Kes Buang Bayi Di Mesir

3.31.2010 13 komentar

Apa dosa seorang bayi ini? Sungguh kejam dan tidak berhati perut mereka yang berbuat demikian. Sudahlah menanggung dosa besar berzina kini ditambah pula dengan membuang dan membunuh anak hasil hubungan haram berkenaan tanpa rasa bersalah, lebih teruk daripada binatang. Kes buang bayi begitu sinomin dengan hubungan luar nikah yang dilakukan oleh pasangan muda mudi yang terlanjur dalam perhubungan mereka kerana mahu menutup malu yang menimpa mereka setelah melakukan penzinaan.

Melihat kepada keadaan sosial yang semakin meruncing serta keruntuhan akhlak kian menggila yang sedang melanda pelajar-pelajar Malaysia di Mesir, adalah tidak mustahil kita boleh menjangkakan satu kesimpulan awal bahawa suatu hari nanti akan muncul kes buang bayi yang melibatkan pelajar-pelajar Malaysia di sini jika keadaan berterusan begini. Tidak perlu diceritakan bagaimana tahap keruntuhan akhlak yang sedang berlaku kini.

Maksiat demi maksiat terus menggila dan semakin tidak terkawal ini tidak boleh dianggap remeh dan dipandang ringan. Mungkin bermula dengan berdua-duaan di sebuah bilik, seterusnya perut si perempuan terus membunting dan membesar. Maka akan lahirlah anak yang tidak berdosa lalu dibuang di dalam tong sampah, di kaki lima dan di lubang tandas demi menutup aib diri. Jika sebelum kedatangan Islam, masyarakat pada waktu itu sanggup menanam anak hidup-hidup, jadi apa bezanya dengan masyarakat kini yang membunuh dan membuang anak yang dilahirkan sendiri?

Semua pihak mesti bertanggungjawab demi membendung gejala maksiat yang semakin mendapat sambutan dikalangan pelajar-pelajar di sini sebelum segalanya terlambat. Jangan nanti apabila sudah terjadi kes buang bayi baru ada pihak yang mahu membuka mata dan bertindak. Cegah sebelum terlambat.
"Mencegah itu lebih baik daripada mengubati"

Nanti Nak Makan Apa?

3.27.2010 3 komentar
Mesti berani menghadapi hidup. Benak fikiran makin kusut, risau memikirkan tentang apa? Mungkin ada banyak perkara.

Mereka Sudah Punya Separuh Agama

Terbaru, Fadzli Hassim dan Zahid Abu Bakar (siap keluar dalam akhbar metro), Hafizul Akhbar besok tarikh keramatnya. Tahniah buat mereka semua. Anda bila?

Betul-betul hairan, mengapa perlu bimbang? Teruskan sahaja jika sudah bersedia.
Rata-rata yang diperhatikan memikirkan tentang soal harta, tidak punya apa-apa yang berharga, sedang diri pun masih ditanggung oleh orang tua. Maklumlah belanja sekarang boleh mencecah sehingga empat atau lima angka. Nyahkan persoalan itu daripada terus membelenggu jiwa, yakin hanya pada Yang Maha Esa. Dia Maha Berkuasa.

Jelas sudah Allah menerangkan di dalam kitabNya, kita juga yakin, beriman dan percaya. Cuma perlu ada usaha, mengerahkan keringat dan segala tenaga yang ada, bukannya menanti bulan jatuh ke riba. Kebanyakkannya takut mendirikan rumahtangga kerana bimbang dan takut 'nanti nak makan apa?'. Ini persoalan biasa. Bimbang sebab tidak punya kerja dan tidak berharta. Banyak lagi persoalan lain yang lebih utama, perkara yang menjadi agenda utama dan permasalahan yang perlu menjadi topik bicara kita. Mengapa asyik dengan memikirkan tentang makan dan harta benda? Hidup untuk makan atau makan untuk hidup?

