Kenapa Mesti Ada Dengki?

9.29.2009 2 komentar
Apa faedahnya jika terus memendam perasaan hasad dengki(PHD) di hati? Tidak pernah senang melihat kesenangan orang lain, sering memandang serong, tidak senang hati apabila ada orang yang melebihinya.

Setiap pendengki memang memandang serong terhadap orang yang tidak disukainya. Ada yang sanggup berbuat apa saja, termasuk menggunakan sejumlah besar wang ringgit untuk menjatuh atau merosakkan orang lain, sama ada secara halus atau kasar. Perasaan dengki sebegini sebenarnya menunjukkan pendengki itu lemah, penakut, peribadinya rendah dan tidak mempunyai harga diri dan tidak berakhlak.

Fikiran seorang pendengki adalah beku, tidak mempunyai daya usaha mendapat faedah halal, tidak ada hemah dan keazaman yang kuat dan dadanya sempit. Tidak punya usaha sendiri untuk memajukan diri dan hatinya tidak senang melihat kesenangan orang lain. Rasa geram timbul apabila orang lain melebihinya. Apa yang difikirkan hanyalah strategi dan cara bagaimana untuk menjatuhkan atau merosakkan orang tersebut.

Perasaan hasad dengki yang terus menggari hati mampu membawa pendengki kepada syirik kepada Allah s.w.t iaitu mempersekutukan Allah kerana apabila cara kasar tidak berhasil untuk menjatuhkan seseorang, cara halus samada menggunakan bomoh atau jin akan digunakan.


Sifat tercela ini bukan saja berlaku sesama kawan sekerja, malah di kalangan kaum kerabat, keluarga terdekat dan jiran tetangga. Penyakit hati ini boleh menimbulkan perbalahan sesama sendiri dan seterusnya menjadi pergaduhan besar hingga saling berbunuhan. Orang yang bersifat demikian memang berbudi rendah dan hina. Rendah dalam banyak aspek seperti pemikiran, pemilihan, ucapan dan tindakan.

Dalam sifat begini, pendengki sanggup pula menabur fitnah, berbohong dan menceritakan apa yang tidak benar kepada sesiapa saja yang difikirkan boleh bersekongkol dengannya. Kesukaan merendah dan menghina orang lain disebabkan menyangka dirinya lebih mulia daripada orang lain. Dialah yang pandai, pintar dan segalanya sehingga pandangan orang lain diremehkan.

Perbuatan mencela orang biasanya dilakukan dengan ucapan dan sikap, samada di hadapan atau belakang orang berkenaan. Sebenarnya, orang yang suka mencela orang lain itu adalah lambang kekosongan jiwanya. Dia sedang sakit jiwa kerana hatinya yang busuk. Orang seperti ini biasanya melihat orang atau setiap persoalan daripada sudut kekurangan dan kelemahan sahaja, langsung tidak melihat pada sudut kebaikannya. Pendengki juga cepat melihat keaiban dan membuka aib orang, tetapi tidak dapat melihat keaiban dan kecacatannya sendiri.

Oleh kerana kerosakan yang timbul itu boleh menjadi bencana umum, maka seksaannya menurut hadis, dimulakan di alam kubur selepas dia meninggal dunia. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Jangan kamu dengki-mendengki, jangan kamu benci-membenci dan jangan kamu musuh-memusuhi.” Sebuah lagi hadis bermaksud: “Awaslah (jauhilah) daripada hasad (dengki) kerana hasad itu akan memakan semua kebaikan, sebagaimana api memakan kayu yang kering.”

