Belajar Untuk Ke Neraka

5.29.2010 0 komentar
Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata seorang rakan yang menyebabkan darah muda terus menyirap menahan marah mengenai responnya kepada hasrat untuk menyambung pengajian ilmu Islam timur tengah. Katanya, "Buat apa kamu nak belajar agama? Nanti nak kerja apa? Buat apa pergi jauh-jauh, membazir duit saja". Malas nak layan orang tidak cerdik (istilah yang lembut sedikit berbanding bodoh). Tak salahkan dia juga kerana semenjak alam persekolahan rendah, minda kita sememangnya disuntik supaya belajar bersungguh-sungguh, nanti bila sudah besar senang dapat kerja, dapat gaji besar, rumah besar, kereta besar, bini besar, boleh hidup senang dan macam-macam lagi. Persepsi biasa yang didorong oleh pelbagai pihak dan diri sendiri, "belajar bersungguh-sungguh, nanti senang dapat kerja".

Menuntut ilmu adalah kewajipan bagi setiap individu muslim samada lelaki dan wanita. Namun amat celaka jika kita tergolong dikalangan orang-orang yang menuntut ilmu kerana empat perkara sebagimana sabda Rasulullah SAW yang maksudnya:

"Barangsiapa yang menuntut ilmu kerana empat perkara, maka masuklah dia ke dalam neraka: sesiapa yang menuntutnya untuk berbahas (berdebat) dengan orang yang berilmu, dan untuk memperlekehkan orang bodoh, dan untuk supaya manusia memandang mulia kepadanya, dan untuk mandapatkan harta daripada ilmu tersebut."

Imam Al-Ghazali menyatakan orang yang menuntut ilmu terbahagi kepada 3:

1. Yang menuntut ilmu untuk bekal kepulangan di akhirat.
2. Orang yang menutut ilmu untuk bekalan di dunia yang fana.
3. Orang yang menuntut ilmu atas pengaruh syaitan.

Niat, tujuan dan matlamat belajar perlu diperbetulkan. Tidak kira bidang apa sekalipun yang kita ceburi dan belajar, paling utama niat dan matlamat adalah kerana Allah SWT. Persepsi yang perlu diperbetulkan adalah kita belajar bukan untuk mudah mendapat kerja dengan gaji yang lumayan, bukan untuk hidup senang dengan harta yang bertimbun. Usah difikirkan tentang rezeki, kerja dan gaji kerana yang memberi rezeki adalah Allah SWT. Firman Allah :

"Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan. Sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Memberi rezeki Yang Mempunyai kekuatan yang sangat kukuh." al Zariyaat ayat 57-58

Meniru Untuk Ke Neraka (peperiksaan)

Mungkin agak berkait dengan entri ini. Ramai yang berjaya dalam peperiksaan hasil daripada meniru, menipu dan khianat pada diri sendiri. Allah Maha Mengetahui segalanya. Dengan hanya sekali meniru, padahnya bakal dibawa hingga ke akhirat nanti. Jika memperoleh kejayan dengan meniru dalam peperiksaan, keputusan cemerlang hasil daripada meniru digunakan untuk mendapatkan pekerjaan yang baik dengan gaji yang lumayan, gaji lumayan yang diperoleh digunakan untuk menyara diri dan keluarga hasil daripada keputusan cemerlang yang diperolehi dengan meniru dalam peperiksaan (halal atau haram?)....

Perkaitan yang seterusnya sila sambung sendiri.

Haflah Takrim Qurra' Bakal Menemui Anda!

5.27.2010 8 komentar
Sila klik pada gambar untuk besarkan

Haflah Takrim Qurra'
Tarikh : 3 Jun 2010 (khamis)
Masa : 12.00 p.m hingga 6.30 p.m
Yuran : LE 10 sahaja

Daftar segera! Penyertaan terhad.

Merokok Pada Usia Dua Tahun

1 komentar
Baru-baru ini agak gempar apabila media-media menyiarkan tentang berita kanak-kanak yang merokok pada usia 4 tahun dan berbicara dengan bahasa lucah. Kini lebih mengejutkan apabila penyebaran video dan gambar seorang kanak-kanak berusia 2 tahun yang merokok dengan lagak seperti orang dewasa. Menurut sumber akhbar The Sun kanak-kanak terbabit yang bernama Ardi Rizal Mohammed, 2 tahun yang berasal dari Musi Banyuasin, Indonesia dikatakan mula diberikan rokok oleh bapanya seawal usia 18 bulan (susu pun tak lepas lagi). Lebih mengejutkan, kanak-kanak tersebut perlu menghisap sebanyak 40 batang rokok sehari, sekiranya tidak dia akan mengamuk. Menurut akhbar The Sun lagi, ibu kanak-kanak tersebut menyatakan bahawa tahap ketagihan anaknya sudah berada pada tahap yang serius, dia akan mengamuk jika tidak diberikan rokok.

Sumber : The Sun (klik untuk lihat gambar dan video)




Setiap anak yang dilahirkan adalah dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibubapa dan penjaga yang mencorakkan apa agama mereka, bagaimana sikap, akhlak dan perilaku mereka serta segala tindak tanduk mereka. Tidak adil jika menyalahkan kanak-kanak ini jika dia merokok seawal usia 2 tahun kerana secara logiknya kanak ini tidak mengerti apa-apa pada usia seawal ini. Apatah lagi mahu membezakan yang mana  baik dan yang mana buruk. Lihat bagaimana ibubapa kini mendidik generasi pewaris mereka pada akan datang.

