Showing posts with label Al Quran. Show all posts
Showing posts with label Al Quran. Show all posts

Cara Khatam Al Quran Dalam Seminggu

11.24.2011 1 komentar

Rasulullah s.a.w menekankan kepada kita supaya meluangkan seberapa banyak masa untuk membaca dan memahami al Quran. Secepat-cepat tempoh masa yang boleh khatam al Quran adalah selama 3 hari dan selewat-lewatnya jangan jangan lebih dari sebulan. Sebaik-baiknya al Quran dikhatamkan bacaannya dalam tempoh seminggu.

Beberapa sahabat Rasulullah s.a.w yang masyhur seperti sayyidina Uthman, Zaid Ibn Thabit, Ibn Mas'ud dan lain-lain mengkhatamkan al Quran dalam masa seminggu dengan dibuat penyusunan surah-surah seperti berikut :

Malam Jumaat :  surah al Baqarah hingga surah al Maidah

Malam Sabtu :  surah al An'am hingga surah Hud

Malam Ahad :  surah Yusuf hingga surah Maryam

Malam Isnin :  surah Toha hingga surah al Qasas

Malam Selasa :  surah al 'Ankabut hingga surah Sod

Malam Rabu :  surah Tanzil (al Zumar) hingga surah al Rahman

Malam Khamis :  menghabiskan surah yang berbaki

Selamat beramal!


Cara Memusnahkan Mushaf @ Kertas Ayat Al Quran

11.03.2011 2 komentar


Mushaf atau kertas yang mengandungi ayat-ayat Al-Quran tidak boleh dikoyakkan atau dicarik-carik kerana cara itu bererti memutus huruf-huruf dan kalimahnya dan mempersia-siakan apa yang termaktub itu.

Jika mushaf atau tulisan-tulisan ayat Al-Quran itu tidak boleh dibaca atau tidak boleh digunakan lagi, ia boleh dimusnahkan di antara caranya ialah dengan membasuh tulisannya sehingga tidak kelihatan lagi atau membakarnya atau menanamnya.

Sebahagian ulama berpendapat membakarnya adalah lebih utama kerana Sayidina Uthman Al-Affan pernah membakar mushaf-mushaf tertentu dan tidak ada sahabat yang membantahnya. Sebahagian ulama pula menetapkan ia tidak boleh dibakar kerana cara itu tidak menghormati namanya sehingga menghukumkannya sebagai makruh.

Selain itu ada yang berpendapat bahawa membasuhnya lebih utama. Sebahagiannya pula mengatakan mushaf itu tidak dibakar, bahkan ia hendaklah ditanam dalam tanah dan dengan cara ini ia tidak akan terkena pijakan. (Al-Itqan: 4:165).

Dalam pada itu, setengah ulama mutakhir berpendapat bahawa cara membakar itu adalah cara yang paling ringan dilakukan. Disertakan dengan niat yang baik, maka cara ini dilakukan hanya semata-mata untuk menjaga kesucian dan kemuliaan Al-Quran, bukan merendahkan, apa lagi menghinanya dan tidak mendedahkannya kepada pencemaran dan penghinaan. (Ahsan Al-Kalam: 2:210).

Disimpulkan bahawa mushaf Al-Quran yang menjadi kitab suci umat Islam adalah wajib dihormati, seperti tidak meletakkan sesuatu di atasnya, menyentuh atau mengangkatnya hanya ketika dalam keadaan berwuduk dan tidak menuliskannya pada kertas, kad, poster atau bahan-bahan cetak yang lain yang terdedah kepada pencemaran kesucian dan kehormatannya itu. 



Khatam Al Quran Lapan Kali Sehari

8.19.2011 1 komentar


Ramadhan sudah melepasi garis tengahnya dan semakin berganjak menuju titik penghujung. Lingkungan tempoh penghujung ini adalah puncak maksima bagi penumpuan melipat gandakan amalan. Bagaimana dengan keadaan kita? Sudah berapa kali khatamkan al Quran? Tahukah kita mengenai kehebatan para sahabat dan para solihin terdahulu sehingga mereka mampu khatam al Quran lapan kali dalam sehari. Imam Nawawi R.A menyatakan, riwayat jumlah paling banyak khatam al Quran adalah sebanyak LAPAN KALI dalam sehari. Mampukah kita...

1. Khatam al-Quran empat kali pada waktu siang dan empat kali pada waktu malam seperti al-Sayyid al-Jalil Ibnul Katib al-Sufi?

1. Khatam al-Quran tiga kali sehari seperti Salim bin Umar rahimahullah?

1. Khatam al-Quran dalam satu rakaat pada solat seperti Sayyidina Uthman bin Affan, Tamim al-Dari, Sa'id bin Jabir dan al-Syafie r.a?

1. Khatam al-Quran diantara solat maghrib dan isya' pada bulan Ramadhan seperti Mujahid rahimahullah?

1. Khatam al-Quran dalam masa tiga hari pada bulan Ramadhan seperti Abdullah bin Mas'ud r.a?

1. Khatam dalam masa tiga hari seperti Abdullah bin Amr bin al-Ash r.a?

1. Khatam al-Quran dalam masa tujuh hari seperti Zaid bin Thabit r.a?

1. Khatam al-Quran dalam masa lapan hari seperi Ubay bin Ka'ab r.a?

1. Khatam al-Quran pada setiap sepuluh malam seperti al-Hasan bin Abi al-Hasan al-Basri?

1. Khatam al-Quran sebanyak 18000 kali seperti Imam Syu'bah?

* mengapa semua No.1?
* kita berada pada tahap mana?
*anda mampu melakukannya?
Jika mampu, pilihlah tahap mana yang kita mahu lakukan, semua adalah terbaik. Sama-sama gunakan kesempatan ramadhan ini semaksimanya.


Berinteraksi Dengan Al Quran

8.17.2011 0 komentar
Antara peristiwa terpenting yang berlaku di bulan ramadhan adalah berlakunya penurunan al Quran. Ramadhan adalah bulan diturunkan al Quran.

"(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang didalamnya diturunkan (permulaan) Alquran sebagai petunjuk bagi manusia danpenjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil)." - al-Baqarah : 184

Oleh kerana itu, selain disebut sebagai syahrus siyam (bulan puasa), bulan Ramadhan juga disebut sebagai syahrul quran (bulan al Quran). Pada bulan Ramadhan, al Quran diturunkan untuk menjadi panduan, perlembagaan dan pedoman kepada manusia terhadap segala aktiviti dan gerak geri mereka di dunia.

