Peperiksaan Qiraat Pada Bulan Julai Nanti

4.30.2010 4 komentar
Sejarah terukir lagi. Menepati ramalan awal, mahasiswi Qiraat Mansurah tidak dibenarkan menduduki peperiksaan syafawi (lisan) 29 April 2010. Mahasiswi Qiraat Mansurah yang bersemangat untuk menduduki peperiksaan akhirnya pulang hampa. Saya pasti ada yang mengalirkan air mata. Kami amat kesal dengan apa yang telah berlaku. Hal ini jelas membuktikan bahawa kegagalan pihak JPMK menguruskan hal pelajar. Antara tujuan utama diwujudkan JPMK di sini adalah untuk memudahkan para pelajar tetapi kini berlaku sebaliknya. Di manakah pegawai JPMK sewaktu pelajar Qiraat dihalang daripada menduduki peperiksaan? Sedang lena diulit mimpi atau leka dengan laman sosial Facebook?

Harapan bagi seluruh mahasiswa/wi Qiraat Shoubra dan Mansurah untuk menduduki peperiksaan tahriri (bertulis) yang akan bermula pada 8 Mei ini dilihat semakin kabur kerana pihak JPMK sendiri tidak yakin para pelajar akan menduduki peperiksaan pada 8 Mei ini. Kenyataan yang jelas ini dikeluarkan pegawai Atase Pendidikan JPMK, Khairi Jalalludin melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada salah seorang wakil pelajar. Kandungannya adalah seperti berikut : 

"Salam pelajar yang dihormati, keputusannya masih tergantung sehingga ana bertemu syeikh alazhar dr ahmad tayyib selasa ini. Namun kemungkinan besar pelajar akan ambil peperiksaan bulan Julai. Harap maklum dan sebarkan."

Saya tidak yakin dengan kenyataan sebegini kerana sebelum ini sudah berkali-kali janji untuk nama muqayyad selepas 10 hari dilakukan namun sehingga kini nama pelajar Qiraat masih belum muqayyad. Dimaklumkan juga bahawa fail-fail nama pelajar tidak dapat dipastikan berada di mana samada pada pihak al Azhar atau masih berada pada pihak JPMK. Mana perkhidmatan cemerlang yang kalian canang-canangkan? Jika benar mahasiswa/wi Qiraat akan menduduki peperiksaan pada bulan Julai, risiko yang amat besar bakal ditanggung oleh semua mahasiswa/wi kerana peperiksaan pada bulan Julai adalah peperiksaan ulangan.

Sebentar tadi diadakan perjumpaan ringkas di Dewan Ibnu Jazari seusai solat Hifzi. Seluruh mahasiswa Qiraat Shoubra yang hadir menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap kes kegagalan nama pelajar Qiraat muqayyad tanpa menyatakan alasan yang benar-benar kukuh dan penjelasan daripada pihak berwajib. Kebanyakan yang hadir setuju jika diadakan dialog khas antara pihak JPMK dengan pelajar Qiraat bagi menjelaskan masalah ini.

Pihak berwajib seolah-olah cuba mengelak dan lari daripada menghadapi para pelajar dengan menabur pelbagai janji yang tidak pasti bila akan dilunaskan. Tindakan yang mereka lakukan juga dilihat sebagai langkah untuk menghalang kedatangan pelajar agama ke bumi Mesir. Mahasiswa/wi Qiraat, diharapkan kalian bersabar dan teruskan memohon kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan. Doakan semoga kalian semua dapat menduduki peperiksaan pada tanggal 8 Mei nanti.

Tak Dapat Masuk Exam?

4.27.2010 0 komentar
Persoalan yang tidak terjawab sekian lama kini sudah terjawab. Kita boleh menilai siapa yang menjadi dalang di sebalik masalah kenaikan nama para pelajar Qiraat. Penjelasan lanjut sila rujuk link berikut : 


Hairan, adakah pihak JPMK tidak punya kakitangan yang mencukupi untuk menguruskan fai-fail tersebut?
Perkara ini bukan lagi memudahkan para pelajar malah semakin menyusahkan.

Peperiksaan merupakan kayu pengukur bagi para pelajar melangkah ke tahun yang seterusnya. Bagaimana perasaan anda jika telah melalui pengajian selama hampir setahun tetapi anda dilarang daripada menduduki peperiksaan?