Usah Bimbang

Maksud firman Allah SWT :
"berapa banyak binatang yang melata tidak sanggup membawa rezekinya(makanan keperluannya), Allah menjamin rezekinya, juga terhadap kamu" - al Ankabut ayat 60

"Perintahkan kepada keluargamu supaya sembahyang dan sabarlah dalam melaksanakannya. Kami(Allah) tidak menuntut supaya mencari rezeki, Kami(Allah) menjamin rezekimu, dan akibat(kemenangan yang terakhir) bagi orang yang bertaqwa." - Taaha ayat 132

"Sesungguhnya Tuhanmu melapangkan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan menyempitkannya. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Melihat akan hamba-hambaNya." - al Israa' ayat 30

"Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan. Sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Memberi rezeki Yang Mempunyai kekuatan yang sangat kukuh." al Zariyaat ayat 57-58

Cukup rasanya. Masih banyak lagi ayat-ayat yang menunjukkan maksud yang sama. Kita fikir-fikirkan bersama. Ulat dalam batu pun boleh hidup, apatah lagi kita yang bergelar manusia.

Nabi Adam Mula-Mula Menulis

3.24.2010 0 komentar
Berdasarkan fakta sejarah, orang yang pertama menulis adalah Nabi Adam AS. Di dalam kitab Fiqh al-Luhgah, Ibnu Faris menyatakan bahawa orang yang menulis kitab dalam bahasa Arab dan Suryaani adalah Nabi Adam AS iaitu pada 300 tahun sebelum kewafatan baginda.

Allah SWT merakamkan di dalam al Quran pada surah al Baqarah ayat 31 :
"dan Dia (Allah) telah mengajarkan Nabi Adam akan segala nama-nama benda dan kegunaannya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia (Allah) berfirman : 'Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semua jika kamu golongan yang benar"

Baginda telah menulis di atas tanah liat dan membakarnya. Selepas peristiwa banjir besar, manusia telah menjumpai kitab yang diperbuat daripada batu lalu mereka menulis dengannya (menulis di atas batu).

Para ulama' berselisih pendapat mengenai maksud kalimah al-Asma' (nama-nama) dalam ayat di atas. Mengikut Ibnu Abbas, Ibnu Hajar, Mujahid dan Qatadah ia adalah nama kesemua makhluk manakala mengikut pandangan al Zamakhsyari pula adalah nama-nama (kata nama) seperti kuda dan unta atau lain-lain lagi dan mengetahui hal-hal binatang tersebut yang memberi manfaat kepada agama dan dunia.

Al Imam Ahmad bin Hanbal pula menyatakan orang yang mula-mula menulis adalah Nabi Idris AS sebagaimana sebuah hadis di dalam kitab al Musnad daripada  Abi Zhar bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Orang yang pertama menulis dengan qalam (pensel) ialah Nabi Idris AS."

Perbezaan Al Quran Dan Al Qiraat

3.18.2010 2 komentar
Para ulama’ berselisih pendapat mengenai persoalan ini, adakah kedua-duanya adalah perkara yang sama atau sebaliknya? Al-Imam Badruddin al-Zarkasyi menyatakan bahawa al-Quran dan al-Qiraat adalah dua perkara yang berlainan kerana al-Quran adalah wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW sebagai mukjizat dan keterangan manakala al-Qiraat adalah kepelbagaian dan perbezaan kaedah dan cara pembacaan lafaz-lafaz wahyu pada huruf dan kalimah serta kaedah pembacaan seperti takhfif dan tasydid. Pandangan ini juga disebutkan oleh al Imam Jalaluddin al-Sayuti di dalam al-Itqan Fi Ulum al Quran, al Imam al Qastolani dalam kitab Lataif al Isyaraat dan al Dumyaati dalam Ittihaf al Fudhala’ al Basyar.

Sebahagian ulama’ pula berpendapat bahawa al-Quran dan al-Qiraat adalah dua perkara yang sama sebagaimana yang dinyatakan oleh Doktor Muhammad Salim Muhaisin di dalam kitabnya al Qaul al Sadid Fi Difa’I ‘an Qiraat al Quran al Majid  Fi Dhoui al Kitab wa al Sunnah kerana al Quran adalah masdar(kata terbitan) yang seerti dengan al Qiraah dan al Qiraat adalah jama’ kepada al Qiraah.

