Mungkin Tiada Penggantinya

4.19.2011

Nama beliau bukan sahaja masyhur di bumi Shoubra malah terkenal di kalangan ulama'-ulama' sekitar Mesir. Beliau dijadikan tempat rujukan dalam setiap permasalahan dan persoalan berkaitan Ulum al Quran, al Qiraat dan Lughah. Khamis, 15 April 2011 menjadi tarikh terakhir perkhidmatan al Alim Syeikh Ahmad Abdul Rahim Abdul Rahman. Sesiapa yang pernah bersama beliau pasti akan mengagumi beliau yang diibarat seperti 'satu dalam berjuta-juta'. Semua yang terpapar di dalam kitab serta tambahan dari luar kitab diingati dan disimpan kemas di dada beliau. Kitab-kitab yang dibaca oleh kami seolah-olah beliau hafal daripada kulit ke kulit. 

Setiap langkah beliau pasti diiringi alunan ayat-ayat suci al Quran dan doa-doa. Antara lain yang menarik adalah beliau sangat suka bersyair sehingga setiap gurauan yang dilontarkan tersusun kemas di dalam bait-bait syair bahasa arab. Beliau tidak pernah memarahi para pelajarnya. Jika perlu untuk beliau menegur, teguran yang penuh berhikmah beliau nyatakan dihiasi bait-bait syair yang sangat menarik. 

Persaraan beliau mungkin tidak akan ada pengganti sepertinya. Persaraan al Alim Syeikh Ahmad Abdul Rahim bukan sahaja menghilangkan seorang ulama' besar dari bumi Shoubra, malahan akan turut pergi bersama adalah lautan ilmu yang ada di dada beliau. Satu kerugian yang sangat besar jika sesiapa yang tidak sempat menadah limpahan ilmu yang dicurahkan oleh beliau dan pastinya menjadi satu penyesalan sampai bila-bila buat mereka yang gagal menggunakan sepenuhnya ruang sepanjang tempoh bersama beliau.

Al Alim Khadim al Ilmi wa al Quran Syeikh Ahmad Abdul Rahim Abdul Rahman hafizahullah
Turut bersama beliau adalah dua lagi masyaikh al Quran dan Qiraat yang akan bersara pada tahun ini iaitu Syeikh Hassan Muhammad Hassan Rejab dan Syeikh Judah Abdul Salam. Ketiadaan mereka pasti akan menambah sepi di celah keriuhan bumi Khazandarah. Semoga Allah SWT memanjangkan umur mereka di dalam keberkatan dan limpahan rahmat serta terus menjaga ahli-ahliNya, khadim al ilmi wa al Quran. Amin.


Comments
2 Comments

2 komentar:

  • @MBe

    "Satu kerugian yang sangat besar jika sesiapa yang tidak sempat menadah limpahan ilmu yang dicurahkan oleh beliau dan pastinya menjadi satu penyesalan sampai bila-bila buat mereka yang gagal menggunakan sepenuhnya ruang sepanjang tempoh bersama beliau."

    p/s:ambe diantara orang yang paling menyesal us ju.=(...

    [Klik Untuk Balas Komen Ini]
  • Pena Daie

    @@MBe

    bereh pa, nanti kite gi ziarah umah syeikh ahmad...

    [Klik Untuk Balas Komen Ini]
  • Post a Comment

    Apa komen anda