Baca Jangan Tak Baca

5.21.2010
Teruja mendengar cerita dan pengalaman daripada bekas ketua jurutera syarikat Telecom Egypt yang merupakan lulusan daripada Universiti Ain Shams, Kaherah. Kelebihan yang ada pada beliau adalah mampu bertutur secara fasih dalam 8 bahasa. Lebih mengkagumkan, catatan beliau kini menunjukkan bahawa jumlah bilangan buku yang telah dibaca kini sudah melebihi angka 10,000 buah buku dalam pelbagai bidang lapangan ilmu. Jumlah tersebut tidak termasuk buku-buku yang beliau baca semasa zaman kanak-kanak dan remaja. Beliau yang amat teringin untuk membaca kitab-kitab dalam bahasa Melayu namun beliau tidak berkesempatan mempelajari bahasa Melayu kerana berdasarkan maklumat yang beliau perolehi, terdapat banyak kitab hasil karangan ulama' di Nusantara suatu masa dahulu.

Secara peribadi, perkara ini sesuatu yang amat mengkagumkan kerana saya sendiri sukar untuk menghabiskan sebuah buku dalam tempoh dua minggu. Malu jika menghitung, jumlah buku yang telah dibaca terlalu sedikit. Bicara bersama beliau turut mengingatkan kembali kisah ulama' Islam zaman silam yang begitu tekun dan asyik membaca sehingga terpaksa mengupah seorang khadam untuk memberi peringatan setiap kali tiba waktu solat. Jauh sekali beza mereka dengan kita.

Islam menggalakkan umatnya membaca. Perintah untuk membaca adalah perkara yang pertama sekali yang diturunkan oleh Allah SWT dalam episod penurunan wahyu. Membaca merupakan suatu proses untuk memperolehi ilmu dan maklumat dengan menggunakan deria dan minda samada melalui bahan-bahan bercetak atau media elektronik seperti komputer dan sebagainya.

Saya berpandangan, membaca bukan hanya membaca dan memahami teks-teks tulisan, memahami dan menghayati keadaan alam kehidupan juga tergolong dalam membaca. Allah mengurniakan akal yang membezakan antara manusia dengan makhluk-makhluk lain yang mampu membaca alam sekeliling bagaimana proses kejadian bumi, siang dan malam yang menjadi tanda dan bukti kekuasaan Allah Yang Maha Agung dan tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah.

Ayuh membaca! Mencabar diri untuk seribu buah buku. Ada yang berani?

p/s : Syeikh Allamah Sa'id Hawwa menyatakan di dalam kitab Jundullah Thaqafatan wa Akhlaqan, ilmu yang diraih melalui melalui talaqqi dan madrasah akan lebih berkat dan lebih yakin daripada belajar sendiri.
Comments
2 Comments

2 komentar:

  • kalau ana dapat baca seribu buku, enta nak bagi ape ea?

    [Klik Untuk Balas Komen Ini]
  • Zul Ikhwan Zahari

    kalu dapat baca 10000 buku br ana bg hadiah...
    hehehe

    [Klik Untuk Balas Komen Ini]
  • Post a Comment

    Apa komen anda