Tambahan
Pada suatu sudut yang lain, perasaan dengki dan iri hati dibenarkan dalam Islam iaitu, berdengki terhadap orang diberi ilmu pengetahuan oleh Allah dan dia mengamalkannya siang dan malam serta orang yang diberi harta oleh Allah dan dia menafkahkannya siang dan malam sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim yang bermaksud : 'Tidak boleh iri hati melainkan kepada dua orang iaitu, orang yang dianugerahkan ilmu pengetahuan tentang al Quran oleh Allah lalu mengamalkan sepanjang siang dan malam dan orang yang diberikan harta oleh Allah lalu menafkahkannya sepanjang siang dan malam'

Undangan Ke Majlis Perkahwinan

9.26.2009 1 komentar
Assalamualaikum w.b.t

Dengan rasa penuh kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t, dengan rasa segala hormatnya saya mempersilakan para sahabat, rakan dan teman serta keluarga ke majlis perkahwinan saya pada 11-10-2009 (Sabtu) bersamaan 28 Syawal 1430 Hijrah, bermula jam 12 tengahari hingga 6 petang. Diharap dengan kehadiran kalian nanti akan menyerikan lagi majlis perkahwinan kami. Beras kunyit kami taburi, Air Mawar direnjis Wangi, Undangan Kami Setulus Hati, Harap Sudi datang Merai.


Itulah isi kandungan pesanan ringkas(SMS) yang baru sahaja diterima daripada seorang teman yang mengundang ke majlis walimahnya pada 28 Syawal nanti. Sememangnya seperti yang sudah kita maklum, musim perayaan atau cuti sekolah adalah musim mengawan. Ehh silap...musim mengawin. Ramai yang menggunakan kesempatan cuti ini untuk mengadakan walimah masing-masing.

Berbicara soal kahwin, Islam amat menganjurkan umatnya supaya berkahwin dan perkahwinan merupakan sunnah Rasulullah s.a.w. Jika difikirkan semasak-masaknya, perkahwinan tidak semudah yang disangkakan. Banyak perkara yang perlu dititikberatkan oleh setiap pasangan yang ingin berkahwin seperti pada sudut ilmu untuk memimpin sebuah keluarga, tanggungjawab sebagai suami isteri atau ibubapa, kewangan dan berbagai-bagai lagi.

Satu masalah yang sering membelenggu bakal pengantin adalah masalah kewangan kerana ramai dikalangan lelaki dan wanita terpaksa menangguhkan sehingga beberapa tahun akibat desakan kewangan. Di sini dipapar sekeping gambar yang menyatakan perangkaan anggaran bagi mengadakan sebuah majlis perkahwinan seperti di bawah ini :


Segala yang tertera adalah realiti yang perlu ada pada setiap majlis perkahwinan pada masa kini. Melihatkan saja pada sudut kewangan, entah berapa tahun lagi diperlukan untuk mengumpulkan wang sebanyak itu. Teringat pula kata-kata seorang ustaz "Kalau kamu nak kahwin, kamu tak payah risau pasal duit. Rezeki kamu dan anak bini kalu semuanya Allah dah tentukan. Ulat dalam batu pun boleh hidup, lebih-lebih lagilah manusia yang boleh bergerak ini".

Terpulanglah pada diri masing-masing dalam membuat pilihan samada mahu cepat atau lambat. Kita hanya perlu berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah s.w.t namun hakikat segalanya sudah ditentukan oleh Allah s.w.t.

Sekalung tahniah diucapkan kepada sahabat-sahabat yang telah selamat mendirikan rumahtangga masing-masing. Semoga kalian bakal melahirkan generasi penyambung perjuangan Islam dan kekal berbahagia hingga ke syurga.

p/s : kepada sahabat yang sudah selamat dan yang bakal mendirikan rumahtangga, bila dah kahwin, jangan lupakan kami yang bujang lagi ni. Doakanlah moga dipercepat dan dipermudahkan oleh Allah s.w.t. Mak dah tak sabar nak sambut menantu baru...ahaks (",)

Kita Patut Bersyukur

9.23.2009 1 komentar

Kita patut BERSYUKUR...

1. Mendengar jam loceng yang berdering pada waktu pagi, kerana itu bermakna kita masih hidup untuk meneruskan hari tersebut.

2. Bunyi bising jiran-jiran di sekitar, kerana itu bermakna kita masih lagi boleh mendengar.

3. Pakaian kita yang dah ketat dan tak muat, kerana itu bermakna kita masih lagi cukup makan.

4. Timbunan pakaian yang perlu dicuci atau digosok kerana itu bermakna kita ada pakaian untuk dipakai.

5. Anak atau adik perempuan kita yang mengomel apabila mencuci pinggan, kerana itu bermakna dia masih berada di rumah, bukan di jalanan berpeleseran.