Persamaan ini berhujahkan firman Allah SWT  dalam surah al-Qiyamah ayat 8 yang bermaksud :

“Oleh itu, apabila kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu dengan perantaraan Jibril) maka bacalah menurut bacaan itu” 

Doktor Muhammad Ahmad al Jamal menjelaskan di dalam Wujuh al Balaghiyyah Fi Taujih al Qiraat bahawa apa yang dimaksudkan oleh al Imam al Zarkasyi adalah keseluruhan qiraat merangkumi yang mutawatir dan yang tidak mutawatir serta qiraat yang menepati tulisan mashaf dan yang tidak menepati tulisan mashaf. Perbezaannya dengan al Quran adalah pada aspek mutawatir kerana terdapat qiraat yang diriwayatkan secara tidak mutawatir (riwayat dhoif atau ahad) manakala al Quran mesti diriwayatkan secara mutawatir. Persamaannya adalah pada bacaan qiraat yang mutawatir adalah merupakan wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT sebagaimana al Quran yang diturunkan oleh Allah SWT dengan semua wajah dan cara bacaan (qiraat).

Walaupun terdapat perselisihan pandangan para ulama’ dalam menyatakan hubungan antara al Quran dan al Qiraat, akan tetapi pada hakikatnya al Quran dan al Qiraat bukan dua perkara yang mempunyai persamaan secara mutlak dan tidak mempunyai perbezaan secara menyeluruh. Secara amnya, al Quran dan al Qiraat memiliki ikatan yang kukuh dan saling berkait rapat antara satu sama lain.

Lebih lanjut, sila rujuk Perbahasan Ringkas Ilmu Qiraat.

Petikan daripada kertas kerja : Perbahasan Ringkas Ilmu Qiraat oleh Noraidin bin Nordin dan Muhamad Zul Ikhwan bin Zahari. Kertas kerja ini masih belum siap 100%, dalam proses memasukkan ayat-ayat al Quran yang berkaitan dan takhrij hadith.

Sedikit masa lagi diperlukan untuk menyiapkan keseluruhan kertas kerja ini. Jika memerlukan kepada pembentangan, sila berhubung dengan Ustaz Noraidin bin Nordin, bukan saya. Harap maklum.

Memiliki Atau Mempunyai

3.17.2010 3 komentar
Sengaja membiarkan kepala otak terbakar memikirkan berbagai perkara. Tiba-tiba terfikir tentang diri kita, apa yang kita miliki dan apa yang kita punyai?

Jika meneropong hanya pada luaran kita akan merasakan kita memiliki sesuatu. Kita memiliki bermacam-macam benda dan perkara. Memiliki wang, kereta, keluarga, kawan-kawan, dan pelbagai lagi. Namun apa yang perlu diketahui secara hakikinya adalah kita hanya meminjam sahaja daripada Allah. Wang akan habis, kereta boleh rosak, motor boleh hilang, keluarga boleh mati, kawan-kawan boleh jadi musuh…
Apa lagi? Segala-galanya memang bukan milik kita. Habis apa yang kita ada?

Kita tidak ada apa-apa.

Tepat. Kita tak memiliki apa-apa. Namun begitu, kita masih mempunyai. Kita mempunyai Allah SWT, Tuhan Yang Maha Agung, yang mentadbir, menjaga, memelihara dan menjadi penolong dan pembela kita. Itulah Allah yang segala-galanya adalah daripadaNya dan untukNya.

Rasulullah SAW mendidik kita supaya menjaga Allah, maka nescaya Allah akan menjaga kita. Alangkah ruginya kita apabila kita tahu kita tidak memiliki apa-apa, dalam masa yang sama juga kita tak mempunyai apa-apa juga.

Biarlah kita tidak memiliki apa-apa pun tapi kita masih mempunyaiNya.

Mungkin di kalangan anda mengangguk tanda setuju. Ada juga yang mungkin tidak faham apa yang cuba disampaikan. Mungkin sebab ayat kadang-kadang berbelit-belit atau cara penyampaian yang tidak baik.

Kalau salah tolong ajarkan.

Yang Mana Menjadi Pilihan?

3.12.2010 0 komentar
"Alah, bukan semua yang bertudung tu baik orangnya, ada saja yang jahat. Saya pernah kena maki dengan seorang yang bertudung litup depan orang ramai, tak tahu nak letak kat mana muka ni." Ceritanya panjang lebar.

Persoalannya mengenai pemilihan seorang pemimpin yang menjaga dengan baik batasan aurat dengan yang kurang menjaga aurat. Si 'A' yang menjaga aurat dengan baik agak lemah sedikit pada sudut kepimpinan manakala si 'B' yang tidak menjaga aurat adalah lebih baik jika dilihat pada sudut pengurusan dan kepimpinan.