Sanggupkah anda melihat anak-anak anda merokok pada usia begini? Pastinya tidak, sekalipun anda seorang perokok. Sehingga ke hari ini, saya masih tidak menemui mana-mana rokok yang disahkan tidak membahayakan kesihatan.

"Ya Allah! Lindungilah anak-anak, zuriat dan keturunan kami daripada 'musibah' seperti ini. Jadikan mereka dikalangan orang-orang yang soleh dan solehah."

Dua Yang Mengembirakan

5.24.2010 1 komentar
Menghela nafas panjang. Syukur tidak terhingga. Tiada kata-kata yang mampu diungkapkan. Hari ini dua perkara yang mengembirakan iaitu nama pelajar tahun satu telah muqayyad dan keputusan peperiksaan bagi tahun dua telah diumumkan.

Nama Pelajar Tahun Satu Telah Muqayyad

Syabas dan tahniah kepada mahasiswa tahun satu Qiraat, satu tempoh penantian yang panjang untuk kenaikan nama akhirnya ditamatkan pada hari ini. Nama semua mahasiswa Qiraat, Shoubra telah muqayyad. Sila lihat kenyataan pihak DPM di sini. Para pelajar perlu menyelesaikan urusan penyerahan gambar pasport dan yuran bagi urusan pengesahan pengajian dan kad pelajar. Tahniah buat semua mahasiswa tahun satu, sinar peperiksaan sudah muncul dan bakal menemui kalian pada Julai nanti. Sila buat persediaan terbaik bermula sekarang. Terima kasih buat semua pihak yang telah bertungkus lumus dalam memastikan nama seluruh mahasiswa Qiraat muqayyad.

Keputusan Peperiksaan Diumumkan

Saat mahasiswa lain sedang sibuk bertungkus lumus mengulangkaji sebagai persiapan terakhir untuk menempuh peperiksaan, keputusan peperiksaan bagi mahasiswa tahun dua Qiraat Shoubra telah diumumkan. Mabruk, tahniah buat semua yang telah menempa kejayaan dengan najah sofi (lulus semua matapelajaran). Mengikut catatan yang tertera adalah seramai 32 orang mahasiswa Malaysia yang najah sofi. Kini sudah kedengan suasana riuh di sana sini perbincangan menempah tiket kapal terbang untuk pulang ke Malaysia. Adakah tahun ini dikira sebagai Tahun Melawat Malaysia seperti tahun lalu? Berbondong-bondong para pelajar Malaysia mengheret beg menuju ke lapangan terbang.

p/s : Bagaimana keputusan saya? Biarlah rahsia.

Isu Qiraat Membisu

0 komentar
Sekitar seminggu yang lalu, isu qiraat mula menyepi. Kali terakhir adalah kenyataan daripada En. Khairi berkenaan peringatan kepada pelajar qiraat mengenai fail pelajar hanya diterima sehingga akhir Oktober pada setiap tahun di laman blog Atase Pendidikan MSD Cairo yang kini telah bertukar menjadi blog Khairi Jalalluddin.

Isu Qiraat terus menyepi sehingga hari ini. Adakah isu ini cuma sekadar goreng pisang panas? Panasnya cuma seketika sahaja. Bukan mahu menghangatkan isu, cuma menuntut hak yang dinafikan dan mahu memastikan perkara yang sama tidak terus berulang pada generasi Qiraat akan datang. Teka-teki yang terus menunjukkan simbol tanda tanya, tertanya-tanya bilakah nama akan muqayyad? Berbaki seminggu lagi sebelum melangkah ke bulan Jun, peperiksaan sesi kedua dikhabarkan akan berlangsung pada bulan Julai nanti. Perlu diingat, selagi nama tidak muqayyad, harapan untuk menduduki peperiksaan masih gelap. Difahamkan, fail-fail pelajar semuanya sudah selamat diterima oleh Idaratul Wafidin sekitar dua minggu yang lalu akan tetapi sehingga ke hari ini masih tidak wujud sebarang petanda nama nama akan muqayyad. Dimaklumkan bahawa fail-fail tersebut masih bermasalah. Apa yang berlaku sebenarnya? Cukup-cukuplah dengan kes para pelajar dihalang daripada menduduki peperiksaan tempoh hari, jangan ditambah dengan masalah lain pula.

Pihak pelajar sudah sekian lama menanti-nanti sesi dialog bersama pihak JPMK berhubung isu Qiraat, namun hal ini juga membisu dan dipekakkan sahaja. Harap semua sahabat bersangka baik dengan pihak JPMK yang tidak punya kesempatan dan ruang masa yang cukup untuk hadir ke bumi Qiraat, Shoubra menziarahi pelajar yang sudah sengsara menanti nama muqayyad dan membilang hari peperiksaan. Perlu diketahui, penantian itu sangat menyeksakan. Sekurang-kurangnya jika ada wakil yang datang menjenguk, dapat juga meningkatkan motivasi dan semangat pelajar tahun satu yang dilihat semakin merudum untuk terus mengkaji dan mahami bait-bait matan ilmu-ilmu al Quran. Mungkin mereka sedang sibuk membersihkan pejabat. Sama-sama kita bersangka baik.

