Dosa 100 kilobytes/megabytes/gigabytes

4.18.2010
Terkejut sungguh setelah membaca email foward yang diterima daripada beberapa kenalan yang menabur fitnah jahat dan mengaibkan salah seorang sahabat kita. Sungguh jahat. Jijik pun ada dengan berita dan tuduhan yang disebarkan tanpa ada asas dan bukti yang jelas. Lebih mengecewakan apabila berita tersebut turut disebarkan oleh kenalan-kenalan rapat sendiri.

Mungkin kita sibuk menghindari perkara-perkara haram seperti daging babi, makanan yang haram, arak dan lain-lain namun kita seolah-olah dibiaskan sehingga langsung tidak merasa bersalah mahupun berdosa dengan menabur fitnah, mendedahkan keaiban orang lain dan mengumpat.

Era canggih kini yang menampilkan sebaran maklumat semakin cepat dan mudah. Bukan sahaja maklumat yang baik, fitnah, kata-kata dusta serta mengumpat juga boleh berlaku dan sangat mudah walau jarak beribu batu yang dibatasi lautan dan gunung ganang. Medium fitnah kini lebih baru, tulisan email, laman sosial dan blog digunakan. Medium mengumpat juga tidak ketinggalan dengan kadar SMS yang cukup murah dan aplikasi chatting yang pelbagai.


Dunia maya internet, tulisan berbentuk elektronik yang memiliki saiz yang amat kecil. Sebuah email misalnya tidak lebih daripada 100KB. Terlalu kecil jika dibandingkan dengan sebuah flash disk yang mampu menyimpan 16GB data.

Pernahkan terfikir jika maklumat yang disebarkan melalui email dan dibicarakan melalui aplikasi chatting itu adalah umpatan dan fitnah semata-mata. Kita yang turut sama dalam rangkaian menyebarkan(foward) kepada orang lain sehingga terlalu sukar untuk dihapuskan dan mungkin tidak mampu untuk dihapuskan setelah tersimpan rapi di dunia maya internet. Bagaimana dengan dosa mengumpat dan fitnah yang kita sebarkan? Adakah masih bersaiz 100 kiloytes? Atau sudah bercambah menjadi megabytes / gigabytes / terabytes / petabytes / exabytes / zettabytes / yottabytes dan seterusnya ? Usah bicara tentang saiz dosa itu. Kita fikirkan betapa besar dosa yang telah dilakukan dan bagaimana azab yang bakal ditimpakan. 

Mungkin ini adalah sebahagian daripada bahaya sebaran maklumat di dunia internet tanpa tapisan dan suntingan. Bagaimana cara menghapuskan semua ini? Saya berpandangan tidak mungkin boleh dihapuskan. Email dan tulisan di laman blog anda mungkin akan terus disimpan dan disebarkan dan email yang dihantar akan tetap tersimpan di setiap kotak email orang yang menerima email tersebut. Sampai bila? Mungkin sehingga hari kiamat!
Bagaimana jika anda tidak dapat menghapusnya? Mahukah anda melakukan dosa sepanjang tahun ? Tidak bukan?

Berhati-hatilah dengan 100KB!!!

"dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya." - al Hujurat

"dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan" - al Baqarah

Nabi SAW bersabda : “Tahukah kamu apa ghibah itu ? Jawab sahabat : "Allah dan Rasulullah yang lebih mengetahui". Kemudian Nabi SAW bersabda: "Menceritakan hal saudaramu yang ia tidak suka diceritakan kepada orang lain. Lalu Sahabat bertanya: Bagaimana jika memang benar sedemikian keadaan saudaraku itu ? Jawab Nabi SAW : “Jika benar yang kau ceritakan itu, maka itulah ghibah(mengumpat), tetapi jika tidak benar ceritamu itu, maka itu disebut buhtan (tuduhan palsu, fitnah) dan itu lebih besar dosanya”. - Riwayat Muslim
Comments
0 Comments

0 komentar:

Post a Comment

Apa komen anda