Showing posts with label Laporan. Show all posts
Showing posts with label Laporan. Show all posts

Tahniah! Nama Telah Muqayyad

11.08.2010 0 komentar
Tahniah buat semua mahasiswa tahun 1 Qiraat di Shoubra dan Mansurah kerana nama kalian semua telah berjaya didaftarkan di Al Azhar. Jauh berbeza dengan situasi tahun lalu yang terpaksa menanti hampir setahun untuk proses kenaikan nama mahasiswa sehingga semua mahasiswa gagal menduduki peperiksaan. Setelah tiga empat tahun sebelum ini mengalami masalah kelewatan kenaikan nama, hasilnya pada tahun ini perubahan telah berlaku. Nama mahasiswa telah didaftarkan sebelum masuk ke tahun baru. Apa yang diharapkan adalah, prestasi yang baik ini terus dikekalkan untuk sesi kemasukan dan pendaftaran mahasiswa yang akan datang dan bukan hanya berlaku pada tahun ini sahaja untuk menutup 'isu hitam' dan membersihkan kekotoran nama yang telah terjadi pada tahun lalu.

Tahniah buat semua. Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah terlibat dalam mengendalikan dan mengurus proses kenaikan nama mahasiswa Qiraat.

Nama telah pun muqayyad, jangan berasalan lagi dengan nama tidak muqayyad untuk membela sikap malas kalian yang memang pemalas. Pesanan buat semua. Selamat maju jaya dalam menuntut ilmu.

"Menuntut ilmu satu kewajipan"

Dua Yang Mengembirakan

5.24.2010 1 komentar
Menghela nafas panjang. Syukur tidak terhingga. Tiada kata-kata yang mampu diungkapkan. Hari ini dua perkara yang mengembirakan iaitu nama pelajar tahun satu telah muqayyad dan keputusan peperiksaan bagi tahun dua telah diumumkan.

Nama Pelajar Tahun Satu Telah Muqayyad

Syabas dan tahniah kepada mahasiswa tahun satu Qiraat, satu tempoh penantian yang panjang untuk kenaikan nama akhirnya ditamatkan pada hari ini. Nama semua mahasiswa Qiraat, Shoubra telah muqayyad. Sila lihat kenyataan pihak DPM di sini. Para pelajar perlu menyelesaikan urusan penyerahan gambar pasport dan yuran bagi urusan pengesahan pengajian dan kad pelajar. Tahniah buat semua mahasiswa tahun satu, sinar peperiksaan sudah muncul dan bakal menemui kalian pada Julai nanti. Sila buat persediaan terbaik bermula sekarang. Terima kasih buat semua pihak yang telah bertungkus lumus dalam memastikan nama seluruh mahasiswa Qiraat muqayyad.

Keputusan Peperiksaan Diumumkan

Saat mahasiswa lain sedang sibuk bertungkus lumus mengulangkaji sebagai persiapan terakhir untuk menempuh peperiksaan, keputusan peperiksaan bagi mahasiswa tahun dua Qiraat Shoubra telah diumumkan. Mabruk, tahniah buat semua yang telah menempa kejayaan dengan najah sofi (lulus semua matapelajaran). Mengikut catatan yang tertera adalah seramai 32 orang mahasiswa Malaysia yang najah sofi. Kini sudah kedengan suasana riuh di sana sini perbincangan menempah tiket kapal terbang untuk pulang ke Malaysia. Adakah tahun ini dikira sebagai Tahun Melawat Malaysia seperti tahun lalu? Berbondong-bondong para pelajar Malaysia mengheret beg menuju ke lapangan terbang.

p/s : Bagaimana keputusan saya? Biarlah rahsia.

Debaran Jawapan Esok

5.04.2010 0 komentar
Debaran kian hebat dirasakan. Saya juga turut sama merasainya. Saya pasti debaran di kalangan mahasiswa/wi tahun satu Qiraat lebih hebat. Pastikan kita menanti keputusan tersebut dengan bacaan al Quran yang pelbagai wajah qiraat terus meniti di bibir-bibir kita semua.