Baca Jangan Tak Baca

5.21.2010 2 komentar
Teruja mendengar cerita dan pengalaman daripada bekas ketua jurutera syarikat Telecom Egypt yang merupakan lulusan daripada Universiti Ain Shams, Kaherah. Kelebihan yang ada pada beliau adalah mampu bertutur secara fasih dalam 8 bahasa. Lebih mengkagumkan, catatan beliau kini menunjukkan bahawa jumlah bilangan buku yang telah dibaca kini sudah melebihi angka 10,000 buah buku dalam pelbagai bidang lapangan ilmu. Jumlah tersebut tidak termasuk buku-buku yang beliau baca semasa zaman kanak-kanak dan remaja. Beliau yang amat teringin untuk membaca kitab-kitab dalam bahasa Melayu namun beliau tidak berkesempatan mempelajari bahasa Melayu kerana berdasarkan maklumat yang beliau perolehi, terdapat banyak kitab hasil karangan ulama' di Nusantara suatu masa dahulu.

Secara peribadi, perkara ini sesuatu yang amat mengkagumkan kerana saya sendiri sukar untuk menghabiskan sebuah buku dalam tempoh dua minggu. Malu jika menghitung, jumlah buku yang telah dibaca terlalu sedikit. Bicara bersama beliau turut mengingatkan kembali kisah ulama' Islam zaman silam yang begitu tekun dan asyik membaca sehingga terpaksa mengupah seorang khadam untuk memberi peringatan setiap kali tiba waktu solat. Jauh sekali beza mereka dengan kita.

Islam menggalakkan umatnya membaca. Perintah untuk membaca adalah perkara yang pertama sekali yang diturunkan oleh Allah SWT dalam episod penurunan wahyu. Membaca merupakan suatu proses untuk memperolehi ilmu dan maklumat dengan menggunakan deria dan minda samada melalui bahan-bahan bercetak atau media elektronik seperti komputer dan sebagainya.

Saya berpandangan, membaca bukan hanya membaca dan memahami teks-teks tulisan, memahami dan menghayati keadaan alam kehidupan juga tergolong dalam membaca. Allah mengurniakan akal yang membezakan antara manusia dengan makhluk-makhluk lain yang mampu membaca alam sekeliling bagaimana proses kejadian bumi, siang dan malam yang menjadi tanda dan bukti kekuasaan Allah Yang Maha Agung dan tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah.

Ayuh membaca! Mencabar diri untuk seribu buah buku. Ada yang berani?

p/s : Syeikh Allamah Sa'id Hawwa menyatakan di dalam kitab Jundullah Thaqafatan wa Akhlaqan, ilmu yang diraih melalui melalui talaqqi dan madrasah akan lebih berkat dan lebih yakin daripada belajar sendiri.

Bahana Kos Kahwin Tinggi

5.20.2010 9 komentar
Serius. Iktibar buat semua.
Sangkaan pada awalnya cuma sekadar gurauan biasa daripadanya tetapi akhirnya jangkaaan meleset. Apa yang diperkatakan dan diakui sendiri oleh seorang lelaki mengenai perkara benar-benar terjadi dan menimpa dirinya sendiri. Mengaku berzina dan melanggan pelacur! Alasannya tidak mampu untuk berkahwin kerana untuk berkahwin memerlukan kos yang terlalu tinggi. Tanpa berfikir panjang mengenai dosa, halal dan haram, jalan singkat terus diambil dengan berzina dan melanggan pelacur akibat gagal membendung gelojak nafsu yang menggila tanpa kawalan. Mohon perlindungan daripada Allah daripada perbuatan keji ini.

Lelaki biasa, pekerja di sebuah kedai minuman, memiliki pendapatan harian yang sederhana. Cukup-cukup makan. Berkeinginan dan mahu berkahwin tetapi tidak berkemampuan menampung kos perbelanjaan perkahwinan yang tinggi. Memerlukan kos sebanyak 50000, sebuah kereta dan sebuah rumah yang lengkap dengan perabot dalaman. Dirinya tidak mampu menahan gelojak nafsu yang menggila akhirnya melepaskan keinginan pada jalan yang salah dan haram. Berzina dan melanggan pelacur. Katanya kos lebih murah dan mudah.
Gila! Cari nahas!

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu jalan yang keji dan perbuatan yang buruk" - al Isra' : 32

Nasihat kepadanya supaya meninggalkan perbuatan keji itu dengan serta merta dan segera bertaubat. Saranan juga supaya berpuasa sebagaimana Nabi SAW yang menyuruh sesiapa yang tidak mampu berkahwin untuk berpuasa agar dapat menjadi perisai dan mengendurkan nafsu syahwat.

Janganlah melampau dalam meletakkan mahar dan kos-kos lain dalam perkahwinan kerana akan menyusahkan dan membebankan. Ini adalah sebahagian kesan daripada proses perkahwinan yang menyusahkan dan membebankan, akhirnya menjerat ke kancah kemaksiatan. Ramai yang menyangka mahar yang tinggi melambangkan kemuliaan keluarga dan keagungan wanita seolah-olah nilai harga bagi seorang wanita. Dalam kata lain, seperti menjual anak. Mereka tidak memikirkan kesan negatif disebalik tindakan tersebut, kemudaratan akan menimpa kaum lelaki, wanita dan seluruh lapisan masyarakat.

