Corak Hidup Semut Yang Menakjubkan

9.30.2011 0 komentar

Menempuh ujian dengan semut berada di merata-rata di sekitar rumah. Jangan kata makanan manis, air sejuk pun dimasuki semut. Kebaikannya, dapat mengetahui corak kehidupan amat menakjubkan dan ia hampir sama dengan corak kehidupan manusia. Perhatikan maksud ayat al Quran ini :

"Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tenteranya daripada jin, manusia dan burung lalu mereka itu diatur dengan tertib(dalam barisan). Hingga apabila mereka sampai di Lembah Semut, berkatalah seekor semut : "Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedang mereka tidak menyedari." - Surah al Naml : ayat 17-18

Pada masa dahulu, mereka yang membaca ayat ini akan mempersendakannya dan mengatakan bahawa al Quran adalah sebuah cerita dongeng kerana ia menceritakan perihal semut bercakap antara satu dengan yang lain. Bagaimanapun, sains moden telah membuktikan bahawa corak kehidupan sejenis serangga yang hampir sama dengan corak kehidupan manusia adalah semut. Hal ini boleh dilihat dalam beberapa aspek tertentu seperti di bawah :

1. Semut akan menanam semut lain yang mati, dan ini menyamai manusia.

2. Semut mengamalkan sistem yang sama seperti manusia dalam melakukan kerja. Terdapat pekerja-pekerja dan ketua dalam melakukan setiap pekerjaan.

3. Mereka ber'cakap' pada waktu-waktu tertentu

4. Semut menggunakan sistem yang canggih untuk berkomunikasi

5. Semut menukar barangan mereka dalam 'pasar harian'.

6. Semut dapat menyimpan biji-bijian dengan lama pada musim sejuk. Apabila bijian itu bercambah, mereka akan memotongnya untuk mengelakkannya daripada rosak. Jika bijian tersebut terkena air, mereka akan mengeluarkannya untuk dijemur di bawah sinaran panas matahari.

Kata orang, kalau nak rajin, rajinlah macam semut. Anda pernah melihat semut curi tulang? Pernah melihat semut terbaring sedang berehat melepas lelah kepenatan bekerja? Mereka hanya diusung setelah mana cedera atau mati sahaja.

Dua Bulan Lagi Nak Mati

9.29.2011 0 komentar
Menziarahi teman yang sakit tenat. Riak wajahnya penuh senyuman, tiada sedikit pun resah, gelisah dan cemas.
Maklumat yang diterima, doktor mengatakan situasinya kini sudah berada pada tahap paling kritikal. Paling lama mampu bertahan untuk hidup cuma dua bulan sahaja. Hanya jangkaan berdasarkan pengalaman dan kajian, segalanya ketentuan Allah s.w.t.

Katanya dengan tenang, "saya tahu, doktor kata tempoh untuk saya hidup kurang dua bulan saja lagi. Alhamdulillah, nikmat yang besar Allah kurniakan kepada saya. Saya diberi peringatan awal sebelum menempuh kematian, sekurang-kurangnya saya boleh bersedia menghadapi saat kematian saya."

"Mengapa risaukan saya? Kalian tidak perlu risaukan saya, fikirkan tentang diri kalian. Kalian sepatutnya fikirkan bila kalian akan mati. Anda yakin anda masih boleh terus hidup untuk dua bulan lagi? Seminggu lagi? Sudah tentu tidak. Esok pun belum pasti. Tiada siapa tahu bila saat ajal akan datang menemui kita, boleh jadi kalian akan dicabut nyawa terlebih dahulu daripada saya."

Kata-kata sangat menyentuh jiwa kami, tiada apa yang mampu diucapkan. Hanya melebarkan senyuman kelat dengan hati gundah bercampur sedih memikirkan apa yang telah diperkatakan.

Sungguh mulia hatimu teman, kamu sangat beruntung!


Menghadiri Kenduri Kahwin : Wajib Atau Tidak?

9.19.2011 1 komentar




Mengadakan kenduri kahwin atau walimatulurus adalah sunat muakkad menurut pandangan kebanyakan para ulama' dan ada juga sebahagian para ulama' yang mewajibkan untuk mengadakannya.

Dunia sekarang, bermacam-macam masalah yang timbul jelas bertentangan dengan prinsip yang digariskan oleh Islam dalam mengadakan kenduri kahwin. Di mana-mana saja kita boleh lihat pembaziran dan pemborosan, pendedahan aurat, pergaulan bebas antara lelaki dan wanita serta hiburan yang melanggar batas syariat Islam. Persoalannya, adakah wajib atau haram untuk kita menghadirinya?