Pada bulan ini juga, Malaikat Jibril turun bertemu baginda Rasulullah SAW untuk mendengar dan menyemak bacaan al Quran daripada Rasulullah SAW.

Iman Al Zuhri berkata, 
"Apabila datang Ramadhan, kegiatan utama kita (selain berpuasa) ialah membaca al Quran."

Namun, seharusnya kita tidak hanya sekadar membaca sahaja, kita perlu mentadabbur, memahami dan mengamalkan segala isi kandungan al Quran. Bukannya memilih mana-mana bahagian yang berkenan kita ambil, bahagian yang tidak berkenan kita tinggalkan.

Bulan Ramadhan merupakan kesempatan serta peluang bagi umat Islam untuk benar-benar berinteraksi dengan al-Quran. Hal ini bertujuan untuk meraih kualiti hidup sebagai hamba, keberkatan dan meniti jalan menuju umat terbaik dengan petunjuk daripada al Quran. Bagaimana untuk kita berinteraksi dengan al Quran? 

1. Tilawah (membaca)
2. Tadabbur (menghayati dan memahami)
3. Hafal
4. Amal
5. Mengajar
6. Tahkim (menjadikan sebagai perlembagaan dan berhukum dengan al Quran)

Rasulullah SAW bersabda :
“Sebaik-baiknya kamu adalah yang mempelajari Alquran dan yang mengajarkannya.”

Ramadhan sebagai syahrul quran (bulan al Quran) dan bulan yang penuh berkat, terlalu rugi jika hari demi hari bulan Ramadhan terus berlalu begitu saja. Prioriti amalan yang berkait dengan al Quran menjadi keutamaan!

Helaian demi helaian akhbar mampu dibelek, mata yang tidak berkelip memahami isi kandungan novel. Mengapa kita tidak boleh melakukan sebegitu kepada kitab agung al Quran? Sedang pada masa yang sama kita sedar novel itu cuma imaginasi penulisnya sahaja, akhbar pula sangat tipis kesahihannya tetapi al Quran itu langsung tidak ada keraguan padanya.


Peringatan, Jika Melupakan Al Quran

7.13.2011 0 komentar


Allah SWT mencipta manusia dengan sifat dan tabiat pelupa. Oleh yang demikian, kita sebagai manusia perlu sentiasa mengulang kaji dan mengingati kembali apa yang telah dihafal. Allah SWT menyatakan melalui firmannya yang bermaksud :

"Dan sesungguhnya Kami telah berikan kepadamu dari sisi kami suatu peringatan (al Quran). Barang siapa yang berpaling daripada al Quran maka sesungguhnya ia akan memikul dosa  yang besar di hari kiamat." - surah Taha : 99-100

"Dan barang siapa yang berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit dan kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta. Berkatalah ia, 'Ya Tuhanku, mengapa engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, padahal dahulunya aku adalah seorang yang melihat?. Allah berfiman, 'demikianlah, telah datang kepada kamu ayat-ayat Kami maka kamu melupakannya dan begitu (pula) pada hari ini kamu pun dilupakan." - surah Taha :  124-126

Secara zahir ayat di atas dimaksudkan kepada pembacaan al Quran (lihat tafsir al Qurtubi). Imam Ibn Kathir berkata, "sebahagian ahli tafsir menyatakan maksud 'berpaling dari peringatanKu' adalah berpaling daripada pembacaan al Quran, berpaling kerana melupakannya serta tidak mengambil endah dengannya.

Rasulullah SAW telah memberikan peringatan kepada kita supaya bersungguh-sungguh dalam menjaga dan berpegang dengan al Quran dengan mengumpamakan al Quran yang dijaga oleh seseorang seperti seekor unta yang diikat. Jika kuat ikatannya, unta tersebut tidak akan terlepas namun jika melepaskannya ia akan pergi.

Maksud daripada beberapa sabda Rasulullah SAW:

"Tiada siapa pun yang membaca Al-Quran kemudian melupakannya kecuali ia akan bertemu Allah SWT di hari kiamat dalam keadaan kerdil"

"Dibentangkan kepadaku dosa-dosa umatku dan tidak aku nampak dosa yang lebih besar dari satu surah dari Al-Quran atau satu ayat ,yang diberikan kepada seorang lelaki kemudian ia melupakannya"

"...tidak aku nampak dosa yang lebih besar dari dosa penghafaz al-Quran kemudian meninggalkannya" 

Para ulama menyatakan pandangan dalam bab melupakan Al-Quran. Ada diantaranya yang menyenaraikan dosa melupakan al Quran sebagai dosa besar manakala sebahagian lagi menyatakan bahawa melupakan al Quran adalah dengan maksud melupakan dengan tidak mengamalkan al Quran.

Mungkin ada yang akan berkata, "baik tak payah hafal al Quran terus, nanti kalau lupa kena tanggung dosa pulak". Ini jelas bertentangan dengan objektif syariah. Peringatan-peringatan yang diberikan adalah supaya benar-benar tekun dan bersungguh-sungguh menjaga al Quran dengan membacanya siang dan malam serta mengamalkannya. Apa gunanya hafal kalau melupakan dan tidak mengamalkannya!.


Tempoh Masa Menghafal al Quran

7.10.2011 2 komentar
Entri ini pernah di'post'kan suatu masa dahulu, kini di tambah dengan sedikit pengisian. Link


Berapa lama tempoh masa yang mampu anda habiskan 30 juzu' al Quran?

Kurniaan rahmat dan nikmat Allah SWT kepada hamba-hanbaNya tidak terhitung banyaknya. Antara nikmat yang terbesar adalah diberi peluang oleh Allah SWT menghafal kalamNya yang Maha Agung. Allah SWT memudahkan kepada umat manusia untuk menerima intipati serta pengajaran daripada al Quran yang dijelaskan melalui maksud firmannya :

"Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan al Quran untuk orang mengambil pelajaran, maka adakah orang yang mahu  mengambil pelajaran?" - surah al Qamar :17

Apabila diteliti, bukan semua kalangan kita diberi peluang serta mampu menghafal keseluruhan al Quran kerana Allah SWT memilih dikalangan hambaNya demi menjaga dan mewarisi kitab yang dijamin akan terjaga sehingga hari kiamat. Maksud firman Allah SWT:

"Kemudian Kami wariskan  kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu  diantara mereka ada yang menganiaya diri mereka sendiri dan ada yang pertengahan dan ada diantara mereka (pula) yang lebih dahulu berbuat kebaikan (yang dimaksudkan dengan 'orang yang  menganiaya diri sendiri' adalah orang yang lebih banyak kesalahan daripada kebaikannya dan 'pertengahan' adalah orang yang kebaikannya berbanding kesalahannya dan yang dimaksudkan dengan 'orang yang lebih dahulu melakukan kebaikan' orang yang kebaikannya amat banyak dan amat jarang melakukan kesalahan) dengan izin Allah. Demikian itu adalah kurnia yang amat besar." - surah Faatir : 32
Rasulullah SAW menjelaskan melalui sabda baginda yang bermaksud:

"Sebaik-baik kamu mereka adalah yang belajar al Quran dan mengajarkannya"

Mungkin ada yang akan bertanya, bagaimana kita mahu mengetahui bahawa kita adalah golongan yang dipilih oleh Allah? Jawapannya mudah, hafal dahulu al Quran dan belajar segala ilmu yang berkaitan dengannya. Setelah berjaya, baru kita tahu kita tergolong dikalangan orang-orang yang dipilih oleh Allah SWT. Belajar dan menghafal dahulu baru kita tahu. Semoga bermanfaat.


Jaminan Allah Menjaga Al Quran

6.27.2011 0 komentar



Musuh-musuh Islam menganggap al Quran sebagai sumber asasi kekuatan umat Islam di mana ia merupakan  sumber yang akan mengembalikan mereka kepada keagungan dan kemuliaan  sebagaimana di masa lalu ia telah memainkan peranan  sebenar sebagai sumber kekuatan dan kemajuan. Musuh-musuh Islam berusaha untuk menyelewengkannya atau melenyapkannya sedaya kuasa yang mereka ada.

1. Gladstone pernah berucap di dalam dewan parlimen Britain sambil mengangkat al Quran di hadapan ahli-ahli parlimen : "Selagimana al Quran itu berada di tangan umat Islam, maka Eropah selama-lamanya tidak akan berupaya menguasai negara Islam dan Eropah sendiri tidak akan berada dalam keadaan aman tenteram."

2. Seorang pendakyah Kristian, Willian Jifford Bellcraf telah berkata : " Apabila al Quran, Mekah dan Madinah telah hilang daripada negara arab, maka ketika itu kita akan melihat bangsa arab akan bergerak perlahan-lahan ke jalan tamadun barat, jauh daripada Muhammad dan kitabnya."

3. Seorang lagi pendakyah Kristian, Cartly telah berkata : " Kita perlu menggunakan al Quran untuk menentang Islam itu sendiri sehingga kita berjaya menghapuskan Islam keseluruhannya. Kita perlu menyatakan kepada umat Islam bahawa perkara yang sahih di dalam al Quran bukanlah sesuatu yang baru dan benda yang baru bukanlah sesuatu yang sahih."

4. Pemerintah Perancis di Algeria telah berkata sempena 100 tahun penjajahannya : " Kita mesti melenyapkan al Quran daripada bangsa arab dan menghapuskan bahasa arab daripada percakapan mereka sehingga kita dapat menguasai mereka."

Tetapi mereka selama-lamanya tidak akan berupaya untuk mencapai matlamat untuk menghapuskan al Quran, menyelewengkannya atau menimbulkan keraguan padanya kerana Allah memberi jaminan untuk memeliharanya daripada penyelewengan atau penukaran sehingga hari kiamat. Allah SWT berfirman :

Maksudnya :"Sesungguhnya Kami-lah yang telah menurunkan al Quran itu dan Kami-lah yang memeliharanya(daripada diubah) - al Hijr :9


Mengapa Penemuan Sains Berlaku Di kalangan Bukan Muslim?

9.17.2010 1 komentar

Al Quran dan hadith-hadith Rasulullah SAW banyak menyatakan berkenaan tentang sains dan teknologi yang hanya dapat dicapai oleh manusia setelah berpuluh-puluh abad lamanya dinyatakan oleh Rasulullah melalui al Quran al karim dan sabda baginda yang mulia. Sains dan teknologi dijelaskan secara implisit di dalam al Quran dan hadith Rasulullah iaitu secara tersirat melalui berbagai penjelasan berkenaan aqidah dan lain-lain. Oleh sebab demikian, penjelasan al Quran dan hadith sentiasa selari dan seiring dengan perkembangan zaman dan keadaan serta selama-lamanya tidak akan pernah wujud percanggahan antara al Quran dan hadith dengan logikal pemikiran manusia.

Satu persoalan yang mungkin terbit daripada lubuk hati kita berkenaan tentang banyak penemuan dan perkembangan sains dan teknologi dewasa ini yang banyak dilakukan oleh golongan bukan Islam terutamanya pihak dunia barat. Mengapa terjadi sedemikian? Sudah pasti ada hikmahnya mengapa Allah SWT menentukan realiti sedemikian. Antaranya adalah, seandainya penemuan-penemuan dan pekembangan sains dan teknologi sentiasa dilakukan oleh golongan muslim, maka sudah tentu keistimewaan kebenaran yang wujud pada al Quran dan hadith-hadith tidak diperhatikan dan diteliti oleh golongan bukan Islam. Jika golongan muslim yang sentiasa melakukan penemuan terkini, mungkin sahaja ada yang beranggapan bahawa hasil penemuan seorang muslim pastinya akan membenarkan isi kandungan al Quran dan hadith. Namun, sekiranya penemuan dilakukan oleh golongan bukan muslim yang ternyata penemuan tersebut membenarkan dan selari dengan apa yang terkandung di dalam al Quran dan hadith, sudah pasti akan lebih menguatkan kebenaran isi al Quran dan hadith yang sememangnya benar dan sahih. Tidak hairanlah jika ramai dikalangan saintis barat yang mendekati dan memilih Islam sebagai cara hidup hasil daripada kajian dan penemuan yang mereka lakukan tepat sepertimana yang dinyatakan oleh al Quran dan Hadith.

Beberapa contoh mudah disebutkan di sini :

Berpuluh-puluh abad sebelum ahli biologi menemuikan rahsia proses penciptaan manusia di dalam rahim ibu, al-Quran sudah jelas menyatakan :

"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia itu daripada suatu saripati (berasal) daripada tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) di dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk (berbentuk) lain. Maha Suci Allah Pencipta Yang Paling Baik. Surah al-mu'minun : 12-14

Puluhan abad sebelum wujudnya teknologi televisyen dan monitor, Al-Qur’an sudah mengenalkan tentang adanya paparan skrin dan televisyen, sebagaimana disebutkan di dalam kisah Ratu Balqis bersama Nabi Sulaiman :

"Dikatakan kepadanya : 'masuklah ke dalam istana'. Maka tatkala dia melihat lantai istana itu, dikiranya kolam air yang besar, dan disingkapkannya kedua betisnya. Berkatalah Sulaiman: “Sesungguhnya ia adalah istana licin yang menggilap terbuat daripada kaca.” al-Naml : 44

Ratu Balqis merasakan sebagai sebuah kolam air yang besar kerana memang dilihat sedemikian. Sebenarnya ia adalah kaca dan pada masa kini ia dikenali sebagai teknologi paparan skrin TV atau televisyen.

