Ketam Melayu VS Ketam Cina

11.30.2009 0 komentar

Suatu hari, pulang dari kelas pengajian. Terdetik di hati mahu singgah sebentar si pasar untuk membeli lauk.

Pena Da'ie : Pahni kito begheti singgah di pasar semeta buleh? Aku nak beli lauk sikit.

Jundi : Buleh jah. Aku pon hajatnyo nak beli buah. Mu nak beli lauk gapo?

Pena Da'ie : Tak tahu lagi. Kena tengok-tengok la dulu. Kalu ado ketam segar sedap wat masok lemok.

Jundi : Sedap tuh! Lama dah aku tak make ketam masok lemak. Eh..mu tahu dok? Ketam ni ado dua jenis.

Pena Da'ie : Eh..tak rajin dengar pulak aku pasal ketam ada dua jenis ni.

Jundi : Gini...satu jenis ketam melayu, satu jenis lagi ketam cina.

Pena Da'ie : Tak pehe weh...acu tera oyak biar jelas gak.

Jundi : Ketam melayu ni duk dalam bekas hok tak payah tutup. Ketam cina pulak duk dalam bekas hok kena tutup.

Pena Da'ie : Bakpo bekas ketam melayu tak tutup? Ketam cina kena tutup?

Jundi : Ketam melayu ni kalu ado sekor hok nak lari tubik luar, ketam lain akan tarik jatuh bawah semula. Sebab tu lah bekas ketam melayu ni tak payah tutup. Semua ketam melayu tak leh tubik. Ketam cina ni lain, kalu sekor nak lari tubik, ketam lain akan tolong. Pahtu kalu ketam tu buleh tubik, dia akan tolong tarik pulak ketam lain tubik sekali dengan dia. Kalu biar bekas tu tak tutup gak, habis la semua ketam cina pakat tubik.

Pena Da'ie : Hoo...lagu tu dih.

Jundi : Lagu tu la beza ore melayu dengan ore cina

Pengajaran cerita ketam ini menunjukkan bagaimana sikap dan perangai masyarakat Melayu yang cukup berbeza dengan masyarakat Cina terutamanya dalam aspek perniagaan dan lain-lain bidang. Realiti yang amat jelas wujud di dunia Melayu adalah apabila seseorang tersebut berjaya mencapai kejayaan, pihak yang lain akan mula iri hati dan akan berusaha untuk menjatuhkannya dengan pelbagai cara samada dengan cara kasar atau halus.

Perkara yang cukup berbeza berlaku di dunia masyarakat Cina, seseorang yang mahu mencapai kejayaan akan dibantu oleh semua pihak disekitarnya dan apabila dia telah berjaya, dia akan membantu pihak yang lain untuk sama-sama mencapai kejayaan.

Umat Islam tidak wajar memiliki sikap dan perangai masyarakat Melayu yang penuh dengan hasad dengki dan iri hati. Sepatutnya kita saling bertolong bantu dalam hal-hal kebaikan dan ketakwaan dan jangan sesekali bersekongkol dalam perkara dosa, kejahatan dan permusuhan.
Firman Allah s.w.t dalam surah al Maidah ayat 2 yang bermaksud :
"dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan ketakwaan, dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan perlanggaran".

Ibadah Haji Menurut Perspektif Sufiyyah

11.29.2009 0 komentar

Ibadah Haji telah diketahui umum sebagai rukun Islam yang kelima dan merupakan himpunan tahunan umat Islam yang terbesar. Selain rukun-rukun, wajib-wajib, perkara yang membatalkan Haji dan sebagainya yang kita sedia maklum berdasarkan kitab Fekah, terdapat juga perkara-perkara yang tersirat disebalik setiap rukun dan ibadah Haji menurut pandangan ahli tasawwuf.

1. Perjalanan menuju haji. Menurut ahli Sufi perjalanan bukanlah zahiriah semata-mata tetapi perjalanan meninggalkan syahwat dan kelazatan duniawi serta menyucikan niat daripada riya’ dan sum’ah.

2. Ihram. Mengosongkan diri daripada selain Allah Taala, keluar dari asbab-asbab dunia, bergantung diri dengan dunia kepada pengharapan dan penggantungan semata-mata dengan Allah Taala.

