betapa umur dunia ini semakin tua.

Bukan itu sahaja, masyarakat Muslim kini semakin berani untuk memperjuangkan hak dan maruah tanpa sekelumit gentar berdepan musuh sepertimana yang berlaku di Libya.

Pergolakan Libya

Ketika pergolakkan Mesir masih lagi bersisa, perkhabaran di Libya menyusul.Kepimpinan Muammar Gadafi menjadi pertikaian. Maka berlakulah siri peperangan antara rakyat pemerintah. Kezalimannya lebih menyerlah apabila orang awam juga menjadi korban akibat pertelingkahan tersebut.

Rakyat Libya mengatur stratergi menakluki beberapa kawasan dan kubu kuat pertahanan pemimpin itu. Namun sehingga kini , sukar untuk dijangka pengakhirannya apabila wujudnya pihak yang ketiga mula campur tangan. Kehendak rakyat agar beliau berundur semakin lesu dan kini bumi Libya dihidangkan muntahan peluru dan bidik tembakan saban waktu.

Tsunami Jepun

Variasi kemusnahan alam, suatu ketika dahulu pernah menggemparkan dunia kini berulang kembali . Sekali lagi tsunami melanda Jepun dengan meragut ribuan nyawa di negara tersebut selepas kejadian yang sama berlaku di Acheh, Indonesia.

Pelbagai andaian telah ditafsirkan oleh manusia, namun apakah manusia sekadar bahawa percaturan Allah mengatasi segalanya. Gegaran yang berlaku dengan 8.9 magnitud pada skala ritcher dan ombak setinggi 10 meter memusnahkan beberapa bandar disekitar kawasan pantai Perairan timur lautan Miyagi dan Pulau Honshu yang jumlah penduduknya sekitar 30 juta orang.

Akibat kejadian tersebut kerosakkan berlaku dibandar itu dengan terputusnya bekalan elektrik dan ditenggelami air pada beberapa kawasan.

Banjir Di Thailand

Banjir yang melanda Thailand baru-baru ini juga merupakan salah satu bukti kekuasaan Allah SWT.Bencana tersebut meragut 21 nyawa dan ribuan nyawa terkandas. Hampir sejuta penduduk di wilayah tersebut mengalami musibah  yang berlarutan sehingga seminggu.

Sentimen Anti Islam

Kesan daripada peristiwa 11 September  2001 yang lalu, memberi tamparan hebat kepada umat Islam di Amerika. Kadar diskriminasi ditempat  kerja yang meningkat 150 peratus dengan melibatkan etika pemakaian dan jadual solat manakala pemuda-pemuda Islam pula dijadikan bahan cacian dan hinaan kawasan setempat. Sentimen anti Islam mula meningkat membabitkan beberapa kes-kes diskriminasi persekutuan, hak hartanah dan pelbagai lagi.

Dunia Semakin Ke Penghujungnya

Kita semakin hari didedahkan dengan isu globalisasi yang begitu meruncing, namun bagaimana pula dengan senstiviti kita selaku mahasiswa Islam. Apakah cukup sekadar mengetahui? Adakah memadai dengan hanya sekadar berpeluk tubuh? Peristiwa yang telah berlaku bukan hanya untuk diketahui bahkan mengajak kita berfikir apakah persediaan kita menghadapi hari mendatang.

Ketahuilah, dunia semakin kepada ke penghujungnya.

sumber