“Kemudian aku didatangi binatang yang disebut Buroq, yang lebih tinggi daripada keldai namun lebih pendek dari baghal, yang setiap langkah kakinya adalah sejauh batas pandangan mata. Aku dibawa di atasnya, kemudian kami pergi hingga kami mendatangi langit dunia.”
( HR. Ahmad, Al-Bukhari, Muslim dan lain-lain )

Hadith ini mengisyaratkan akan wujudnya teknologi kenderaan yang memiliki kelajuan dan kepantasan yang 'super' sehingga mengatasi kelajuan bunyi, baik kendaraan di darat mahupun udara seperti pesawat supersonic, pesawat challenger dan lain-lainnya.

Maha Suci Allah Yang Maha Agung

Haflah Takrim Qurra' Bakal Menemui Anda!

5.27.2010 8 komentar
Sila klik pada gambar untuk besarkan

Haflah Takrim Qurra'
Tarikh : 3 Jun 2010 (khamis)
Masa : 12.00 p.m hingga 6.30 p.m
Yuran : LE 10 sahaja

Daftar segera! Penyertaan terhad.

Perbezaan Al Quran Dan Al Qiraat

3.18.2010 2 komentar
Para ulama’ berselisih pendapat mengenai persoalan ini, adakah kedua-duanya adalah perkara yang sama atau sebaliknya? Al-Imam Badruddin al-Zarkasyi menyatakan bahawa al-Quran dan al-Qiraat adalah dua perkara yang berlainan kerana al-Quran adalah wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW sebagai mukjizat dan keterangan manakala al-Qiraat adalah kepelbagaian dan perbezaan kaedah dan cara pembacaan lafaz-lafaz wahyu pada huruf dan kalimah serta kaedah pembacaan seperti takhfif dan tasydid. Pandangan ini juga disebutkan oleh al Imam Jalaluddin al-Sayuti di dalam al-Itqan Fi Ulum al Quran, al Imam al Qastolani dalam kitab Lataif al Isyaraat dan al Dumyaati dalam Ittihaf al Fudhala’ al Basyar.

Sebahagian ulama’ pula berpendapat bahawa al-Quran dan al-Qiraat adalah dua perkara yang sama sebagaimana yang dinyatakan oleh Doktor Muhammad Salim Muhaisin di dalam kitabnya al Qaul al Sadid Fi Difa’I ‘an Qiraat al Quran al Majid  Fi Dhoui al Kitab wa al Sunnah kerana al Quran adalah masdar(kata terbitan) yang seerti dengan al Qiraah dan al Qiraat adalah jama’ kepada al Qiraah.

Persamaan ini berhujahkan firman Allah SWT  dalam surah al-Qiyamah ayat 8 yang bermaksud :

“Oleh itu, apabila kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu dengan perantaraan Jibril) maka bacalah menurut bacaan itu” 

Doktor Muhammad Ahmad al Jamal menjelaskan di dalam Wujuh al Balaghiyyah Fi Taujih al Qiraat bahawa apa yang dimaksudkan oleh al Imam al Zarkasyi adalah keseluruhan qiraat merangkumi yang mutawatir dan yang tidak mutawatir serta qiraat yang menepati tulisan mashaf dan yang tidak menepati tulisan mashaf. Perbezaannya dengan al Quran adalah pada aspek mutawatir kerana terdapat qiraat yang diriwayatkan secara tidak mutawatir (riwayat dhoif atau ahad) manakala al Quran mesti diriwayatkan secara mutawatir. Persamaannya adalah pada bacaan qiraat yang mutawatir adalah merupakan wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT sebagaimana al Quran yang diturunkan oleh Allah SWT dengan semua wajah dan cara bacaan (qiraat).

Walaupun terdapat perselisihan pandangan para ulama’ dalam menyatakan hubungan antara al Quran dan al Qiraat, akan tetapi pada hakikatnya al Quran dan al Qiraat bukan dua perkara yang mempunyai persamaan secara mutlak dan tidak mempunyai perbezaan secara menyeluruh. Secara amnya, al Quran dan al Qiraat memiliki ikatan yang kukuh dan saling berkait rapat antara satu sama lain.

Lebih lanjut, sila rujuk Perbahasan Ringkas Ilmu Qiraat.

Petikan daripada kertas kerja : Perbahasan Ringkas Ilmu Qiraat oleh Noraidin bin Nordin dan Muhamad Zul Ikhwan bin Zahari. Kertas kerja ini masih belum siap 100%, dalam proses memasukkan ayat-ayat al Quran yang berkaitan dan takhrij hadith.

Sedikit masa lagi diperlukan untuk menyiapkan keseluruhan kertas kerja ini. Jika memerlukan kepada pembentangan, sila berhubung dengan Ustaz Noraidin bin Nordin, bukan saya. Harap maklum.

Jom Pakat Tidur Tengahari

2.06.2010 1 komentar

Berdasarkan Ensiklopedia Mukjizat Al-Quran dan Hadis, Jilid 4: Kemukjizatan Psikoterapi Islam.

Rasulullah SAW telah bersabda, "Tidurlah pada waktu siang, kerana syaitan tidak tidur pada waktu siang."- Hadis Riwayat Thabrani. Menurut al-Jauhari, tidur pada waktu siang itu adalah tidur sebentar pada waktu tengah hari (sebelum solat Zohor).

Sebuah kajian menunjukkan bahawa tidur pada waktu siang di pejabat sangat bermanfaat terhadap kesihatan jantung kerana dapat mengurangkan stress dan degupan jantung yang berlebihan. Tidur pada waktu siang sangat memberi kesan dalam meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kadar kematian. Dr. Trichopoulos mengulas, "Saya mengesyorkan agar jika ada kesempatan, tidurlah pada waktu siang dan jika memiliki sofa di pejabat, manfaatkan ia dengan sebaiknya."