Yang pasti, para pelajar sudah tidak tenteram menanti keputusan kenaikan nama yang merupakan lesen utama untuk melangkahkan kaki ke dewan peperiksaan nanti. Doakan semoga sejarah pertama tidak akan tercatat kerana impak yang cukup besar kepada mahasiswa/wi Qiraat dan juga kepada bakal mahasiswa yang akan meneruskan kesinambungan pengajian al Quran dan Qiraat di Mesir.

Mahasiswa Qiraat Akan Pupus

4.26.2010 0 komentar
Mahasiswa Qiraat tahun satu sudah tidak senang duduk. Semuanya sedang ternanti-nanti bilakah nama mereka akan muqayyad (kenaikan nama di Azhar). Minggu lalu semua mahasiswa tahun satu berjaya menduduki imtihan syafawi al Quran dan Qiraat atas belas ihsan daripada pengetua Maahad Qiraat al Azhar, Shoubra yang membenarkan semua mahasiswa tahun satu menduduki peperiksaan syafawi. Tiga hari lagi mahasiswi Qiraat Mansurah pula bakal berdepan dengan imtihan syafawi al Quran dan Qiraat. Mereka juga pasti  sedang menanti-nanti bilakah nama mereka akan muqayyad. Berdasarkan makluman, pihak pengurusan Maahad Qiraat Mansurah dikatakan agak syadid (tegas).

Sepuluh hari yang dijanjikan oleh pihak JPMK untuk memastikan semua nama pelajar Qiraat muqayyad kini sudah berlalu berpuluh-puluh hari. Janji cuma tinggal janji. Omongan kosong daripada pihak JPMK kini sudah meluat didengari. Bukan sekali tetapi sudah berkali-kali janji yang sama ditaburkan.

8 Mei nanti bakal menyaksikan peperiksaan bertulis yang akan ditempuhi. Berbeza dengan peperiksaan lisan, peperiksaan bertulis mungkin tidak akan dapat diduduki oleh semua mahasiswa Qiraat samada Shoubra mahupun Mansurah sekiranya nama pelajar tidak muqayyad sebelum peperiksaan berlangsung kerana peperiksaan bertulis memerlukan setiap pelajar memiliki kerneh (kad pelajar) masing-masing dan juga angka giliran bagi menduduki peperiksaan.

Mahasiswa tahun satu Qiraat kini kebuntuan. Persediaan untuk peperiksaan bertulis sedang giat dilakukan namun perkara yang masih menjadi tanda tanya pada mereka bilakah nama akan muqayyad. Khabarnya sudah ada yang merancang dan mahu menempah tiket pulang ke Malaysia. Masalah kenaikan nama bukan masalah baru tetapi telah berlaku saban tahun. Masalah yang sama tetap berulang seolah-oleh menemui jalan buntu dan tiada penyelesaian.

Mahasiswa Qiraat Mesir Akan Pupus

Masalah muqayyad nama, masalah visa pelajar dan pengiktirafan oleh pihak kerajaan sering menghantui para pelajar yang bakal menjejakkan kaki mendalami ilmu Qiraat di Mesir. Jika suatu masa dahulu, semua lulusan diploma tahfiz al Quran dan Qiraat atau Sijil Tinggi Tahfiz al Quran atau setaraf dengannya dibenarkan menyambung pengajian di Mesir tetapi bagi sesi akan datang hanya lulusan diploma JAKIM, Kolej Universiti Insaniah dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor sahaja yang diiktiraf dan layak menyambung pengajian di Mesir.

Lihat, ruang melanjutkan pengajian al Quran dan Qiraat di Mesir semakin sukar dan semakin disempitkan. Tidak mustahil sekiranya perkara yang sama juga bakal berlaku kepada pengajian Qiraat sebagaimana yang telah berlaku kepada program muadalah antara institusi pengajian Islam tempatan dengan al Azhar yang telah dimansuhkan suatu masa dahulu.

Antara Kitabullah dan Kitabulwajhi (facebook)

4.24.2010 3 komentar
Kitabullah iaitu al Quran menurut istilah ialah kalam Allah yang bermukjizat diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Malaikat Jibril dalam bahasa Arab, diriwayatkan secara mutawatir dan membaca setiap hurufnya adalah ibadah, bermula dari surah al-Fatihah dan berakhir dengan surah an-Naas.