3. Tawaf. Perumpamaannya seperti para malaikat bertawaf sekeliling arasyh.

4. Sa’ie antara Sofa dan Marwah. Berulang alik di halaman al-Malik diantara raja’ dan khauf. Ahli Sufi mengharapkan rahmat Allah walaupun melakukan maksiat seratus kali dalam sehari, takut akan azab Allah walaupun bersujud sepanjang siang dan malam.

5. Menyembelih binatang. Perumpamaannya seperti menyembelih hawa nafsu dan syahwat.

Syeikhuna Zakiyuddin Ibrahim Rahimahullah ‘anhu pernah bersyair ketika matanya tertumpu pada Baitullah al-Haram:

Aku melihat sekitar Baitullah, Pintu-pintunya terukir nama-nama Raja dan orang berkedudukan, Maka aku ke sana-sini berlari lari anak, Bertanyakan manusia dimanakah pintu Allah?

Rujukan : al-Haj inda as-Sufiah oleh Abu al-Irfan al-Muhammadi, Majalah al-Muslim (Zulkaedah/Zulhijjah 1420H-Februari/Mac 2000M) al-Ashairah al-Muhammadiah.
Alih bahasa : Muhamad Naim Hassan

Isyarat Terbalik

11.22.2009 4 komentar

Agak menarik juga untuk dikongsi di laman ini. Perkenalan sejak tahun lalu dengan seorang pemuda yang bernama Edward dari negara Albania banyak memberi kelebihan dan manfaat yang diperolehi bersama dengannya. Seorang yang suka bertutur menggunakan bahasa arab fushah dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja. Semasa belajar, saya lebih selesa untuk berada di sebelahnya.

Sesuatu yang menarik tentang rakyat Albania adalah mengenai isyarat 'Ya' atau 'Tidak' mereka dengan menggunakan kepala adalah terbalik. Secara umumnya, keseluruhan masyarakat di dunia(setakat yang saya tahu) akan menganggukkan kepala sebagai isyarat untuk menyatakan 'Ya' dan akan menggelengkan kepala sebagai isyarat kepada 'Tidak'.

Berbeza bagi masyarakat di Albania, mereka akan menggelengkan kepala untuk menyatakan 'Ya' dan akan menganggukkan kepala untuk menyatakan 'Tidak'. Agak pelik dan ganjil.

Di Albania
Ya = Menggeleng
Tidak = Mengangguk

Tempat-tempat lain
Ya = Mengangguk
Tidak = Menggeleng

Agak sukar untuk dibayangkan bagaimana jika kali pertama bermuamalah dan bergaul dengan masyarakat Albania di negara mereka. Angguk bermaksud tidak dan menggeleng membawa maksud ya. Walau apa jua yang membezakan kita, kita adalah bersaudara. Saudara seagama dan seakidah.

Maha suci Allah s.w.t yang menjadikan manusia yang berbangsa-bangsa dan mempunyai suku kaum yang berbagai. Maksud firman Allah s.w.t:
'Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan wanita dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah adalah oran yang paling bertakwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.'
Al Hujurat : 13

Jodoh Melalui Persatuan

11.20.2009 0 komentar

Rata-rata mereka yang ditanya daripada kalangan rakan-rakan rapat dan teman-teman yang telah mendirikan rumahtangga masing-masing, kebanyakan daripada mereka memulakan titik pertemuan jodoh dengan perkenalan biasa semasa bersama-sama menjadi pimpinan yang mengendali, mengatur dan mengurus tugas sesebuah persatuan. Tidak kira daripada sekecil-kecil persatuan sehingga sebesar-besar persatuan. Tidak dinafikan bahawa semua percaturan jodoh, ajal maut dan lain-lain telah ditentukan oleh Allah s.w.t namun melihat kepada situasi semasa, sebuah persatuan kini dilihat menjadi wasilah kepada titik pertemuan jodoh antara dua insan.