Setelah meneliti hasil kajian tersebut, beberapa syarikat perusahaan kini membenarkan para pekerja mereka untuk tidur pada waktu siang kerana ia didapati mampu meningkatkan mutu pekerjaan dan produktiviti syarikat malah ada syarikat yang menyediakan ruang khusus bagi para pekerja untuk tidur pada waktu siang. Para pekerja silih berganti masuk ke ruangan tersebut untuk tidur selama setengah jam. Hal ini dilakukan atas saranan pakar kesihatan yang mendapati bahawa tidur siang dapat mengurangkan stress dan tekanan serta membantu memberikan tenaga seharian penuh.

p/s : jangan tidur amalkan dalam kelas pengajian pada waktu tengahari

Siapa Boleh?

1.11.2010 2 komentar
1. Khatam al-Quran empat kali pada waktu siang dan empat kali pada waktu malam seperti al-Sayyid al-Jalil Ibnul Katib al-Sufi?

1. Khatam al-Quran tiga kali sehari seperti Salim bin Umar rahimahullah?

1. Khatam al-Quran dalam satu rakaat pada solat seperti Sayyidina Uthman bin Affan, Tamim al-Dari, Sa'id bin Jabir dan al-Syafie r.a?

1. Khatam al-Quran diantara solat maghrib dan isya' pada bulan Ramadhan seperti Mujahid rahimahullah?

1. Khatam al-Quran dalam masa tiga hari pada bulan Ramadhan seperti Abdullah bin Mas'ud r.a?

1. Khatam dalam masa tiga hari seperti Abdullah bin Amr bin al-Ash r.a?

1. Khatam al-Quran dalam masa tujuh hari seperti Zaid bin Thabit r.a?

1. Khatam al-Quran dalam masa lapan hari seperi Ubay bin Ka'ab r.a?

1. Khatam al-Quran pada setiap sepuluh malam seperti al-Hasan bin Abi al-Hasan al-Basri?

* mengapa semua No.1?
* kita berada pada tahap mana?

Berapa Lama Anda Mampu Hafal 30 Juzu' Al Quran?

12.07.2009 1 komentar
Kita mampu untuk menghabiskan hafalan Al Quran secara keseluruhan(dengan izin Allah s.w.t). Tempoh masa untuk menghabiskan hafalan 30 juzu' Al Quran bergantung kepada kadar kemampuan seseorang menghafal beberapa jumlah ayat sehari sebagaimana jadual berikut :


"Sesungguhnya Kami(Allah) menurunkan peringatan(Al Quran) dan pasti Kami melindunginya(daripada kepalsuan)" Surah al Hijr : 9

"Sebaik-baik kamu adalah mereka yang belajar Al Quran dan mengajarkannya" - Hadia riwayat Imam Bukhari.

"Bacalah Al Quran, sesungguh ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya" - Hadis riwayat Imam Muslim.

"Sesungguhnya orang yang tidak terdapat dalam rongga badannya sesuatu daripada Al Quran adalah seperti rumah yang roboh" - Hadis riwayat Imam Tarmizi.

7 Huruf Tiada Dalam Al Fatihah

9.08.2009 0 komentar
Salam Tadarus

Setiap muslim sekurang-kurangnya akan membaca surah al-Fatihah sebanyak 17 kali setiap hari. Itu adalah jumlah yang paling minimum. Pengulangan sebanyak 17 kali setiap hari adalah satu kadar pengulangan yang besar namun adakah kita sedari bahawa surah al-Fatihah hanya menggunakan 21 huruf daripada 28 huruf hijaiyyah(huruf-huruf bahasa arab). Dalam kata lain, sebanyak 7 huruf tiada dalam surah al-Fatihah iaitu huruf Tha', Jim, kha', Zai, Syin, Zho' dan Fa'. Sekiranya kita hanya sekadar membaca seperti melepaskan batuk ditangga sudah tentu kita tidak akan menyedari hal ini.

Al Imam Syed Mahmud al Alusi rahimahullah menjelaskan di dalam Tafsir Ruh al Ma'ani bahawa 7 huruf hijaiyyah yang tidak digunakan di dalam al-Fatihah adalah menunjukkan kepada kesempurnaan makna al-Fatihah tersebut. Al Imam al Alusi juga menyatakan bahawa 7 huruf yang digugurkan itu menunjukkan kepada jumlah bilangan ayat dalam surah al-Fatihah iaitu sebanyak 7 ayat sebagaimana yang disepakati oleh para ulama'.

Ulama' membahagikan huruf-huruf hijaiyyah kepada 2 jenis huruf iaitu Huruf Nuraniyyah(gemerlapan/kilauan) dan Huruf Zulmaniyyah(kegelapan/kesuraman). Huruf Nuraniyyah sebanyak 14 huruf iaitu Sod, Ra', Alif, Tho', 'Ain, Lam, Ya', Ha'(baca nipis), Qaf, Nun, Mim, Sin, Kaf dan Ha'. Manakala baki 14 huruf lagi merupakan huruf-huruf Zulmaniyyah.

Jika diperhatikan secara lebih mendalam, huruf-huruf ini diklasifikasikan pula kepada 3 bahagian iaitu 14 huruf Nuraniyyah semuanya terdapat di dalam al-Fatihah, 7 huruf daripada 14 huruf Zulmaniyyah terdapat dalam al-Fatihah dan bahagian ketiga iaitu 7 huruf Zulmaniyyah lagi tidak terdapat dalam al-Fatihah. Al Imam al-Alusi menerangkan tentang 3 pembahagian ini adalah menunjukkan kepada 3 golongan manusia iaitu golongan orang-orang mukmin yang benar-benar beriman dan beramal, golongan orang-orang yang berada antara iman dan maksiat dan golongan orang-orang menzalimi diri mereka sendiri(kafir).

Maksud fiman Allah: "Maka ada diantara mereka yang berlaku zalim kepada diri mereka sendiri(dengan tidak mengendahkan ajaran al-Quran), dan ada yang bersikap sederhana, dan ada diantaranya pula yang mendahului(orang lain) dalam membuat kebajikan dengan izin Allah" Surah Faatir : ayat 32

p/s : catatan semasa kelas pengajian kitab Tafsir Ruh al Ma'ani bersama Syeikh Ahmad Abdul Fattah hafizahullah.

Di Mana Al Quran Berjalan?