Ini adalah faktor yang menghalang sesebuah perkahwinan dan mendorong melibatkan diri ke kancah kemaksiatan, berzina dan segala macam perkara keji. Kebaikan bertukar menjadi kemaksiatan dan ketenangan bertukar menjadi kesukaran. Sabda Rasulullah SAW :

"Sebaik-baik perkahwinan adalah yang paling mudah"

"Sesungguhnya perkahwinan yang paling besar keberkatannya ialah yang paling mudah mas kahwinnya"

p/s : permudahkan dan jangan menyusahkan.

Bukan Sekadar Karutan

5.19.2010 0 komentar
Sepi dan sunyi
Tenang, damai dan selesa

Tajdid niat
Bicara dalam diam
Koreksi iman dan amalan
Mengingati janji semalam
Matlamat utama penciptaan

Tajdid niat
Perjalanan masih panjang
Jangan lenguh memikul beban
Persampahkan segala alasan
Pasti ada kenikmatan


p/s
Usai peperiksaan
Tidak beerti mencapai kemerdekaan
Hanya tamat peperiksaan dunia
Dua peperiksaan masih masih menanti
Peperiksaan iman di kubur
Peperiksaan amalan pada hari perhitungan
Persediaan?

Rindu terubat pada Al Azhar
Hampir sebulan ditinggalkan
Hari ini kembali dengan langkah kanan

Jawapan Balas En. Khairi Di Akhbar

5.13.2010 4 komentar


Maklumat lanjut sila rujuk akhbar Metro edisi 13 Mei 2010.

Masih mahu menyalahkan para pelajar. Saya tidak faham dengan sikap mereka yang kononnya pegawai yang profesional ini.

Mengenai tarikh ketibaan para pelajar, sudah siap dijawab oleh pimpinan pelajar. Baca di sini. 
Kenyataan yang dikeluarkan di dalam akhbar tersebut sebenarnya memerangkap diri sendiri.

Katanya :
"Masalah ketidakseragaman ini sudah lama berlaku sebenarnya, namun ketika era Syeikh Al Azhar, Sheikh Mohammad Sayed Tantawi, pelajar yang lewat datang dan tiada visa masih dibenarkan menduduki peperiksaan."
"Tetapi apbila Syeikh Al Azhar yang baru iaitu Syeikh Dr Ahmad Tayyib, beliau begitu tegas dalam menguatkuasakan peraturan, pelajar lewat dan tiada visa sama sekali tidak dibenarkan menduduki peperiksaan"

Benarkah Syeikh Al Azhar yang tidak membenarkan pelajar yang lewat datang menduduki peperiksaan? Atau tidak membenarkan pelajar menduduki peperiksaan selagi nama tidak muqayyad? Tidak faham. Jangan kaitkan pertukaran Syeikh Al Azhar sebagai salah satu sebab insiden ini berlaku.

"Akibatnya pelajar terbabit hanya dibenarkan menduduki peperiksaan yang dijadualkan Julai depan"

Benarkah peperiksaan pada bulan Julai nanti? Jika ada, sila tunjukkan kenyataan bertulis daripada Al Azhar. Kami amat meragui kenyataan bertulis daripada pihak JPMK. Jika ada, sila buktikan. Jika tidak, peperiksaan bulan Julai juga belum pasti akan diduduki.

Menurutnya lagi,
"Janganlah menyalahkan satu pihak saja. Masalah ini berlaku sudah lama, sedangkan saya datang berkhidmat di Mesir mulai 20 Januari lalu. Jadi, saya tersepit dan saya mewarisi masalah sebelum ini"

Jika sudah jelas masalah ini berlaku sudah lama, mengapa masih tiada jalan penyelesaian setelah bertahun-tahun perkara yang sama berulang? Apa yang dibuat sepanjang tempoh Februari sehingga April 2010 sehingga pada tanggal 4 Mei baru sibuk mahu menghadap Syeikh Al Azhar? Saya pasti, jika urusan ini dilakukan lebih awal, tidak timbul masalah gagal menduduki peperiksaan pada tanggal 8 Mei. Amanah yang dipikul tidak dilaksanakan dengan sebaiknya.

Tambahnya lagi,
"Ini kerana Ma'had Qiraat bukanlah setaraf universiti, sebaliknya pusat pengajian tinggi manakala sijil dikeluarkan kalau diikutkan di sini tarafnya bukanlah sama dengan ijazah sarjana muda, namun di negara kita ia diiktiraf setaraf ijazah, sedangkan selayaknya adalah sijil tinggi"

Jangan sesekali mempertikai hak sijil kami. Memang selayaknya kami dapat. Kenyataan ini merendah-rendah pengajian kami di sini. Jika mahu tahu adakah langit atau gunung yang lebih tinggi, sila daftarkan diri untuk mengikuti pengajian di sini. Saya cabar anda tunjukkan di mana universiti di Malaysia yang menawarkan pengajian yang memiliki silibus pengajian yang sama atau setaraf dengan apa yang kami belajar di sini. Sila buktikan, saya cabar. Saya pasti, bukan saya seorang sahaja mempertahankan hak ini. Seluruh mahasiswa/wi dan lepasan Qiraat Al Azhar turut bersama.