Kitabulwajhi iaitu Facebook adalah merupakan sebuah tapak web rangkaian sosial yang membenarkan orang untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan mereka dan saling bertukar maklumat. Facebook diasaskan pada 4 Februari 2004  oleh Mark Zuckerberg, seorang bekas ahli kelas Harvard tahun 2006 dan seorang bekas pelajar Ardsley High School. (sumber : wikipedia)

Sengaja gelarkan facebook dengan kitabulwajhi. Nilai diri masing-masing, berapa jam dihabiskan sehari semata-mata untuk menghadap kitabulwajhi (facebook) dan berapa minit masa diperuntukkan untuk membaca dan mentadabbur kitabullah, al Quran? Pasti ramai yang bersetuju jika membaca al Quran selama 20 minit dirasakan terlalu lama berbanding dengan satu jam berada di laman facebook yang tanpa disedari masa berlalu begitu pantas. Jika satu jam membaca al Quran, kita mampu habiskan 1 juzu' dengan bacaan secara tahqiq. Sehari tanpa facebook terasa resah dan gelisah tetapi langsung tidak terasa apa-apa jika sehari tanpa membaca dan mentadabbur ayat-ayat Allah. Ramai yang sanggup bersengkang mata melayan kitabulwajhi tetapi berapa ramai yang bangun pada satu pertiga malam untuk membaca kitabullah? Hanya muslim yang sihat iman dan akalnya sahaja yang tahu menilai yang mana lebih perlu diberikan hak yang sepatutnya.

Apa yang dilakukan selama satu jam di laman kitabulwajhi (facebook)?
- Tambah rakan
- Update status
- Chatting
- Komen gambar
- Tag pada gambar
- dan lain-lain

Kelebihan kitabullah (al Quran)

"Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.  Supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahi mereka dari limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya(akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya)."

Daripada Abu Sa'id al Khudri, Nabi SAW bersabda : "Sesiapa yang disibukkan dengan al Quran dan menyebut namaKu sehingga tidak sempat meminta kepadaKu, maka aku berikannya sebaik-baik pemberian yang Aku berikan kepada orang-orang yang meminta. Dan keutamaan kalam Allah (al Quran) ke atas kalam yang lain adalah seperti keutamaan Allah ke atas hambaNya.

Daripada Abdullah bin Mas'ud, sabda Nabi SAW : "Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al Quran), maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan digandakan sepuluh (kebaikan) seumpamanya. Aku tidak mengatakan Alif, Lam, Mim itu satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Lam satu huruf."

Memetik kata akh Nuruddin, "Kalau al-Quran adalah Kitabullah yang kita gantikan dengan kitabulwajh sebagai teman hidup kita. Jangan marahkan diri dan Allah jika Allah menyembam muka kita dan membuat kita berjalan dengan muka dihari mahsyar kelak, bukan dengan petunjuk cahaya al-Quran yang kita selalu damba-dambakan."

Dua Tahun Berlalu

4.22.2010 1 komentar
Alhamdulillah, hampir 2 tahun usia laman blog Pena Daie. Masih mentah jika diibaratkan seperti bayi yang baru tamat tempoh menyusu dengan si ibu. Setelah mengalami berbagai transformasi dan penambahbaikan dengan satu misi yang menjadi tunjang iaitu sebagai salah satu medium penyampaian dakwah masakini. Blog yang diwujudkan semenjak Mei 2008 hasil cetusan minda seorang sahabat yang juga rakan seperjuangan, saudara Sukri Omar yang memberikan tunjuk ajar sebagai langkah permulaan menceburkan diri ke dunia ini.

Perkara yang biasa jika pandangan dan idea ditentang serta dibidas kerana pendapat setiap manusia pastinya tidak akan sama. Semua ini mematangkan dan diterima baik. Langsung tidak rugi, sekurang-kurangnya kita masih mampu menggunakan akal dengan berfikir untuk Islam.

Usia mematangkan, namun tempoh masa dua tahun bukan tempoh yang sudah matang, masih mentah. Perlukan tunjuk ajar daripada guru-guru dan teman. Sepanjang dua tahun ini, seingat saya tidak pernah ada award daripada sesiapa. Langsung tidak kisah. Apa yang diharapkan hanya award daripada Allah SWT pada hari pembalasan nanti kerana mungkin sedikit usaha ini mampu menjadi hujah bahawa jari-jari ini pernah meniti di landasan jalan dakwah yang menjadi dasar perjuangan ini.

