Yang Mana Menjadi Pilihan?

3.12.2010
"Alah, bukan semua yang bertudung tu baik orangnya, ada saja yang jahat. Saya pernah kena maki dengan seorang yang bertudung litup depan orang ramai, tak tahu nak letak kat mana muka ni." Ceritanya panjang lebar.

Persoalannya mengenai pemilihan seorang pemimpin yang menjaga dengan baik batasan aurat dengan yang kurang menjaga aurat. Si 'A' yang menjaga aurat dengan baik agak lemah sedikit pada sudut kepimpinan manakala si 'B' yang tidak menjaga aurat adalah lebih baik jika dilihat pada sudut pengurusan dan kepimpinan.

Andaikan suatu hari, kita berada di surau di salah sebuah bandar dan ingin bersolat. Di sekeliling terdapat ramai orang yang turut sama ingin melakukan solat, ada yang berpakaian sempurna dan ada yang hanya mengenakan seluar pendek. Jika perempuan, ada yang bertudung dan ada yang tidak. Kita tidak mahu menjadi imam dan di hadapan kita terdapat 2 orang, seorang yang berpakaian lengkap dan seorang hanya mengenakan seluar pendek. Yang mana pilihan kita untuk dijadikan imam solat? Yang mana menjadi pilihan untuk dijadikan pemimpin?


Sudah tentu yang berpakaian lengkap dan menutup aurat. Begitu juga perempuan, sudah pasti akan memilih yang bertudung untuk dijadikan imam solat(solat dikalangan perempuan) berbanding dengan yang hanya memakai jeans ketat dan tidak bertudung.

Kenapa memilih yang menutup aurat?
Itukan perkara ibadat, mestilah memilih yang terbaik.

Bukankah memilih seorang pemimpin itu adalah satu ibadat juga?
Apabila mengatakan ruang lingkup ibadat hanya solat, puasa, zakat dan haji sahaja secara tidak langsung telah menafikan kesempurnaan Islam. Islam adalah agama yang syumul, merangkumi semua perkara didalamnya. Politik, pendidikan, ekonomi, kepimpinan, nikah kahwin dan segalanya diatur rapi dalam Islam.

Kini ramai yang berebut-rebut mahu mengamalkan Islam dalam kehidupan seperti pengurusan bank cara Islam, nikah kahwin cara Islam, rujuk cerai cara Islam tetapi ramai yang mencebik bila disebut tentang Jinayat Islam. Hudud, qisas dan ta'zir dikatakan tidak sesuai dan ketinggalan zaman. Adakah ketinggalan zaman hukum hakam yang ditetapkan oleh Pencipta seluruh kehidupan ini?

Kita sudah ada jawapan.
Comments
0 Comments

0 komentar:

Post a Comment

Apa komen anda