6. Suasana bising kanak-kanak yang sedang bermain, kerana itu bermakna tempat kita tinggal berada dalam keadaan aman dan selamat.

7. Lantai yang perlu dimop, tingkap yang perlu dilap, dan rumah yang perlu dikemas, kerana itu bermakna kita mempunyai tempat tinggal.

8. Cukai pendapatan yang perlu dibayar, kerana itu bermakna kita masih mempunyai pekerjaan.

9. Keletihan dan kesakitan otot selepas seharian bekerja, kerana itu bermakna kita masih berupaya untuk bekerja kuat.

10. Suami atau isteri yang tidur berdengkur pada waktu malam, kerana beliau tidur di sisi kita bukan dengan orang lain.

11. Tempat letak kereta yang jauh daripada lif, kerana itu bermakna kita masih berupaya
untuk berjalan.

12. Ditegur atau dimarahi guru apabila tidak menyiapkan tugasan, kerana itu bermakna kita masih berpeluang untuk mencari ilmu pengetahuan.

13. Makanan dan minuman yang kurang menyelerakan, kerana itu bermakna kita masih tidak kebuluran.

14. Seseorang menegur tindakan dan perbuatan kita, kerana itu bermakna ada orang yang prihatin terhadap kita.

15. Bersesak-sesak untuk menaiki bas, kerana itu bermakna kita masih ada tenaga dan kudrat untuk meneruskan hidup.

Maksud firman Allah s.w.t dalam surah Ibrahim, ayat 8 :
'Jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras'

Belajarlah BERSYUKUR...

Perutusan Aidilfitri 1430H

9.19.2009 0 komentar
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Bagi menyempurnakan titah perintah seri paduka baginda Yang Dipertuan Agong, setelah diperkenankan oleh duli-duli yang maha mulia raja-raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh hari raya puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari...

Masa berlalu begitu pantas, sedar tak sedar Ramadhan masih berbaki sehari sahaja lagi. Syawal bakal menjelma, selamat hari raya aidilfitri diucapkan kepada seluruh muslimin dan muslimat.

1. Semoga pentarbiyahan yang ditempuhi sepanjang Ramadhan dengan hidangan rohani serta jasmani menatijahkan 'Taqwa' kepada kita semua. Semoga kita mendapat segala fadhilat dan keberkatan yang terkandung pada bulan Ramadhan.

2. Terus menjalankan ibadah. Tidak hanya beribadah semata-mata dibulan Ramadhan. Dr Yusuf al Qaradawi menyatakan 'kun rabbaniyyan wala takun ramadhaniyyan'.

3. Raikan aidilfitri dengan penuh kegembiraan, kesyukuran dan kesederhanaan sempena hari kemenangan. Elakkan pembaziran. Kejarlah Lailatul Qadar yang menjanjikan ganjaran beribadat selama 1000 bulan dan bukan mengejar Lailatul Kamdar yang pasti menghabiskan 1000 ringgit.

4. Hari raya adalah permulaan keazaman baru setelah ditarbiyyah selama sebulan untuk lebih bersedia dan bersemangat menghadapi cabaran-cabaran pada masa akan datang.

5. Sama-sama bermaafan dan mengeratkan lagi ikatan tali persaudaraan yang terjalin. Lupakan segala sengketa lama. Teruskan amalan kunjung mengunjung.

6. Jangan lupa tunaikan kewajipan zakat. Bantu saudara-saudara kita yang memerlukan agar mereka juga dapat bergembira bersama-sama kita.

7. Jangan lupa untuk sama-sama berpuasa enam hari dalam bulan Syawal kerana sesiapa yang berpuasa penuh Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka pahalanya adalah sama dengan nilai puasa satu tahun.