Segala tunjuk ajar teguran amat dialu-alukan dan doakan moga terus tetap berada dalam perjuangan Islam.

Di Mana Silapnya?

4.21.2010 5 komentar
Saya tidak pasti di mana silapnya. Perkara yang sama terus menghantui para pelajar Qiraat Al Azhar dan terus berlarutan setelah bertahun-tahun kejadian yang sama berulang. Perkara yang menjadi punca masih tidak jelas.

Dimaklumkan, saudara Md Saifullah sebagai wakil pelajar yang diamanahkan pada sesi ini sudah lama melunaskan tugas di pihak DPM dan pelajar. Yang tinggal cuma antara pihak Safarah Malaysia dan pihak al Azhar sahaja. Mungkin masalah wujud di pihak Safarah Malaysia dan mungkin juga wujud di pihak al Azhar. Masalah yang sama terus menghantui dan membelenggu seolah-olah tiada jalan penyelesaian.

Dianaktirikan

Pelajar Qiraat terasa seolah-olah dianaktirikan oleh pihak berwajib dalam masalah kenaikan nama. Beberapa tahun kebelakangan ini dilihat seolah-olah urusan kami sengaja dilengah-lengahkan. Kami juga punya hak yang sama sebagai warganegara Malaysia yang menuntut di luar negara.

Kufur nikmat

Mungkin sebagai pengajaran buat para pelajar Qiraat khususnya kerana sikap malas, suka tidur dan banyak main-main yang menyebabkan hal ini terus berlarutan. Sebelum kenaikan nama di Azhar, pagi petang dan malam sibuk berurusan dan berdoa untuk kenaikan nama sebagai pelajar Azhar namun setelah nama dinaikkan, jumlah yang hadir ke kelas setiap hari terlalu mendukacitakan. Terlalu sedikit golongan yang bersyukur dan mempamerkan kesyukuran dengan amal perbuatan.

Tidak dapat dijangka bila masalah ini akan selesai. Mungkin pada tahun akan datang perkara yang sama akan terus berulang selagi mana pihak berwajib tidak mencari alternatif bagi mengatasi masalah ini dan sikap malas, suka tidur dan banyak main terus menjadi pakaian harian para pelajar.

Dosa 100 kilobytes/megabytes/gigabytes

4.18.2010 0 komentar
Terkejut sungguh setelah membaca email foward yang diterima daripada beberapa kenalan yang menabur fitnah jahat dan mengaibkan salah seorang sahabat kita. Sungguh jahat. Jijik pun ada dengan berita dan tuduhan yang disebarkan tanpa ada asas dan bukti yang jelas. Lebih mengecewakan apabila berita tersebut turut disebarkan oleh kenalan-kenalan rapat sendiri.

Mungkin kita sibuk menghindari perkara-perkara haram seperti daging babi, makanan yang haram, arak dan lain-lain namun kita seolah-olah dibiaskan sehingga langsung tidak merasa bersalah mahupun berdosa dengan menabur fitnah, mendedahkan keaiban orang lain dan mengumpat.

Era canggih kini yang menampilkan sebaran maklumat semakin cepat dan mudah. Bukan sahaja maklumat yang baik, fitnah, kata-kata dusta serta mengumpat juga boleh berlaku dan sangat mudah walau jarak beribu batu yang dibatasi lautan dan gunung ganang. Medium fitnah kini lebih baru, tulisan email, laman sosial dan blog digunakan. Medium mengumpat juga tidak ketinggalan dengan kadar SMS yang cukup murah dan aplikasi chatting yang pelbagai.


Dunia maya internet, tulisan berbentuk elektronik yang memiliki saiz yang amat kecil. Sebuah email misalnya tidak lebih daripada 100KB. Terlalu kecil jika dibandingkan dengan sebuah flash disk yang mampu menyimpan 16GB data.

Pernahkan terfikir jika maklumat yang disebarkan melalui email dan dibicarakan melalui aplikasi chatting itu adalah umpatan dan fitnah semata-mata. Kita yang turut sama dalam rangkaian menyebarkan(foward) kepada orang lain sehingga terlalu sukar untuk dihapuskan dan mungkin tidak mampu untuk dihapuskan setelah tersimpan rapi di dunia maya internet. Bagaimana dengan dosa mengumpat dan fitnah yang kita sebarkan? Adakah masih bersaiz 100 kiloytes? Atau sudah bercambah menjadi megabytes / gigabytes / terabytes / petabytes / exabytes / zettabytes / yottabytes dan seterusnya ? Usah bicara tentang saiz dosa itu. Kita fikirkan betapa besar dosa yang telah dilakukan dan bagaimana azab yang bakal ditimpakan. 