Hingga ke saat ini, masih tidak ada jawapan dan keputusan rasmi dikeluarkan daripada mana-mana pihak. Kita terus menanti. Menanti dengan iringan doa moga-moga semua mahasiswa/wi Qiraat segala urusan berjalan tanpa sebarang masalah dan dapat menduduki peperiksaan dengan tenang pada 8 Mei nanti.

Difahamkan, hari ini telah diadakan satu perjumpaan antara KBMK dan seluruh Yang Dipertua Badan Kebajian Anak Negeri dan isu kenaikan nama mahasiswa turut menjadi topik perbincangan.

Terkini, keputusan secara rasmi akan diumumkan esok, iaitu [05/05/2010]. Tidak dapat dipastikan pada jam berapa akan diumumkan. Tarikh 05/05/2010 pasti akan menjadi tarikh yang bersejarah dan tarikh yang paling diingati oleh kami semua kerana pada tarikh tersebut menentukan samada nama-nama telah muqayyad ataupun tidak. Pada tarikh ini juga akan menentukan tarikh peperiksaan sebenar samada 8 Mei ini atau pada Julai nanti. Sama-sama kita nantikan. Mungkin 'pihak berkenaan' kini sedang menyusun ayat berkenaan pengumunan yang akan dilakukan nanti.

Mohon doa daripada semua agar segala urusan dipermudahkan.

Mahasiswa Tahun Satu Bangkit

5.03.2010 0 komentar
Usai solat Isyak malam tadi, solat hajat perdana dianjurkan memohon pada Allah agar memudahkan segala urusan kenaikan nama pelajar tahun satu Qiraat. Alhamdulillah, jumlah yang hadir agak membanggakan. Tahniah buat semua.

Selepas solat hajat, perjumpaan khas diadakan di kalangan mahasiswa tahun satu dikepalai oleh Ustaz Ridzuan Adzemi (mahasiswa tahun satu) yang membincangkan tindakan yang akan dilakukan bagi memastikan urusan kenaikan nama selesai sebelum peperiksaan pada 8 Mei nanti. (bukan peperiksaan pada bulan Julai)

Hangat juga suasana pada malam ini. Ramai yang bangkit memberikan cadangan dan komentar masing. Antara cadangannya adalah :

1. Mengadakan dialog(dua hala) antara pihak JPMK dan pelajar bagi menjelaskan hal sebenar kelewatan kenaikan nama yang semakin kronik daripada tahun ke tahun.
2. Menubuhkan jawatan kuasa bertindak di kalangan pelajar tahun satu
3. Membuat referendum (pungutan suara) bagi menyatakan semua pelajar mendesak kenaikan nama pelajar disegerakan.

Hasilnya :

Pungutan suara yang dibuat melalui tanda tangan yang dikumpul. Semua yang hadir mendesak kenaikan nama disegerakan.
Jawatan Kuasa bertindak yang dipilih oleh mahasiswa tahun satu Qiraat.  Dari kiri : Ridzuan Adzemi, Jamal Mohd Qurtubi, Afham Wajdi dan Asyraf Md Ghazali

Mahasiswa tahun satu sudah bersuara dan mula bertindak. Pihak JPMK apa cerita? Bila nama nak muqayyad? Sudah lama kami bersabar.

Semua Pelajar Tahun 1 Wajib Hadir

5.02.2010 1 komentar

Kepada semua pelajar tahun satu Qiraat, Shoubra. Pastikan anda menghadiri Solat Hajat ini. Saya cukup kecewa dengan kehadiran kalian semasa Solat Hifzi tempoh hari. Diharapkan jangan ulangi perkara yang sama.  Kalau tidak malu pada kawan-kawan tahun satu, terbitkan sedikit rasa malu kepada mahasiswa tahun 2 dan 3 yang hadir memberi sokongan dan prihatin pada masalah yang menimpa pada kalian. Adakah kalian kini masih tidak sedar dengan situasi yang berlaku pada kalian sekarang? Nama pun masih entah ke mana, peperiksaan lebih-lebih lagi tidak tahu bila.

