Di Mana Al Quran Berjalan?

7.12.2009

Persoalan berlegar di fikiran tatkala memikirkan keadaan diri ini, penghafaz, pengkaji, pelajar dan pembaca Al Quran yang kini dilihat semakin hari semakin ramai. Alhamdulillah, satu perkembangan yang cukup baik jika dilihat pada sudut kuantiti namun sebaliknya jika diperhatikan secara mendalam pada sudut kualiti golongan ini pada masa kini. Ramai yang mampu untuk membaca, belajar dan menghafal isi kandungan Al Quran tetapi berapa ramai yang mampu untuk melaksanakan isi kandungan yang dibaca, dihafal dan dipelajari daripada Al Quran dalam berakhlak, berkelakuan dan cara hidup di dunia ini? Hati ini sangat sedih dan pedih sekali apabila masyarakat kini mula mempertikai, memperlekeh dan meremehkan golongan pelajar Al Quran akibat akhlak dan keperibadian buruk yang ditonjolkan oleh golongan pelajar Al Quran sendiri.

Apa yang dapat kita lihat adalah naskhah Al Quran yang cukup banyak pada masa kini sehingga tidak termampu untuk membelek kesemuanya tetapi 'Al Quran yang berjalan' di muka bumi kini amat sukar untuk dilihat. Al Quran yang berjalan dengan maksud golongan yang mempelajari Al Quran dan melaksanakan sepenuhnya segala tuntutan serta arahan yang terkandung di dalam Al Quran ibarat seorang tentera yang menerima arahan dan melaksanakan segala arahan tersebut. Kita sebagai golongan yang belajar dan membaca Al Quran tidak sepatutnya menjadikan Al Quran hanya sebagai bahan bacaan harian atau bahan untuk menambahkan ilmu semata-mata tetapi kita sepatutnya mempelajari Al Quran adalah untuk dilaksanakan dengan serta merta samada dalam urusan hidup peribadi atau urusan hidup masyarakat sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Nasaie ketika saidatina Aisyah ditanya mengenai kelakuan, perangai dan perjalanan hidup Rasulullah s.a.w maka beliau menjawab "kelakuan dan perjalanan hidup baginda(Rasulullah s.a.w) adalah Al Quran.

Al Allamah Syed Qutb menyatakan Al Quran datang bukan sebagai sebuah buku panglipur lara, bukan sebagai sebuah buku sastera, juga bukan sebagai sebuah buku kesenian, sejarah dan novel, malah ia datang untuk dijadikan panduan hidup, panduan Ilahi yang tulen dan sendiri merasmikan Al Quran sebagai pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Demi melahirkan golongan Al Quran yang berjalan, dasar 'belajar untuk terus melaksanakan' perlu ada dalam diri setiap pelajar dan pembaca Al Quran, bukan ayat-ayat Al Quran hanya meniti di bibir sahaja tanpa ada pemahaman dan pelaksanaan isi kandungan Al Quran ibarat seekor burung tiong yang mampu berkata-kata tetapi tidak memahami dan melaksanakannya.

Di mana Al Quran yang berjalan pada masa kini? Bagaimana dengan kualiti golongan penghafal, pelajar dan pembaca Al Quran kini? Adakah kita merasakan diri kita tergolong dikalangan Al Quran yang berjalan? Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang disabdakan Rasulullah yang bermaksud: "berapa ramai orang yang membaca Al Quran akan tetapi Al Quran melaknat mereka"

Ketahuilah bahawa golongan Al Quran yang berjalan adalah tunggak utama dalam perjuangan Islam yang berada di barisan yang paling hadapan dalam memperjuang dan mempertahankan Islam. Semoga kita dapat mencontohi akhlak yang telah dipamerkan oleh generasi permulaan Islam yang lalu dalam menjadikan diri kita sebagai salah seorang daripada 'Al Quran yang berjalan'.

Apa pandangan anda? Klik di sini

Comments
0 Comments

0 komentar:

Post a Comment

Apa komen anda