Andaikan suatu hari, kita berada di surau di salah sebuah bandar dan ingin bersolat. Di sekeliling terdapat ramai orang yang turut sama ingin melakukan solat, ada yang berpakaian sempurna dan ada yang hanya mengenakan seluar pendek. Jika perempuan, ada yang bertudung dan ada yang tidak. Kita tidak mahu menjadi imam dan di hadapan kita terdapat 2 orang, seorang yang berpakaian lengkap dan seorang hanya mengenakan seluar pendek. Yang mana pilihan kita untuk dijadikan imam solat? Yang mana menjadi pilihan untuk dijadikan pemimpin?


Sudah tentu yang berpakaian lengkap dan menutup aurat. Begitu juga perempuan, sudah pasti akan memilih yang bertudung untuk dijadikan imam solat(solat dikalangan perempuan) berbanding dengan yang hanya memakai jeans ketat dan tidak bertudung.

Kenapa memilih yang menutup aurat?
Itukan perkara ibadat, mestilah memilih yang terbaik.

Bukankah memilih seorang pemimpin itu adalah satu ibadat juga?
Apabila mengatakan ruang lingkup ibadat hanya solat, puasa, zakat dan haji sahaja secara tidak langsung telah menafikan kesempurnaan Islam. Islam adalah agama yang syumul, merangkumi semua perkara didalamnya. Politik, pendidikan, ekonomi, kepimpinan, nikah kahwin dan segalanya diatur rapi dalam Islam.

Kini ramai yang berebut-rebut mahu mengamalkan Islam dalam kehidupan seperti pengurusan bank cara Islam, nikah kahwin cara Islam, rujuk cerai cara Islam tetapi ramai yang mencebik bila disebut tentang Jinayat Islam. Hudud, qisas dan ta'zir dikatakan tidak sesuai dan ketinggalan zaman. Adakah ketinggalan zaman hukum hakam yang ditetapkan oleh Pencipta seluruh kehidupan ini?

Kita sudah ada jawapan.

Persampahkan Alasanmu

3.10.2010 3 komentar
Saya juga tahu, bukan sesuatu mudah. Biasalah, sunnah orang berjuang. Orang mengeluh itu dan ini, pernahkan kita berusaha menghilangkan keluhan itu?

Alasan yang popular :
Saya masih belajar lagi, kena fokus pada pelajaran. Belajar pun ibadah juga. Exam sudah nak dekat, banyak lagi yang tak study. Kena tumpu pelajaran, lagipun mak ayah hantar suruh belajar saja. Nanti la semua ini selesai dulu..

Saya banyak kerja, tak cukup masa. Kena tumpukan pada kerja, nanti hasil kerja tak memuaskan. Orang kata tak profesional, tak berdisiplin. Meeting kat sana sini.

Saya tak pandai, saya tak tahu, saya tak cukup ilmu, saya takut, saya malu, saya tak biasa, siapalah saya ini, orang biasa saja. Ramai lagi yang lain-lain.

Diri sendiri pun entah ke mana-mana, tidak terurus, serabut. Sibuk nak fikir tentang perkara lain.

Rilek la dulu, muda lagi. Kita enjoy dulu.

Saya dah nak kahwin, sibuk dengan macam-macam perkara. Saya baru saja kahwin, tak sempat nak fikir benda lain. Saya ada keluarga, kena jaga makan pakai anak bini. Itu adalah kewajipan saya. Nanti apa kata mertua dan ibubapa.

Sampai bila nak berada pada zon selesa? Sampai bila nak beralasan?
Tugas yang dipikul ini memerlukan keazaman dan tekad yang tidak akan padam, keikhlasan yang tinggi, semangat yang sentiasa membara, keimanan yang kukuh dan ketakwaan yang sejati.

Mengaku saja 'Aku Malas', usah beri alasan yang berjela-jela. Habis cerita.

Terlalu Memilih?

3.06.2010 6 komentar
Biasanya perempuan akan dikutuk jika tidak tahu memasak dan pasti akan disuruh belajar. Mungkin ada alasan di sisi mereka tidak punya kesempatan kerana desakan daripada keluarga yang hanya menyuruh supaya menumpukan perhatian pada pelajaran sahaja. Lebih-lebih yang tinggal di asrama atau kolej dan sibuk dengan kerja-kerja persatuan.