Janganlah asyik berselindung disebalik putar alam yang anda mainkan En. Khairi, kelak akan memakan diri sendiri. Jangan nanti sudah terhantuk baru terngadah. Saya cabar En. Khairi jejakkan kaki ke bumi Shoubra untuk sesi dialog terbuka bersama kami. Sudah-sudahlah dengan sikap ego, sombong dan tidak mahu mengaku salah sendiri. Asyik menuding kepada pihak lain. Kami sudah menyampah! Setelah kering hujah, anda mempertikaikan hak sijil kami pula. Memang teruk.

Kami Baik Walaupun Tak Tutup Aurat

5.11.2010 5 komentar
Bicara maya dengan seorang kenalan.
"Kalau kamu tutup aurat dengan sempurna, itukan lebih baik."
Responnya.
"Betul. Tapi yang jenis tutup aurat penuh itu pun bukan semuanya baik. Busuk hati, ikut suka hati saja maki orang, hipokrit dan ada yang perangai lebih teruk daripada yang tak tutup aurat.  Yang keluar 'dating' pun ada. Lebih baik tak payah tutup aurat kalau perangai macam tu."
Tambahnya.
"Walaupun kita ni dressing jeans, baju ketat-ketat sikit dan tudung singkat tapi tak bermakna kitaorang ni tak baik, solat kitaorang tak pernah tinggal pun."

Benar, tidak dinafikan ada yang menutup aurat penuh tetapi masih melakukan maksiat, hati busuk, hipokrit malah ada yang punya perangai lebih teruk daripada yang tidak menutup aurat.

Adakah semua yang menutup aurat penuh berperangai begitu? Sangat kejam jika semua sekali dihukum semacam itu. Hanya segelintir.

Situasi sekarang ada tiga golongan, pertama ialah orang yang menutup aurat dan dia tidak melakukan maksiat. Golongan ini tiada sebarang masalah. Golongan kedua adalah orang yang menutup aurat tetapi melakukan maksiat dan golongan yang ketiga adalah yang tidak menutup aurat tetapi berkelakuan baik. Golongan kedua dikira berdosa kerana melakukan maksiat dan golongan ketiga berdosa kerana tidak menutup aurat. Golongan keempat tidak termasuk dalam topik ini kerana tidak menutup aurat dan melakukan maksiat.

Di mana neracanya kita mengatakan orang yang tidak menutup aurat itu lebih mulia dan lebih baik daripada orang yang menutup aurat tetapi melakukan maksiat? Baik, buruk dan ikhlas hati seseorang hanya terletak pada nilaian Allah SWT. Kita cuma menghukum apa yang zahir sahaja. Kita tidak boleh menghukum orang yang menutup aurat penuh itu sebagai busuk hati atau tidak ikhlas. Begitu juga sebaliknya bagi orang yang tidak menutup aurat atau tidak menutup aurat dengan sempurna. Secara dasarnya, mereka secara terang-terangan melakukan dosa(mendedahkan aurat) tetapi hendaklah kita bersangka baik bahawa suatu hari nanti mereka akan dikurniakan hidayah untuk menutup aurat dengan sempurna. Mungkin mereka akan menjadi lebih baik daripada kita dan lebih mulia di sisi Allah. Jangan sesekali mencemuh, nasihati dengan penuh berhikmah. Doakan moga-moga mereka dikurniakan hidayah Allah SWT.

Sepatutnya yang menutup aurat janganlah melakukan maksiat dan yang tidak melakukan maksiat tetapi tidak menutup aurat, sewajibnya menutup aurat. Hapuskan kenyataan "Lebih baik tak payah tutup aurat daripada tutup aurat tetapi melakukan maksiat". Sudahlah melakukan dosa tidak menutup aurat, mahu ditambah lagi dengan dosa yang lain-lain.

Saya paparkan di sini buat tatapan semua setelah diolah gaya bahasa dan ayat-ayatnya. Moga ada hikmah dan pengajaran daripadanya. Dengan siapa bicara saya, biarlah ia menjadi rahsia.


Rahmat Kegagalan

5.09.2010 1 komentar
Sama-sama kita fikirkan. Pujian sewaktu berjaya tidak akan ke mana-mana sekiranya tidak disandarkan kepada Allah SWT dan kutukan setelah gagal belum pasti akan menjadi titik pemusnah segala-galanya. Kejayaan dan kegagalan adalah anugerah Allah SWT. Hak Allah untuk diberikan kepada sesiapa sahaja.

Kejayaan pasti lebih sukar diurus berbanding sebuah kegagalan kerana semasa menerima ujian kegagalan, manusia akan lebih berusaha bersungguh-sungguh mendekati Allah sewaktu ditimpa musibah dan kesusahan. Inilah sifat manusia, dalam kesusahan lebih hampir kepada Yang Maha Kuasa. Sebaliknya apabila mendapat kejayaan, syukur yang diluahkan cuma bersifat seketika, selebihnya tanpa sedar memberikan 'green light' kepada syaitan menguasai diri, membiarkan diri diselubungi riak dan takabbur.