Di ruangan ini, jutaan kemaafan dipohon daripada hujung rambut yang paling panjang sehingga hujung kuku kaki yang paling panjang kepada semua atas segala kesilapan, kekasaran, kesalahan, kekurangan dan bermacam-macam lagi kepada semua pihak terutamanya ibu tersayang di kampung, abang, kakak-kakak, adik, datuk, nenek, mak cik, pak cik, anak-anak buah, seluruh sanak saudara dan keluarga di tanah air dan di serata dunia, teman seperjuangan, rakan taulan, sahabat handai di seluruh pelusuk dunia dan kepada semua yang mengenali insan yang lemah ini.

7 Huruf Tiada Dalam Al Fatihah

9.08.2009 0 komentar
Salam Tadarus

Setiap muslim sekurang-kurangnya akan membaca surah al-Fatihah sebanyak 17 kali setiap hari. Itu adalah jumlah yang paling minimum. Pengulangan sebanyak 17 kali setiap hari adalah satu kadar pengulangan yang besar namun adakah kita sedari bahawa surah al-Fatihah hanya menggunakan 21 huruf daripada 28 huruf hijaiyyah(huruf-huruf bahasa arab). Dalam kata lain, sebanyak 7 huruf tiada dalam surah al-Fatihah iaitu huruf Tha', Jim, kha', Zai, Syin, Zho' dan Fa'. Sekiranya kita hanya sekadar membaca seperti melepaskan batuk ditangga sudah tentu kita tidak akan menyedari hal ini.

Al Imam Syed Mahmud al Alusi rahimahullah menjelaskan di dalam Tafsir Ruh al Ma'ani bahawa 7 huruf hijaiyyah yang tidak digunakan di dalam al-Fatihah adalah menunjukkan kepada kesempurnaan makna al-Fatihah tersebut. Al Imam al Alusi juga menyatakan bahawa 7 huruf yang digugurkan itu menunjukkan kepada jumlah bilangan ayat dalam surah al-Fatihah iaitu sebanyak 7 ayat sebagaimana yang disepakati oleh para ulama'.

Ulama' membahagikan huruf-huruf hijaiyyah kepada 2 jenis huruf iaitu Huruf Nuraniyyah(gemerlapan/kilauan) dan Huruf Zulmaniyyah(kegelapan/kesuraman). Huruf Nuraniyyah sebanyak 14 huruf iaitu Sod, Ra', Alif, Tho', 'Ain, Lam, Ya', Ha'(baca nipis), Qaf, Nun, Mim, Sin, Kaf dan Ha'. Manakala baki 14 huruf lagi merupakan huruf-huruf Zulmaniyyah.

Jika diperhatikan secara lebih mendalam, huruf-huruf ini diklasifikasikan pula kepada 3 bahagian iaitu 14 huruf Nuraniyyah semuanya terdapat di dalam al-Fatihah, 7 huruf daripada 14 huruf Zulmaniyyah terdapat dalam al-Fatihah dan bahagian ketiga iaitu 7 huruf Zulmaniyyah lagi tidak terdapat dalam al-Fatihah. Al Imam al-Alusi menerangkan tentang 3 pembahagian ini adalah menunjukkan kepada 3 golongan manusia iaitu golongan orang-orang mukmin yang benar-benar beriman dan beramal, golongan orang-orang yang berada antara iman dan maksiat dan golongan orang-orang menzalimi diri mereka sendiri(kafir).

Maksud fiman Allah: "Maka ada diantara mereka yang berlaku zalim kepada diri mereka sendiri(dengan tidak mengendahkan ajaran al-Quran), dan ada yang bersikap sederhana, dan ada diantaranya pula yang mendahului(orang lain) dalam membuat kebajikan dengan izin Allah" Surah Faatir : ayat 32

p/s : catatan semasa kelas pengajian kitab Tafsir Ruh al Ma'ani bersama Syeikh Ahmad Abdul Fattah hafizahullah.

