Jodoh Melalui Persatuan

11.20.2009

Rata-rata mereka yang ditanya daripada kalangan rakan-rakan rapat dan teman-teman yang telah mendirikan rumahtangga masing-masing, kebanyakan daripada mereka memulakan titik pertemuan jodoh dengan perkenalan biasa semasa bersama-sama menjadi pimpinan yang mengendali, mengatur dan mengurus tugas sesebuah persatuan. Tidak kira daripada sekecil-kecil persatuan sehingga sebesar-besar persatuan. Tidak dinafikan bahawa semua percaturan jodoh, ajal maut dan lain-lain telah ditentukan oleh Allah s.w.t namun melihat kepada situasi semasa, sebuah persatuan kini dilihat menjadi wasilah kepada titik pertemuan jodoh antara dua insan.

Berdasarkan kepada pemerhatian terhadap beberapa orang teman, kebiasaan yang berlaku adalah seorang ketua yang mengemudi sesebuah jentera persatuan atau unit yang akan bersama dengan timbalannya sehingga selesai diijabkabulkan lalu dibawa ke jinjang pelamin. Mungkin melalui urusan sebuah persatuan, sedikit demi sedikit mereka mengenali pasangan masing-masing lalu mengheret kepada lafaz akad yang menghalalkan hubungan antara lelaki dan wanita. Sesuatu yang amat baik dan amat digalakkan jika hubungan 'ketua dan timbalan' didalam persatuan tidak terhenti setelah melepaskan jawatan masing-masing dan diteruskan dengan ikatan dan akad yang sah sebagai suami dan isteri. Sesuatu yang perlu dipandang serius kerana perhubungan 'ketua dan timbalan' juga menjadi bala yang besar sekiranya perhubungan tersebut berpanjangan dan meleret tanpa arah tujuan dan matlamat. Perhubungan yang berteraskan nafsu semata-mata tanpa meletak hukum syara' sebagai landasan. Menjadi fitnah yang amat besar kepada sesebuah persatuan.

Apa pula pandangan ahli sesebuah persatuan terhadap hal ini? Pelbagai tanggapan dan andaian di sisi ahli, negatif dan juga positif. Beberapa tanggapan negatif adalah menjadi persoalan dikalangan ahli samada mereka yang dilantik sebagai kepimpinan persatuan tersebut benar-benar bekerja untuk persatuan atau sibuk melayan perasaan bersama timbalan masing-masing malahan ada tanggapan bahawa kepimpinan persatuan menggunakan pengaruh masing-masing untuk mendapatkan jodoh dirasakan sesuai untuk mereka. Paling simple, jodoh adalah ketentuan Allah s.w.t.

Jodoh merupakan salah satu rahsia Allah s.w.t dan sudah ditakdirkan kepada manusia. Ia tidak akan kemana-mana dan akan datang apabila tiba waktunya. Tugas manusia hanya perlu berusaha dan berdoa agar jodoh segera datang (seperti yang diinginkan). Allah s.w.t memberikan 3 ketetapan dalam menjodohkan manusia antara satu sama lain, yang pertama adalah cepat mendapatkan jodoh, yang kedua adalah lambat mendapatkan jodoh (tetapi pasti akan mendapatkannya pada suatu masa), dan ketetapan yang terakhir adalah menunda jodoh sehingga ke akhirat nanti (ertinya di dunia tidak akan mendapatkan jodoh).
Comments
0 Comments

0 komentar:

Post a Comment

Apa komen anda