7.12.2009 0 komentar

Persoalan berlegar di fikiran tatkala memikirkan keadaan diri ini, penghafaz, pengkaji, pelajar dan pembaca Al Quran yang kini dilihat semakin hari semakin ramai. Alhamdulillah, satu perkembangan yang cukup baik jika dilihat pada sudut kuantiti namun sebaliknya jika diperhatikan secara mendalam pada sudut kualiti golongan ini pada masa kini. Ramai yang mampu untuk membaca, belajar dan menghafal isi kandungan Al Quran tetapi berapa ramai yang mampu untuk melaksanakan isi kandungan yang dibaca, dihafal dan dipelajari daripada Al Quran dalam berakhlak, berkelakuan dan cara hidup di dunia ini? Hati ini sangat sedih dan pedih sekali apabila masyarakat kini mula mempertikai, memperlekeh dan meremehkan golongan pelajar Al Quran akibat akhlak dan keperibadian buruk yang ditonjolkan oleh golongan pelajar Al Quran sendiri.

Apa yang dapat kita lihat adalah naskhah Al Quran yang cukup banyak pada masa kini sehingga tidak termampu untuk membelek kesemuanya tetapi 'Al Quran yang berjalan' di muka bumi kini amat sukar untuk dilihat. Al Quran yang berjalan dengan maksud golongan yang mempelajari Al Quran dan melaksanakan sepenuhnya segala tuntutan serta arahan yang terkandung di dalam Al Quran ibarat seorang tentera yang menerima arahan dan melaksanakan segala arahan tersebut. Kita sebagai golongan yang belajar dan membaca Al Quran tidak sepatutnya menjadikan Al Quran hanya sebagai bahan bacaan harian atau bahan untuk menambahkan ilmu semata-mata tetapi kita sepatutnya mempelajari Al Quran adalah untuk dilaksanakan dengan serta merta samada dalam urusan hidup peribadi atau urusan hidup masyarakat sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Nasaie ketika saidatina Aisyah ditanya mengenai kelakuan, perangai dan perjalanan hidup Rasulullah s.a.w maka beliau menjawab "kelakuan dan perjalanan hidup baginda(Rasulullah s.a.w) adalah Al Quran.

Al Allamah Syed Qutb menyatakan Al Quran datang bukan sebagai sebuah buku panglipur lara, bukan sebagai sebuah buku sastera, juga bukan sebagai sebuah buku kesenian, sejarah dan novel, malah ia datang untuk dijadikan panduan hidup, panduan Ilahi yang tulen dan sendiri merasmikan Al Quran sebagai pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Demi melahirkan golongan Al Quran yang berjalan, dasar 'belajar untuk terus melaksanakan' perlu ada dalam diri setiap pelajar dan pembaca Al Quran, bukan ayat-ayat Al Quran hanya meniti di bibir sahaja tanpa ada pemahaman dan pelaksanaan isi kandungan Al Quran ibarat seekor burung tiong yang mampu berkata-kata tetapi tidak memahami dan melaksanakannya.

Di mana Al Quran yang berjalan pada masa kini? Bagaimana dengan kualiti golongan penghafal, pelajar dan pembaca Al Quran kini? Adakah kita merasakan diri kita tergolong dikalangan Al Quran yang berjalan? Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang disabdakan Rasulullah yang bermaksud: "berapa ramai orang yang membaca Al Quran akan tetapi Al Quran melaknat mereka"

Ketahuilah bahawa golongan Al Quran yang berjalan adalah tunggak utama dalam perjuangan Islam yang berada di barisan yang paling hadapan dalam memperjuang dan mempertahankan Islam. Semoga kita dapat mencontohi akhlak yang telah dipamerkan oleh generasi permulaan Islam yang lalu dalam menjadikan diri kita sebagai salah seorang daripada 'Al Quran yang berjalan'.

Apa pandangan anda? Klik di sini

Huffaz 'Burung Tiong'

6.15.2009 3 komentar

Hafiz (bahasa Arab: حافظ قرآن‎ atau حافظ, jamak huffaz, bermaksud penjaga) merupakan gelaran yang diberikan kepada seseorang lelaki yang telah berjaya menghafaz al-Quran sepenuhnya. Gelaran ini juga turut diberikan kepada para ilmuan Hadis yang telah berjaya menghafaz, mengkaji sanad hadis tersebut (salasilah perawi hadis) serta mentafsirnya dengan baik sekali manakala burung tiong pula merupakan sejenis burung yang popular dan digemari kerana kemampuannya boleh dilatih meniru dan mengajuk suara manusia. Apa yang ingin dibicarakan adalah mengenai 'penghafal Al Quran seperti burung tiong'.

Teringat sewaktu berada diminggu Haluan Siswa(orientasi) Darul Quran, Ustaz Zamri Shapik sering mengingatkan kami dengan kata-katanya "kita tidak mahu melahirkan huffaz seperti burung tiong di dalam sangkar emas tetapi kita ingin melahirkan huffaz seperti pokok balak di hutan". Jelas sekali maksud beliau yang tidak mahu kami menjadi seperti seekor burung tiong di dalam sangkar emas yang dipuja oleh segenap lapisan masyarakat dengan kemampuan dalam menghafal Al Quran tetapi hanya sekadar meniti di bibir-bibir sahaja tanpa ada pemahaman dan pengamalan tentang ayat-ayat yang dibaca. Beliau mahukan kami menjadi seperti pokok balak di hutan yang mampu membesar dengan sendiri, berdikari dan berdiri gah di sisi pokok-pokok balak yang lain tanpa mengharapkan bantuan daripada sesiapa.

Kini kita sendiri boleh melihat di sekeliling kita dengan kebanjiran penghafal Al Quran bagai cendawan tumbuh selepas hujan yang rata-rata mampu menutur dan melafazkan setiap kalimah di dalam Al Quran dengan fasih dan lancar tetapi hanya terdapat segolongan kecil dikalangan penghafal Al Quran yang mampu memahami dan hanya beberapa orang sahaja yang dapat memahami serta mengamalkan intipati yang terkandung di dalam kitab suci Al Quran dalam kehidupan seharian. Lihat sahaja pada seekor burung tiong yang dilatih sehingga dapat melafazkan ucapan 'assalamualaikum' setiap kali ada manusia yang menghampirinya tetapi adakah seekor burung tiong yang tidak dikurniakan nikmat akal memahami maksud 'salam' yang dilafazkannya? Sudah tentu tidak. Kalau kita menjawab salam burung tiong tersebut, ia langsung tidak memahami apa yang kita lafazkan. Sama juga halnya dengan sebuah mesin atau robot yang di'set' oleh perekanya yang dapat berkata-kata tetapi langsung tidak memahami perkataan yang dituturkannya.