Mesti mahu yang cantik, kalau boleh biar semua mata yang pandang tidak berkelip. Paras rupa juga antara elemen yang penting namun apa yang akan diperolehi jika menilai dengan kecantikan paras rupa semata-mata? Kecantikan yang tidak akan kekal selamanya. Biar rupa sederhana asalkan akhlak dan pekerti mulia kerana itu lebih utama. Rupa sahaja cantik tetapi akhlak buruk pasti akan dilihat hodoh juga.

Jika wanita dinilai dengan rupa paras menarik, ada harta, pandai memasak dan sebagainya, apa yang dinilai pada seorang lelaki? Rupa paras, harta atau keturunan?

Kebanyakkan lelaki meletakkan kebolehan wanita di dapur sebagai antara perkara yang utama. Masak mesti handal. Tidak cukup jika handal memasak untuk keluarga sendiri sahaja, kalau boleh perlu handal memasak untuk tiga buah kampung.

beginikah cara memasak untuk 3 buah kampung?

Orang kata lelaki terlalu memilih. Mungkin ada betulnya. Wanita juga berhak memilih. Letakkan syarat kepada lelaki supaya boleh menjadi imam sebelum bergelar suami anda. Kalau boleh mesti mampu jadi imam untuk makmum dari tiga buah kampung atau dua kawasan perumahan. Tambah sikit lagi, kalau boleh siap dengan bagi khutbah jumaat. Berapa ramai yang berani? Pasti ramai yang beralasan sebab takut bacaan al-Fatihah tidak sempurna, hukum tajwid entah ke mana dan asas-asas hukum fiqh Islam tak pernah diambil cakna. Ada juga yang merasa kelakar apabila dirinya yang rugged dan rock menjadi imam. Tidak ada yang kelakar kerana tanggungjawab sang lelaki memimpin keluarganya. Bagaimana hendak meminpin jika diri serba tak kena?

Jika wanita yang tidak tahu memasak disuruh belajar. Jadi apa masalahnya jika lelaki yang tidak boleh menjadi imam dipaksa belajar juga asas-asas penting agama kerana perkara tersebut adalah lebih utama daripada memasak.

Pokoknya, usah cerewet kerana terlalu mencari yang sempurna dengan nilaian kecantikan luaran sahaja tetapi lihatlah pada sudut iman, taqwa dan akhlak kerana perkara ini yang dinilai di sisi Pencipta. Kecantikan juga perlu kerana ia adalah sebagai penyejuk mata dan penenang jiwa namun ia bukan yang utama. Rasulullah SAW telah menyarankan supaya memilih kerana agamanya. Hikmah yang cukup besar terkandung disebaliknya. Tidak perlu mengejar dalam mencari yang paling sempurna untuk diri kita tetapi yang paling utama adalah berusaha untuk menjadikan diri kita sebagai seorang yang sempurna pada setiap sudut dan semua perkara.

Catatan Lalu (sinai explorer)

3.04.2010 9 komentar
Kerja lebih banyak daripada masa yang ada
Seperti yang dikatakan oleh al Syahid al Imam Hassan al Banna
Letih, lelah, penat dan sebagainya adalah perkara biasa
Rehat hanya di syurga

Susah senang sama-sama dirasa
Pahit dan masam adalah ujian biasa
Semuanya berlalu sekelip mata
Mendidik diri menghargai nilai bersaudara

Berehat sambil bekerja. Itulah kesimpulannya.
Perjalanan yang agak menarik tanpa sebarang masalah besar. Walaupun nyawa kedua aku 'tertinggal' dalam beg di Shoubra. Komitmen para peserta yang bagus. Peka terhadap setiap yang disampaikan oleh Ustaz Aniq dan Ustaz Hafiz.

Berdiri dari kanan : Aniq Mustah, Jamil, Hafiz Abidin, Saiful Anuar, Zul Ikhwan
Duduk dari kanan : Khalis, Salman
Tiada dalam gambar : Azizuddin, Mukhlis
Hafiz Abidin : Tuan YDP dah tak sejuk ke? Jiwa kacau tak?
Saiful Anuar : Dah cukup tidur?
Jamil : Bila nak sambung kerja tentera? Iklan syampu baru...
Aniq Mustah : Bendera Pahang ada lagi? Nak pinjam
Khalis : Abang manja dah baik demam?
Salman : Me, nasi kerabu ike bakar ado? Nak so
Mukhlis : Dah mandi?
Azizuddin : (isikan tempat kosong)
Tuan blog : Jangan buka kertas soalan sehingga diberitahu