Selalunya kita lupa bahawa kejayaan mungkin suatu rahmat atau ujian daripada Allah SWT semata-mata. Sudahkah kita bersyukur kepadaNya? Sudahkan menyapih karat-karat riak di hati? Adakah bersedia jika nikmat kejayaan itu ditarik pada bila-bila masa?

Bagaimana jika gagal?
Anggaplah "Kegagalan adalah sebenarnya suatu kejayaan yang ditangguhkan buat sementara waktu". Pasti akan ada sinar kejayaan.

p/s : Jangan bising! Peperiksaan sedang dijalankan.

Jangan Cuba Tegakkan Benang Basah

5.06.2010 0 komentar
Meludah ke langit? Menepuk air dalam talam? Pasti akan kena pada muka sendiri. Rujuk sendiri peribahasa melayu yang lain. Nah! Kita boleh lihat, perkara ini berlaku kepada pihak JPMK. Ternyata fakta dan kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka adalah putar belit yang mahu melepaskan diri mereka yang sedang terhimpit dengan bukti serta fakta yang sarat dengan kebenaran. Apabila datang kebenaran, maka lenyaplah kebatilan.

1. Putar belit Khairi tentang janji manisnya. Baca di sini.

2. Kronologi masalah kenaikan nama pelajar baru Qiraat sesi 2009/10. Rujuk di sini dan di sini.

3. Jawapan balas terhadap kenyataan rasmi JPMK. Rujuk di sini.

Penipuan dan putar belit yang dilakukan oleh JPMK memang tidak dapat disangkal lagi. Terlalu terang dan tidak perlu disuluh sesiapa. Namun, apa yang lebih dikesalkan adalah kewujudan 'heroin' pada saat-saat akhir ini yang kononnya mahu menjernihkan keadaan dan suasana tetapi pada hakikatnya telah menunjukkan penafian hak dirinya sendiri. Memalukan. Sungguh kesal. Pandangan yang dikatakan rasional langsung tidak boleh diterima oleh akal yang sihat.

Jangan sesekali cuba menegakkan benang di dalam air. Moga ada petunjuk buat 'heroin JPMK'. Jangan hanya tahu mengkritik, mempertikaikan itu dan ini, sebaliknya bersama-sama dengan dengan mahasiswa/wi menuntut hak yang dinafikan sekian lama. Kita bukan memberontak tetapi menuntut dan memperjuangkan hak serta kebenaran. Harap jelas yang mana putih dan yang mana hitam. Seperti tikus membaiki labu. Biarkan saja si tikus dengan labu-labunya.

Keputusan Yang Mengecewakan

1 komentar
Keputusan daripada pihak JPMK berhubung kenaikan nama mahasiswa/wi Qiraat Shoubra dan Mansurah. Klik link di bawah untuk membaca kenyataan tersebut :

1. JPMK.info
2. Atase Pendidikan MSD Cairo

Beberapa fakta punca masalah dan tindakan di atas amat saya ragui kebenarannya seperti :

4. Wakil pelajar tidak mengikut prosedur yang diberikan oleh pegawai JPMK.

Sila nyatakan dengan jelas dan buktikan prosedur apakah yang tidak diikuti oleh wakil pelajar.

Ekoran daripada sebab-sebab di atas, semua fail pelajar diserahkan kepada Idaratul Wafidin (Pejabat Pelajar Luar Negara) selepas 26 Disember 2009.

29 April 2010
Idaratul Wafidin memulangkan semua fail pelajar kepada JPMK.


Saya amat meragui kenyataan ini. Terlalu banyak persoalan yang timbul.

Saya amat berharap supaya diadakan dialog khas (soal jawab) antara JPMK dan mahasiswa/wi berhubung isu ini. Tidak memadai dengan kenyataan bertulis ini sahaja. Mohon supaya semua sahabat tahun satu Qiraat bersabar dan menerima keputusan ini dengan tenang. Pasti ada hikmah disebaliknya.

Mahu JPMK adakan dialog dengan mahasiswa!!

Kezaliman Demi Kezaliman

5.05.2010 0 komentar
Masih lagi menanti kenyataan rasmi daripada pihak JPMK mengenai isu mahasiswa/wi Qiraat. Tarikh 5/5/2010 semakin melabuhkan tirai. Hingga saat ini masih tiada jawapan. Sangat kesal. Bermula sejak pagi sehingga kini kami tetap menanti kenyataan rasmi daripada pihak JPMK di laman rasmi JPMK dengan penuh harapan.

Kezaliman demi kezaliman. Tidak cukup dengan mahasiswi Qiraat Mansurah yang dihalang daripada menduduki peperiksaan, mahasiswa/wi Qiraat kini terus menjadi mangsa keadaan. Keputusan yang dijanjikan masih tidak muncul-muncul. Jiwa dan emosi kami semua terus tertekan. Apa dosa kami sehingga diperlaku sebegini rupa? Jika pihak berkenaan tidak menghiraukan emosi dan perasaan kami, cuba fikirkan tentang ahli keluarga kami yang terus menanti dengan penuh pengharapan agar natijah positif yang akan diterima.

Saya amat mengesali kejadian ini. Moga ini adalah yang pertama dan terakhir.
Kesal.

p/s : Ayuh! sama-sama kita banjiri dataran Hayyu 'Asyir pada malam ini.