Berdasarkan kepada pemerhatian terhadap beberapa orang teman, kebiasaan yang berlaku adalah seorang ketua yang mengemudi sesebuah jentera persatuan atau unit yang akan bersama dengan timbalannya sehingga selesai diijabkabulkan lalu dibawa ke jinjang pelamin. Mungkin melalui urusan sebuah persatuan, sedikit demi sedikit mereka mengenali pasangan masing-masing lalu mengheret kepada lafaz akad yang menghalalkan hubungan antara lelaki dan wanita. Sesuatu yang amat baik dan amat digalakkan jika hubungan 'ketua dan timbalan' didalam persatuan tidak terhenti setelah melepaskan jawatan masing-masing dan diteruskan dengan ikatan dan akad yang sah sebagai suami dan isteri. Sesuatu yang perlu dipandang serius kerana perhubungan 'ketua dan timbalan' juga menjadi bala yang besar sekiranya perhubungan tersebut berpanjangan dan meleret tanpa arah tujuan dan matlamat. Perhubungan yang berteraskan nafsu semata-mata tanpa meletak hukum syara' sebagai landasan. Menjadi fitnah yang amat besar kepada sesebuah persatuan.

Apa pula pandangan ahli sesebuah persatuan terhadap hal ini? Pelbagai tanggapan dan andaian di sisi ahli, negatif dan juga positif. Beberapa tanggapan negatif adalah menjadi persoalan dikalangan ahli samada mereka yang dilantik sebagai kepimpinan persatuan tersebut benar-benar bekerja untuk persatuan atau sibuk melayan perasaan bersama timbalan masing-masing malahan ada tanggapan bahawa kepimpinan persatuan menggunakan pengaruh masing-masing untuk mendapatkan jodoh dirasakan sesuai untuk mereka. Paling simple, jodoh adalah ketentuan Allah s.w.t.

Jodoh merupakan salah satu rahsia Allah s.w.t dan sudah ditakdirkan kepada manusia. Ia tidak akan kemana-mana dan akan datang apabila tiba waktunya. Tugas manusia hanya perlu berusaha dan berdoa agar jodoh segera datang (seperti yang diinginkan). Allah s.w.t memberikan 3 ketetapan dalam menjodohkan manusia antara satu sama lain, yang pertama adalah cepat mendapatkan jodoh, yang kedua adalah lambat mendapatkan jodoh (tetapi pasti akan mendapatkannya pada suatu masa), dan ketetapan yang terakhir adalah menunda jodoh sehingga ke akhirat nanti (ertinya di dunia tidak akan mendapatkan jodoh).

Bila Dah Sakit Baru Tahu...

11.17.2009 0 komentar

Saya sedang merasainya.

Tiga hari sudah tidak muncul di kelas Maahad dan di Masjid Al Azhar, rindu yang teramat pada para masyaikh, teman-teman dan kelas pengajian. Dua hari tubuh tidak terdaya. Cuma saya gagahkan diri untuk solat berjemaah di masjid kerana terkenangkan satu hadis yang pernah saya dibaca kepada saya semasa Majlis Pembacaan Kutub Sittah [Hadis Sahih Bukhari Juzu' Pertama. Hadis Nombor 657]:

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a mengatakan, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak ada solat yang lebih berat bagi orang munafik daripada solat Subuh dan ‘Isya'. Dan kalaulah mereka tahu keutamaan kedua solat itu (dilaksanakan berjamaah), nescaya mereka akan datang (ke masjid), sekalipun dengan merangkak.” Sesungguhnya saya ingin menyuruh seseorang azan dan qamat, kemudian menyuruh yang lain menjadi imam solat berjamaah, kemudian aku sendiri pergi mengambil suluh (obor), lalu ku bakar orang-orang yang tidak datang solat (berjemaah).”

Sebagai hamba yang serba lemah, nikmat sihat hanya akan dirasai bila kita diuji dengan kesakitan. Bila sakit, akan terbayang segala suasana sihat kita yang membolehkan bebas melakukan pelbagai perkara, asal saja perkara itu yang dibenarkan syara’. Bila sakit, akan terkenang pula pada sedapnya makanan yang dimakan sewaktu sihat, asal saja makanan itu halal. Namun tak kurang juga bila sakit, terbayang pada insan-insan yang dikasihi, yang diharapkan dapat sentiasa menemani di sisi.