Aku Sudah Mati

9.07.2009 3 komentar
Hari berganti hari. Keadaanku semakin tenat. Tubuhku terkaku seperti mayat di atas katil di salah sebuah hospital yang aku sendiri tidak tahu mengapa aku di tempatkan di sini. Sebelum tu, yang aku ingat aku sedang memandu kereta , lalu bertembung dengan sebuah lori. Tapi selepas itu aku tidak ingat apa- apa. Pandanganku kabur. Tidak dapat ku pastikan siapa orang-orang yang berada di sekelilingku. Aku terasa dadaku teramat berat dan bahagian pinggangku sudah tidak berasa apa-apa lagi. Derita sngguh. Nafasku sesak. Tiba-tiba tanganku di pegang kuat. 'Mengucap nak, mengucap! 'Asyhaduallailahaillallah' ucapan itu dibisikkan ke telingaku disertai dengan tangisan. Itu suara ibu. Manusia yang pernah mendodoikan daku semasa kecil, manusia yang pernah menyuapkan nasi ke dalam mulutku, manusia yang pernah memberi susunya serta yang pernah merotanku kerana degil.

"Bagaimana dengan keadaannya doktor?" Aku amati suara itu. Pasti itu suara abang. Mungkin abang baru sampai. "Tenat", jawab doktor dengan ringkas. "Itu kata doktor bang, jangan berserah kepada takdir sahaja. Kita perlu usaha". Sudah seminggu aku terlantar di wad ini, kenapa baru sekarang abang menjengah? Datang lah ke sini, aku ingin berbicara denganmu. datanglah... Tapi mataku semakin gelap. Adakah aku sudah buta? Tidak!!! Aku tidak mahu buta. Aku masih ingin melihat dunia ini. "Sabarlah dik,banyak-banyak ingatkan Allah. "Abangkah yang bersuara itu? Apa yang aku tanggung ini tidak semudah yang kau lafazkan, abang. Tolonglah adikmu ini.Tolong bukakan mataku. "Tekanan darahnya amat rendah". Sayup sayup kedengaran suara doktor. Kedengaran juga ibu menangis teresak-esak. Ibu, kau hanya mampu menangis saja, dan bila tiba saatnya,kita akan berpisah. Tapi, ibu, aku tidak mahu berpisah denganmu. Tolonglah ibu,selamatkanlah daku. 'Yasiin'. Bacaan surah Yasiin terngiyang-ngiyang di telingaku. Aku tahu itu suara abang. Tetapi kenapa aku di perdengarkan dengan suara itu? Apakah aku sudah menghampiri maut? Aku takut! Sedetik lagi sakaratul maut datang. Sedetik lagi izrail datang. Sedetik lagi malaikat maut datang.
Aku di ambang sakaratul maut. Aku semakin cemas dan semakin sesak nafas di dadaku. Ketika itu,aku tidak ingat apa-apa lagi. Aku tidak kenal sesiapa di sekelilingku.Tapi yang pastinya sekarang, aku berdepan dengan
sakaratul maut. 'Tolong ibu,tolonglah aku, aku takut!'. Tapi rintihan aku tidak di pedulikan. Apa mereka semua sudah pekak? Aku dilambung resah, gelisah dan penuh kesah. Keluhan dan rintihan "Panas, dahaga, haus... 'tiada siapa pun yang peduli.

'Mengucap nak, mengucap. Asyhaduallailahaillallah'. Ucapan itu diajukan sekali lagi ke telingaku. Itu suara ibu. Tapi lidahku sudah menjadi kelu. Kedinginan menjalar, merayap perlahan-lahan dari hujung kaki ke hujung rambut dan kini seluruh jasadku diselimuti sejuk.Sakit yang teramat sangat aku rasakan. Tidak pernah aku merasakan kesakitan sebegini. Menggelupur, menjerit, meraung sekuat hati. Sakit. Bercerai roh dengan jasadku. Menghemburlah bangkai yang sebusuk-busuknya. Tiba-tiba bau busuk menusuk ke hidungku, seperti bau sampah yang amat busuk. 'Apa yang busuk ni? Ah,busuknya, hanyirnya, hancingnya. Datang seorang pemuda. 'Kau siapa wahai pemuda? Seorang lelaki tercegat di hadapan katilku. Aku tidak pernah melihat wajah yang sehodoh, sekotor, dan sebusuknya di dunia ini. Rambutnya yang tidak terurus, badan yang sangat kotor, wajah yang cukup menjijikkan. Hidung, telinga dan mulutnya terdapat nanah dan darah pekat yang keluar. Jijik, loya, aku rasa teramat loya melihatnya. 'Kau tak kenal aku?'. 'Tidak', jawabku tegas. 'Mana mungkin aku kenal kau sehodoh dan sejijik ini'. 'Aku sahabatmu, akulah amalanmu. Kau yang melakukan aku setiap hari'. 'Bohong!, aku menjerit sekuat hati. Biar semua penghuni wad ini
mendengarnya. 'Aku tak kenal engkau! Lebih baik kau pergi dari sini'. 'Akulah amalanmu yang keji'.