Adakan kita para penghafal Al Quran hanya seperti seekor burung tiong atau seperti sebuah mesin yang 'berakal'? Hanya mampu untuk melafazkan setiap kalimah dan ayat Al Quran tetapi langsung tidak memahami apa yang dilafazkan. Apabila sedikit pemahaman pun tidak ada, maka pengamalannya bagai bermimpi disiang hari. Oleh sebab hal inilah munculnya ramai dikalangan penghafal Al Quran yang menjadi fitnah kepada seluruh penghafal Al Quran khususnya dan fitnah kepada Islam amnya kerana akhlak dan keperibadian mereka yang jelas bertentangan dengan Al Quran yang meniti bibir-bibir mereka sehari-hari. Oleh yang demikian, kita(penghafal Al Quran) perlu menjadi pokok balak yang teguh mendokong Islam ditengah-tengah kepincangan yang berlaku dalam masyarakat kini dan mejadi 'role model' untuk memimpin masyarakat memahami dan mengamalkan Islam sebagai manhaj kehidupan seharian.

"Kemudian kami jadikan Al Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang kami pilih dari kalangan hamba-hamba kami; maka diantara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri(dengan tidak mengendahkan ajaran Al Quran), dan diantaranya ada yang bersikap sederhana , dan diantaranya ada yang mendahului(orang lain) dalam berbuat kebajikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar(dari Allah semata-mata)- Surah Faatir:33

Sabda Rasulullah s.a.w: "Bacalah Al Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya"- Hadis riwayat Imam Muslim.

Bagaimana Al Quran akan menjadi syafaat kepada kita nanti sekiranya kita tidak memahami dan mengamalkan isi kandungannya serta kita memiliki akhlak yang jelas bertentangan dengan Al Quran? Atau nanti Al Quran yang akan melaknat kita?(nauzubillah) Ayuh mari kita sama-sama memahami dan mengamalkan Al Quran serta menyeru seluruh umat Islam untuk menjadikan Al Quran sebagai perlembagaan dan manhaj kehidupan.

Perbahasan Hukum Bacaan Iqlab

5.28.2009 6 komentar

Ambo Mulakan dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Seusai talaqqi Al Quran dengan riwayat Abu Jaafar Ambo terus bertanya Syeikhuna Syeikh Hassan Rejab (syeikh talaqqi Al Quran bersanad dan panel pentashih Al Quran Mesir) mengenai hukum bacaan Iqlab iaitu bagaimana cara sebenar bacaan hukum Iqlab. Beliau menyatakan bahawa terdapat 2 cara bacaan Iqlab iaitu yang pertama adalah membaca dengan merapatkan kedua dua bibir mulut dan cara yang kedua iaitu cara yang paling sahih adalah dengan membuka sedikit mulut (tidak merapatkan) ketika membacanya. Beliau menambah lagi dengan menyatakan kadar bukaan mulut hanyalah sekadar memuatkan sehelai kertas sahaja. Tidak membuka terlalu besar.

Ini adalah sebahagian perbahasan para ulama’ mengenai hukum bacaan Iqlab.

Iqlab menurut etimologi bererti mengubah sesuatu daripada bentuknya. Berdasarkan istilah tajwid yang dinyatakan oleh Syeikh Mahmud Khalil Husori (syeikh al Qurra’ Mesir) rahimahullah di dalam kitab Ahkam Qiraatul Quranul Karim iaitu menjadikan huruf tertentu pada posisi huruf lain dengan mengekalkan ghunnah(dengung) berserta ikhfa’(menyembunyikan). Huruf Iqlab hanya satu iaitu huruf Ba’ dan hukum Iqlab berlaku apabila Nun yang sukun atau Tanwin bertemu dengan huruf Ba’.

Hal ini dinyatakan oleh Syeikh Sulaiman Bin Hussain Al Jamzuri (pengarang matan Tuhfatul Atfal) di dalam matan beliau :

والثالث الإقلاب عند (الباء) ميما بغنة مع الإخفاء

Maksud yang di sini adalah mengubah huruf Nun yang sukun dan tanwin menjadi Mim apabila bertemu dengan huruf Ba’ dan dibaca dengan Ghunnah berserta Ikhfa’(menyembunyikan) Mim. Jelas di sini bahawa bacaan Iqlab adalah dengan menyembunyikan Mim, bukan bermakna menghilangkan zat huruf Mim secara keseluruhan tetapi melemahkannya dan menyembunyikan zat Mim tersebut daripada bergantung kepada makhraj(tempat keluar) huruf Mim kerana makhrajnya adalah pada dua bibir. Cara yang paling tepat adalah dengan tidak merapatkan kedua dua bibir ketika membacanya

Berkata Imam Ibn Al Jazari Rahimahullah di dalam kitab Al Nasyru bahawa tidak ada perbezaan antara :
أن بورك

يعتصم بالله

Tidak wujud perbezaan antara keduanya adalah kerana wujud persamaan semasa membacanya adalah dengan menyembunyikan Mim. Sebagaimana kita membaca hukum Ikhfa’ Syafawi begitu jua cara dalam membaca hukum Iqlab iaitu dengan tidak merapatkan kedua bibir.

Syeikh Abdullah bin Soleh menyatakan dalam kitab beliau Al Itqan Fi Tajwidil Quran Biriwayati Hafs 'An 'Asim berkenaan cara melafazkan iaitu dengan menyebut dengan Mim tanpa merapatkan kedua dua bibir serta menyebut dengan Mim sukun secara lembut dan tidak berat.

Di dalam kitab Taisir Al Rahman yang dikarang oleh Dr Su'ad Abdul Hamid pula menyatakan bahawa terdapat tiga dalam melafazkan hukum Iqlab :

  • Mengubah Nun yang sukun menjadi Mim
  • Mengikhfa'kan(menyembunyikan) Mim di sisi Ba' tanpa merapatkan bibir mulut
  • Menyatakan Ghunnah secara beriringan untun mengikhfa'kan kemudian merapatkan kedua dua bibir untuk menyebut Ba'

Bacaan Iqlab dengan cara merapatkan kedua dua bibir adalah tepat tetapi cara yang paling tepat dan sahih adalah dengan tidak merapatkan(membuka sedikit) mulut semasa membaca hukum Iqlab.