Mungkin ini adalah sebahagian daripada bahaya sebaran maklumat di dunia internet tanpa tapisan dan suntingan. Bagaimana cara menghapuskan semua ini? Saya berpandangan tidak mungkin boleh dihapuskan. Email dan tulisan di laman blog anda mungkin akan terus disimpan dan disebarkan dan email yang dihantar akan tetap tersimpan di setiap kotak email orang yang menerima email tersebut. Sampai bila? Mungkin sehingga hari kiamat!
Bagaimana jika anda tidak dapat menghapusnya? Mahukah anda melakukan dosa sepanjang tahun ? Tidak bukan?

Berhati-hatilah dengan 100KB!!!

"dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya." - al Hujurat

"dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan" - al Baqarah

Nabi SAW bersabda : “Tahukah kamu apa ghibah itu ? Jawab sahabat : "Allah dan Rasulullah yang lebih mengetahui". Kemudian Nabi SAW bersabda: "Menceritakan hal saudaramu yang ia tidak suka diceritakan kepada orang lain. Lalu Sahabat bertanya: Bagaimana jika memang benar sedemikian keadaan saudaraku itu ? Jawab Nabi SAW : “Jika benar yang kau ceritakan itu, maka itulah ghibah(mengumpat), tetapi jika tidak benar ceritamu itu, maka itu disebut buhtan (tuduhan palsu, fitnah) dan itu lebih besar dosanya”. - Riwayat Muslim

Belajar kerana Allah, study untuk exam

4.12.2010 2 komentar
Semua sedang sibuk sekarang, mengulangkaji, menghafal dan berbincang sebagai persiapan dan persedian saat akhir sebelum exam. Bahasa mudahnya sedang bermujahadah katakan. Mujur juga ada exam, ada juga saat penumpuan sepenuhnya pada pelajaran. Itu pun tidak secara 100%. Tak dapat dibayangkan bagaimana jika tak ada exam.

Belajar kerana Allah, study untuk exam.
Mungkin itu yang boleh disimpulkan secara ringkas.

Kita semua mahukan kejayaan dan tiada siapa pun yang pernah merancang untuk gagal. Tetapi apa guna jika cuma hanya berjaya di dunia. Kejayaan di dunia dan di akhirat yang kita idam-idamkan.

Study untuk exam, mujahadah hanya pada musim exam. Mujahadah bermusim. Jika hal ini berlaku pada kita, betulkan kembali kerana niat dan matlamat kita sudah tersasar. Pastikan segalanya kerana Allah SWT.

"Dan tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahku" - surah al zariyat 56

"Katakanlah sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan semesta alam" - surah al 'anam 162

"Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam menjalan agama yang lurus" - surah al bayyinah 5

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs, Umar al Khattab katanya : aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat dan setiap orang mendapat(pahala) berdasarkan apa yang dia niatkan...

Memilih Bahagia Atau Sengsara

4.11.2010 0 komentar
Lahir, hidup dan mati setiap umat manusia di dunia adalah sebuah perjalanan menuju kepada kehidupan abadi di akhirat. Lahir, hidup dan mati seseorang umat itu di dunia adalah penentu kehidupan di akhirat kelak samada sa'adah(bahagia) atau syaqawah(sengsara). Justeru itu pilihlah perjalanan lahir, hidup dan mati di dunia ini dengan sebaiknya untuk kehidupan di akhirat nanti kerana :

Ada yang lahirnya beriman, hidupnya beriman dan mati juga beriman

Ada yang lahirnya beriman, hidupnya beriman tetapi matinya tidak beriman

Ada yang lahirnya beriman, hidupnya tidak beriman tetapi matinya kembali beriman

Ada yang lahirnya beriman, hidupnya tidak beriman, mati juga tidak beriman

Ada yang lahirnya tidak beriman, hidupnya tidak beriman dan mati juga tidak beriman

Ada yang lahirnya tidak beriman, hidupnya tidak beriman tetapi matinya beriman

Ada yang lahirnya tidak beriman, hidupnya beriman tetapi matinya kembali tidak beriman

Ada yang lahirnya tidak beriman, hidupnya beriman dan matinya beriman

Memilih bahagia atau sengsara? Pasti semua akan memilih bahagia jika benar-benar menyakini hari dibangkitkan semula setelah mati di dunia.