Debaran Jawapan Esok

5.04.2010 0 komentar
Debaran kian hebat dirasakan. Saya juga turut sama merasainya. Saya pasti debaran di kalangan mahasiswa/wi tahun satu Qiraat lebih hebat. Pastikan kita menanti keputusan tersebut dengan bacaan al Quran yang pelbagai wajah qiraat terus meniti di bibir-bibir kita semua.

Hingga ke saat ini, masih tidak ada jawapan dan keputusan rasmi dikeluarkan daripada mana-mana pihak. Kita terus menanti. Menanti dengan iringan doa moga-moga semua mahasiswa/wi Qiraat segala urusan berjalan tanpa sebarang masalah dan dapat menduduki peperiksaan dengan tenang pada 8 Mei nanti.

Difahamkan, hari ini telah diadakan satu perjumpaan antara KBMK dan seluruh Yang Dipertua Badan Kebajian Anak Negeri dan isu kenaikan nama mahasiswa turut menjadi topik perbincangan.

Terkini, keputusan secara rasmi akan diumumkan esok, iaitu [05/05/2010]. Tidak dapat dipastikan pada jam berapa akan diumumkan. Tarikh 05/05/2010 pasti akan menjadi tarikh yang bersejarah dan tarikh yang paling diingati oleh kami semua kerana pada tarikh tersebut menentukan samada nama-nama telah muqayyad ataupun tidak. Pada tarikh ini juga akan menentukan tarikh peperiksaan sebenar samada 8 Mei ini atau pada Julai nanti. Sama-sama kita nantikan. Mungkin 'pihak berkenaan' kini sedang menyusun ayat berkenaan pengumunan yang akan dilakukan nanti.

Mohon doa daripada semua agar segala urusan dipermudahkan.

Wujudnya Hero-Hero Asing

5.03.2010 2 komentar
Rupa-rupanya ada juga pihak yang prihatin dengan kes yang menimpa mahasiswa/wi Qiraat, Shoubra dan Mansurah Kerana ada yang menawarkan diri untuk membantu agar disegerakan kenaikan nama. Alhamdulillah, pertolongan yang dihulur cuba disambut baik dan mencuba untuk bersangka baik sehabis mungkin. Saling bertolong bantu adalah amalan terpuji.

Kita kenal siapa hero tersebut. Persoalan yang timbul, jika benar-benar mahu menolong dalam menyelasaikan masalah kenaikan nama yang kian kronik ini, mengapa tidak terus berhubung dengan Ust Saifullah Nik Abdullah yang dilantik di pihak pelajar bagi menguruskan kenaikan nama para pelajar Qiraat? Sebaliknya berhubung dengan dengan salah seorang mahasiswi Qiraat di Mansurah. Hairan, di Mansurah juga ada wakil di kalangan mahasiswi Qiraat yang menguruskan hal ini, mengapa beliau tidak dihubungi?

Semakin hairan dibuatnya apabila 'mereka' yang dikatakan mahu membantu supaya kenaikan nama mahasiswi disegerakan dan urusan mendapatkan visa bagi mahasiswi. Bagaimana dengan nama-nama mahasiswa? Bagaimana dengan visa mahasiswa? Kami juga mahu kenaikan nama disegerakan. Kami juga mahukan visa pelajar. Mungkin ada agenda tersirat disebalik 'bantuan' yang dihulurkan. Dalam kata lain, ada udang di sebalik mee. Mungkin mereka sedang berusaha mencari dan menambah bilangan ahli baru.

Kata-kata yang paling 'best' dilontarkan adalah "kalau tidak kerana kami yang turun naik, ke sana ke sini, nama mahasiswa Qiraat tahun lepas juga tidak akan muqayyad". Indah sungguh bahasa mereka, membuatkan kita panas telinga. Sedarlah diri itu siapa. Tak reti nak berterima kasih dengan pihak DPM langsung.

Kalau rasa nak jadi hero sangat, sila tampilkan diri anda untuk sama-sama membantu dalam menyelesaikan masalah ini bukan hanya berlagak sebagai hero di depan mahasiswi sahaja Tak pasal-pasal kena sudah kena tengking. Kami kenal siapa kalian, mahasiswa Qiraat juga.  Punya terbiyyah 'power' sangatlah kononnya. Terhegeh-hegeh nak tolong mahasiswi tetapi mahasiswa diketepikan. Prosedur pun tak tahu yang mana hujung yang mana pangkal. Perlu kalian tahu, urusan mahasiswa/wi Qiraat dilakukan secara bersama. Jika nama mahasiswa tidak muqayyad, nama mahasiswi juga tidak muqayyad. Begitulah sebaliknya.

Mahasiswa Tahun Satu Bangkit

0 komentar
Usai solat Isyak malam tadi, solat hajat perdana dianjurkan memohon pada Allah agar memudahkan segala urusan kenaikan nama pelajar tahun satu Qiraat. Alhamdulillah, jumlah yang hadir agak membanggakan. Tahniah buat semua.

