Antara Ilmu Dan Harta

4.22.2011

Manakah lebih baik, ilmu atau harta?

Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu adalah pusaka para Nabi dan Rasul, sedangkan harta adalah pusaka daripada Firaun, Qarun dan lain-lain.

Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu dapat menjaga dan memelihara pemiliknya, sedangkan harta perlu dijaga dan dipelihara oleh pemiliknya sendiri.

Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu akan membentuk ramai sahabat dan teman sedangkan harta menambah musuh dan lawan.

Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu apabila ia dikeluarkan dan dikongsi, ia semakin bertambah sedangkan harta apabila dikeluarkan semakin berkurangan dan akhirnya akan habis.

Ilmu lebih baik daripada harta kerana orang-orang yang berilmu akan selalu mendapat panggilan mulia dan hormat daripada masyarakat. Sedangkan orang yang berharta seringkali mendapat panggilan yang rendah dan hina.

Ilmu lebih utama daripada harta sebab ilmu tidak boleh dicuri daripada pemiliknya tetapi harta dapat dicuri, harta boleh hilang dan sebagainya.

Ilmu lebih baik dari harta kerana orang-orang yang berilmu pada hari akhirat nanti akan mendapat pertolongan daripada ilmu yang dikembangkan, sedangkan orang yang berharta akan dihisab dan diminta bertanggungjawab terhadap setiap perbelanjaan harta tersebut.

Ilmu lebih baik dari harta kerana ilmu tidak boleh habis walaupun tidak ditambah, sedangkan harta lambat laun pasti akan habis.

Ilmu yang dikejar atau harta? Fikir-fikirkan.


Comments
0 Comments

0 komentar:

Post a Comment

Apa komen anda