Menempuh ujian ditarik nikmat kesihatan membolehkan kita merenung dan mengamati keadaan kita disaat menghampiri kematian. Ini juga merupakan satu nikmat, nikmat disebalik tidak sihat. Tiba waktu sakit, baru benar-benar mengenangkan saat kematian diri sendiri yang merupakan satu sunnah yang sepatutnya dilakukan setiap hari dan setiap masa. Mengenangkan kematian menyebabkan kita tidak terlalu asyik, leka dan alpa dengan dunia. Tidak mudah tertipu dengan godaan kehidupan yang sementara dan segala kebergantungan kita pada Allah akan jadi lebih kukuh. Itulah nikmat sebenar kita sebagai hambaNya.

Rasulullah s.a.w bersabda. “Dua nikmat yang sering tidak diperhatikan oleh kebanyakan manusia yaitu kesehatan dan waktu luang.” (HR. Bukhari yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas)

"(Allah) Yang telah menciptakan aku, maka Dialah yang memberi petunjuk kepada aku. Dan Tuhanku yang memberi makan dan minum kepada aku. Dan apabila aku sakit Dialah yang menyembuhkan aku. Dan Yang akan mematikan aku dan kemudian akan menghidupkan aku(kembali)." Surah As-Syu'ara' 78-81

Jom Senyum!!!

11.10.2009 3 komentar

SENYUM adalah perhiasan batin yang dapat membantu mengindahkan perhiasan lahir yang tidak sempurna.

Setiap kali berhubung dengan orang lain, sewajarnya kita menguntumkan SENYUMan.

SENYUM adalah jalan pintas bagi menyatakan anda menyukai seseorang.

SENYUM yang kamu berikan apabila berhadapan dengan sahabatmu adalah satu sedekah.

SENYUM adalah jambatan persahabatan.

SENYUM adalah satu perlabuhan yang pastinya tidak akan merugikan.

Di Moscow, Russia, ada sekolah yang mengajar untuk SENYUM.

Sebuah SENYUMan harus ada ketululusan.

SENYUM yang dibuat-buat pasti tidak akan menyenangkan, sama saja dengan kening yang berkerut.

Adalah diperakui bahawa setiap kali terSENYUM, kita hanya menggerakkan 17 otot manakala ketika marah kita akan mengedutkan 63 otot di bahagian muka.

Perbuatan mengerutkan dahi saja memerlukan gerak kerja 40 otot. Bayangkan...

Kebanyakkan SENYUMan adalah jangkitan. Apabila kita SENYUM orang akan membalas SENYUMan semula kepada kita.

Orang akan merasa dihargai apabila kita SENYUM padanya, sekaligus ia akan memberi tanggapan yang baik kepada diri kita. Lantas kenapa kita tidak memulakan? Mulakan dengan diri kita.

SENYUMlah kepada orang yang tidak anda kenali hari ini. Insya'Allah dia akan membalas SENYUMan anda itu.

Alangkah mudahnya membina rangkaian persahabatan. William Shakespere mengatakan : "Apa yang anda kehendaki akan lebih cepat diperolehi dengan SENYUM daripada memotong dengan pedang"

Semasa bekerja, semasa belajar, SENYUMlah. Ia akan menumbuhkan rasa keriangan dan kegembiraan.

Bila berhadapan dengan keadaan sukar SENYUMlah. Bukankah ketawa yang sopan itu adalah sesuatu yang sihat.



Beberapa Fakta Mengenai Senyum

Para saintis mendapati SENYUM dan ketawa merupakan satu senaman berbentuk jogging dalaman di mana dapat merangsang seluruh tubuh dan mampu memberi manfaat berguna kepada sistem saraf otak dan juga hormon-hormon.

Pengkaji dan pengamal barat percaya dengan memulakan hari dengan SENYUMan bukan sahaja berupaya menceriakan hidup anda tetapi memberi banyak kebaikan kepada kesihatan. Apabila kita tersenyum, badan turut ‘tersenyum’ dan menganggap kita gembira. Kajian menunjukkan senyuman memperlahankan aliran darah yang melalui sinus ke otak.