Ayuh kita sama-sama mohon pada Allah SWT, semoga kita semua dapat melangkahkan kaki  ke dewan peperiksaan dengan tenang pada 8 Mei nanti. Allah pasti mendengar segala rintihan hambaNya.

Ayuh sama-sama ke Markaz, pastikan semua pelajar tahun satu hadir.

* dah lama tak menyentuh tool's dalam adobe photoshop, siap juga satu iklan. Inilah hasilnya.

Peperiksaan Qiraat Pada Bulan Julai Nanti

4.30.2010 4 komentar
Sejarah terukir lagi. Menepati ramalan awal, mahasiswi Qiraat Mansurah tidak dibenarkan menduduki peperiksaan syafawi (lisan) 29 April 2010. Mahasiswi Qiraat Mansurah yang bersemangat untuk menduduki peperiksaan akhirnya pulang hampa. Saya pasti ada yang mengalirkan air mata. Kami amat kesal dengan apa yang telah berlaku. Hal ini jelas membuktikan bahawa kegagalan pihak JPMK menguruskan hal pelajar. Antara tujuan utama diwujudkan JPMK di sini adalah untuk memudahkan para pelajar tetapi kini berlaku sebaliknya. Di manakah pegawai JPMK sewaktu pelajar Qiraat dihalang daripada menduduki peperiksaan? Sedang lena diulit mimpi atau leka dengan laman sosial Facebook?

Harapan bagi seluruh mahasiswa/wi Qiraat Shoubra dan Mansurah untuk menduduki peperiksaan tahriri (bertulis) yang akan bermula pada 8 Mei ini dilihat semakin kabur kerana pihak JPMK sendiri tidak yakin para pelajar akan menduduki peperiksaan pada 8 Mei ini. Kenyataan yang jelas ini dikeluarkan pegawai Atase Pendidikan JPMK, Khairi Jalalludin melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada salah seorang wakil pelajar. Kandungannya adalah seperti berikut : 

"Salam pelajar yang dihormati, keputusannya masih tergantung sehingga ana bertemu syeikh alazhar dr ahmad tayyib selasa ini. Namun kemungkinan besar pelajar akan ambil peperiksaan bulan Julai. Harap maklum dan sebarkan."

Saya tidak yakin dengan kenyataan sebegini kerana sebelum ini sudah berkali-kali janji untuk nama muqayyad selepas 10 hari dilakukan namun sehingga kini nama pelajar Qiraat masih belum muqayyad. Dimaklumkan juga bahawa fail-fail nama pelajar tidak dapat dipastikan berada di mana samada pada pihak al Azhar atau masih berada pada pihak JPMK. Mana perkhidmatan cemerlang yang kalian canang-canangkan? Jika benar mahasiswa/wi Qiraat akan menduduki peperiksaan pada bulan Julai, risiko yang amat besar bakal ditanggung oleh semua mahasiswa/wi kerana peperiksaan pada bulan Julai adalah peperiksaan ulangan.

Sebentar tadi diadakan perjumpaan ringkas di Dewan Ibnu Jazari seusai solat Hifzi. Seluruh mahasiswa Qiraat Shoubra yang hadir menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap kes kegagalan nama pelajar Qiraat muqayyad tanpa menyatakan alasan yang benar-benar kukuh dan penjelasan daripada pihak berwajib. Kebanyakan yang hadir setuju jika diadakan dialog khas antara pihak JPMK dengan pelajar Qiraat bagi menjelaskan masalah ini.

Pihak berwajib seolah-olah cuba mengelak dan lari daripada menghadapi para pelajar dengan menabur pelbagai janji yang tidak pasti bila akan dilunaskan. Tindakan yang mereka lakukan juga dilihat sebagai langkah untuk menghalang kedatangan pelajar agama ke bumi Mesir. Mahasiswa/wi Qiraat, diharapkan kalian bersabar dan teruskan memohon kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan. Doakan semoga kalian semua dapat menduduki peperiksaan pada tanggal 8 Mei nanti.