Aku terdiam. Aku tidak mampu berkata apa-apa, teringat kini semuanya telah pernah kudengar dan kupelajari dulu. Segala dosa dan keburukan yang kita lakukan di dunia akan dijelmakan dalam sebagai suatu makhluk yang teramat hodoh di hadapan kita di alam barzakh nanti. Oh Tuhan, aku banyak dosa. Aku memang lalai,cuai dan lupa dengan segala nikmat yang telah kau kurniakan. Solatku kerana kawan, dan bukannya ikhlas kerana Allah. Pergaulanku bebas, tak kenal muhrim ataupun tidak. Tapi itu semua telah berlalu dan sudah terlambat untuk bertaubat. Apa yang aku harus lakukan! Aku melihat kak long dan kak ngah menangis. Aku juga lihat mata mak bengkak. Tiba-tiba badanku disirami air. Air apa ini? 'Tolong, sejuk!. Kenapa air ini berbau air kapur barus? Tolong jangan tekan perutku dengan kuat, sakit! Kenapa ramai orang melihat aku? Aku di usung ke suatu ruang. Aku lihat kain putih dibentangkan. Lalu aku diletakkan di atas kain putih tersebut. Kapas dimasukkan pada setiap celah-celah badanku. Lalu aku di bungkus satu demi satu dengan kain itu. 'Nanti, tunggu! Jangan bungkus aku. Kenapa kalian semua buat aku macam ini? Tolong rimas, panas'. Kemudian aku di letakkan di suatu sudut.

Beberapa orang termasuk tok imam menyembahyangkanku. Kelihatan ayah dan abang berada di saf yang pertama. Tapi kenapa aku di sembahyangkan? Bukankah aku boleh sembahyang sendiri? Aku teringat kata-kata ustazku dahulu. Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan'. Kini baru aku sedar aku sudah tidak mampu lagi untuk mengangkat takbir, ruku', sujud dan tahiyyat. Aku diangkat perlahan-lahan kemudian di letakkan di dalam sebuah pengusung. Aku di usung oleh lapan orang termasuk ayah dan abang. Setapak demi setapak. 'Al-Fatihah!' Kedengaran jelas suara tok imam. Kelihatan ibu, kak long, kak ngah dan lain-lain mengekori dari belakang tapi ke mana hendak bawa aku?. Nun jauh di sana, kelihatan tanah perkuburan kampungku. 'Ke situkah aku hendak dibawa? 'Tolong turunkan aku, aku takut!'. Setibanya di tanah perkuburan, aku diletakkan ditepi sebuah liang lahad. Beberapa tangan memegangku, dan aku diturunkan ke dalam liang itu. 'Perlahan-lahan'. Aku terdengar suara tok imam memberitahu.'Tolong keluarkan aku! Aku takut!'.

Kini jasadku berada di dalam liang lahad. Sedikit demi sedikit tanah menutupiku. 'Aduh sakitnya badanku ditimbus tanah'. 'Innalillahiwa innailaihi rajiuuun. Dari Allah kita datang, dan kepada Allah jualah kita kembali'. 'Sesungguhnya mati itu benar alam barzakh itu benar, siratul mustaqim itu benar, syurga dan neraka itu jua benar'. Sayup sayup aku dengar orang membaca al Quran , tetapi makin lama makin hilang. Pandanganku makin, makin kabur dan terus tidak kelihatan. Tubuhku terasa telah di timbusi sedikit demi sedikit pasir dan tanah yang di lemparkan ke atasku. Terasa semakin gelap dan aku kini keseorangan.

