Tiada Piagam Pelanggan?

11.06.2009

Impian hanya tinggal impian, kini cuma menaruh harapan moga diberikan peluang untuk kali kedua pada tahun hadapan. Kita cuma mampu merancang dan berusaha sedaya mampu namun segala ketentuan hanya milik Allah s.w.t. Maksud firman Allah 'Apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya "jadilah!" maka terjadilah ia'.

Hajat menunaikan ibadah haji pada tahun ini tidak kesampaian disebabkan oleh beberapa masalah yang tidak dapat diselesaikan terutamanya masalah visa. Memang semua orang arif dengan sistem pengurusan pejabat di Mesir. Peraturan yang berubah setiap hari. Semalam begitu, esok begini pula. Semuanya bergantung kepada orang yang menguruskan. Sabar sajalah. Semua ini adalah ujian.

Mungkin di sini tidak wujud piagam pelanggan yang menjadi dasar setiap perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan seperti di negara-negara lain. Memang buat orang sakit hati dengan setiap kerenah pekerja dan tahap perkhidmatan yang diberikan namun cuma mampu bersabar saja. Suatu perkara yang menjadi kebiasaan adalah menangguh-nangguhkan kerja padahal urusan tersebut boleh disiapkan dalam masa 10 minit saja.

Kedatangan seawal pagi langsung tidak diraikan malah disuruh pula datang pada waktu tengahari. Akur sahaja. Tiba pada waktu yang dijanjikan, segera muncul dengan harapan segalanya dapat diselesaikan dengan segera. Hampa. Tanpa segan silu meminta supaya hadir pada hari esok sahaja dengan alasan hari ini tidak dapat menyelesaikan urusan tersebut. Lebih 'seronok' lagi jika disuruh datang minggu hadapan. Sudah kering air liur bertegang leher, hasil yang mengecewakan.

Lambaian haji tahun ini cuma sekadar lambaian tangan kepada sahabat-sahabat yang berpeluang untuk menunaikan pada musim haji tahun ini. Harapan kepada mereka yang diberikan peluang oleh Allah s.w.t agar mendoakan agar kami juga diberikan peluang yang sama suatu hari nanti.
Comments
0 Comments

0 komentar:

Post a Comment

Apa komen anda