Cara Khatam Al Quran Dalam Seminggu

11.24.2011 1 komentar

Rasulullah s.a.w menekankan kepada kita supaya meluangkan seberapa banyak masa untuk membaca dan memahami al Quran. Secepat-cepat tempoh masa yang boleh khatam al Quran adalah selama 3 hari dan selewat-lewatnya jangan jangan lebih dari sebulan. Sebaik-baiknya al Quran dikhatamkan bacaannya dalam tempoh seminggu.

Beberapa sahabat Rasulullah s.a.w yang masyhur seperti sayyidina Uthman, Zaid Ibn Thabit, Ibn Mas'ud dan lain-lain mengkhatamkan al Quran dalam masa seminggu dengan dibuat penyusunan surah-surah seperti berikut :

Malam Jumaat :  surah al Baqarah hingga surah al Maidah

Malam Sabtu :  surah al An'am hingga surah Hud

Malam Ahad :  surah Yusuf hingga surah Maryam

Malam Isnin :  surah Toha hingga surah al Qasas

Malam Selasa :  surah al 'Ankabut hingga surah Sod

Malam Rabu :  surah Tanzil (al Zumar) hingga surah al Rahman

Malam Khamis :  menghabiskan surah yang berbaki

Selamat beramal!


Sila Kira Bulu Kambing!

11.18.2011 0 komentar

Kisah seorang 'alim

Datang seorang dengan penuh lagak sombong, langsung tanpa adab. Lalu segera bertanya :

Lelaki : kalau sudah rasa alim sangat, sila beritahu berapa jumlah bintang yang ada di langit?

Orang alim : (terdiam sebentar) kalau kamu mahu tahu berapa jumlah bintang di langit, sila kira bulu kambing! Jumlahnya lebih kurang sama.

Lelaki : (diam sambil tergaru-garu kepalanya)


p/s : Kadang-kadang, bukan semua soalan yang ditanya perlu kita jawab. Moga bermanfaat.


Perkara Berkait Tentang Ucapan Salam

11.17.2011 0 komentar


Hukum memberi dan menjawab salam

Sunat muakkad bagi orang perseorangan dan sunat kifayah bagi perkumpulan manakala menjawab salam pula adalah wajib bagi perseorangan dan fardhu ain bagi perkumpulan.

Orang yang patut mendahulukan salam : 

1. Yang berjalan kepada yang duduk
2. Yang muda kepada yang tua
3. Yang berkenderaan kepada yang berjalan kaki
4. Yang di luar kepada yang di dalam
5. Yang di belakang kepada yang dihadapan
6. Yang hendak meninggalkan majlis kepada yang ditinggalkan

Orang yang makruh diucapkan salam kepadanya :

1. Orang yang sedang azan atau iqamah
2. Orang yang sedang mengajar ilmu agama
3. Orang yang sedang membaca al Quran
4. Orang yang sedang qadha' hajat
5. Orang yang memusuhi Islam dan orang kafir
6. Ahli bid'ah, orang yang mengganggu lalu lalang atau berbual kosong
7. Ahli maksiat termasuk orang yang telanjang

Orang yang tidak wajib menjawab salam :

1. Orang yang sedang sembahyang
2. Orang yang sedang qadha' hajat
3. Orang yang sedang mengajar
4. Orang yang menerima salam setelah bercakap-cakap dengannya


Takziah Dan Hukumnya

11.08.2011 13 komentar

Saya baru menerima khabaran berita kematian ayah seorang teman baik, Muhammad Nur Waafi Badruldin. Semoga Waafi dan keluarga terus bersabar dan semoga Allah mencucuri rahmat serta mengampunkan ayahnya.

Ucapan takziah bermaksud menghiburkan orang yang ditimpa musibah dengan menyebut hal-hal yang dapat menghapuskan duka dan meringankan penderitaan. Hukum takziah adalah sunat dan sangat digalakkan dalam Islam. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Mana-mana orang mukmin yang mengucapkan takziah kepada saudaranya sesama Islam yang ditimpa musibah, melainkan ia akan diberi balasan yang sebaik-baiknya oleh Allah s.w.t  iaitu dimuliakan dan dipakaikan dengan persalinan yang serba indah dari pakaian kemuliaan dihari kiamat kelak."

Masa yang paling afdal untuk mengucapkan ucapan takziah ialah sebelum mayat dikebumikan dan berlanjutan sehingga tiga hari mulai dari hari matinya. Jika tidak ada di tempat kematian itu atau tidak mengetahui akan kematian yang berlaku maka bolehlah mengucapkan takziah bila mana perkhabaran kematian tersebut diberitahu.

Lafaz ucapan takziah daripada orang Islam kepada orang Islam yang kematian keluarga adalah seperti berikut :

أعظم الله أجرك وأحسن عزائك وغفر لميتك  
"semoga Allah memberikan pahala yang berganda-ganda kepada saudara dan menjadikan saudara dapat bersabar dengan sebaik-baiknya serta diampunkan orang yang telah mati"
Sunat bagi keluarga yang kematian itu menjawab menjawab ucapan takziah dengan lafaz :

جزاك الله خيرا 
"semoga Allah memberi balasan sebaik-baiknya kepada saudara."
Ucapan takziah hanya disunatkan sekali sahaja, ucapan diucapkan kepada seluruh kerabat si mati, besar mahupun kecil, lelaki atau perempuan tetapi tidak boleh mengucapkan takziah itu kepada perempuan yang muda melainkan sesamanya perempuan, suami atau pun mahramnya. Ini kerana ditakuti akan mendatangkan fitnah. Ucapan takziah melalui surat juga dibolehkan.