SENYUMan bukan sekadar reaksi gerak muka, tetapi turut mempunyai kaitan dengan penghasilan endorphin dalam otak yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi menjadikan seseorang itu rasa lebih selesa dengan diri sendiri.

Anda juga perlu sedar bahawa kanak-kanak lebih banyak ketawa dari orang dewasa. Kanak-kanak berumur antara empat hingga enam tahun ketawa 400 kali sehari berbanding hanya 15 kali sehari di kalangan orang dewasa. Justeru tidak hairan jika orang dewasa lebih mudah diserang penyakit serta mengalami masalah tekanan dan kemurungan.

SENYUMan juga mampu merendahkan tekanan darah, menambah kemasukan oksigen dalam darah dan ini secara tidak langsung merangsang proses penyembuhan. Banyak kajian terbukti bahawa tekanan emosi seperti kemurungan, kemarahan atau keresahan mempunyai kaitan dengan sakit jantung.

SENYUMan yang diakhiri dengan ketawa mengaktifkan kimia badan dan secara tidak langsung merendahkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, atritis dan ulser. Pusat Perubatan Universiti Maryland menjalankan kajian ke atas 300 responden dan mendapati 40 peratus orang yang mengidap penyakit jantung kurang ketawa berbanding orang yang sihat.

SENYUMan dan ketawa antara senaman yang baik kerana ia membabitkan diafragma, abdomen, sistem pernafasan, muka, kaki dan otot belakang badan. Ketawa ‘mengurut’ organ dalam abdomen dan menguatkan otot abdomen, merangsang kedua-dua belah otak dan meningkatkan keupayaan untuk belajar. Ia melegakan ketegangan otot dan tekanan psikologi; membuatkan otak lebih peka serta bersedia menerima maklumat baru.

SENYUM mampu menjadi penawar pada penyakit rohani yang kronik. SENYUM tidak perlu modal, hanya sekelumit rasa ikhlas yang mampu memaniskan senyuman itu. Senyuman yang dilemparkan mampu menyerikan hari insan lain. Mungkin juga mampu menyejukkan hati yang sedang marah atau mampu juga untuk memulakan sesebuah ikatan.

Pujangga menyebut : "SENYUMan itu kelopak. Tertawa itu bunga yang sempurna kembangnya"
Sumber : Daripada Komputer Seorang Teman

Lebih Baik Diam

11.08.2009 2 komentar

NABI Muhammad s.a.w diutuskan oleh Allah ke dunia ini bagi membawa dan menunjukkan teladan baik dan murni bagi menjadi ikutan umat manusia. Allah berfirman bermaksud :

“Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagi kamu.” [Al-Ahzab : 21]

Al-Imam Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w dapat di teladani dalam beberapa aspek termasuk salah satu daripadanya adalah dalam aspek perkataannya. Baginda menjadi ikutan sebagai insan yang berbicara sesuatu dari hati nuraninya yang ikhlas. Baginda tidak berbicara dan berkata sesuatu yang tidak diperlukan, apatah lagi menuturkan sesuatu yang sia-sia.

Baginda berbicara tentang sesuatu yang mempunyai hubungan dengan kepentingan umat dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami. Baginda sentiasa jujur dan benar. Rasulullah s.a.w berpesan bahawa sesiapa yang beriman dengan Allah s.w.t dan hari akhirat hendaklah dia bercakap yang baik atau diam saja.

Di sini jelas antara perbuatan mulia yang disarankan oleh Baginda adalah supaya diam. Ulama tasawwuf juga menyarankan kita agar lebih banyak mendiamkan diri atau mengurangkan percakapan yang tidak berkaitan dan perkataan yang sia-sia supaya lidah tidak mengeluarkan kata-kata yang boleh membawa bencana. Rahsia yang tersembunyi disebalik bersikap diam adalah meningkatkan tahap pemikiran, mengajar jiwa agar lebih warak dan mendekatkan diri kepada sifat takwa.