Selepas solat hajat, perjumpaan khas diadakan di kalangan mahasiswa tahun satu dikepalai oleh Ustaz Ridzuan Adzemi (mahasiswa tahun satu) yang membincangkan tindakan yang akan dilakukan bagi memastikan urusan kenaikan nama selesai sebelum peperiksaan pada 8 Mei nanti. (bukan peperiksaan pada bulan Julai)

Hangat juga suasana pada malam ini. Ramai yang bangkit memberikan cadangan dan komentar masing. Antara cadangannya adalah :

1. Mengadakan dialog(dua hala) antara pihak JPMK dan pelajar bagi menjelaskan hal sebenar kelewatan kenaikan nama yang semakin kronik daripada tahun ke tahun.
2. Menubuhkan jawatan kuasa bertindak di kalangan pelajar tahun satu
3. Membuat referendum (pungutan suara) bagi menyatakan semua pelajar mendesak kenaikan nama pelajar disegerakan.

Hasilnya :

Pungutan suara yang dibuat melalui tanda tangan yang dikumpul. Semua yang hadir mendesak kenaikan nama disegerakan.
Jawatan Kuasa bertindak yang dipilih oleh mahasiswa tahun satu Qiraat.  Dari kiri : Ridzuan Adzemi, Jamal Mohd Qurtubi, Afham Wajdi dan Asyraf Md Ghazali

Mahasiswa tahun satu sudah bersuara dan mula bertindak. Pihak JPMK apa cerita? Bila nama nak muqayyad? Sudah lama kami bersabar.

Semua Pelajar Tahun 1 Wajib Hadir

5.02.2010 1 komentar

Kepada semua pelajar tahun satu Qiraat, Shoubra. Pastikan anda menghadiri Solat Hajat ini. Saya cukup kecewa dengan kehadiran kalian semasa Solat Hifzi tempoh hari. Diharapkan jangan ulangi perkara yang sama.  Kalau tidak malu pada kawan-kawan tahun satu, terbitkan sedikit rasa malu kepada mahasiswa tahun 2 dan 3 yang hadir memberi sokongan dan prihatin pada masalah yang menimpa pada kalian. Adakah kalian kini masih tidak sedar dengan situasi yang berlaku pada kalian sekarang? Nama pun masih entah ke mana, peperiksaan lebih-lebih lagi tidak tahu bila.

Ayuh kita sama-sama mohon pada Allah SWT, semoga kita semua dapat melangkahkan kaki  ke dewan peperiksaan dengan tenang pada 8 Mei nanti. Allah pasti mendengar segala rintihan hambaNya.

Ayuh sama-sama ke Markaz, pastikan semua pelajar tahun satu hadir.

* dah lama tak menyentuh tool's dalam adobe photoshop, siap juga satu iklan. Inilah hasilnya.

Kenapa Baru Terhegeh-Hegeh

5.01.2010 0 komentar
Syabas, akhirnya ada respon daripada pegawai atase pendidikan JPMK, En Khairi Jalalludin. Baca di sini . Tekak terasa sedikit loya apabila membaca :

"Denyutan nadi dan rintihan pelajar dapat dirasai menyebabkan saya kurang selera nak makan, saya tak mampu nak jawab semua panggilan telefon..." 

Kenyataan seperti ini tidak perlu dinyatakan oleh seorang pegawai kerana masalah yang twujud kini adalah merupakan tugas pihak mereka untuk menyelesaikan. Seolah-olah menagih simpati dan belas kasihan. Pihak pelajar sedia membantu asalkan kami dapat hak kami.

"pihak kami sedang berusaha semaksimum mungkin..."

Sekarang baru sedang berusaha semaksimum mungkin? Kenapa tidak diusahakan semaksimum mungkin sebelum peperiksaan syafawi (lisan) berlangsung? Mengapa pada saat ini baru mempamerkan kesungguhan untuk menyelesaikan masalah ini? Mustahil anda tidak tahu kesan yang amat hebat menimpa para pelajar setelah tidak dapat menduduki peperiksaan.  Ada yang hampir putus semangat. Sebelum peperiksaan berlangsung, hanya janji kosong yang ditaburkan.

Terima kasih atas nasihat 
"Saya menasihatkan pelajar agar mengulang kaji lagi "hafazan al-Quran secara bertulis".  

Kami masih, sedang dan akan terus mengulangkaji al Quran dan maddah sekali pun kenaikan nama yang kami juga tidak pasti bila akan menjadi kenyataan. Itu memang menjadi tanggungjawab kami sebagai pelajar. Jangan risau.

Saya kesal apabila anda tidak tahu menahu mengenai fail-fail yang sudah lama dihantar oleh kepimpinan pelajar kepada pihak JPMK. Buktinya ada pada anda, sila rujuk Ustaz Sulaiman Zaki. Saya juga kesal dengan jawapan yang diberikan dalam respon anda kepada ruang komentar di laman blog atase pendidikan. Pada saya, jawapan yang diberikan seolah-olah mahu melepaskan diri dan menyalahkan pihak lain pula.

Mohon maaf jika ada kekasaran. Selamat bertugas dengan baik dan kami semua mengharapkan agar kes seperti ini tidak diulangi pada masa akan datang. Cukuplah ini sebagai kesudahannya. Tunaikan tanggungjawab anda "Bertanggung jawab menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan akademik pelajar meliputi proses mendapatkan tempat pengajian dan kemasukan pelajar baru, pengesahan pengajian, kursus peningkatan akademik, hubungan dengan pihak Kementerian Pengajian Tinggi Mesir..." dengan sebaiknya. Jangan tunggu mahasiswa bising baru nak terhegeh-hegeh. Terima kasih dan selamat bertugas.