Hukum Meraung Dan Meratapi Kematian

11.04.2011 0 komentar

Dalam memperkatakan mengenai meratapi kematian, menangis dan meraung dengan kuat sehingga mencarik-carikkan pakaian dan mencakar-cakar muka hukumnya adalah HARAM. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
"Bukanlah dari kalangan umatku orang yang menampar-nampar pipi dan mengoyakkan leher baju dan menyeru dengan seruan yang biadap" - muttafaqun 'alaih

Jika menangis dengan mengeluarkan air mata sahaja tanpa mengangkat suara yang tinggi, maka hukumnya adalah harus. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

"Sesungguhnya mata yang bergenang dengan air mata, dan hati bersedih hiba, dalam pada itu kami tidak mengatakan melainkan apa yang diredhai oleh Tuhan kami dengan sesedihnya dengan sebab bercerai denganmu wahai Ibrahim" - riwayat Imam Bukhari

Kata Imam Nawawi rahimahullah, lebih utama menangis tanpa meraung sebelum daripada mati berbanding selepas mati.


Usik Usik Adobe Photoshop

11.03.2011 0 komentar
Mengenang musim usik-usik aplikasi Adobe Photoshop, maka terhasillah sebagaimana yang tertera :
Badge Ijtima' Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan 2011

Mahasiswa Benci Kezaliman

Liqa' Mahabbah

Kini masa untuk mengadap aplikasi Photoshop semakin terbatas, mungkin perlu untuk mengucapkan 'bye-bye' dan 'sayonara photoshop'...


Cara Memusnahkan Mushaf @ Kertas Ayat Al Quran

2 komentar


Mushaf atau kertas yang mengandungi ayat-ayat Al-Quran tidak boleh dikoyakkan atau dicarik-carik kerana cara itu bererti memutus huruf-huruf dan kalimahnya dan mempersia-siakan apa yang termaktub itu.

Jika mushaf atau tulisan-tulisan ayat Al-Quran itu tidak boleh dibaca atau tidak boleh digunakan lagi, ia boleh dimusnahkan di antara caranya ialah dengan membasuh tulisannya sehingga tidak kelihatan lagi atau membakarnya atau menanamnya.

Sebahagian ulama berpendapat membakarnya adalah lebih utama kerana Sayidina Uthman Al-Affan pernah membakar mushaf-mushaf tertentu dan tidak ada sahabat yang membantahnya. Sebahagian ulama pula menetapkan ia tidak boleh dibakar kerana cara itu tidak menghormati namanya sehingga menghukumkannya sebagai makruh.

Selain itu ada yang berpendapat bahawa membasuhnya lebih utama. Sebahagiannya pula mengatakan mushaf itu tidak dibakar, bahkan ia hendaklah ditanam dalam tanah dan dengan cara ini ia tidak akan terkena pijakan. (Al-Itqan: 4:165).

Dalam pada itu, setengah ulama mutakhir berpendapat bahawa cara membakar itu adalah cara yang paling ringan dilakukan. Disertakan dengan niat yang baik, maka cara ini dilakukan hanya semata-mata untuk menjaga kesucian dan kemuliaan Al-Quran, bukan merendahkan, apa lagi menghinanya dan tidak mendedahkannya kepada pencemaran dan penghinaan. (Ahsan Al-Kalam: 2:210).

Disimpulkan bahawa mushaf Al-Quran yang menjadi kitab suci umat Islam adalah wajib dihormati, seperti tidak meletakkan sesuatu di atasnya, menyentuh atau mengangkatnya hanya ketika dalam keadaan berwuduk dan tidak menuliskannya pada kertas, kad, poster atau bahan-bahan cetak yang lain yang terdedah kepada pencemaran kesucian dan kehormatannya itu. 



Seksaan Bagi Meninggalkan Solat

11.02.2011 0 komentar
Orang yang tidak solat akan diseksa dengan 15 seksaan, 6 daripadanya akan diterima di dunia, 3 seksaan tatkala hendak mati, 3 seksa lagi ketika berada di alam kubur dan 3 seksa lagi di hari kiamat.


Enam seksa semasa hidup di dunia: 


1. Diangkat berkat pada umurnya.
2. Allah akan menghapuskan tanda-tanda orang soleh daripada mukanya.
3. Tiap-tiap amal yang dikerjakan tiada diberikan pahala kepadanya.
4. Segala doanya tidak diangkat ke langit.
5. Dia diangkat berkat pada rezekinya
6. Tidak ada bahagian daripada Islam

Tiga seksa tatkala hendak mati: 


1. Dia mati dalam kehinaan.
2. Dia akan merasa yang amat pedih ketika roh dicabut keluar. 
3. Mati dalam keadaan yang sangat haus, sehinggakan jika dituangkan kepadanya sekelian air laut di dunia ini, dia tetap merasa tidak puas. 

Tiga seksa ketika di alam kubur: 


1. Disempitkan kuburnya.
2. Dinyalakan api, di mana dia akan membalik-balikkan dirinya didalam bara api itu.
3. Allah mengerahkan ular yang bernama syuja'u aqra'

Tiga seksa di hari kiamat: 


1. Hisab ke atsanya menjadi sangat berat.
2. Allah S.W.T sangat murka kepadanya.
3. Allah S.W.T akan menyiksanya dengan api neraka.