Rasulullah s.a.w ketika menjawab pertanyaan Uqbah bin Amir mengenai perkara yang boleh menyelamatkan diri pada hari akhirat, dengan bersabda bermaksud : “Tahanlah lidah daripada berkata yang tidak sepatutnya, selesakanlah rumahmu dan menangislah diatas dosa-dosamu."

Sabda Baginda lagi : “Seseorang hamba itu tidak bertakwa dengan sebenar-benar takwa kepada Tuhannya sehingga dia menjaga lidahnya."

Diriwayatkan oleh Abu Naim Al-Asfahani, daripada Ibrahim bin Adham, Luqman Al-Hakim berkata kepada anaknya : "Hai anakku! Bahawasanya seorang lelaki dia akan terus bercakap hingga dia dikatakan bodoh, sedangkan dia bukanlah seorang yang bodoh. Dan seorang lelaki dia akan terus berdiam diri, hinggalah dia dikatakan seorang yang sopan santun, sedangkan dia bukanlah begitu."

Kata Luqman lagi : “Barangsiapa yang tidak berbincang akan menyesal, barang siapa yang duduk bergaul dengan ulama akan menjadi alim dan barang siapa yang kurang percakapan kesihatannya akan berkekalan.”

Dalam hal diam, al Imam Syafie berpesan : “Banyak orang berkata : "Mengapa engkau diam padahal engkau dimusuhi?"

“Aku katakan kepada mereka, menganggap sesuatu permusuhan sama dengan melakukan kejahatan. Bersikap diam dalam menghadapi orang bodoh atau orang yang gila adalah kebajikan jiwa.

“Dalam sikap diam juga ada penjagaan bagi kehormatan. Tidakkah engkau lihat harimau-harimau hutan itu ditakuti dan disegani ketika diam, sedangkan anjing di jalan raya banyak yang dilempari kerana selalu menyalak”.

Al Imam Syafie berkata lagi : “Aku menganggap diam sebagai perniagaan. Meskipun tidak ada untungnya, paling tidak aku tidak rugi. Diam ibarat barang niaga yang membawa banyak keuntungan bagi pemiliknya.”

Tiada Piagam Pelanggan?

11.06.2009 0 komentar

Impian hanya tinggal impian, kini cuma menaruh harapan moga diberikan peluang untuk kali kedua pada tahun hadapan. Kita cuma mampu merancang dan berusaha sedaya mampu namun segala ketentuan hanya milik Allah s.w.t. Maksud firman Allah 'Apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya "jadilah!" maka terjadilah ia'.

Hajat menunaikan ibadah haji pada tahun ini tidak kesampaian disebabkan oleh beberapa masalah yang tidak dapat diselesaikan terutamanya masalah visa. Memang semua orang arif dengan sistem pengurusan pejabat di Mesir. Peraturan yang berubah setiap hari. Semalam begitu, esok begini pula. Semuanya bergantung kepada orang yang menguruskan. Sabar sajalah. Semua ini adalah ujian.

Mungkin di sini tidak wujud piagam pelanggan yang menjadi dasar setiap perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan seperti di negara-negara lain. Memang buat orang sakit hati dengan setiap kerenah pekerja dan tahap perkhidmatan yang diberikan namun cuma mampu bersabar saja. Suatu perkara yang menjadi kebiasaan adalah menangguh-nangguhkan kerja padahal urusan tersebut boleh disiapkan dalam masa 10 minit saja.

Kedatangan seawal pagi langsung tidak diraikan malah disuruh pula datang pada waktu tengahari. Akur sahaja. Tiba pada waktu yang dijanjikan, segera muncul dengan harapan segalanya dapat diselesaikan dengan segera. Hampa. Tanpa segan silu meminta supaya hadir pada hari esok sahaja dengan alasan hari ini tidak dapat menyelesaikan urusan tersebut. Lebih 'seronok' lagi jika disuruh datang minggu hadapan. Sudah kering air liur bertegang leher, hasil yang mengecewakan.

Lambaian haji tahun ini cuma sekadar lambaian tangan kepada sahabat-sahabat yang berpeluang untuk menunaikan pada musim haji tahun ini. Harapan kepada mereka yang diberikan peluang oleh Allah s.w.t agar mendoakan agar kami juga diberikan peluang yang sama suatu hari nanti.