Bila Dah Sakit Baru Tahu...

11.17.2009

Saya sedang merasainya.

Tiga hari sudah tidak muncul di kelas Maahad dan di Masjid Al Azhar, rindu yang teramat pada para masyaikh, teman-teman dan kelas pengajian. Dua hari tubuh tidak terdaya. Cuma saya gagahkan diri untuk solat berjemaah di masjid kerana terkenangkan satu hadis yang pernah saya dibaca kepada saya semasa Majlis Pembacaan Kutub Sittah [Hadis Sahih Bukhari Juzu' Pertama. Hadis Nombor 657]:

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a mengatakan, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak ada solat yang lebih berat bagi orang munafik daripada solat Subuh dan ‘Isya'. Dan kalaulah mereka tahu keutamaan kedua solat itu (dilaksanakan berjamaah), nescaya mereka akan datang (ke masjid), sekalipun dengan merangkak.” Sesungguhnya saya ingin menyuruh seseorang azan dan qamat, kemudian menyuruh yang lain menjadi imam solat berjamaah, kemudian aku sendiri pergi mengambil suluh (obor), lalu ku bakar orang-orang yang tidak datang solat (berjemaah).”

Sebagai hamba yang serba lemah, nikmat sihat hanya akan dirasai bila kita diuji dengan kesakitan. Bila sakit, akan terbayang segala suasana sihat kita yang membolehkan bebas melakukan pelbagai perkara, asal saja perkara itu yang dibenarkan syara’. Bila sakit, akan terkenang pula pada sedapnya makanan yang dimakan sewaktu sihat, asal saja makanan itu halal. Namun tak kurang juga bila sakit, terbayang pada insan-insan yang dikasihi, yang diharapkan dapat sentiasa menemani di sisi.

Menempuh ujian ditarik nikmat kesihatan membolehkan kita merenung dan mengamati keadaan kita disaat menghampiri kematian. Ini juga merupakan satu nikmat, nikmat disebalik tidak sihat. Tiba waktu sakit, baru benar-benar mengenangkan saat kematian diri sendiri yang merupakan satu sunnah yang sepatutnya dilakukan setiap hari dan setiap masa. Mengenangkan kematian menyebabkan kita tidak terlalu asyik, leka dan alpa dengan dunia. Tidak mudah tertipu dengan godaan kehidupan yang sementara dan segala kebergantungan kita pada Allah akan jadi lebih kukuh. Itulah nikmat sebenar kita sebagai hambaNya.

Rasulullah s.a.w bersabda. “Dua nikmat yang sering tidak diperhatikan oleh kebanyakan manusia yaitu kesehatan dan waktu luang.” (HR. Bukhari yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas)

"(Allah) Yang telah menciptakan aku, maka Dialah yang memberi petunjuk kepada aku. Dan Tuhanku yang memberi makan dan minum kepada aku. Dan apabila aku sakit Dialah yang menyembuhkan aku. Dan Yang akan mematikan aku dan kemudian akan menghidupkan aku(kembali)." Surah As-Syu'ara' 78-81
Comments
0 Comments

0 komentar:

Post a Comment

Apa komen anda