Ini Peluang Anda Wahai Perokok

9.01.2009 2 komentar
Salam Ramadhan

Sekiranya anda bercadang untuk berhenti merokok, gunakan peluang sepanjang Ramadhan ini untuk menjauhkan diri anda dan membuang tabiat buruk merokok yang ada pada diri anda itu. Proses berhenti merokok memerlukan perancangan dan juga penentuan masa yang sesuai dan teratur. Jika ia dirancang dengan betul dengan keazaman yang kuat pasti akan membawa kepada kejayaan.

Banyak alasan diberikan oleh perokok untuk meneruskan tabiat buruk ini. Antara alasan yang sering dilontarkan ialah merokok merupakan tabiat lama yang telah sebati dengan jiwa, merokok boleh mengurangkan stress dan menyebabkan ketagihan kepada nikotin. Hal ini berlaku kerana sikap anda yang tidak serius untuk meninggalkan tabiat buruk tersebut. Ya, memang sukar untuk meninggalkan tabiat lama tetapi walau sesukar mana sekalipun anda mampu untuk melakukannya dengan berbagai cara.

Berhenti Secara Mendadak

Cara ini memerlukan motivasi, ketahanan diri dan kesungguhan yang tinggi dalam diri seseorang. Sekiranya anda mampu menahan diri untuk tidak merokok selama 12 hingga 14 jam pada siang hari dibulan Ramadhan, alangkah baiknya jika anda teruskan sehingga 24 jam dan hari-hari yang seterusnya tanpa merokok.

Berhenti Beransur-ansur

Anda boleh mengurangkan jumlah batang rokok yang dihisap dalam sehari secara beransur-ansur sehingga ketahap tanpa rokok. Cara ini biasanya menemui kegagalan kerana faktor persekitaran, emosi dan keinginan nafsu. Bulan Ramadhan merupakan bulan untuk kita melatih nafsu. Sekiranya pada siang hari kita mampu mengawal nafsu dengan baik, pada waktu malam juga kita mampu untuk melakukannya.

Menangguh Pengambilan

Perokok menangguh pengambilan rokok. Biasanya anda merokok selepas berbuka, cuba tangguh dengan melakukan perkara lain untuk mengurangkan kekerapan merokok. Selepas berbuka anda boleh terus bersiap menunaikan solat maghrib dan membaca al Quran.

Sokongan

Beritahu rakan dan ahli keluarga tentang rancangan anda untuk membuang tabiat buruk merokok. Dapatkan bantuan dan sokongan dari rakan dan ahli keluarga. Ini amat diperlukan kerana anda mungkin tidak mampu untuk mendepaninya sendirian.

Untuk membuang tabiat buruk merokok memerlukan komitmen yang tinggi serta usaha yang berterusan. Sesetengah perokok hanya berjaya berhenti untuk tempoh sekejap sahaja. Sekiranya ini berlaku kepada anda, janganlah beranggapan anda telah gagal atau merasa kecewa. Teruskan azam dan kuatkan semangat, kejayaan tidak berlaku hanya dengan satu cubaan sahaja. Gunakan kesempatan kelebihan puasa untuk menghalang diri anda daripada terus merokok.
Tetapkan pendirian untuk tidak akan merokok dan jangan sekali-kali menerima tawaran rokok percuma daripada kawan-kawan sama ada untuk menjaga hati kawan atau sebagainya. Berterus terang kepada mereka tentang niat anda.

Bila timbul keinginan untuk merokok, tolak keinginan itu dengan sekeras-kerasnya. Katakan sahaja 'Tak Nak' tanpa segan dan jangan sesekali menyatakan 'tak apa sebatang sahaja', kerana disebabkan sebatang itulah yang akan menyebabkan anda kembali menjadi penagih nikotin dan hamba rokok.