Rujukan
Matan Tuhfatul Atfal, Syeikh Sulaiman Al Jamzuri
Ahkam Qiraatul Quranul Karim, Syeikh Mahmud Khalil Husori muka surat 144-146
Fathul Aqfal, Syarhi Tuhfatul Atfal, Syeikh Syed Syaltut muka surat 35-36
Al Burhan Fi Tajwidil Quran, Syiekh Muhammad Sodiq Qamhawi muka surat 16
Al Itqan Fi Tajwidil Quran, Syeikh Abdullah bin Soleh muka surat 33 dan 36
Taisir Al Rahman Fi Tajwidil Quran, Dr Su'ad Abdul Hamidmuka surat 182

Mengurus Waktu Mengulang Al Quran

4.19.2009 2 komentar

Masa bukanlah emas sebab masa tidak boleh dijual beli. Masa sebenarnya adalah degupan jantung anda. Masa adalah nyawa anda, kehidupan anda. Sebanyak mana masa berlalu, kita semakin menghampiri kematian.

Penghafal Al Quran perlu bijak menguruskan masa mereka agar dapat diseimbangkan antara aktiviti mengulang Al Quran dengan aktiviti-aktiviti lain. Kegagalan mengurus dan mengatur masa dengan berkesan antara faktor kegagalan dalam mengingati Al Quran. Tidak kira samada anda menghafal secara sempurna 30 juzu' atau sekadar beberapa juzu' atau sekadar menghafal beberapa surah pilihan. Sebagai Penghafal Al Quran anda perlu :

Pastikan waktu untuk membaca dam mengulang Al Quran lebih daripada 3 jam sehari selain daripada waktu kelas. Malah untuk kesan yang lebih baik, anda perlu mengulang sehingga 5-7 jam sehari. Jangan pula salah faham, maksud 5-7 jam ini bukanlah mengulang secara berterusan selama 5-7 jam. Anda mungkin mampu mengatur masa seperti mengulang 1 jam sebelim waktu subuh, 2 jam pada waktu petang dan 3 jam pada waktu malam. Ini menjadikan waktu anda bersama Al Quran adalah 6 jam sehari.

Sememangnya dimaklumi bahawa tahap kodentrasi atau tumpuan mengulang setiap individu adalah berbeza. Ada individu yang boleh menumpu selama 1 jam dan ada pula yang hanya bertahan selama 20-30 minit. Jangan paksa atau menyeksa diri anda, sekiranya anda merasakan tumpuan anda mula terganggu, ambillah rehat seketika, iaitu lebih kurang 5 minit. Selepas itu, sambung semula pengulangan anda. Untuk lebih memantapkan ingatan, sebelum mengulang yang lain, cuba imbas surah-surah atau ayat-ayat yang telah anda ulang sebelumnya.

Jangan letakkan matlamat mengulang dengan jumlah terlalu besar, biar sesuai dengan tahap ingatan dan kemantapan hafalan. Jumlah mukasurat, maqra', surah dan juzu' yang mahu diulang mestilah anda tahu
yang anda mampu menghabiskan dalam masa yang ditetapkan. Misalnya, meletakkan matlamat untuk mengulang 1 juzu’ yang kurang lancar dalam masa 30 minit adalah tidak realistik (pada pandangan saya). Sebaliknya matlamat untuk menghabiskan dan melancarkan 4 maqra’ atau setengah juzu' yang kurang lancar adalah lebih munasabah dan boleh dicapai. Sekiranya matlamat yang ingin dicapai terlalu besar dalam masa yang agak singkat, dibimbangi akan memberi tekanan dan lebih tertumpu untuk menghabiskan pengulangan semata-mata tanpa betul memantapkan hafalan. Hasilnya, hafalan tidak betul-betul lancar dan tidak kekal lama.

Sediakan jadual mengulang atau perancangan mingguan tentang bilangan juzu’ yang mahu diulang. Ini adalah sangat penting kerana dengan adanya jadual ini maka anda tahu berapa bilangan juzu’ yang perlu anda habiskan setiap minggu bagi mengekalkan hafazan.

Sediakan senarai tugas harian (to do list) pada malam sebelumnya. Maknanya anda tahu apa yang an
da mahu lakukan pada esok hari. Tentukan tahap kepentingan (aulawiyat) setiap butiran tugas yang telah disenaraikan. Sebagai penghafal Al Quran, utamakan pengulangan Al Quran daripada aktiviti anda yang lain kerana anda perlu “put first things first”.Ini kerana Nabi S.A.W pernah menyatakan di dalam sebuah hadis bahawa Al Quran yang dihafal adalah seperti unta. Sekiranya ia tidak dijaga dengan rapi ia akan lari. Begitu juga Al Quran yang dihafal, sekiranya tidak diulang, ia akan hilang daripada ingatan.

Rekodkan progress anda pada sebuah 'buku catatan khas'. Setakat mana anda telah menjayakan perancangan pengulangan Al Quran anda?? Tandakan setiap juzu’, surah yang diulang dengan lancar dalam senarai “to do” anda. Harus diingat, hal ini tidak terhenti setakat ini sahaja. Walaupun telah lancar, Al Quran perlu diulang bagi mengekalkan kelancaran hafalannya. Pengulangan yang terbaik bagi mengekalkan kelancaran hafalan adalah dengan mengulang di dalam solat kerana bacaan Al Quran yang paling baik adalah di dalam solat.

Cuba hargai diri anda dengan mengganjari diri anda setiap kali anda berjaya mencapai setiap perancangan yang telah anda senaraikan.

Gunakan teknik mengulang yang berkesan. Mengulang 1 jam dengan penuh tumpuan adalah lebih baik daripada mengulang 3 jam dengan fikiran melayang.

Cuba untuk fokus sekurang-kurangnya 50% daripada masa mengulang anda terhadap proses “recall” iaitu mengingati semula apa yang telah diulang kerana ini adalah sangat penting bagi memastikan kelancaran bertahan lama.

Gunakan Al Quran kecil atau mengulang dengan rakan untuk memenuhi masa diantara kelas, ketika menunggu bas, selepas rehat, sebelum masuk kelas dan lain-lain. Sekiranya dihitung masa yang kecil-kecil ini anda akan dapati jumlahnya adalah 1-2 jam sehari. Oleh itu manfaatkan masa ini dengan mengulang Al Quran.

Tahukah anda sekiranya anda mengulang secara konsisten cuma 1 jam sehari selain waktu kelas, ini bermakna anda hanya mengulang Al Quran yang anda hafal selama 15 hari sahaja dalam setahun?? Ke mana perginya 365 hari hari lagi masa anda??

Tidak ada guna anda bersusah payah menghafal tetapi sekadar mengulang ayat-ayat yang sering dibaca dan ayat-ayat yang popular sahaja...

Fikir-fikirkan…

Jagalah Al Quran dengan sebaiknya, Insya'Allah Allah akan menjaga sesiapa yang menjaga kalam-Nya.