*Akhirnya diupdate juga  laman blog ini. Misi mustahak semakin menghampiri, doakan saya.

Nah! Baca (tugas kita semua)

4.04.2010 7 komentar
Kesempatan yang agak terbatas ini digunakan sebaiknya. Mudah-mudahan menepati kehendak pihak berkenaan(student medik alex). Artikel lalu yang membawa satu pandangan masa depan yang pasti akan benar-benar berlaku sekiranya gejala negatif dan kepincangan moral yang semakin menular tidak dibendung dan dicegah bermula daripada sekarang. Pandangan tersebut adalah umum tanpa menuding kepada mana pihak.

Satu perkara yang boleh dihubungkan antara golongan aliran agama dengan bukan aliran agama dalam hal ini adalah kewajipan berdakwah. Kewajipan berdakwah mesti dipikul oleh semua pihak, tidak dikhususkan kepada golongan tertentu sahaja. Tidak kira samada seorang ustaz, doktor, pelajar aliran agama atau bukan. Secara dasarnya, kewajipan berdakwah dituntut keatas setiap individu muslim yang mukallaf dan berdaya.

Sabda Rasulullah SAW : “Barangsiapa antara kamu yang melihat kemungkaran hendaklah dicegah dengan tangannya. Jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan kata-katanya dan jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan hatinya dan mencegah dengan hati adalah tanda selemah-lemah iman.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah yang mungkar dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka : di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik" - Surah Ali Imran ayat 110.

Imam Bukhari pula meriwayatkan sabda Nabi yang bermaksud: “Perumpamaan mereka yang memelihara batas-batas agama Allah dengan golongan yang melanggarnya adalah seperti sebuah kapal yang dipenuhi penumpang pada bahagian atas dan bawahnya. Golongan yang berada dibahagian bawah, apabila ingin mengambil air terpaksa menaiki bahagian atas kapal bagi mendapatkannya. Akhirnya penumpang bahagian bawah berkata, ‘alangkah baiknya jika kita tebuk saja lantai kapal ini untuk mendapatkan air dan dengan cara demikian kita tidak lagi menyusahkan rakan-rakan kita pada bahagian atas.’ Jika penumpang-penumpang pada bahagian atas tidak mencegah perbuatan rakan-rakan mereka di bawah, mereka semua akan tenggelam. Jika mereka mencegah, kesemua mereka akan selamat.”

Mungkin ada yang takut, segan, merasa diri tidak sempurna, banyak kekurangan dan bermacam-macam perasaan yang menghantui diri kerana mereka yang bukan dikalangan orang yang belajar aliran agama atau mereka yang masih tidak mengamalkan segala ilmu yang diketahui yang menghalang untuk menyahut seruan menyuruh yang ma'ruf dan mencegah yang mungkar. Ini adalah satu kekeliruan.

Jika tidak mahu mengajak kepada yang ma'ruf dan mencegah kemungkaran sehingga diri sempurna, maka tidak akan ada seorang pun yang akan mengajak kepada yang ma'ruf dan mencegah kemungkaran kerana kalangan kita tiada seorang pun yang sempurna.

"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim” - Surah Fussilat ayat 33

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik" - Sural al Nahl ayat 125

Tidak kira siapa kita samada aliran agama atau perubatan, tugas dakwah ini mesti disahut oleh semua yang melafazkan kalimah syahadah. Usah menuding siapa yang buruk atau mengaku siapa yang lebih baik. Kerjasama yang solid antara kita amat perlu dalam menangani gejala ini kerana kita sedar kita bukan Rambo, Superman atau lain-lain hero yang mampu melaksanakan sesuatu misi secara bersendirian. Pecahkan segala tembok dan jurang yang membatasi kita.

Golongan bukan aliran agama juga adalah pendakwah, serulah kepada kebaikan dan cegah segala kemungkaran.  Kalian perlu terbuka dalam menerima ustaz/ustazah dan jangan menganggap mereka mahu menjaga tepi kain kalian manakala golongan ustaz/ustazah pula usah terlalu 'syadid' dan jangan terlalu cepat menghukum. Gunakan cara yang paling berhikmah. Kita pendakwah bukan penghukum.

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran"

"Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa"

*Entri ini agak panjang, mungkin mem'boring'kan.