Asalnya, pihak yang diundang ke majlis walimah wajib menghadirinya jika yang menjemputnya adalah seorang muslim. Jika tidak ada sebarang halangan untuk hadir dan tidak terdapat padanya sebarang kemungkaran, maka wajib baginya untuk hadir.

Maksud sabda Rasulullah s.a.w :
"Jika salah seorang antara kamu diundang, hendaklah dia menghadirinya. Jika dia berpuasa hendaklah dia mendoakannya dan jika dia tidak berpuasa hendaklah dia makan makanannya." - riwayat Imam Muslim

"Sesiapa yang tidak menghadiri undangan bermakna dia telah bermaksiat kepada Allah dan RasulNya s.a.w." - riwayat Imam Bukhari dan Muslim

Jika terdapat padanya keuzuran kerana sakit atau sebagainya, maka tidaklah berdosa jika tidak menghadirinya.

Kewajipan menghadiri undangan walimah atau kenduri kahwin akan gugur sekiranya terdapat beberapa halangan seperti :

1. Jika majlis kenduri hanya untuk orang kaya sahaja

2. Majlis mempamerkan atau mendedahkan gambar bernyawa

3. Percampuran dan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita bukan mahram

4. Menggunakan set hidangan daripada emas dan perak

5. Diselitkan dengan hiburan yang melanggar batas syariat

Haram hukumnya jika mengadakan walimah hanya dikhususkan untuk golongan yang kaya sahaja dan haram untuk menghadiri walimah tersebut.

Maksud sabda Rasulullah s.a.w : "Seburuk-buruk hidangan adalah hidangan walimah yang hanya orang kaya saja yang diundang sedang orang-orang miskin diacuhkan. Barangsiapa tidak menghadiri undangan bererti ia telah menderhakai Allah dan RasulNya."


Kelebihan Istighfar

0 komentar


Mengucapkan istighfar, minimumnya dengan menyebut "astaghfirullah, rabbighfirli, allahummaghfirli dan lain-lain lagi. Melalui istighfar yang diucapkan, kita akan memperoleh banyak kelebihan dan kebaikan daripadanya.

Pertama, dihapus keburukannya dan diangkat darjatnya.

“Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia mohon ampun kepada Allah, niscaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” - Surah al Nisa’ : 110

Kedua, dilapangkan rezeki, anak, harta, dan penyebab turunnya hujan.

“Maka Aku katakan kepada mereka: ‘Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai. Mengapa kamu tidak percaya akan kebesaran Allah?” - Surah Nuh : 10-13

Ketiga, ditambah kekuatannya.

“Dan (dia berkata): ‘Hai kaumku, mohonlah ampun kepada Tuhanmu lalu bertaubatlah kepada-Nya, nescaya Dia menurunkan hujan yang sangat deras atasmu, dan Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu, dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa’.” - Surah Hud : 52

Keempat, dihapuskan dosanya.

Setiap dosa akan meninggalkan titik hitam pada hati. Titik hitam yang akan menggelapkan hati. Titik hitam akan lenyap dengan kalimah istighfar.
“Sesungguhnya bila seorang mukmin melakukan satu dosa, pada hatinya timbul satu titik hitam. Apabila dia bertaubat, berhenti dari maksiat, dan beristighfar, nescaya mengilap hatinya.” - maksud hadith

Kelima, dimudahkan segala urusannya.

“Barangsiapa membiasakan diri untuk beristighfar, Allah akan memberikan jalan keluar baginya dari setiap kesulitan, akan memberikan kebahagiaan dari setiap kesusahan, dan akan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” - maksud hadith


Power Juga Budak Ni..

9.10.2011 0 komentar

Seorang kanak-kanak, sekitar usia 8 tahun memanjat sebatang pokok. Seorang lelaki dewasa lantas menegurnya menyuruh supaya turun daripada pokok tersebut.

Lelaki : Turun la, nanti kalau jatuh sia-sia saja kamu mati!

Kanak kanak : Tak apa lah saya jatuh, lepas tu mati. Saya boleh masuk syurga. Kanak-kanak kan tak ada dosa!

Lelaki itu terdiam lalu menjerit,

Lelaki : Haaa...pandai la kau menjawab! Kamu naik la tinggi-tinggi lagi! Jatuh pastu mati!

Kanak-kanak : Apa ni bang? Doa tak elok untuk orang! Kita kena suruh orang buat baik, bukan suruh orang buat benda tak elok!

Lelaki : Lantak kau lah! (marah)

Kanak-kanak : Jangan marah bang! Nabi dulu lagi susah suruh orang buat baik! (sambil gelak-gelak)

Dari jauh, saya cuma tersenyum sendirian...(",)